Ramai antara kita mengetahui bahawa langkah pertama
adalah yang paling sukar. Kita terlalu banyak berfikir sama hendak melangkah
atau tidak. Bila hendak mula melangkah. Siapa yang perlu melangkah dahulu. Ke
mana langkah hendak dituju. Siapa teman untuk melangkah. Objektif melangkah. Proses
dan prosedur melangkah. Siapa pula yang hendak membaca doa. Apabila terlalu
banyak berfikir maka langkah pertama itu tertanggunh-tangguh jadinya. Orang
lain tertunggu-tunggu. Yang banyak berfikir menjadi lesu. Yang menunggu banyak
pula tafsirannya. Begitulah yang terjadi apabila DUN Negeri Kelantan meluluskan
enakmen yang berkaitan dengan hudud. Banyak sungguh ulasan-ulasan sama ada yang
relevan dan yang tidak relevan. Yang menyokong dan yang berpandangan negatif.
Sewajarnya semua orang Islam menyokongnya walau apapun pegangan dan ideologi
politik masing-masing. Islam tidak terpisah kerana politik. Tidak terpisah
kerana bangsa. Kita akan kembali kepada Allah Yang Esa. Penulis berasa tergetar
kerana hudud menjadi igauan kepada ramai orang Islam. Sebabnya tidak jelas.
Cuma penulis ingin membuat sorotan sedikit mengenai hal ini. Mungkin tidak
menepati. Namun ianya sekadar untuk sama-sama kita renungkan sebagai orang
Islam. Melihat dari kacamata Islam. Dari persepsi Islam. Dari hati nurani
seorang Islam. Tanggungjawab kita sebagai penganut Islam.
Membaca ulasan di media sosial seperti facebook
penulis seperti tersedar dari mimpi. Ramai antara rakan facebook yang selalu
berbicara tentang Islam meragui hudud di Kelantan. Mereka yang berbicara
tentang al-Quran dan hadith riaknya tidak merestui hudud di Kelantan. Mereka
yang jauh dari itupun lebih parah lagi kerisauan mereka tentang hudud di
Kelantan. Kita di mana? Untuk lebih adil kita perlu melihat situasi hudud di Kelantan
melalui tiga sisi.
1
Sisi al-Quran. Ianya perlembagaan ciptaan Allah untuk
seluruh manusia. Ada yang beriman dengannya dan ada manusia yang tidak beriman
dengannya. Selepas zaman pembaharuan ciptaan Barat, al-Quran mula dipinggirkan
hingga sekarang. Apabila kita kembali
kepada menjunjung hukum Allah ramai antara kita seperti terjaga dari mimpi.
Semua dilihat salah belaka. Tidak selari. Tidak autentik. Terasa janggal kepada
mereka.
2
Perlembagaan Persekutuan. Apabila kita merdeka British
meninggalkan perlembagaan yang diceduk dari perlembagaan India. Diubahsuai
supaya berlatarbelakangkan Tanah Melayu ketika itu. Al-Quran dan agama tidak
diberi keutamaan. Al-Quran terpisah dari keperluan berpolitik. Al-Quran tidak
menjadi the guiding factor dalam mentadbir negara. dalam mengurus
warganegaranya.
3
Politik. Kita mewarisi sikap dan sifat penjajah.
Mereka pergi tetapi semangat mereka kekal abadi. Kita selesa dengan apa yang
kita warisi. Selama ini apabila ada usaha untuk melaksanakan undang-undang
Islam maka yang dirujuk ialah Perlembagaan dan halangan-halangannya. Dijadikan
alasan untuk menolak cubaan ke arah Islam.
Melihat kepada tiga sisi tersebut maka usaha ke arah
Islam tidak bebas. Maksudnya apa-apa sahaja enakmen mengenai syariah atau Islam
dinisbah dan disesuaikan dengan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan.
Maknanya Islam cuba diselitkan di mana-mana ruang atau loophole yang
mungkin terdapat dalam Perlembagaan. Kita tidak lagi melihat al-Quran sebagai supreme.
The ultimate manual for mankind. Untuk mematuhi Perlembagaan keseluruhannya
bererti meninggalkan banyak undang-undang Islam. Untuk mematuhi al-Quran keseluruhannya
dihalang pula oleh Perlembagaan. Sebagai orang Islam yang inginkan peleksanaan
undang-undang Islam apa yang harus dilakukan. Redha dengan keadaan yang ada
sekarang tentu tidak mungkin. Orang Islam wajib menggunapakai undang-undang
Islam. Tetapi Perlembagaan menjadi halangan. Sekarang ini ada ruang yang
memungkinkan kita mengusahakan undang-undang Islam terutama hudud. Tidak perfect?
Benar, tidak sempurna. Tidak 100% seperti al-Quran. Lalu kita melabelnya
sebagai hudud Pas. Atau mungkin hudud Kelantan. Atau hanya hudud ulamak Pas.
