Thursday, July 23, 2015

Sayap Melayu Patah Tidak Berganti



Semenjak Merdeka pada 31 Ogos tahun 1957 negara kita sudah dewasa selama 58 tahun. Dalam uisa sebegitu bermakna sudah sangat matang. Masih ranggi. Bertenaga dan ampuh dalam banyak aspek. Malangnya negara bertuah ini tidak menjadi gah kerana keluasan kekayaannya. Atau kerana kerencaman budayanya. Atau kerencaman politiknya. Yang kita alami ialah kecelaruan penikiran untuk menegakkan kebenaran yang hakiki. Pokoknya dalam negara pasca modern ini politik menunjangi segala hal. Lebih malang lagi selalu benar the ends do not being justified by the means. Terlalu banyak teori dan amali yang kontradiktori sifatnya. Terlalu banyak paradox sedangkan paradigma kita tidak banyak berubah. Yang banyak dicipta ialah kegagalan demi kegagalan untuk membawa negara ke arah negara maju seperti yang dicita-citakan. Penjajahan minda secara politik mendasar setiap motif dan tindakan. Akhirnya ibarat menggoreng sesuatu, konsekuen yang kita dapat ialah hal-hal tidak masuk akal. Ditolak akal pemikiran yang waras tanpa bias. Mungkin ada yang merasa mual dan jijik.

Sewaktu mula Merdeka dahulu kita merangkak dan bertatih. Penulis masih ingat tarikh titiknya kita Merdeka. Sesudah bersara hampir 14 tahun penulis masih tercari-cari impian kemerdekaan pada tahun 1957 dahulu. Apa yang berlaku di luar jangkaan dan kawalan. Apabila kita pandai berlari, kita tidak berlari on track. Kita banyak tersasar. Landasan kita bercapah. Setiap individu bercapah dengan individu yang lain. Fokus untuk membangunkan negara dan rakyatnya tinggal slogan semata-mata. Retorik. Mata jadi rambang. Kemahuan mengatasi keperluan. Apabila nafsu mengatasi akal maka musibah jadinya. Sekarang ini banyak yang menghantui rakyat dan negara. Rakyat sewajarnya dimanjakan kerana kedewasaan negara seperti di negara maju. Tetapi hakikatnya mereka terbeban dengan kerakusan politikus kita. Terbeban untuk meneruskan kelangsungan hidup Merdeka. Walaupun peringatan sudah diberi, nasihat sudah disampaikan, malah ada yang terhukum, yang lain masih memandang remeh dengan isu-isu kebobrokan semasa. Kita diberi pembangunan fizikal. Malangnya kita tidak dididik untuk sayangkan sumber asli serta sayangkan segala sumber yang ada. Segala yang di hadapan mata dieksploitasi sewenang-wenangnya. Anak-anak kita dirosakkan minda dan pemikiran mereka dengan kemewahan tanpa menghargai kemewahan itu sendiri. Tanpa mengetahui bagaimana untuk melestarikan kemewahan itu sendiri. Tanpa skill untuk mengurus kemewahan. Kebahagiaan berada di negara Merdeka tidak tercapai. Yang kita lihat ialah eksploitasi perasaan dan psikologi sehingga kebanyakan orang berlumba-lumba untuk memiliki apa sahaja yang melebihi keperluannya. Akhirnya anak-anak kita lalai hingga tidak menghargai segala-galanya.

            Tidak menghargai masa.
          Tidak menghargai peluang untuk maju.
          Tidak menghargai harta milikan.
          Berfikiran singkat.
          Mengambil jalan singkat untuk cepat kaya.
          Mengambil risiko yang memang berisiko tinggi.
          Hanyut dalam hedonism.

Pendatang asing mewah di negara ini. Berbilion ringgit dipindahkan ke luar negara. Ke Indonesia, Nepal, Bangladesh, Filifina dan berbagai negara lain. Sekarang ini banjir negara kita dengan berbagai bangsa dari berbagai negara. Ada yang dari Afrika, negara Arab dan Amerika Selatan. Anak-anak kita jadi apa. Ramai antara mereka terus-terusan leka dengan motorsikal. Cita-cita mereka hanya ingin memiliki motorsikal. Bukan untuk memandu kapalterbang komersil. Bukan untuk memandu jet pejuang. Bukan untuk mengendalikan kapal angkasa. Cita-cita mereka berkuburan di jalan raya. Mereka cukup dengan kenderaan dua roda. Orang lain dengan empat, enam, lapan, 12, 14 dan 18 roda. Tidak memandu kenderaan-kenderaan tersebut tetapi memilikinya. Mengurusksnnya. Kaya kerananya. Ramai anak-anak kita menghabiskan kelestarian warisan bangsanya sendiri. Mereka alpa bahawa orang lain mencipta kemewahan. Mengambil alih peluang yang mereka abaikan.

