Thursday, March 7, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Sistem Perparitan Yang Membina Petra






Ustaz Ahmad sedang menerangkan fungsi parit yang dibina dari luar bandar purba Petra, melalui lorong sempit ke dalam. Melaluinya suatu tamadun dibina di Perta oleh kaum yang dinamakan al-Anbat. Kedudukannya separas dada.

Di kawasan ini parit yang dibina separas jalan. Walau bagaimanapun kawasan ini masih lebih tinggi berbandaing kawasan di hujung lorong ini. Maknanya air terus mengalir deras melalui parit di lorong ini. Di bahagian dekat gambar ini kelihatan tanda-tanda kerosakan pada sistem parit ini. Sesudah kira-kira 2,500 tahun.

Kelihatan parit air ini memang dibina sepanjang lorong menuju ke bandar purba Petra. Tiada bahagian yang tidak memiliki sistem parit ini. Dari Wadi Musa diluar lorong hinggalah ke dalam, parit inilah yang membina tamadun. Yang membina kehidupan. Yang memanjangkan nafas dan nyawa orang Anbat. Hanya zaman sahaja yang membezakan keperluannya. Sekarang tiada lagi keperluannya. Tinggal sejarahnya sahaja untuk dilihat, diingat dan diambil iktibar. Bahawa di muka bumi ini tiada apapun yang berkekalan. Semuanya menuju kemusnahan sama ada di sedari atau tidak.  Kemusnahan yang tidak disedari dan tidak dirancang mencegahnya maka kemusnahannya berlaku dengan lebih pantas lagi,


