Saban tahun pelatih-pelatih guru keluar ke merata pelosok negara. Hampir kesemua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran atau Kementerian Pengajian Tinggi dijengah dan dijelajah. Dihuni dan diterjah. Pelatih-pelatih datang dan pergi saban waktu saban tahun silih berganti. Itulah proses-proses awal untuk menjadikan pelatih bakal pendidik berwibawa yang melestarikan kesinambungan warisan bangsanya. Agamanya. Budayanya. Perilakunya. Guru bakal menjadi pewaris ketamadunan bangsanya. Penghubung masa lampau dan masa hadapan. Agen yang melakukan perubahan-perubahan sama ada ianya dogma. Mungkin indoktrinasi. Atau propaganda. Entah ideologi. Kesemuanya dihimpun untuk menjadikan individu guru itu manusia serba boleh. Yang ketahanan mentalnya mengatasi ketahanan fizikalnya. Yang ketahanan emosinya mengatasi ketahanan spiritualnya. Yang berjaya mengatasi segala paradox. Berjaya mengharmonikan segala yang tidak kongruen. Segala yang devian. Yang kontradik.
Sebagai perintang waktu, ada dua peristiwa yang saya alami dalam dua minggu yang lalu. Pertamanya di sebuah institusi pendidikan saya disanggah. Ungkapan-ungkapan awalnya seolah-olah dia tidak mengetahui program yang sudah dihubungkan dengan institusi jagaannya. Lalu di mempersoalkan kemampuan pelatih-pelatih yang terdahulu. Ada rasa ketidakpuasan di hatinya. Tersentap saya. Kali pertama bertemu sudah ada cabaran. Saya perasan ketua eksekutif institut itu melihat saya seperti seorang pensyarah muda. Tanpa title Prof. atau Dr. Mulalah dia berkata sesuatu yang agak menggamit rasa hati saya. Tersentuh seketika. Ada raas-rasa bisa mencengkam di dalam. Di lubuk hati terasa ada tikaman. Walaupun tidak dalam, terkesan juga. Mungkin berparut antara nampak dengan tidak. Bagaimana harus saya katakan. Jika boleh dalam bahasa yang selembut mungkin. Seseni mungkin. Dalam bahasa yang menghalalkan bicara. Apabila ada orang memandang negatif saya amat perasan. Amat maklum. Kata orang tua-tua dahulu bahawa mereka telah terlebih dahulu makan garam. Tidak bermakna mereka makan berkapal-kapal garam. Falsafahnya tentulah mendalam. Mendasar. Mungkin menusuk. Garam itu bermaksud pengalaman dalam bidang yang begitu relevan dengan topik yang dalam lingkungan perbicaraan. Bahasa tubuhnya memperlihatkan kurangnya minat. Butir-butir bahasa yang dilontarkan memberi gambaran seolah-olah saya junior dari segi usia. Ada terasa bahawa pangkatnya lebih tinggi. Mungkin kerana dia merasa lebih tua.
Sekilas ikan di air, kata orang, dapat dikenal jantan dan betinanya. Kita datang dari pengalaman lama. Yang sudah bertimbun-timbun lamanya. Barangkali kesilapan kita ialah memperkecilkan orang lain. Memandang rendah orang lain. Memperkatakan sesuatu yang orang selalu dipaksa untuk akur. Mencadangkan sesuatu yang tidak kena konteks masa dan tempat. Di luar tajuk. Out of the box. Apa lagi jika kita bertemu pada kali pertama. Pilihan kita ialah sama ada untuk mencipta suasana cinta pandang pertama atau benci pandang pertama. Ramai orang sebenarnya memilih yang kedua. Fitrahnya begitu kerana ia ingin menonjolkan diri. Tentu menyalahi prinsip kaunseling. Yang sebaiknya ialah banyak bertanya. Banyak mendengar. Banyak meminta maklumat. Bila data-data itu sudah ada, barulah mula membuat analisis. Selepas itu buatlah komen yang membina. Bukan menidakkan apa yang ada. Buat kesimpulan awal. Buat konsep yang salah. Memberi pendapat yang di luar konteks. Apatah lagi jika kita menjadi “boss”. Kepekaan terhadap kehadiran orang lain lebih diperlukan lagi. Berganda-ganda perlunya.
Begitulah. Berdasarkan pengalaman yang ada pendapatnya saya sanggah kembali. Saya tanyakan kembali apa maksud lontaran komennya. Saya mohon butir-butirnya yang lebih sempurna. Setelah kesemuanya berada sebagai input, saya tembak kembali bertalu-talu. Saya betulkan konsep yang cuba diketengahkannya. Saya betulkan salah maklumat yang dikemukakannya. Benarlah kadang-kadang untuk berurusan dengan orang di luar sana, diperlukan bukan sahaja orang yang punya kedudukan tinggi bahkan juga yang pengalamannya mengatasi sesuatu situasai. Jika tidak, orang memandang remeh. Sebab itu jangan pandang usia dan kedudukan. Hormati mereka kesemuanya dengan adil. Mungkin banyak yang perlu kita pelajari dari orang lain. Proses belajar itu tidak pernah surut. Ia sentiasa pasang. Memberikan kita peluang mengapungkan diri dalam samudera agama. Akademik atau pengurusan atau kesejahteraan sosial.
