Orang tua-tua berkata, sekawan lembu mudah dijaga, anak perempuan seorang sukarnya hingga tidak terkata. Itu kata orang dahulu. Orang sekarang sudah tidak memandang lagi ke belakang. Menoleh sangat payah. Mereka tidak sudi lagi mendengar ungkapan-ungkapan yang nostalgik. Mereka merasa sudah terlalu terkehadapan. Saintifik dan bukan bahasa melankolik. Bahasa puitis tidak masuk dalam pertimbangan. Memang orang dahulu tidak banyak ragamnya. Yang mereka pegang ialah nilai hidup. Nilai agama. Nilai-nilai yang membentuk norma Melayu. Norma hidup damai. Aman. Selesa. Puas. Santai. Nilai harga diri yang tinggi bersalut budi bersendi maruah. Tanda aras aib dan mala petaka. Anak perempuan selalu terdedah kepada ancaman yang berbagai rupa. Fitnah terhadap mereka terlalu banyak. Zaman dahulu prinsipnya berbeza. Falsafahnhya berbeza. Paradigmanya berbeza. Sekarangpun berbeza tetapi dalam persamaan. Cuma perspektifnya diberi nilai berbeza. Perspektif agama tidak pernah berubah. Orang meletakkannya di aras yang berbeza. Nampaknya semakin lama semakin menurun ke bawah. Jatuh dari satu anak tangga hingga beberapa anak tangga di bawahnya.
Pada zaman saya kecil, orang kampung masih serong memandang orang bandar. Ada konotasi negatif yang dianut orang bandar. Selalunya bahasa. Orang bandar speaking. Bercakap dalam bahasa Inggeris. I dan you sangat lumrah. Pakaian sudah tidak tradisi lagi. Gaun dan skirt. Lepas bebas. Tudung banyak yang disimpan di almari. Hanya jika ke pejabat agama, tudung dipakai. Hanya jika ada kematian barulah tudung dicari. Sebaliknya orang kampung dilihat sangat tradisi. Kolot kata orang bandar. Hidup seperti tiada seri. Mati. Minda beku. Namun hidup di kampung terasa damainya. Rukun sesama sendiri. Makan minum mencukupi. Banyak yang ditanam sendiri. Cumanya hidup terlalu sederhana. Banyak mudah dari susuhnya. Garapan fikiran tidak tinggi. Sekadar untuk hidup mudah. Tidak banyak karenah. Dalam pada itu mereka dekat dengan agama. Malamnya psti terdengar anak-anak mengaji al-Quran. Yang muda bermain kompang atau belajar berzanji. Majlis di kampung penuh syahdu. Irama malam banyak yang menyentuh rohani. Dalam persekiaran itulah anak muda dipelihara. Ank gadis dipingit untuk dipersembahkan kepada suaminya dalam keadaan lengkap dan suci. Jaminan turun temurun dalam keluarga yang selalu menjaga budaya. Menjaga nilai diri. Harga diri yang mahal. Terlalu mahal.
Zaman berlalu. Masa beredar. Usia memanjat. Persekitaran berubah. Paradigma berubah. Positif atau negatif perlukan spektrum yang berbagai pula. Standard siapa yang benar perlu dilihat dan ditapis kesemuanya. Sekarang ini keadaan sudah terbalik. Orang bandar lebih banyak yang menuntut agama. Masjid dan suraunya lebih makmur. Wanitanya lebih ramai yang bertudung. Terutamanya wanita yang muda. Kelas agama banyak di sana sini. Yang berada ramai yang menginsafi diri. Banyak harta yang diinfaqkan. Tetapi bandar ada dua wajah. Wajah yang positif dan wajah yang negatif. Mereka yang lebih terpelajar lebih giat ke arah agama. Malangnya ada segolongan lain yang lebih membentuk hidup negatif. Samalah bila saya kembali ke kampung. Anak-anak kampung lebih bandar dari anak bandar. Tetapi hanya dari segi berpakaian. Gadis kampung berjean ketat. Berkemeja-T sendat dan singkat. Rambut aneka fesyen dan pastinya payah hendak ditudung.
