Tugas lain seorang HEM termasuklah kokurikulum, permainan, keagamaan, pekerja am, perpustakaan dan pusat sumber, koperasi, disiplin, kemasukan pelajar baru, minggu orientasi, pasukan unit beruniform, kelab dan persatuan, pinjaman buku teks, dan lain-lain tugas yang berkaitan dari masa ke semasa. Cuma seingat saya, saya tidak pernah walau sekali sekalipun berucap dalam perhimpunan sekolah pada hari Isnin. Jika Pengetua tidak ada ada guru lain yang berucap. Saya tidak tahu kenapa saya tidak berucap dalam perhimpunan. Mengingat kembali 11 bulan di SMT, mungkin ada baiknya saya tidak berucap. Takut tersasul dan melangar dasar.
Dalam hal disiplin saya banyak melihat. Walaupun disiplin di bawah bidang HEM, Pengetua yang memainkan peranan. Guru disiplin dan jawatankuasanya menjadi pelaksana. Suatu ketika saya hampir menangis apabila dua orang pelajar disebat di punggung. Saya merasa anak-anak saya yang disebat. Memang salah mereka barangkali. Namun pendekatan keras selalunya meninggalkan impak psikologi yang kurang elok. Saya lebih suka memberi kefahaman, memberi kesedaran, menyatakan senario dan implikasi. Perbicaraan mesti dijalankan. Kita mendidik anak-anak didik kita mengenai hak asasi. Yang dituduh hendaklah diberi peluang membela diri. Itu hak asasi. Hukuman dikenakan apabila terdapat bukti-bukti beyond any reasonable doubt. Pertuduhan dan pembelaan hendaklah dijalankan. Ketika itu mereka lebih redha menerima hukuman kerana mereka faham bahawa mereka telah melakukan sesuatu yang mengganggu maslahah umum. Perbuatan mereka besar impaknya. Besar implikasinya.
Sekolah menjalankan keadilan. Keadilan itu mesti dilihat adil. Dilaksanakan dengan adil. Prosedurnya adil. Memang pentadbiran sekolah berkuasa penuh untuk melaksanakan peraturan yang sedia ada. Sekiranya prosesnya dilaksanakan dengan berhemah, dengan sedikit budi bicara, pelajar lebih terdidik untuk memahami peraturan itu. Lebih terdidik untuk mematuhinya. Lebih bertanggungjawab untuk menghormatinya. Melahirkan warganegara yang insaf, sedar dan bertanggungjawab ini lebih menjurus melahirkan warganegara yang setia dan komited kepada negara. Mengabaikan aspek keadilan ini boleh menjadikan mereka orang-orang yang tidak pandai memahami. Sukar menerima perubahan dan kelainan. Mereka menjadi keras. Pendidikan mereka keras belaka. Acuan yang disediakan kepada mereka berbentuk keras. Maka mereka menjadi orang-orang yang keras belaka.
Itu baru satu aspek pendidikan di sekolah. Dalam aspek yang lain saya sangat kagum dengan komitmen guru. Saya tabik dedikasi mereka. Saya rasa sukar mencari profesional yang menyerupai mereka. Saya yang menjadi HEM terasa tidak terdaya. Mampu sekadar melihatnya sahaja. Untuk melaksanakannya mungkin tidak sepenuh hati. Pukul 7.00 guru sudah berada di sekolah. Pukul 2.00 petang kelas terakhir baru tamat. (Sekarang ini di sekolah menengah vokasional kelas tamat mungkin hingga pukul 5.00 petang). Pada pukul 3.00 petang guru sudah berada di sekolah semula. Bagi guru yang rumahnya berdekatan dengan sekolah, mereka hanya sempat balik untuk makan, mandi, solat, menjenguk anak dan menukar pakaian. Seperti lipas kudung jadinya. Di sekolah mereka mengadakan kelas tambahan, membimbing aktiviti kokurikulum. Bayangkan mereka tamat bertugas hingga pukul 6.00 petang atau lebih lewat lagi. Tugas tersebut dilakukan setiap hari kerja tanpa kecuali. Intensitinya sahaja mungkin berbeza antara minggu ke minggu. Bagi guru yang rumahnya agak jauh, mereka tidak pulang ke rumah pada waktu tengahari. Petang baru sampai di rumah. Melebihi waktu pejabat. Mereka yang bekerja di pejabat boleh balik apabila sampai pukul 5.00 petang hampir setiap hari. Sesekali sahaja ada tugas tambahan.