Sepanjang Ramadhan yang lalu ramai anak-anak Islam yang tidak berpasak kepada Islam. Kelihatan ada yang terus-terusan berpeleseran. Ada pula yang makan dan minum tanpa segan silu dihilat orang. Yang muda merokok secara terbuka. Mereka tidak berasa malu dilihat manusia lain. Mereka lupa perbuatan mereka dilihat Allah dan dicatat oleh malaikat yang ditugaskan menjaga mereka. Sayang seribu kali sayang. Apabila kita mendongak kita melihat banyak pembangunan fizikal. Malangnya kesemuanya bukan milik kita. Bukan milik mereka yang Islam. Anak-anak kita tidak didik malu. Tidak diberi santapan aib. Malaysia masih dirujuk oleh mereka di negara-negara Arab sebagai model negara Islam yang membangun.  Mereka melihat fizikal tanpa melihat yang lebih fundamental iaitu akhlak generasi muda. Tidak dari segi adab. Tidak dari segi disiplin. Tidak dari segi tuntutan agama. Apakah kita masih tidak sedar amaran Allah yang semakin banyak diperlihatkan di negara kita?

Tsunami pernah melanda
Ribut kerap di sana sini
Banjir besar yang fatal
Gempa bumi yang menggegar

Apakah kita menunggu gunung berapi meletus? Dapatan kajian kajibumi mengesahkan bahawa terdapat lingkaran gunung berapi dormant dari Sabah hingg ke Lembah Klang.

Al-Quran diturunkan bermula dengan ﺇﻗﺮﺍﺀ. Allah memerintahkan kita membaca, mengkaji dan menyelidik. Menambah ilmu dan mengerti hakikat bahawa kita diciptakan Allah. Seharusnya kita menjadi pewaris ulul albab.  Bijak berfikir, bijak bertindak dan bijak beramal menurut tuntutan Allah dan RasulNya. Bukan tuntutan hawa nafsu. Bukan menjejak langkah-langkah syaitan. Akal kita perlu dibangunkan agar kita mengerti yang hak. Memilih yang hak. Menginsafi kelemahan diri. Mengerti bahawa kita perlukan perlindungan Allah. Kita selalu gagal memahami hakikat kekerdilan diri kita. Sebaliknya kita tenggelam dalam istidraj. Jauh dan semakin jauh dari rahmat Allah. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan yang sesat dan dimurkai.  

Mungkinkah kata-kata Hang Tuah hanya layak di muzium sahaja? Tidak di hati dan semangat kita. “Tidak kan Melayu hilang di dunia”. Kita tidak hilang tetapi kita kehilangan sengat. Hilang kredibiliti. Hilang integriti. Relakah kita sebagai Melayu yang layu dalam dunia yang kita cipta sendiri? Bagaimanakah jika caption ini tercipta:

M E L A Y U yang L A Y U!
Tambahan kepada igauan lama bahawa  “Melayu adalah pemalas” dan “Melayu adalah bangsa yang suka mengamuk”.  Itu belum lagi caption “Melayu suka meniru yang negatif”. Suka mengikut-ikut. Kita menjadi layu dan dalam jangkapanjang kita menjadi kering, keras hingga sukar untuk dilentur dan dibentur. Kelam dan kusam. Tenggelam bersama si Luncai dan labunya. Terhempas bersama Mat Jenin tanpa kelapanya.

Rasulallah saw pernah bersabda yang mafhumnya bahawa akan sampai suatu masa kelak apabila pemimpin bukan mereka yang hak. Maksudnya tidak layak menjadi pemimpin. Lemah wawasan, lemah berfikir, lemah agama dan selalu berfikir untuk jangkapendek sahaja. Rupanya hadith tersebut merujuk kepada zaman kita sekarang. Kepimpin yang sedia ada tidak memikirkan kesejahteraan anak cucu mereka akan datang. Yang memenuhi minda mereka ialah kepreluan sekarang. Keperluan semasa. Lebih untuk diri sendiri dan mereka yang dekat dengan mereka sahaja. Maslahah umum jarang mejadi agenda besar dan utama. Banyak slogan yang hanya penyedap telinga tetapi tanpa substance. Pemimpin selalu memikirkan hal-hal yang mudah dan percuma. Yang produktif terabai dengan sendirinya. Banyak idea pemimpin yang sifar nilainya kepada rakyat. Menjadi bahan lawak semata-mata. Apabila pemimpin membuka mulut atau menulis, yang membacanya sudah tidak dapat menerimanya. Bunyinya ganjil. Selalu out of context.

Barat semakin maju. Rakyat ikut maju. Mereka terus memajukan diri. Pemimpin yang berkaliber sahaja pilihan rakyat mereka. Pemimpin yang worldviewnya diiktiraf dunia. Kepada mereka, pemimpin datang dan pergi tetapi penggantinya tetap berwibawa. Mereka sentiasa mengatur supaya mereka melahirkan pemimpin pelapis yang hebat dan terus hebat. Mungkin sistem pendidikan kita dan sistem yang kita amalkan menjurus ke arah dead-end. Jumud. Kita tidak melahirkan pemimpin yang unggul. Bukan sahaja pemimpin dalam parti pemerintah yang lemah malah di kalangan pembangkang juga ramai yang terlihat kelemahannya. Namun begitu apa yang penting ialah bagaimana dan siapa yang sewajarnya boleh membawa kita ke tahap yang lebih baik. Memberi kesejahteraan yang sewajarnya kepada kita sebagai rakyat.


Kita sudah menjadi puncak gunung yang gondol. Puncaknya tiada apa-apa lagi. Lerengnya terhakis dan meluruh. Kaki gunung pula penuh dengan sampah sama ada yang dibuang atau terbuang. Kita terlalu sabar nenanti seseorang atau sekumpulan orang yang mampu memulihara kerosakan dan kemusnahan yang sedang melanda.