Sunday, November 25, 2012

Malang Jika Lelaki Tidak Tahu Memasak


Kita sudah terbiasa dengan sesuatu yang disangka benar. Bila seorang lelaki bernikah ia menyangka bahawa makan dan minumnya disediakan oleh isterinya. Sarapannya disediakan isteri. Tengaharinya dihidang isteri. Petangnya disuap isteri. Malamnya disaji isteri. 24 jam disediakan isteri. Suami seolah-olah raja yang ditabal untuk selamanya dilayan dan diladeni sebagai raja. Malangnya yang dipaksa melayaninya itu adalah isterinya. Wanita yang dinikahi dengan nama kasih sayang. Untuk bersama ke syurga berumatangga. Untuk hidup dan mati bersama. Di samping dan bukan untuk disuruh arah. Isteri untuk diulit cinta abadi selamanya. Kadang-kadang sikap dan adat menjadikan hubungan suami isteri menjadi rumit dan inricate. Bak sesawang yang rencam dengan liku dan lingkaran.

Bagaimana seorang lelaki tidak tahu memasak untuk makanannya sendiri. Bagaimana seorang abang tidak tahu memasak untuk adik-adiknya. Bagaimana seorang suami tidak tahu memasak untuk isteri dan anak-anaknya. Memasak dan menjalankan kerja-kerja rumahtangga bukan khusus untuk wanita. Pun bukan itu tujuan wanita dinikahi. Orang Islam lelaki umpamanya keliru antara agama dan adat. Adatnya lelaki menjadi raja dan isteri menjadi hamba. Konsep ini adalah sangat tradisional dan bukan Islamik. Rasulullah saw adalah contoh lelaki terbaik antara yang terbaik. Baginda menjahit sendiri pakaiannya yang koyak. Membantu mengemas rumah. Membantu isteri-isteri baginda mengurus rumahtangga. Walaupun trend lelaki idaman semakin ramai namun bilangannya masih belum mencapai tahap tinggi. Ramai lelaki minta disediakan air minumnya. Menunggu hidangan di meja. Tidak memandang rumah yang kotor berserak. Tidak Nampak pakaian yang berlonggok dengan hapaknya untuk dibasuh. Tidak kisah pakaian berlonggok menimbun  bukit untuk dilipat. Pergi kerja melaram dengan pakaian yang siap berseterika. Bukan dibuat sendiri. Isteri yang semput sesak nafas menguruskan segala-galanya yang melakukannya.

Barangkali semua urusan lain boleh bertangguh-tangguh. Soal makan jadualnya ketat. Makan tengahari maknanya makan tengahari. Bukan pukul tiga atau pukul empat. Begitu juga minum petang, makan malam, sarapan dan antaranya memerlukan jadual yang mesti dipatuhi. Siapa menyediakannya? Isteri? Suami? Suami isteri? Alangkah bahagianya seorang isteri apabila suaminya kerap di dapur. Membantu mana yang perlu. Bukan susah kupas bawang. Bukan payah menumbuk cili. Bukan qiamat hanya menanak nasi. Semua kerja di dapur sangat simple. Tidak langsung memberatkan. Barangkali adat yang lama hendaklah dibuang jauh-jauh. Beri nilaian semula bahawa isteri bukan untuk disuruh-suruh tanpa kasih sayang. Mereka perlu dibantu. Hatta tidak salah memanjakannya. Pada dirinya seluruh hihup lelaki.

Apabila lelaki tidak pandai ke dapur ramai orang yang menjadi mangsa. Isteri orang pertama yang teraniaya. Anak-anak kumpulan kedua. Saudara mara kumpulan ketiga. Lelaki yang selalu ke dapur tidak pernah jatuh harga dirinya. Namanya tidak tercemar. Maruahnya tidak tercabar. Itu cerita dulu. Zaman yang sudah luput tarikh pakainya. Zaman yang masih terlalu tradisi. Lelaki di luar rumah dan isteri di rumah sahaja. Zaman ini sudah jauh perubahannya. Sikap dan sifat wibawa lelaki perlulah diubah untuk mengimbangi keperluan berumahtangga masa kini. Lelaki yang berkerjaya menerima pukulan hebat apabila berada di luar rumah. Dalam kursus-kursus jangkapanjang lazimnya wang secukupnya. Lebih banyak berjimat. Memasak sendiri adalah solusi paling baik. Selain dari kosnya yang rendah terdapat kepastian status halalnya. Suci dan bersihnya. Keyakinan diri untuk menikmati hidangan dari air tangan sendiri. Yang tidak pandai memasak tentulah banyak wang terbuang membeli makanan siap.

Itulah antara liku-liku bersama teman dan rakan yang tidak tahu memasak. Tidak tahu mengemas dapur. Tidak tahu membasuh pinggan. Tidak tahu membantu. Tidak mahu belajar berada di dapur. Tidak tahu hubungannya antara masakan, makanan, kesihatan dan emosi rohani pemasaknya. Berapa ramai lelaki yang peka dengan bahan dan perencah makanan. Berapa ramai lelaki yang tahu apa yang perlu di bawa apabila ke luar negara. Kebanyakan mereka membawa perut sahaja. Malang sungguh. Yang lain mengharap orang lain. Kadang-kadang terasa tidak adilnya. Kita cuba adil kepada orang lain tetapi orang lain tidak memberi keadilan itu kepada kita. Islam membenarkan melayani tetamu hanya dalam tiga hari sahaja. Selepas tiga hari tetamu itu hendaklah menjadi sebahagian dari krew yang perlu bekerja apa sahaja yang perlu untuk mengurus sebuah rumahtangga.