Perbandingan ini juga tidak adil. Pekerja pejabat yang membuat kerja tambahan diberi elaun lebih masa. Boleh juga menyejukkan hati. Mendamaikan perasaan. Merendahkan kadar stress. Guru? Wallahu a'lam. Pernah diputuskan bahawa mereka boleh diberi elaun lebih masa. Idea dan keputusan yang bijak. Sekali lagi masalah dijadikan halangan. Ada sahaja kekangan. Mereka terlalu ramai. Kekangan kewangan. Kekangan jadual. Bajet? Sekali lagi wallahu a'lam. Kasihan juga guru. Pengorbanan mereka terlalu banyak. Itu belum cerita pengorbanan wang ringgit. Kebanyakan sekolah tidak ada kenderaan rasmi. Kereta guru yang dijadikan kenderaan tidak rasmi. Pergi kuiz, sayembara, pertandingan, sukan, aktiviti luar, pelajar sakit, ziarah menziarah semuanya menggunakan kereka guru. Jika guru ada van, jenuhlah guru itu menjadi derbar tidak rasmi sekolah. Minyak isi sendiri. Pelajar makan guru yang yang keluar duit poket sendiri. Pentadbir sekolah mungkin sudah lali untuk memikirkannya. Ibu bapa hatta PIBG tidak pernah membincangkan hakisan ekonomi yang berlaku kepada guru.
Saya teringat, sewaktu saya menjadi YDP PIBG sebuah sekolah di Batu Pahat, apa sahaja permohonan guru saya cuba luluskan. Syaratnya, dana PIBG ada berbaki. Selagi belum habis saya bantu jika ada permohonan. Maka banyaklah permohonan yang ada masanya seperti tidak masuk akal. Guru hendak berpindah, PIBG keluar duit kerana hendak memberi hadiah kenang-kenangan. Bukan rakan guru yang beri. Bukan sekolah yang memberi penghargaan. Begitulah apabila guru habis daya. Ekonomi mereka terhakis. Tidak ada lagi yang mampu disumbangkan. Entahlah. Tidakkah kita kasihan kepada mereka? Renungan kepada yang berkenaan.
Mana guru hendak membuat tuntutan. Jika sekolah melayan kesemua tuntutan guru, sekolah tentu kehabisan wang dengan sekelip mata. Penyelesaiannya? Entahlah. Guru redha dengan keadaan itu. Mereka menjadi manusia yang senang diajak berunding. Senang untuk diajak bicara. Tahap keakuran mereka sangat tinggi. Toleransi mereka sangat-sangat fleksibel. Mereka tidak menuntut apa-apa yang dil luar kemampuan sekolah. Kebanyakan mereka tidak menuntutpun. Mereka seronok dengan kerja mereka. Mereka berbakti tanpa syarat. Untuk negara. Untuk profesion mereka. Kepuasan kerja. Mengapa ya tidak ada orang yang mengambil inisiatif untuk memberi yang hak kepada guru. Mereka yang di kementerian tidak luak duit. Mereka yang di jabatan todak luak duit. Tetapi mereka yang namanya guru selalu dicukai secara tidak langsung. Cukai pendapatan tetap juga dibayar. Tidak ada diskaun. Tidak ada rebat. Hari guru hanya slogan. Mungkin tidak keterlaluan sebagai retorik. Guru perlukan pembelaan yang lebih daripada itu. Yang lebih besar daripaa itu. Yang berimpak lebih tinggi.
Kerja guru tidak habis di situ. Pada malamnya mereka menyediakan keperluan untuk kelas hari esoknya. Di samping itu mereka menyemak kerja-kerja pelajar yang sentiasa ada. Yang sentiasa berlonggok-longgok. Lazimnya guru tidur lewat. Latihan yang diberikan kepada pelajar perlu disemak kesemuanya. Buku latihan pelajar perlu dikembalikan kepada pelajar untuk membuat latihan yang baru. Begitulah setiap hari. Berpuluh-puluh buku atau mungkin beratus buku latihan yang perlu disemak. Bukan sekadar dilihat tetapi perlu dibetulkan. Esoknya perlu dimaklumkan kepada pelajar akan kesalahan mereka. Mereka diperlukan membuat pembetulan pula. Itupun perlu disemak supaya pelajar benar-benar mendapat yang sebenarnya. Yang sepatutnya perlu dimahirkan.