Peristiwa kedua berlaku juga dalam institusi pendidikan. Bila saya duduk untuk mendaftar mata pelajaran kerani yang bertugas terlalu lama merenung borang saya. Hati saya berkata-kata. Dia susah membaca butiran yang saya tulis atau ada maklumat yang tidak sempurna. Atau ada sebab lain. Berdetik juga hati saya kerana saya kira borang saya telah saya lengkapkan. Akhirnya dia memandang saya dan bertanya sama ada saya membayar minimum. Saya katakan bahawa maklumat yang ada saya membayar penuh. Banyak soal pula dia. Lazimnya dalam beberapa minit sudah selesai. Kali ini lebih panjang lagi. lama juga duduk. Rupanya dia banyak melihat muka dan perawakan saya. Dia tidak dapat menghubungkan diri saya dengan borang pendaftaran yang ada di tangannya. Dia tidak membaca butiran-butiran yang ada. Saya tidak pernah mendaftar sebegitu lama. Lazimnya pada semester yang lalu pendaftaran saya mengambil masa yang sangat singkat. Tiada soal jawab. Tiada pertanyaan. Tiada keraguan.
Kerana agak lama sayapun bertanya tentang masalahnya. Dia masih lagi teragak-agak dengan borang saya yang ada ditangannya. Dia masih lagi kurang yakin. Lalu saya katakan kepadanya bahawa saya warga emas. Lama dia pandang muka saya. Mencari kepastian. Baru dia melihat butiran yang mudah untuk mengesahkan pernyataan saya. Yang paling mudah tentulah kad pengenalan. Dua nombor di pangkal kad pengenalan saya ialah 46. Yang bijak matematik terus dapat mencari angka jawapanya. Umur saya 65 tahun. Pada mulanya mungkin dia ragu. Saya kelihatan tidak setua itu. Itu rezeki saya. Wajah tidak setua umur. Bila dia faham umur saya, dia bertanya pula kepada rakan kerani di sebelahnya. Berapa diskaun untuk warga emas. Dalam hati saya berkata, dia tidak maklum rupanya. Spontan saya jawab, “75 %”. Senyum dia. Sama ada dia akur dengan jawapan saya atau senyum kerana ketidakarifanya. Wallahu ‘alam. Bertugas dalam keadaan tidak bersedia menyukarkan. Bertugas dengan tidak maklum melambat-lambatkan proses kerja.
Kembali kepada guru pelatih. Sebahagian daripada anda sudah berada di lapangan. Sudah merasa gelanggang itu tinggi dan rendahnya. Luas dan sempitnya. Tinggi dan rendahnya lantai yang ada. Ada dua keadaan yang mesti diperhati dan difahami. Di mana anda berada pandangan orang lain tentulah berbagai terhadap diri anda. Namun begitu dapat saya kategorikan kepada dua. Pertama yang menerima anda seadanya. Berasa bertanggungjawab untuk membantu. Bersedia untuk membimbing. Mengasuh. Memberi tunjuk ajar. Coaching. Sifat empati yang tinggi. Segar memberi layanan. Ada kehangatan yang terasa di hati. Anda nampak seri itu pada tutur kata dan bahasa tubuh yang diperlihatkan kepada anda. Lihat mata mereka. Sejuk dan mendamaikan. Terasa ringan dan menggembirakan dalam suasana itu. Anda bertuah kerana berada dalam iklim institusi yang positif dan progresif. Banyak membantu untuk menghayati reality kehidupan dalam lingkungan pendidikan.
Anda banyak belajar. Yang hendak memberi tunjuk ajar silih berganti. Berkongsi pengalaman indah dalam dunia pendidikan yang dicintai mereka. Tugas pelatih seperti anda dipermudahkan kerana mereka yang ada di sekeliling anda bersedia membantu. Anda datang sebagai pelatih yang baru bertatih. Belum boleh berjalan sendiri. Belum boleh berlari. Bangunnya masih banyak duduknya. Terjatuh bila-bila masa sahaja. Yang menghulur tangan terlalu ramai. Anda tenang. Anda diberi keyakinan untuk mencuba dan terus mencuba. Jatuh dan bangun itu membantu mematangkan pengamalan bari guru muda seperti anda. Yang datang ke lapangan memang untuk belajar. Untuk memperbaiki diri. Untuk menyempurnakan latihan yang pasti penuh makna besar untuk menjadi asas kehidupan profesional. Tahniah kerana anda berada dalam situasai yang memberangsangkan.