Pada zaman kegemilangannya Petra menguasai Jazirah (Semenanjung) Arab dan Syam (Palestin, Jordan, Lebnon dan Syria). Kerajaan Petra membina kekuatan yang asalnya melalui perdagangan antarabangsa. Kekuatan mereka melimpah hingga dapat menguasai kawasan sekitarnya. Saingan mereka ialah kerajaan Greece, Rom serta Farsi (Iran) di Timur. Cuba kita fikir sejenak. Sumber kehidupan kita ialah air. 70% air wujud pada setiap yang hidup. Petra berupaya menjana kehidupan yang hebat kerana air. Tanpa air mereka tidak dapat membina tamadun. Malah tamadun mereka menyerap tamadun Rom, Arab, Farsi dan beberapa tamadun lain yang pernah bertembung dengan tamadun mereka. Maksudnya mereka tidak terlalu nasionalistik. Mereka ambil budaya orang lain yang selari dengan budaya mereka. Yang sesuai dengan kehidupan dan aspirasi mereka. Tinggalan sejarah mereka memberi bukti adanya adunan dari berbagai budaya itu. Barangkali boleh kita katakan bahawa ambilan budaya itu memperkayakan budaya Petra itu sendiri.
Sepanjang-panjang laluan lorong sempit menuju Petra terdapat sistem perparitan yang nyata kewujudannya. Walaupun sudah tidak berfungsi ianya menjadi tinggalan sejarah. Bukti sejarah pencapaian sesuatu bangsa dan zaman kegemilangannya. Begitu saya lihat Terusan Wan Mat Saman yang merentasi Alor Setar di Kedah. Tinggal sejarah. Fungsinya sudah tidak seperti dulu. Sekarang hanya sebuah perparitan yang tidak dikenali oleh generasi muda. Di Kedah pernah wujud seorang jurutera saliran yang menyumbang kepada kelangsungan industri padi di Kedah. Di Petra tentulah wujud jurutera yang tidak pernah ke universiti  tetapi penuh dengan fikiran yang dapat menjana kebaikan kepada negaranya. Terdapat tiga aliran air menuju ke Petra. Pertamanya air yang disalir dari luar pergunungan Petra itu sendiri. Mungkin dari sungai atau sumber air yang ada di Wadi Musa. Air itu dialirkan melalui laluan yang dibina di tepi lorong menuju ke Petra. Di kanan dan kiri lorong terdapat tanda-tanda saliran yang masih kekal walaupun sebahagian besarnya telah rosak atau hilang dek zaman.
Perparitan itu dibuat sepanjang-panjang lorong hingga ke suatu takungan di bandar purba Petra. Air yang ditakung itu menjadi sumber untuk kegunaan manusia dan pada masa yang sama untuk membangunkan sektor pertanian mereka. Mereka menjadi cukup hidup. Self-subsistence.  Makanan tidak perlu diimport. Sumber air yang kedua ialah air hujan dan mataair dari tepi gunung sepanjang lorong. Air yang mengalir masui ke dalam parit yang sedia dibina. Dengan itu tiada sumber air yang menjadi sia-sia. Kebijaksanaan hasil dari banyak berfikir. Mencari jalan untuk mengatasi masalah bersama semasa atau untuk masa hadapan. Ketiganya ialah air yang datang pada musim dan ketika tertentu. Satu daripadanya ialah apabila salji dan ais mencair pada musim bunga. Air yang turun dari puncak gunung atau dari luar kawasan pergunungan itu sendiri mengalir dengan banyaknya memenuhi takungan atau empangan yang sedia dibina di beberapa kawasan di Petra. Satu lagi sumber air ialah hujan lebat yang selalu turun pada musim bunga dan musim luruh. Biasanya air mengalir melalui lorong melimpah ke Petra. Allah memberi mereka air yang tidak henti-hentinya. Cuma sejarah mencatatkan agama mereka tidak dapat dipastikan. Siapa atau apa yang mereka sembah. Tiada bukti nyata mereka menyembah Allah. Ada pula tanda-tanda mereka menyembah selain dari Allah. Mungkin arkileogis yang masih terus mengkaji Petra dapat menentusahkan agama orang Petra.
Saya terfikir tentang ketulusan orang dahulu kala. Mereka jujur pada diri sendiri dan kepada orang lain. Sumber air orang Petra tidak banyak alternatifnya. Sistem saliran air mereka juga jelas dan terdedah. Sesiapa sahaja boleh mengambilnya. Sesiapa sahaja boleh merosakkannya. Namun kesemua itu tidak terjadi hinggakan tamadun mereka berkekalan berabad-abad lamanya. Manusia baik dan jahat sentiasa wujud sejak awal kehidupan mansuia. Di Petra mungkin kawalan keselamatannya sangat up-to-date. Tiada siapa yang cuba meracun sumber airnya. Tiada siapa yang terfikir untuk berbuat demikian. Musuh-musuh Petra juga tidak berfikir demikian.  Orang Rom yang pernah menyerang Petra juga tidak berbuat demikian. Air menjadi sumber kahidupan yang diperlukan oleh semua orang. Diperlukan oleh kawan dan lawan. Mereka sama-sama menjaga keselamatan air yang ada dan bernilai kepada mereka.  Maknanya kepentingan peribadi dan kepentingan awam sama-sama dijaga. Pemerintah atau rakyat sama-sama menjaga hak bersama. Malah musuh juga menjaga kepentingan yang ada kaitan dengan mereka.
Jika air di Petra diganggu maka musuh juga terganggu. Jika diracun umpamanya, musuh juga merana kerana sumber air yang sama untuk kegunaan bersama. Kekaguman saya ialah pada zaman itu mereka memiliki teknologi yang canggih untuk mereka. Malah pada zaman ini kita masih menganggap teknologi itu canggih. Tidak banyak kosnya. Tidak begitu sukar membuatnya. Kata orang putih kita mesti ada ingenuity. Orang dahulu cara berfikirnya lain. Musuh Petra tentu ingin menjajah Petra. Yang ingin dijajah tentulah semua yang berkaitan dengan Petra. Termasuk sumber airnya. Mengambilalih pemerintahan Petra bersam air yang menjadi sumber kehidupannya. Petra  yang wujud beribu-ribu tahun kekal menjana kehidupan warganya. Begitulah jika kita setia dengan apa yang ada, maka kita mendapat manfaat yang sewajarnya dengan ketaatan kita itu. Selagi kita taat kepada Allah selagi itulah Allah melindungi dan redha dengan kita. InsyaAllah.