Di mana hati wanita? Suatu ketika ia menjadi anak. Dilahirkan dari rahim seorang ibu yang juga wanita. Ia membesar menjadi wanita sunti. Anak dara yang bukan lagi pingitan. Tidak seperti Mariam yang dipingit sepanjang masa. Menjadi pilihan Allah untuk melahirkan rasul Ulul ‘Azmi yang diberi nama Isa A.S. Atau menjadi Fatimah Az-Zaharah. Puteri kesayangan Rasulullah. Dijamin wanita pertama masuk ke syurga. Mendahului ibundanya Siti Khadijah, wanita yang sangat dicintai Rasulullah. Yang selalu dirindui wlaupun setelah wafatnya. Wanita solehah yang mengorbankan segala-galanya untuk suami tercinta. Untuk Islam yang didokongnya. Untuk Allah yang menjadi tempatnya kembali. Mana lagi wanita solehah yang bernama ‘Aisyah, Masyitah dan Rabi’atul Adawiyah. Kesemuanya adalah wanita pilihan Allah yang menyinari diri wanita. Menaungi keindahan wanita. Melunakkan hati lelaki yang selalu dianggap keras.
Sampai ketikanya wanita yang dicipta indah itu menerima nikah seorang lelaki jodohnya. Masa dulu-dulu, jodoh wanita dipadankan oleh ibu bapanya. Ditelek dan ditenung lelaki yang memiliki cirri-ciri pelindung. ‘Alim agama dan amalan. Ada bekal ekonomi berupa pendapatan bagi daya meneruskan hidup. Ciri-ciri lelaki harapan. Menjamin kesejahteraan berumahtangga. Zaman berubah. Membawa bersamanya kelainan dan perbezaan mengikut tempat, situasi dan masa. Cinta berputuk di mana-mana. Ada yang di akal budi. Nilainya tinggi menjulang untuk membina mawaddah. Kasih sayang pasangan manusia yang mencari redha Allah, malaikat dan manusia. Tetapi banyak pula cinta yang dikutip di tepi jalan. Nilainya rendah dan menghinakan. Nikah bukan untuk Allah. Nafsu menguasai diri. Akal hilang pertimbangan. Iblis dan suku sakatnya berkeliling pinggang.
Bila ijab telah terlafaz, bila qabul telah disambut, sahlah sepasang lelaki dan wanita yang mengikat tali perkahwinan. Jodohnya telah sampai. Ramailah yang lega. Ketika itu menjeritlah syaitan. Begitu juga sekutunya yang bernama iblis. Mereka gagal mencondongkan nafsu pasangan itu. Nikah mereka meghalalkan yang haram. Yang dulunya selalu dibisikkan syaitan. Yang selalu digoda syaitan. Syaitan yang menghias mata supaya cenderung yang haram. Melihat yang bukan mahram. Nikah itu penamat godaan syaitan. Semuanya menjadi halal kepada keduanya. Hilang segala kerisauan ibu bapa. Jiran tetangga. Saat begini semuanya terlerai apa sahaja yang terbuku di hati. Kelegaan dan kegembiraan memanjang. Senang. Riang.
Siapakah lelaki pilihan yang berada di kanannya? Kenapa tidak di kirinya? Kenapa tidak di hadapannya? Kenapa tidak di belakangnya? Kenapa di sisi kanannya? Apakah dia perlu tahu? Apakah dia perlu akur dengan kedudukan itu? Islam menentukan lelaki itu di kanannya. Sebagai pelindungnya. Ketuanya. Pemimpinnya. Wanita adalah kekasih lelaki. Yang memberikan ketenangan dan kegembiraan. Yang menyenangkan perasaan. Yang menjadikan kestabilan psikologi. Lelaki yang mengerti bahawa wanita yang di kirinya itu adalah bak tulang rusuk yang agak bengkok. Sifatnya keras. Perlu dilurut dan diurut. Dikasari terluka. Dikerasi mungkin retak dan patah. Dibiarkan kekal pula bengkoknya. Itulah wanita yang perlukan belaian supaya kerasanya melembutkan. Ia perlu dirawan agar dirinya dan seluruh jiwa raganya boleh ditawan. Telinganya ingin selalu mendengar hamburan kata-kata manis bak pengemis. Hembusan nafas yang sentiasa menghangatkan. Matanya perlu direnung sayup untuk mendamaikan. Hatinya perlu dilapah rindu supaya lunak dan lemah menjadi wanita solehah. Wanita yang bernama isteri tentu sahaja hanyut dibuai sayang dari lelaki suami yang menyantuni kasih sayang isteri. Yang meraikan rasa cinta sepanjang bersama. Warna warni alam berumahtangga.