Di suatu sudut yang lain ada antara anda yang berada dalam situasai yang sedikit berbeza. Di pintu masuk ke institusi lagi anda sudah mengesan sesuatu yang keras. Mugknin kaku. Udara terasa bernafas. Sesak nafas semasa meneruskan langkah. Angin terasa keras. Suhu sedikit tinggi. Tembok dan dinding membahang. Bukan kerana api. Bukan kerana elektrik. Bukan kerana panasnya matahari. Mungkin ada kepanasan hati dalam kalangan warga institusi. Melangkah sahaja anda ke tempat itu bahang panas itu rasa menampar-nampar perasaan. Bertemu mereka yang lebih senior seperti tidak mendapat layanan yang diharap oleh orang yang datang seperti anda. Seperti tidak diperlukan. Mereka sudah cukup dengan bilangan yang ada. Anda datang untuk menambah cerita yang semakin berpanjangan. Mata yang sukar diangkat. Menunduk enggan berbicara. Lerek mata mereka tiada damai yang menyejukkan. Dalam keadaan seperti itu sarang tebuan tentulah jangan dijolok.
Pesan saya banyak. Datang bertandang ke lubuk orang berpijaklah di bumi nyata. Datang sebagai orang belajar yang membuka hati dan perasaan untuk banyak mendengar. Untuk banyak memandang. Untuk banyak menyimpan perasaan. Jangan dan jangan sekali mendongak bila berjalan. Jangan hidung ditinggi-tinggikan. Memandang yang hak sahaja. Ketawa jangan berbunyi. Senyum diperbanyakkan. Keletah hendaklah dijaga. Berbicara dengan isi dan maklumat yang banyak. Berkenalan dengan setulusnya. Berkawan dengan seikhlasnya. Anda sedang berusaha untuk hidup bersama dengan orang lain yang berlainan latar belakang. Berlainan usia. Berlainan pengalaman. Belajarlah semampunya. Memang itupun kenapa anda berada di lapangan. Untuk menimba ilmu dan kemahiran dari mereka yang lebih arif.
Setiap tindakanmu jangan diputuskan sendiri. Bertanyalah setiap perincian kepada pembimbing. Minta pendapatnya. Pohon petunjuknya. Dapatkan padangannya. Rayu ilmunya. Perhati kemahirannya. Setiap langkahnya mestilah mengandungi makna-makna besar sebagai pendidik yang pernah melalui zaman naik dan turunnya. Pengalamannya memberikan suatu kewibawaan yang boleh dipelajari. Dituruti dan dihayati. Pergerakanmu diintai dan diperhati. Tindakanmu diberi nilai. Ada angka-angka yang terakam bermakan untuk anda. Belajarlah. Di luar sana ramai yag ragu tentang kemampuanmu. Tentang keupayaanmu. Tentang apa yang bakal anda serlahkan. Mereka menanti bahawa anda datang dengan ukuran pelatih-pelatih sebelum anda dahulu. Penanda arasnya sudah ada. Adakah anda memenuhi kriteria penanda aras itu? Adakah nanti anda berada di atas aras itu? Malanglah jika anda berada di bawah aras itu. Malang bagi anda. Malang bagi institusi yang melatih anda. Malang bagi profesion yang anda ceburi.
Menjadi guru banyak cabarannya. Kita mengharapkan bantuan yang tidak terkira dari guru-guru berpengalaman di manapun institusi anda ditempatkan. Diharapkan kesinambungan latihan itu berkekalan kitarannya. Mereka yang berpengalaman pernah melalui zaman yang anda lalui sekarang. Barangkal sedikit pengertian memberikan makna yang besar dalam langkah-langkah anda menuju destinasi latihan anda. Belajar dari mereka yang sudi memberi. Yang memahami dilema pelatih. Peluang anda menyerlahkan diri. Membina keyakinan bahawa anda mampu menjadi pendidik berwibawa. Yang profesionalismnya sangat mengawan tinggi. Sangat mengujakan untuk dijawat jawatan pendidik yang banyak manfaatnya.
Pada akhirnya nanti anda berusahalah untuk memberikan tanggapan yang positif. Yang memberikan erti baik kepada diri dan institusi. Bahawa nanti anda adalah pelatih yang bukan calang-calang. Ada keseriusan menjalani latihan. Seolah-olah antara hidup atau mati. Galaslah beban latihan itu supaya membuahkan hasil terbaik sebagai bekal masa hadapan anda nanti. Sewaktu di institusi tempat anda belajar suasanya terkawal. Seperti dalam makmal lagaknya. Sekarang anda di alam yang terbentang luas. Semua mata memandang anda. Semua telinga mengendar cerita anda. Semua hati membuat penilaian-penilaian.
Alam maya inilah penghubung saya. Ada kesempatan boleh berbicara. InsyaAllah kesemuanya biasa-biasa sahaja. Sekadar pesan orang tua.