Monday, April 4, 2011

Kayap Yang Mahal


Antara yang paling mahal di luar negara ialah hal-hal yang berkaitan dengan perubatan dan kesihatan. Ramai orang putih yang mungkin memilih untuk tidak dirawat kerana terlalu mahal kosnya. Kerajaan mereka memperundangkan supaya setiap rakyatnya memiliki insuran kesihatan. Namun begitu bagi kebanyakan orang  insuran itupun tidak mencukupi. Masih terlalu tinggi bayaran perubatan yang mesti ditanggung. Kita di Malaysia ada prancangan yang serupa. Setakat ini bantahan orang ramai didengar lagi oleh kerajaan. Jika dilaksanakan juga mungkin keadaan yang sama seperti di US akan berlaku di sini. Ramai orang kita yang tidak termampu untuk  membiayai kos perubatan. Hospital swasta yang adapun sudah dikkira tinggi mengenakan bayarannya. Jika ada insuran entahlah apa akan jadi nanti.

Ada beberapa perkara yang mungkin tidak dilihat dengan mata kasar. Pertama bayaran konsultasi. Keduanya bayaran rawatan. Ketiganya bayaran ubat-ubatan. Keempatnya bayaran fasiliti. Kelimanya bayaran goodwill atau imej institusi yang menawarkan perkhidmatan perubatan itu. Pada dasarnya hospital kerajaan tidak mengenakan bayaran tinggi kerana yang melanggani hospital kerajaan adalah rakyat marhaen. Tanggungjawab kerajaan memberikan khidmat perubatan. Rakyat yang sihat menjadi crucial kepada warganegara yang produktif.

Di US bayaran konsultasi bergantung kepada jenis penyakit yang didiagnosis. Lebih berat sakitnya lebih mahal bayarannya kerana penyakit yang berat itu perlukan banyak alat canggih. Perlukan pakar-pakar yang khusus. Bayaran konsultsi paling murah sekitar USD25 pada tahun 1985/86. Sekarang tentulah bertambah jumlahnya. Faktor inflasi. Itupun untuk demam biasa.  Bayaran rawatan antara yang mahal kerana seperti biasa peralatan dan teknologi menentukannya. Lebih canggih peralatannya lebih mahal bayaran yang dikenakan. Juga bergantung kepada jangkamasa rawatan itu. Doktor tidak menyediakan ubat-ubatan. Hospital memiliki farmasinya sendiri. Doktor biasa tidak menyediakan ubat. Perundangannya begitu di US. Segala ubat-ubatan dibeli dari farmasi yang selalunya diberi lesen operasi.

Konsultasi lain bayarannya. Ubat lain pula. Rawatan juga lain lagi. Kos perubatan memang semakin tinggi. Jenis penyakit yang dihidapi juga semakin sukar dirawat. Maka penyelidikan yang berterusan dijalankan untuk menemukan ubat-ubatan yang sesuai. Mengesan penyakit sahaja sudah perlukan peralatan canggih. Mungkin the state of the art.  Kadang-kadang kerajaan sendiri tiada pakar dan alat secanggih yang dimiliki hospital swasta. Pada tahun 80an dahulu saya bertanggungjawab kepada HEP di Politeknik Ungku Omar. Suatu hari seorang pelajar mengalami kemalangan motorsikal. Kepalanya perlu dix-ray. Di Hospital Ipoh kerajaan memiliki seorang neurosurgeon. Malangnya hospital tidak memiliki
x-ray yang diperlukan.  Pelajar tersebut terpaksa dirujuk ke Ipoh Specialist Centre. Filem x-raynya sahaja yang dibawa ke hospital.


Cerita mengenai sakit dan rawatan ini membawa saya mengingat kes anak sulung saya terkena kayap di pipinya sewaktu di US dahulu. Tiba-tiba terdapat bintit merah di pipinya. Selang beberapa hari sudah merebak banyak. Hingga ke hidung pula. Bergegas saya ke hospital yang paling dekat. Mula-mula datang seorang doktor. Di belek-beleknya pipi anak saya. Kemudian dia hilang. Datang pula seorang doktor lain. Sama sahaja yang dilakukannya. Belek-belek kemudian hilang. Tidak lama selepas itu datang pula seorag doktor yang lain.   Lalu diambil sebahagian keruping di pipi anak saya untuk laboratory test. Kami diminta datang pada suatu tarikh lain. Seingat saya tiga hari kemudian.

Bila kami datang semula disahkan bahawa itu adalah penyakit kulit. Bagi orang Melayu namanya kayap. Kenapa tiga orang doktor yang memeriksa anak saya? Pada waktu itu saya tidak begitu arif. Tidak pernah pesakit dirawat seramai itu di Malaysia. Lebih-lebih lagi hospital kerajaan. Malah tidak mungkin di klinik-klinik kerajaan. Tetapi itu sudah menjadi standard procrdure di US pada tahun-tahun 80an. Maknanhya sudah tiga dekat kita tertinggal dari segi perawatan di hospital. 30 tahun adalah suatu jangkamasa yang lama. Satu contoh klasik betapa jauhnya lagi kita hendak mencapai status negara maju. 2020 nanti, negara maju sekarang sudah melonjak terlalu jauh untuk dikejar.


Doktor pertama membuat tinjauan awal. Cuba mentafsir jenis penyakit yang dihidapi anak saya. Doktor kedua adalah untuk mendapatkan pendapat kedua. Takut-takut bercanggah. Doktor ketiga yang memberi kata putus. Tiga orang memberikan peluang untuk wujudnya pendapat majoriti. Ubat saya beli di farmasi juga. Hospital hanya mendiagnisis dan memberikan jawapan. Ubat di farmasi sahaja. Melalui insuran kesihatan yang dibekalkan oleh kerajaan kepada saya kos rawatan itu dibayar. Tidak banyak nampaknya kepada orang US. Kepada saya memang mahal kerana jumlahnya USD285. Hanya untuk membelek pipi anak saya. Hanya untuk menjalankan sedikit skin graft test.

    
Banyak penyakit yang dapat dihindar. InsyaAllah. Jika datang juga maka itu adalah ujian. Cubaan. Ingatan Allah kepada kita. Untuk menginsafi perlunnya kita kepada Allah. Penyakit datang dariNya. Dia yang menyembuhkannya.  Ubat-ubatan yang sesuai datangnya dari Allah. Penyembuhan adalah kuasa Allah. Jagalah kesihatan kerana nilainya tidak terhingga.  Jagalah masa sihat sebelum datangnya masa sakit. Kosnya tinggi bagi marawat penyakit. Hanya yang pernah mengalami sahaja yang mengetahui peritnya sakit. Kosnya satu hal. Deritanya satu hal yang lain. Lain-lain kesulitan terpaksa ditanggung. Berturutan. Berselisih ganti. Redha yang dituntut. Berusaha sebelum bertawakal. Berserah kepada Allah.