Gambar yang diambil pada 1 September 1957 di Pekan Parit Sulung ini masih dijaga rapi oleh Haji Abas. Sehari sebelumnya laungan merdeka berkumandang di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Ketika itu usia Haji Abas sekitar 43 tahun. Masih segak bergaya dengan pakaian sedondon putih. Keras berkanji. Beliau berdiri di belakang tokoh-tokoh yang duduk antara kerusi nombor tujuh dan nombor lapan dari arah kiri. Duduk di kanannya ialah allahyarham Dato' Dr. Sulaiman Dato' Abdul Rahman (bekas MP Muar Selatan) sementara duduk di kirinya pula allahyarham Haji Othman Haji Taib (bekas ADUN Simpang kiri), besan Haji Abas. Duduk di kiri sekali ialah allahyarham Wak Sunu, sekampung dengan Haji Abas. Di kirinya allahyarham Kamisan Haji Ashari (bekas ADUN Seri Medan).
Haji Abas hanya berkeupayaan menjadi penyokong tegar
UMNO dan Perikatan sejak dari tarikh penubuhannya. Kemuncak penglibatannya
ialah laungan merdeka di Padang Merbuk, Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari
1956. Selepas itu dia hanya menjadi
penyokong senyap. Dia tidak mampu menghabiskan masa hidupnya untuk berpolitik.
Politik keluarganya lebih besar dari politik negara. Dia memilih untuk berada
di samping isteri dan keluarga kerana itu menjadi keutamaannya. Pada zaman itu
hanya yang berada sahaja mampu berpolitik. Dana parti belum melimpah ruah
seperti sekarang. Tanpa wang, ahli politik tidak dapat pergi jauh. Sebagai
warga kampung yang jauh di pedalaman, cukuplah setakat itu penglibatan
aktifnya. Mengimbas kembali akan perjalanan waktu mungkin penglibatannya terhadap
politik natijah dari gerakan Malayan Union 1946. Orang Melayu bersatu atas
objektif yang sama. British perlu keluar dari tanah tercinta ini. Tiada wadah
politik yang lain. Hanya satu tujuan sahaja.
Mereka yang kuat dalam UMNO dari kampungnya juga mengelak
dari terus terlibat dalam parti. Nama-nama besar seperti Wak Sunu dan Turin
yang terkenal semasa berperang dengan MPAJA terus mendasar dalam kampung. Turin
akhirnya menjadi Ketua Kampung Parit Mohamad atas sokongan penghulu Salleh
ketika itu. Di Parit Othman umpamanya, Haji Tamyiz cukup terkenal pada tahun
1955. Namun ia juga hilang dari lanskap politik di kawasan Parit Sulung. Yang
terus menyinar ialah allahyarham Haji Othman bin Haji Taib dan allahyarham Kamisan bin Haji Ashari.
Allahyarham Haji Othman menjadi ADUN selama dua penggal diikuti oleh
allahyarhan Kamisan pula. Pada zaman mereka politik benar-benar kerana politik.
Kedua-dua mereka meninggalkan nama baik. Bukan harta menimbun. Bukan rumah
sebeasr istana. Bukan kenderaan berderet di garaj.
Mereka sangat merendah diri. Tiada perubahan fizikal
yang memperlihatkan mereka mengambil apa-apa peluang untuk kepentingan diri dan
keluarga. Hal-hal berkaitan kroni jauh sekali. Mungkin pada zaman itu rakyat
bawahan tidak banyak tahunya. Tidak banyak mintanya. Tidak banyak karenahnya.
Mereka menerima apa sahaja ketentuan. Pandai-pandailah melaksanakan yang
terbaik untuk mereka. Kedua-dua mereka berpijak di bumi nyata. Allahyarham YB
Kamisan umpamanya sangat rapat dengan orang kampung. Apabila diundang ke majlis
perkahwinan dia tidak meminta untuk dilayan. Tidak makan di meja yang
disediakan. Tidak makan seperti yang telah dihidangkan. Dia akan menemui tukang
masak dan pembantu-pembantunya di bangsal memasak di belakang rumah.