Saya suka makan. Di rumah atau di luar sama sahaja. Di luar kadang-kadang tidak sesedap mana. Tidak memenuhi selera tertentu. Harganya mungkin mahal. Tidak ada kedai yang sangat kondusif dari segi persekitaran dan kebersihannya. Layanannya belum tahu bagaimana bentuknya. Pilihan yang terbaik tentunya memasak sendiri. Dua kali saya ke luar negara. Dua kali saya mengangkut segala rempah yang perlu. Kari, kurma, sup, rempah tumis, serai, daun kunyit dan lain-lain yang perlu. Orang lain tidak perna berfikir begitu. Beg pakaian mereka hanya pakaian sahaja. Untuk makan berbulan dan bertahun langsung tiada dalam perbendaharaan minda. Makanan ada di mana-mana. Benar. Tetapi selera kita selalu kembali ke kampung. Ke rumah. Ke negara. Kepada kebiasaan lidah kita. Adat kita. Memasak sendiri adalah penyudah kepada kerinduan itu. Sedap bukan isu. Enak bukan masalah. Yan penting ada rasa. Ada bau. Ada aroma. Ada selera.

Malang sangat jika kita memasak orang lain yang serumah tidak membantu. Tidak bertanya apa yang perlu dibuat. Tidak datang menjengah apa yang sedang dibuat. Tidak menyiapkan keperluan lain seperti menyiapkan meja. Menyusun pinggan. Menyediakan air minuman. Mereka leka dengan mungkin TV, buku, akhbar, telefon dan bermacam aktiviti lain. Bila hidangan telah siap terhidu pula di hidung. Terdengar di telinga. Menyerap pada perasaan mereka. Berbaris ke dapur menyenduk makanan. Makan dengan enak. Bertambah-tambah pula. Selepas makan tidak pula pandai mengemas meja. Mengemas dapur. Menyusun pinggan mangkuk yang diguna. Tamat episod kali itu. Episod yang sama berulang lagi pada waktu makan yang berikutnya. Tidak akan ada yang akan ke dapur. Tidak ada yang ingin memulakan proses memasak.

Malang lelaki yang tidak pandai di dapur. Apalah susahnya menanak nasi. Apalah sukarnya menggoreng telur. Memasak sadin. Menggoreng ikan. Memasak sayur. Jika tidak tahu memasak, masaklah yang sesimple mungkin. Setakat apa yang kita boleh. Yang kita tahu. Walau bagaimanapun memasak hendaklah dengan hati. Dengan ikhlas. Dengan senang hati. Makanan yang simple menjadi sedap jika ada elemen dalaman yang bersih suci. Rasanya menggoreng ikan bilis semua orang tahu. Menggoreng bawang semua orang boleh. Merebus sayur bukan seperti menebas kebun. Berapa banyak garam. Akan terbiasa nanti dengan kuantitinya. Mulakan dengan sedikit. Rasa dahulu secukupnya. Kurang masin tambah garam berperingkat-peringkat. Lama-lama akan tahu sukatannya tanpa perlu menyukat. Banyak dan sedikit adalah relatif. Ada orang suka lebih masin. Yang lain pula suka kurang masin. Letakkan diri kita antara keduanya.

 Belajar jadi lelaki sejati. Hero kepada isteri dan anak-anak. Kepada teman-teman, keluarga dan orang-orang di sekeliling kita. Lelaki yang multi disiplin lebih berdaya maju. Lebih lestari melingkari zaman. Penglaman lama saya memeritkan apabila bersama dengan lelaki yang tidak pandai memasak. Tidak pula mahu belajar. Tidak suka ke dapur. Dapur sangat panas kepada mereka. Malangnya orang lain yang disuruh berpanas di dapur. Selalunya isteri yang menerima nasib malang. Emak mertua yang tua juga menjadi mangsa. Emak sendiri yang uzur itulah yang berpapah ke dapur menyediakan makanan.

Ibu dan ayah, didiklah anak lelakimu supaya mengerti dapur. Biasa di dapur. Menguasai dapur. Supaya nanti mereka bukan raja dapur tetapi menjadi raja di dapur. Adat lama bahawa lelaki tidak perlu ke dapur sudah tidak ada lagi. Bahawa wanita duduknya di dapur bukan realiti lagi. Abang, bantulah isterimu di dapur. Untuk perutmu juga. Kakak, cari lelaki yang ada sifat membantu. Selidiki minatnya di dapur. Tanya rakan dan ahli keluarganya. Itupun jika kakak mencari lelaki yang rasional. Jika cari yang ganteng dan berjawatan sahaja terpulanglah. Bersedialah nanti untuk makan hati berulam jantung. Saya sekadar memberi pengalaman. Mudah-mudahan ada manfaatnya.