Friday, December 6, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Banjir Yang Bermaruah




Banjir selalu berlaku. Ia datang lagi. Memang selalu dijangka bila tiba musim tengkujuh. Ramai orang yang dengan mudah mengatakan ianya bencana alam. Pernyataan yang selalu keliru. Bila kita kata bencana alam seolah-olah alam yang mendatangkan bencana. Pada hakikatnya alam adalah makhluk. Antara makhluk-makhluk Allah seperti kita. Alam tiada kuasa apa-apa. Yang Maha Berkuasa ialah Allah SWT.  Memiliki kuasa mutlak. Terjadi sesuatu hanya dengan   ﴿ﻛﻦﻓﻴﻜﻮﻦ
Maka apabila banjir datang, ia didatangkan oleh Allah. Terus-terusan mengatakan banjir ialah bencana alam sudah menyentuh Qada’ dan Qadar Allah. Kita menafikan kuasa Allah. Cuba ingat banjir besar Nabi Nuh as. Banjir yang menenggelamkan gunung-gunung yang tinggi. Masih ada manusia ketika itu yang menafikan kuasa Allah. Mereka masih menyangka yang gunung boleh menyelamatkan mereka. Mereka lupa bahawa yang menyelamatkan mereka hanya Allah. Tiada yang lain melainkan Allah.

Banjir adalah suatu ketentuan Allah. Ia pasti datang kerana kita selalu dirahmati dengan air yang melimpah ruah. Tetapi kita selalu tidak pasti bila ianya akan datang. Setakat mana besarnya. Setakat mana kemusnahan yang mungkin berlaku. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Ada  dua perkara yang boleh kita maklumi. Banjir Allah yang datangkan. Tidak ada dalam kekuasaan manusia untuk menolak kehadirannya. Buatlah apa sahaja. Banjir itu pasti datang kerana ianya dari Allah. Tembok besar dan tinggi dibina di Fukushima di Jepun. Andaian kejuruteraan yang menafikan kuasa Allah. Tsunami tidak akan menghempas pantai dan memusnahkan sebuah tamadun. Kuasa milik Allah. Tembok tidak dapat menghalang tsunami. Saya teringat terowong SMART di Kuala Lumpur. Diwar-warkan di National Geography  sebagai penamat banjir. Sekali lagi kuasa Allah berlaku. Banjir tetap berlaku. Jangan lupa kuasa Allah.

Banjir di Malaysia berlaku di tempat-tempat yang memang lazimnya cenderung untuk banjir. Tempat-tempat yang landai. Di tepian sungai. Di kaki bukit. Di kawasan paya. Budaya kita pula memilih kawasan penempatan yang cenderung untuk berlaku banjir. Mungkin ada pilihan lain yang boleh mengelakkan musibah banjir. Kawasan yang sedia tinggi seperti di bukit dan gunung. Atau kawasan yang ditambak tinggi. Ini pilihan yang ada. Mungkin kita berpeluang membuat pilihan itu dengan izin Allah. Selain daripada itu ada aspek lain yang perlu diurus. Ada tempat-tempat yang salirannya tidak terurus. Walaupun saban tahun terjadi banjir, saliran itu kekal dirancang untuk diurus. Bila banjir berlaku maka ada cakap-cakap ianya dirancang lagi. Bertahun-tahun yang berulang-ulang salirannya kekal dirancang. Mungkin secara ekstrimnya paksa orang yang merancang tinggal di kawasan yang selalu banjir. Biar dia rasakan setiap tahun menghadapi musibah banjir. Pengalaman peribadi boleh mengejutkan urat sarafnya yang selalu kendur.

Banjir adalah kejadian yang berulang-ulang. Di mana sahaja yang Allah kehendaki, berlakulah banjir itu. Ia tiada kena mengena dengan politik. Tiada kena mengena dengan mana-mana parti. Tiada kena mengena dengan negara-negara terpilih. Tidak mengira status sosial penduduknya. Pengalaman yang lama seharusnya digunapakai. Tempat banjir sudah dimaklumi. Kekerapannya sudah dimaklumi. Tempat pemindahan sudah dimaklumi. Cara memindahkan penduduk terbabit sudah dimaklumi. Keperluan di tempat penempatan mangsa banjir sudah dimaklumi. Apa lagi yang belum dimaklumi. Mungkin ulasan selanjutnya mencakup aspek ini. Maknanya apabila banjir berlaku buang semua bentuk perbezaan. Yang menjadi mangsa perlukan bantuan. Cuba empati. Bukan simpati memanjang tanpa berbuat sesuatu. Mereka semua cemas. Takut. Hendak menyelamatkan keluarga. Bukan harta benda. Nyawapun tidak dipandang lagi sekarang ini. Seolah-olahnya masing-masing menunggu ilham. Ilham itu pula ditepis supaya tidak datang. Malang sungguh menjadi rakyat marhaen. Jadi timun memanjang. Hatinya luka. Perasaannya lara. Jiwanya derita. Psikologinya tercalar. Tangan sendiri tiada upaya dan kuasa.

Menangani banjir bukan semestinya hingga sempurna (perfect). Namun usaha  mestilah dijalankan dalam bentuk mencegah dan merawat.