Selagi Perlembagaan tidak dipinda selagi itu kesempurnaan undang-undang Islam
tidak akan mencapai 100%. Banyak yang perlu disesuaikan dengan perundangan
sedia ada yang dikawalselia oleh Perlembagaan. Maknanya untuk menonjolkan tuntutan
al-Quran sepenuhnya tidak mungkin kerana adanya halangan Perlembagaan. Untuk tidak
mengusahakan langsung kita rasa sangat bersalah kepada Allah sebagai orang
Islam.
Namun begitu kita telah memulakan sesuatu. Dahulunya
tidak ada tetapi sekarang sudah ada. Kita harus positif bahawa selepas ini
ianya akan diperbaiki dan terus diperbaiki apabila suasana lebih kondusif.
Apabila manfaatnya dapat dilihat dengan jelas dan nyata. Menemplaknya sekarang
akan hanya menghalangnya dari dilaksanakan. Mencemuhnya sekarang hanya seperti
meludah ke langit menimpa muka kita sendiri. Hudud adalah undang-undang Islam.
Kita pula Islam. Tidak ada alasan untuk kita menolak. Oleh kerana kita menjadi
bahagian penting tentang Islam itu sendiri tidak mungkin ketika ini kita
mengatakan bahawa ianya tiada kena-mengena dengan kita yang Islam. Islam tidak
boleh diambil bahagian-bahagian yang kita suka sahaja. Bukan bahagian-bahagian
tertentu sahaja. Kesemuanya menjadi part and parcel of Islam.
Secara positif, alhamdulillah kita sudah memulakan
undang-undang Islam yang tertangguh sejak kurun ke tiga belas apabila Islam
sampai di Tanah Melayu. Kerajaan Melayu Melaka sudah ada kanun Islamnya sendiri
sebelum dijajah oleh Portugis. Mungkin tidak komprehensif tetapi pada zaman
Sultan Mansur Shah Islam mencapai kemuncaknya di alam Melayu. Sekarang kita
ingin kembali ke zaman itu. Menyambung apa yang terputus. Memperbaiki apa yang
telah digagalkan oleh penjajah. Apabila kita menyorot bahawa Islam telah
bertapak selama lebih 1,400 tahun mengapa kita mesti mempertikai usaha ke arah
itu. Keinginan ke arah melaksanakan undang-undang Islam diterjemahkan dalam
bentuknya yang tidak sesempurna tuntutan al-Quran. Sebagai permulaannya. Ramai orang Islam lain
bergembira kerana ini adalah suatu permulaan. Agenda seterusnya ialah
memperkemas enakmen yang telah diluluskan itu. Ibaratnya seorang bayi telah
lahir. Kitalah yang menjaganya dengan izin Allah.
Dalam hal ini kita tidak boleh terlalu melihat ke
belakang. Sejarah lalu jangan terlalu dijadikan panduan yang terlalu khusus.
Apabila sekarang ini kita telah berada pada suatu kedudukan yang lebih baik, tidak
wajar kita mencela mereka yang dahulu. Mereka yang telah menyediakan tapak
untuk kita bergerak lebih jauh. Yang telah membuka laluan untuk kita semakin
maju dalam kehidupan kita sebagai insan yang beragama. Mencela mereka yang
terdahulu tidak membantu kita untuk maju. Merendah-rendahkan mereka tidak
membantu untuk kita menggerakkan agenda agama yang lebih besar. Apa-apapun
agenda tersembunyi yang telah dilalui dahulu sekarang kita serlahkan,
dihapuskikis kekurangannya supaya dapat dihidangkan sesuatu yang menepati
perspektif al-Quran. Kita yang tidak begitu berwibawa menguasai tuntutan agama
perlu merujuk kepada yang pakar. Bukan seorang tetapi sekurang-kurangnya
beberapa orang. Tinjau pendapat pertama, kedua, ketiga dan seterusnya sehingga
kita pasti apa sebenarnya yang kita faham. Bukankah ilmu Allah terlalu banyak.
Air laut yang dijadikan tinta tidak cukup untuk menulis ilmu Allah. Jika
ditambah-tambah sekalipun air laut tersebut, ilmu Allah tetap tidak dapat
ditulis kesemuanya.
Tanpa memulakan sesuatu maka kita tidak akan mungkin
bergerak ke mana-mana. Apabila langkah pertama sudah dimulakan arah pandu kita
perlu diperbetulkan. Alignment yang selalu diberi perhatian supaya
gagasan enakmen perundangan Islam mencapai matlamatnya. Kita yang beragama
Islam membantu untuk memperkemaskannya. Berdoa sebanyak mungkin. Berusaha pula
untuk memahaminya. Berdakwah mentarbiahkan orang lain ke arah untuk
menerimanya. Insyaallah Allah memberkati kita semua. Mudah-mudahan Allah redha
dengan usaha kita. Semoga Allah melindungi kita semua.