Bila dirinya dimiliki lelaki pilihan maka terpisahlah ia dari ibu kesayangannya. Yang mengandungkanya. Yang menumpangkan rahimnya selama sembilan bulan sepuluh hari. Yang lahirnya merenggut separuh nyawa. Yang jika mati, syahid seorang ibu yang melahirkan seorang pewaris agama. Pewaris Islam. Seorang muslimah harapan. Dipeluk ibu. Dicium pipi kanan dan kiri. Kehangatan yang dulunya sebati. Mengalir air mata yang berbaur antara suka dan hiba. Hiba kerana dakapan ibu itu akan jarang dirasa lagi. Sudah ada pengganti yang bernama suami. Tinggi benar harapan agar kehangatan suami sehangat dakapan ibu. Diharapkan dakapan yang diberi tanpa syarat. Yang hangatnya mencairkan rasa cinta dan rindu. Yang membina bibit-bibit kebahagiaan berzaman-zaman. Abadi. Abadan abada. Selamat tinggal ibu. Aku ingin menjadi sepertimu. Membahagiakan suamiku seperti ibu membahagiakan bapaku. Suamimu. Tunjuk ajarmu akan ku laksana. Tetapi pengawasanmu masih ku perlu. Akan ku rujuk mengikut keperluan waktu. Aku tetap anakmu. Walau apapun jadinya aku selepas ini.
Dapatkah nanti lelaki yang bernama suami mengerti inginnya? Memberikan yang terbaik kepadanya? Walaupun sudah maklum kelemahan isteri, ditakuti suami masih keras melayan isteri. Sibuk dengan kerjayanya tanpa membahagi masa. Banyak di luar dari kembali ke rumah. Rakan dan teman yang perlu dilayan hingga tiada kesempatan menjadi pelindung. Teknologi menguasai diri tanpa memberi keadilan kepada isteri yang setia menanti. Telefon, e-mail atau sms bukan mengganti diri. Tiada ada rasa sentuhan kasih sayang. Konflik diri sebegini meracuni fikiran wanita. Hatinya yang libang libu menjadi kelabu. Cahaya menjadi gelap pekat tanpa ada panduan menyuluh jalan di hadapan. Bergolaklah hidup dengan ledakan kesangsian. Hidup menjadi layang-layang putus tali. Jatuhlah bila angin berhenti. Tidak. Tidak semua wanita begitu. Banyak kesempatan menjadi wanita besi dan waja. Yang keras tindakan dan azam. Tangan yang lembut itu menggenggam erat perjuangan. Jari jemari yang halus menggoncang dunia. Membuai ayunan anak-anaknya merentasai zaman hadapan yang penuh dengan harapan.
