Rasanya sudah 64 kali Syawal yang saya tempoh. Sudah 64 Ramadhan datang dan pergi. Kegembiraan dan kebahagiaan semasa kanak-kanak yang berlari dan melonjak senang. Mercun dan bunga api mengiring gema takbir. Lalu masa beredar. Menjadi remaja yang terasa banyak pancarobanya. Selalu hati berbunga. Mencari damai rasa. Damai hati. Selalu berbunga mendambakan bahagia. Berlari mengejar pelangi dan jingga langit kirmizi. Cagaya aroura yang kekadang mewarnai ufuk.
Remaja kampung banyak juga lagaknya. Tetapi keupayaan saya untuk bergaya sangat terbatas. Seluar ada sehelai dua. Baju juga terhad. Kasut dan setokin masih payah menyalut kaki. Kasut sekolah sahaja yang mesti setiap hari persekolahan. Dalam pada itu hati selalu juga berbunga. Keremajaan yang sedanng memuncakkan gelora. Hati remaja dengan lagu-lagu riang.
Pada hari raya saya meronda ke mana sahaja yang termampu. Ke rumah guru. Ke rumah saudara mara. Ke rumah rakan taulan. Tentulah yang dekat-dekat sahaja. Tidak mampu berjalan jauh. Bukan ada kereta. Bukan ada motorsikal. Basikal sahajalah teman tunggangan yang setia. Berhari-hari saya bergerak dengan pakaian baju Melayu selengkapnya. Zaman itu saya tidak beraya dengan seluar dengan kemeja atau kemeja-T. Apatah lagi memakai jean. Jatidiri saya jaga. Waktu itu baju Melayu masih menjadi trendy.
Setelah menjadi guru, banyak kebiasaan masa remaja yang terabai. Sudah mula sibuk. Sudah mula memilih masa dan tempat. Lagipun masa sudah menjadi sangat terhad. Arah hidup yang mula bercabang. Lagipun basikal sudah bukan lagi menyeronokkan. Lima tahun berbasikal sewaktu di sekolah menengah terasa jerih peritnya. Masih terasa bahang dan perit cahaya matahari yang membakar paha, muka, tengkuk dan telinga saya. Keranannya saya terasa keletihan. Ingan hati ini bersara dari berbasikal jauh.
Bila sudah bekerja, terasa pula hendak menjaga rupa. Ya paras rupa. Perasan juga ingin lawar. Ingin bergaya. Ingin dilihat cantik. Tidak lagi ingin menjadi gelap pekat seperti waktu bersekolah dulu. Maka surutlah kebiasaan berhari raya. Semuanya indah tanpa syarat sewaktu saya masih kanak-kanak. Waktu remaja masih ada kegembiraan kerana hati yang selalu berbunga. Namun air pasang itu surut juga akhirnya. Usia banyak menentukan kebiasaan diri. Usia merubah hal-hal yang dulunya biasa. Usia mencari tapaknya sendiri. Mencari yang baru untuk dihuni dan dicari serasi.
Bila sudah berumahtangga bertambah rumit hari raya. Jika dulu banyak berjalan dan bertandang, rumahtangga banyak mengikat supaya banyak membina kebiasaan keluarga. Berkeluarg bukan orang jenis yang gembira hidup di luar rumah. Tidak boleh keluar rumah pada waktu malam tanpa hal yang menasabah. Isteri seorang di rumah. Keselamatannya jaminan suami. Kesejahteraannya belaian suami. Susah senangnya perlukan kebersamaan yang memanjang.
Tahun ini Shawal 2010 menjelang lagi. Esok kita berayalah. Berayalah kerana kita diizinkan untuk beraya. Kegembiraan bagi mereka yang berpuasa. Ramadhan sudah berlalu. Entahlah saya terasa benar sayunya kali ini. Tidak pernah saya menangis semasa mengimamkan tarawih. Terkedu dan tersedu membaca surah al-A'la. Semakin lama semakin sayu. Makmum bagaikan terasa. Amin dan selawat mereka bertambah kuat. memberi semangat supaya saya pulih dari kesedihan di hati. Lama juga mendamaikan hati. Ada yang di dalam sana yang tidak saya ketahui. Bersarang di hati.
Banyak tahun saya menjadi imam tidak pula terasa ada kelainannya. Saya imamkan dengan semangat. Saya kuatkan suara untuk menyeronokkan jemaah. Mudah-mudahan hati mereka lekat di rumah Allah. Tahun ini datang sebaknya. Datang sayunya. Datang hibanya. Malam terakhir menjelang raya saya menjadi imam lagi sewaktu Isya’. Saya dayukan membaca surah Saf. Sayu di hati. Selepas salam saya bertakbir bersama jemaah. Sayu lagi. Selepas solat sunat Isya’, saya dan jemaah lain bertakbir lagi. Bergilir-gilir dengan yang lain. Keluarlah dari hati, lahirlah dari hati. Luahan syukur tamatnya Ramadhan. Syukur kerana datangnya Shawal. Moga-moga Shawal dan Ramadhan ini kekal indah.
Ada rasa keletihan dalam diri saya. Ada rasa kesedihan yang entah kenapa. Stamina saya masih ada. Tetapi ada sesuatu yang tidak dapat saya mengerti. Tidak dapat saya baca firasatnya. Kesayuan yang kekadang merentap-rentap di dalam. Hendak diluah tidak tahu apa yang akan keluar. Dipendam lama merimaskan pula. Entahlah ada keresahan memanjang. Terselit juga rasa bimbang. Mudah-mudahan bertemu lagi tahun hadapan. Ramadhan yang selalu dirindui. Kau pergi jua. Diikat tidak boleh. Dipegang tidak lekat. Hanya saya lalui hari-hari dalam Ramadhan itu seadanya. Allahuakbar.
Ramadhan tahun ini banyak pula kerja perlu dibuat. Cuba bertahan tetapi tidak dapat juga. Anak kelima akan melangsungkan perkahwinannya. Kad-kad jemputan perlu ditulis dan diedar. Persediaan lain perlu juga dibuat. sedikit di sana sedkit di sini. Tolak dan campur, banyak masa juga yang perlu diguna. Adat kita berhari raya tidak pernah surut-surut. Banyak persediaan berhari raya dari persediaan menghadapi Ramadhan. Barakah raya tidak sama besarnya dengan barakah Ramadhan. Tetapi orang kita memilih barakah yang sedikit.
Tradisi yang keliru. Silap. Awal Ramadhan, ibadat seperti esok tiada lagi. Bila tiba di hujung, masjid dan surau banyak lompang safnya. Ibadat sudah berganti dengan tradisi bersiap untuk hari raya. Bila sebenarnya keadaan akan berubah. Hari raya sebenarnya hanya sehari. Hari kedua Syawal sepatutnya kita berpuasa semula. Puasa enam hari dalam bulan Syawal yang menjadi pelengkap kepada Ramadhan. 30 hari Ramadhan digandingkan dengan enam hari Syawal. Indahnya syariat Islam. Allah anugerahkan kesemuanya untuk kita. Umat Muhammad yang sangat istimewa.
Ramadhan. Akan ku tunggu hadirmu. Tahun demi tahun akan ku tunggu di sini. Menunggu takdirMu ya Allah.