Di sekolah, waktu lapang guru sangat terhad. Memang ada masa terluang tetapi ada pula mesyuarat. Entah berapa jawatankuasa yang dianggotai. Buku latihan pelajar disemak juga. Jika tidak, tidak larat untuk dibawa pulang ke rumah. Nanti tiada masa untuk pasangan dan anak-anak. Belum lagi jiran dan saudara mara. Saya kasihan kepada guru. Jika boleh jangan ziarahi mereka sewaktu hari kerja atau semasa hampir tarikh-tarikh peperiksaan. Kerja mereka terganggu. Tugas mereka terencat. Mereka mencipta momentum dan keadaan akan mengakibatkan ketidakseimbangan dengan perancangan perlaksanaan yang mereka jangka dan inginkn. Orang-orang yang di luar lingkungan guru mungkin sukar memahami kehidupan seorang guru.
Sekarang pula guru bukan calang-calang profesional. Bila cuti sekolah mereka diperlukan menghadiri berbagai-bagai kursus profesional. Mereka dijangkakan boleh melaksanakan berbagai-bagai tugas tambahan yang semakin berat dari segi skop dan bidang tanggungjawabnya. Semakin senior kedudukan mereka semaik parah tugas yang diserah. Ada-ada sahaja yang datang menerjah. Mesti selesai dalam waktu sesingkat mungkin. Mesin manusia yang super person. Bidang perguruan bukan lagi profesion yang menjanjikan banyak cuti seperti yang difahami oleh kebanyakan orang. Bila mereka bercuti mereka sebenarnya deserve it. Mereka berhak untuk cuti. Untuk memulih. To recuperate. To rejevenate. To elevate. Bekerja hampir 24 jam setiap hari tentulah streneous kepada mereka. Stress cepat meresap bagi yang kurang ketahanan mental. Burn out boleh berlaku pada bila-bila masa apabila usia mereka melepasi 40 tahun. It is so demanding. Stake holders terlalu ramai. Spektrumnya dari pelajar hingga kepada penguasa politik. Di tengah-tengahnya ibu bapa, masyarakat umum, Pejabat Pendidikan Daerah dan Pegawainya, Jabatan Pendidikan Negeri dan karenah birokrasinya hinggalah Kementerian yang bertanggungjawab. Kemajuan pelajar diteliti dari segi akademik. Itu belum kokurikulum mereka. Kepimpinan mereka. Kesihatan mereka. Keupayaan mereka untuk lulus periksa dengan cemerlang. Potensi-potensi lain yang juga harus diberi perhatian.
Guru berada dalam dua alam yang sukar. Kehidupan peribadi perlu juga dijaga. Pasangan mereka perlukan perhatian dan belaian. Anak-anak yang membesar perlu perhatian dan bimbingan. Ibu bapa dan mertua perlukan lebih banyak perhatian. Mereka mengharapkan perhatian daripada anak-anak setelah berpenat lelah membesarkan, mendidik, memandaikan, menjadikan manusia dan sekarang sudah bekerja. Sudah ada pendapatan yang boleh dihulur seringgit dua. Nikmat hari tua. Nikmat beranak pinak. Membalas jasa. Kepada orang bukan Islam ia hanya tanggungjawab sosial. Kepada orang Islam ini adalah tanggungjawab agama. Hubungannhya terus dengan Allah. Ingatlah redha Allah bergantung kepada redha ibu bapa. Murka ihu bapa adalah murka Allah.
Bagaimana pula dengan ipar duai? Sahabat handai? Jiran tetangga? Kesemuanya perlukan sedikit perhatian. Hubungan silaturrahim perlu diperkukuhkan. Kita orang Malaysia khususnya orang Melayu sangat concern dengan perhubungan peribadi ini. Kita banyak mengadakan kenduri kendara. Kesemua orang yang mengenali kita perlu dijemput. Yang dijemput perlu hadir. Malam ada, siang ada, pagi ada dan petang juga ada. Hujung minggu lebih banyak pula. Bila sebenarnya guru boleh bekerja? Saya katakan saya tabik guru. Dalam kesibukan menjalani kehidupan dalam dua alam yang berbeza tuntutannya mereka masih boleh berfungsi normal. Hidup seperti manusia lain. Boleh bermasyarakat. Menikmati hidup. Dirgahayu guru.