1.     Kita ada Jabatan Kaji Cuaca. Banyak data yang boleh membantu jangkaan cuaca. Bukan tiba-tiba. Perubahan cuaca diramalkan dalam beberapa minggu. Beberapa hari. Bukan serta merta. Maknanya hujan lebat yang mengundang banjir dapat dijangka setakat teknologi yang diizinkan Allah. Soalnya kenapa tiada makluman. Tiada persediaan. Tiada aktiviti menyelamat. Pemindahan mangsa banjir boleh dibuat lebih awal. In advance. Mengapa?
2.     Kita dimaklumkan bahawa semua jenis alat amaran sudah tersedia. Alat amaran tsunami. Alat amaran banjir. Di mana semua alat ini. Wujud atau tidak. Jika ada, disenggara atau tidak. Adakah ujian dibuat sebagai langkah berjaga-jaga.
3.     Kita ada media elektronik. Ada milik kerajaan. Ada milik swasta. Ada media sosial. Sekali lagi mengapa tidak dijadikan alam amaran. Alat penyelamat.

Prasarana elektronik sudah lama tersedia untuk digunakan untuk berbagai keperluan. Sungai dan taliair masih ditakuk lama. Selepas banjir pastinya semua orang akan sibuk untuk membersihkan sungai. Membersihkan taliair. Membersihkan longkang. Membersihkan parit. Kita selalu lupa membersihkan tindakan. Kesemuanya itu perlukan penyenggaraan berkala. Bukan setelah banjir berlaku. Bukan pula semasa banjir berlaku. Bukan setahun sekali. Bukan dua kali setahun. Bajet khusus perlu untuk penyenggaraan empat kali setahun. Sekadar perbandingan mana lebih penting antara BRIM dengan keselamatan harta benda. Kemusnahan yang melampaui mungkin 20 kali ganda nilai BRIM. Kemusnahan untuk sebuah keluarga.

Dalam pengurusan kebajikan rakyat sikap politik perlu positif. Usah selalu fikirkan political mileage. Tidak ke mana perginya. Ramai rakyat yang berkeupayaan menilai politik di Malaysia. Mereka celik politik. Sebagai rakyat mereka perlukan perlindungan. Perlukan jaminan kebajikan dari banyak perkara. Pilihanraya sekali setiap lima tahun sedangkan banjir mungkin melebihi lima kali selama lima tahun. Maksudnya politik adalah suatu perjuangan lain. Kemanusiaan adalah perjuangan lain. Itu belum sebut agama. Belum keperluan beragama. Kita memiliki political will. Will power yang tiada. Menjaga kepentingan yang tidak selari dengan keperluan manusia pada umumnya. Sikap masyarakat juga mungkin menyumbang. Tidak mengendahkan amaran yang diberi. Bayang-bayang bahaya sudah diberi. Apabila hujan berterusan dalam kadar yang lebat dan berpanjangan, maka banjir tentu dijangka. Tinggalkan segera segala kecintaan yang ada di rumah. Selamatkan keluarga. Menunggu bermakna mengundang bahaya. Banjir datang sengan segera tanpa amaran panjang. Limpahan air pasti membuak-buak apabila di bahagian hulu sungai sudah tidak dapat menampung air yang turun dan mendesah lalu. Air tidak ada jalanraya. Apabila sungai penuh, setiap tebing sungai menjadi laluanya.


Bagaimana mengangkat martabat rakyat semasa banjir. Satu cerita yang kadang-kadang derita panjang. Dewan sekolah yang terbuka lapang. Tiada langsung privacy antara keluarga yang ditimpa malang. Memang mereka tidur lena tetapi terdedah kepada pemandangan semua orang. Langsung tiada yang menjadi rahsia. Fikirkanlah suami isteri yang berada di situ. Masih muda kebanyakannya. Setiap masa menjadi tontonan dan tatapan mereka yang bukan mahram. Darurat? Mungkin tetapi masih boleh diurus. Boleh ambil iktibar seperti di Thailand atau Jepun. Sediakan khemah plastik muatan dua atau empat orang. Keadaan menjadi kemas. Tidak bersepah. Setiap keluarga ada ruang peribadi. Yang lebih penting ialah penyakit berjangkit boleh dielakkan. Khemah sementara ini boleh digunakan lagi apabila diperlukan pada waktu lain. Untuk keperluan lain. Untuk aktiviti lain. Apabila diperlukan ianya tersedia.


Jadikan banjir sebagai peristiwa semua orang menginsafi diri. Musibah yang dikongsi oleh semua rakyat yang diketuai oleh semua pemimpin yang telah diangkat rakyat. Berhenti sejenak untuk berfikir. Untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat. Rakyat perlukan sedikit dari banyak. Sekejap dari lama. Kadang-kadang bukan selalu. Jangan palingkan perhatian. Pendanglah yang hak. Hulurkan hak mereka yang menunggu penuh harap. Jika yang sedikit itupun tidak dapat menyejukkan hati, apa lagi yang dapat diharap. Berdoalah supaya musibah banjir ini menjadi pengajaran seumur hidup yang panjang. Mengambil iktibar. Cubaan dan peringatan dari Allah. Mengingatkan yang terlupa.