Kadang-kadang menceduk makanan sendiri dan makan di bangsal memasak. Orang kampung
menjadi dekat kepadanya. Kemenangan dalam pilihanraya sentiasa dalam sakunya.
Kawasan Parit Sulung pancawarna juga politiknya. Wakil
rakyat pertama ialah allahyarham Tan Sri Sulaiman Nainam Shah. Disusuli pula
oleh allahyarham Dato’ Sulaiman bin Dato’ Abd. Rahman. Kemudiannya seorang Cina
sebelum diwakili oleh Allahyarham Haji Othman bin Haji Taib. Kemudiannya
allahyarham Kamisan pula. Haji Othman dan Kamisan adalah kenalan rapat Haji
Abas. Haji Othman di Parit Puasa sementara Kamisan di Parit Othman. Selang
sekampung sahaja. Allahyarham Haji Othman menjadi besan Haji Abas. Anak lelaki
Haji Othman berkahwin dengan anak perempuan Haji Abas. Allahyarham Kamisan pula
kekal menjadi sahabat Haji Abas hingga akhir hayatnya.
Allahyarham haji Othman dan allahyarham Kamisan
membawa politik Melayu yang rapat antara satu sama lain. Tiada perebutan kuasa
di peringkat bahagian. Tidak banyak kocak dan riaknya. Mereka dekat dengan
rakyat. Jiwa mereka benar-benar jiwa Melayu. Jiwa rakyat jelata yang setia
menyokong parti. Semasa hayatnya allahyarham Haji Othman sempat ke Ekspo Tokyo
pada tahun 1960. Pengalaman pertamanya berada di luar negara. Di negara
matahari terbit pula. Jepun sudah mula melangkah maju walaupan 15 tahun sebelumnya
mereka kalah dalam Perang Dunia II. Hanya dalam masa 15 tahun mereka seudah
semaju itu. Sebuah bangsa yang jatuh tetapi maruahnya dibangunkan hingga
terkenal ke seluruh dunia.
Sehingga akhir hayatnya allahyarham Haji Othman tidak
mengubahsuai rumahnya. Rumah kayu yang dibina lama sebelum menjadi YB kekal
hingga dia meninggal dunia. Allahyarham Tan Sri Haji Othman Saat (mantan MB
Negeri Johor) terpegun melihat rumah tersebut. Seolah-olah tidk percaya bahawa
rumah YBnya sedaif itu. Begitulah mereka yang seangkatan dengan Haji Othman
berpolitik bukan untuk kepentingan diri. Bukan untuk kaya dan bukan untuk hidup
senang. Diri mereka untuk rakyat. Untuk membina negara muda yang baru sahaja
merdeka. Yang perlu dibangun untuk sejajar dengan negara lain. Perjuangan orang
dahulu yang mungkin dianggap tidak relevan lagi pada masa sekarang.
Pada tahun-tahun 90an muncul seorang ahli politik
muda. Datuk Ruhanie Ahmad namanya. Berasal dari Parit Separap. Haji Abas kenal
benar dengannya. Kawan rapat anak lelakinya. Juga kawan rapat seorang dari
menantu lelakinya. Mereka sama-sama bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan
Tinggi Batu Pahat dan Sekolah Menengah Kabangsaan Dato’ Bentara Luar. Semasa
remajanya kerap ke rumah Haji Abas. Kadang-kadang membawa beberapa biji kelapa
untuk Haji Abas dan keluarganya. Kebetulan kebun di rumah YB Datuk Ruhanie
dipenuhi dengan tanaman pokok kelapa. Begitulah wakil ADUN dan Ahli Parlimen
silih berganti. Sekarang ini YB kawasan Seri Medan ialah Datuk Zolkarnain. Anak
kepada alllahyarhan Kamisan. Ayahnya rakan Haji Abas. Mungkin YB Datuk
Zolkarnain tidak mengetahui hubungan antara Haji Abas dengan allahyarham
ayahnya yang telah terjalin sejak sebelum merdeka lagi. Politik masih
diteruskan lagi. Agenda masih banyak yang belum dilaksanakan.