Tuesday, July 9, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Pertanian Sumber Kekuatan Kehidupan




Ladang gandum ini di Irbid, utara Amman, Jordan. Kawasannya landai dan tanahnya subur. Pertanian untuk berbagai tanaman kontan diusahakan di sini.


Kali pertama di ladang gandum. Yang dua orang tu bukan anak dan bukan cucu. Anak kepada mudir Markaz Eywan, Ustaz Khalid. Isteri saya melepaskan rindunya kepada cucu-cucu yang ditinggalkan. 


Bersama Ustaz Khalid.



Kali pertama mengetahui secara dekat yang namany agandum. Makan selalu tetapi pokoknya tidak diketahui. 


Ini dia tangkai gandum yang selalu disebut dalam gandum.


Mereka yang taat berzakat Allah gandakan tangkai gandum ini berkali ganda. Dari satu menjadi tujuh darab tujuh darab tujuh darab tujuh ......... Sempena Ramadhan ini banyakkan sedeqah. Banyakkan derma. Jika cukup haul, bayarkan zakatnya. 


Seperti tumbuhan dalam semak sahaja. Sebenarnya menunggu dituai. Musim panas sudah tiba.


Luas terbentang. Seperti jelapang padi di Kedah.


Jika dilihat bukit-bukit itu gandum seperti padi huma.



Manusia biasa tentu tidak terlepas dari suka makan. Makanan berbeza antara berbagai kawasan di dunia. Orang Asia menjadikan beras atau nasi sebagai makanan ruji. Di India ada rakyatnya yang makan nasi dan ada pula yang makannya dari tepung gandum atau tepung-tepung lain. Revolusi pertanian di barat menyebar ke seluruh dunia. Pertanian yang berskala besar perlu berteknologi tinggi. Kawasan baru diteroka. Benih baru dikaji. Berbagai program diwujudkan supaya rakyat maklum bahawa makanan perlu dikeluarkan sendiri supaya kebergantungan kepada negara luar dapat dikurang atau diputuskan.  Import bahan makanan sepatutnya berlaku dalam keadaan tertentu sahaja. Bukan suatu kemestian. Memang nasi makanan ruji rakyat Malaysia. Rasanya perlu direncanakan supaya kita tidak bergantung kepada beras. Ada antara kita yang makanannya dari tepung seperti roti atau kuih. Sekarang ini kita memiliki jelapang padi seperti di Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak dan Selangor. Di Melaka dan Negeri Sembilan keadaan semakin meruncing apabila sawah-sawah terbiar atau dibangunkan perumahan penduduk. Maka sumber padi berkurangan sedangkan jumlah penduduk bertambah dengan banyaknya. Apatah lagi apabila kita membuka sempadan untuk menjemput pekerja-pekerja asing datang ke Malaysia. Lebih dua juta pendatang asing bukan satu jumlah yang kecil. Mereka perlu juga makan. Maknanya kita mengimport makanan untuk mereka juga. Yang tanggung beban rakyat yang asal.

Pertanian adalah sumber kekuatan negara. Negara kaya tidak mengabaikan pertanian. Mereka mengepam dana supaya pertanian tetap unggul. Kelebihan tanah-tanih, cuaca, iklim dan suhu dimanfaatkan. Walaupun padi huma bukan makanan ruji, USA mampu mengeksportnya ke luar negara. Secara lazimnya orang USA tidak makan nasi. Namun begitu stok padi mereke mampu membantu negara-negara lain yang memerlukan beras apabila berlaku bencana kemarau atau banjir. Termasuk juga ketika perang. Dalam hal ini banyak negara yang tidak begitu memberi perhatian tentang pertanian. Rasanya kita di Malaysia mungkin termasuk dalam kategori ini. Beras kita diimport dari Thailand, India, Pakistan,  Kampuchea, Vietnam dan Cina. Tukaran wang asing yang membebankan. Kecualilah eksport kita ke negara-negara tersebut menyeimbangkan keadaan. Aliran wang keluar kerana mengimport bahan makanan agak tinggi. Salahnya kerana kita dilunakkan dengan kebiasaan yang membebankan. Tidak dirasakan sayangnya wang kita dialirkan keluar. Sudahlah pekerja asing mengangkut wang sebanyak-banyaknya ke luar negara, kita pula terus-terusan mengimport makanan. Barang-barang industri dimport untuk menjana produktivit. Bahan makanan hanya untuk dimakan. Habis. Hanya diharap menjadi daging dan darah yang menyihatkan. Memberi tenaga kepada negara.