Malang bagi wanita yang hilang diri. Dibuang tanpa disedari. Kecewa yang amat sangat. Jika dulu bapanya yang diharap, sekarang suami yang menjadi fokus seluruh hidupnya. Nanti akan berbaris anak-anak menadah simpati kasih sayangnya. Ketika itu tiada lagi erti jemu. Tiada bosan. Hiduplah seorang wanita yang memperhambakan diri untuk keluarganya. Makan minum yang perlu disedia. Dalam kuantiti, kualiti dan jadual yang tetap. Suami yang diurus fizikal, personaliti dan kemanusiaannya. Segala-galanya berputar dan berkisar yang semakin membesar bundar. Dari mula saat aku terima nikahnya hinggalah anak-anak nantinya dewasa. Bercucu dan bercicit. Wanita cantik yang dulunya gebu menjadi gilaan lelaki luntur wajahnya menjadi berkedut seribu. Dalam kedut-kedut itulah terhimpun pengalaman lalu yang banyak indah dan suka-dukanya.
Meniti hari-hari tua tentu banyak likunya. Kesihatan yang entah kenapa. Tulang temulang yang semakin tidak mengizinkan kekuatannya. Nafas yang semakin pendek kerana tenaga dan stamina yang jauh telah terhakis. Ingatan yang semakin hilang kesegarannya. Mata yang semakin dekat jarak nampaknya. Telinga yang sudah padam nada suaranya. Deria lain yang fungsinya semakin kabur. Jadilah wanita itu seorang tua. Apapun namanya ia tetap tua. Warga emas adalah warga tua. Sudah tersepuh banyak kali. Sudah lali dengan siapa yang peduli nilainya. Dalam khazanah diri mungkin tidak ramai yang tahu isi hatinya. Mungkin hasratnya sudah lama tertunai tetapi hatinya masih belum damai. Ada yang terpendam tidak kesampaian. Seluruh hidupnya telah diabadikan untuk suami. Untuk anak-anak. Segala-galanya telah direnggut darinya mungkin juga dengan paksarela. Atau memang itu fitrah yang hak diterimanya.
Setelah segala-galanya lupus waktu masih ada lagikah yang ingat. Apakah suami masih terimbau zaman memadu kasih dahulu? Zaman siang dan malam adalah sama. Zaman alam ini hanya milik berdua. Benarkah suaminya masih mengingat semula detik-detik manis itu? Masih berbekaskah empati suami kerana dulu ia lemas mengandungkan anaknya. Ia kehilanganan saiz. Ia kehilingan rupa. Ia kehilangan dirinya yang dahulu. Kepayahannya yang tidak pernah menentu. Diri dan duduk sama payahnya. Tidur dan baring sama payahnya. Duduk dan bergerak sama payahnya. Pinggang yang sudah lama hilangnya. Kaki dan paha entah bila bengkaknya. Selera selalu patah kerana metabolism diri yang dirasa bukan-bukan. Sayangku! Aku bukan diriku lagi. Kasihilah aku seadanya. Aku hanya sebahagian dari dirinya yang paling hampir. Akan ku lahirkan zuriatmu yang nanti mewarnai dunia. Dunia kita. Dunia di luar sana. Mereka menjadi amanah kita untuk agama. Untuk Allah. Mudah-mudahan mereka menjadi anak-anak pilihan yang tebal imannya. Yang utuh akidahnya. Yang kecintaannya kepada Allah mengatasi segala-galanya.
Wanita fitrahnya setia. Lumrahnya pengasih. Sayangnya kepada suami dan anak-anak jangan ditanya. Ia mahu sahaja ke hadapan mempertahankan mereka. Wanita dan ibu menuntut kekuatan dalaman yang menangkis cabaran. Godaan. Ganggu gugat yang selalu boleh melemaskan. Semuanya didambakan bahawa syurganya pada suaminya. Beruntunglah wanita yang merangkaikan wanita-wanita solehah untuk lelaki-lelaki soleh. Di syurga nanti akan penuh dengan kebahagiaan yang benih bibitnya telah disemai di dunia. Telah disemai oleh wanita-wanita yang mendapat lindungan Allah. Yang diberkati Allah. Yang diredhai Allah. Hanya kepadaNya kita memberi sembah. Hanya kepadaNya kita memohon pertolongan. Mudah-mudahan Allah memberi petunjuk ke jalan yang lurus. InsyaAllah.