Di Jordan, banyak tempat yang dibangunkan sebagai kawasan pertanian. Selain di Laut Mati dan Jarasy terdapat kawaasan pertanian di Irbid. Di situ terbentang luas ladang gandum. Kuntum dan tangkainya meliang-liuk. Walaupun tidak sama dengan padi, kewujudannya adalah seperti padi. Makanan ruji orang-orang di negara beriklim sederhana. Di Irbid terdapat ladang lada, ladang jagung, berbagai jenis kacang, tomato, bawang putih, bawang besar dan banyak lagi tanaman-tanaman lain. Lada hijau di Batu Pahat sewaktu saya tinggalkan pada awal bulan Januari 2013 berharga RM9 sekilogram. Di Irbid lada yang sama hanya RM1.50 sekilogram. Kos hidup di Jordan memang tinggi (mahal) tetapi sayur-sayuran sangat murah. Lada gajah yang sangat besar sekitar RM1.20 sahaja. Saya biasa membeli saiz yang lebih kecil di Malaysia. Sekurang-kurangnya RM3 sebiji. Antara banyak tanaman yang menjadi kemusykilan ialah gandum. Ianya sangat subur di Irbid.  Jordan mampu menanamnya secara besar-besaran. Namun keadaan sebaliknya yang berlaku. 

Tiada fokus untuk mengeluarkan gandum hatta untuk keperluan secukupnya kesemua rakyat Jordan. Keperluan gandum disumbangkan oleh USA. Gandum dan makanan dari gandum adalah makanan yang paling murah di Jordan. Perdagangannya dengan USA memungkinkan Jordan mengimport gandum dengan subsidi yang tinggi untuk rakyatnya. Kedai roti bukan sahaja menjual roti tetapi sebenarnya kilang roti tempatan. Di sesuatu tempat terdapat bukan hanya sebuah kedai roti. Mungkin beberapa buah kedai. Roti dibakar pagi dan petang. Dua kali sehari. Membeli yang masih panas sangat lazat rasanya. Tetapi roti yang seperti roti canai atau capati sentiasa dikeluarkan menggunakan teknologi. Rakyat Jordan membelinya beberapa kilogram sekali beli. Berbanding dengan kita, orang Jordan banyak makannya. Roti (seperti capati) sebesar dulang besarnya cukup untuk seorang sahaja. Nasi sedulang untuk dua orang. Kadang-kadang untuk seorang sahaja. Bila bercakap tentang makan bahasa yang kit afaham mungkin berlainan. Kit amakan daging ayam dipotong 12 atau lapan. Orang Arab memakannya seorang seperempat ayam. Atau sebelah. Orang Melayu di tempat saya jika makan nasi ambeng (nasi orang Jawa dimakan menggunakan dulang besar) seperempat ayam untuk empat orang. Bukan seorang.

Mengekalkan usaha pertanian tidak dijadikan sebagai jihad di negara-negara Islam. Kebanyakan mereka mengimport makanan ruji mereka dari negara bukan Islam. Suatu kebergantungan yang membahayakan. Andainya berlaku pergeseran besar-besaran antara Islam dan bukan Islam ramai orang Islam yang akan mati kebuluran. Apabila harganya melambung tentu ramai antara kita yang tidak mampu membelinya. Gaji kita tidak begitu besar kuasa belinya. Sekarang inipun harga barang-barang sudah banyak lambungnya. Kita merubah fokus kita tentang pertanian. Khususnya padi. Jelapang padi yang sedia ada perlu dipelihara. Sistem pengairan ditingkatkan. Sistem penanaman direvolusikan. Benih-benih baru yang lebih produktif dikaji dan dikeluarkan. Sawah padi harus diwartakan sebagai tanah negara. Hanya untuk menanam padi sahaja. Bukan tanaman lain. Bukan untuk perumahan. Kita harus berjiwa besar untuk menjadi negara yang secukup hidup.  Jika boleh bantu negara lain. Dari mengimport kita menjadi negara pengekaport pula. Wawasan ini bukan mustahil. Seluruh usaha kita membangun negara perlu diintegrasikan dengan sistem pertanian yang produktif. Untuk masa hadapan kita sendiri. Makanan untuk kesihatan adalah dasar. Ia juga untuk pertahanan diri dari sekatan import. Ia juga langkah keselamatan apabila ada ancaman luar.  Makanan bukan suatu mainan ekonomi. Bukan setakat perjanjian dagang atau kebudayaan ata ekonomi sahaja.

Kita harus fikirkan keelestarian kedaulatan kita. Sebuah negara yang berdaulat sepenuhnya tidak banyak bergantung kepada negara lain. Kita perlu contohi negara-negara maju dan yang sedang berkembang maju. USA dan Eropah barangkali terlalu unggul. Kita rujuk Thailand atau Kampuchea atau Vietnam yang banyak persamaannya dengan kita. Mengikut jejak mereka banyak lumayannya. Rasanya tiada musibah jika kita lebih fokus kepada penanaman padi. Selain daripadi bendang kita cuba juga padi huma. Kelapa sawit sudah mantap. Cuba pula kita teroka penanaman padi huma. Jika berjaya, insyaAllah kebergantungan kita kepada negara luar dapat dikurangkan. Kekuatan pertanian tanpa pergantungan luar adalah lebih afdhal dari terus bergantung tanpa ada batas waktu. Jadual yang realistik harus dibentuk supaya makanan kita, kita sendiri yang mengeluarkannya. Bukan orang lain.