Ibu bapa ramai yang tidak mengerti pilihan. Anak-anak terlalu diberi pilihan. Sangat ironis sebuah keluarga yang kontras. Si nenek bertudung lingkup. Si emak bertudung labuh. Si anak dara terdedah segala aurat. Nilai Melayu hilang entah ke mana. Nilai Islam tercampak jauh. Nilai Timur terbang melayang. Itu anak kampung. Anak orang kampung saya dahulu. Yang datuk dan neneknya saudara mara saya. Mungkin sepupu dan bau-bau bacang dengan saya. Berubah sungguh keadaan. Bukan 180º. Sudah jadi 360º. Pemisah antara bandar dan kampung sudah tidak kelihatan lagi. Pembandaran sudah sampai di kampung. Malangnya yang sampai bukan yang positif. Alangkah baiknya jika gah dengan kecemerlangan akademik. Menjadi saintis yang layak menerima Nobel Prize. Usahawan yang dermawan. Pendidik yang mendidik. Hakikatnya yang tinggal di kampung hanyalah saki bakinya. Anak-anak yang cemerlang berada di sekolah berasrama. Berada di IPT. Bekerja di bandar lain. Di negeri lain. Di kuala Lumpur paling ramai. Kampung kekal dengan kekampungannya. Zaman tidak banyak merubah keberadaannya.
The crux of the problem is freedom. Kebebasan yang terlalu mutlak. Berjaya Barat memperdaya orang Islam Melayu Timur menganut falsafah kebebasan mereka. Acuannya mungkin hak asasi. Kebebasan bersuara. Kebebasan individu. Rujukan orang kita ialah media. Artis. Pada hakikatnya mereka bukan semua layak dirujuk. Hanya yang terpilih sahaja. Kesemuanya tidak boleh dirujuk kecuali mereka memang berhak dirujuk. Orang akademik sangat maklum, akhbar manapun tidak boleh dirujuk untuk hal-hal yang berbentuk akademik. Tidak mencapai tahapnya. Terlalu nipis nilai akademiknya. Namun itulah yang orang kampung faham. Akhbar adalah benar. Media elektronik khususnya TV adalah benar. Majalah adalah benar. Sebenarnya bukan anak-anak yang melabelkan benar. Ibu bapa yang menentukan kedudukan itu. Ibu bapa membenarkan anak-anak menjadi seperti orang-orang yang mereka rujuk. Kesilapan yang tidak pernah hentinya. Berkait dan menjerumus ke dalam jurang yang semakin dalam.
Kebebasan menjerumuskan anak-anak gadis ke ruang larangan. Ke sempadan yang terlarang. Had-had yang sepatutnya menghalang. Akibatnya selalu sangat sukar dimengerti. Nilai agama hilang. Nilai maruah hilang. Harga diri entah di mana. Seks bebas dicuba hingga merana. Menghiris halus hingga berkecai nilai-nilai diri dan agama. Bangsa telah lama cuba dibangun tetapi tiang serinya selalu patah. Banyak akbiat lara di mana-mana. Bayi-bayi yang tidak berdosa di bungkus patah bunuh buang merata. Beritanya jadi lumrah. Akhirnya tiada apa-apa yang dirasa lagi. Semua orang dewasa hilang wibawa. Ibu bapa sudah lama gagal dan kecewa. Anak-anak kita sudah terlepas jauh dan jatuh ke bawah. Merempit. Membunuh. Meragut. Memperkosa. Sebut semua yang namanya maksiat diteroka. Dibudaya. Menjadikannya semua perkara biasa. Tiada lagi yang cela. Tiada lagi yang hina. Nilainya sudah berubah. Yang hina dipandang biasa. Yang cela dianggap tiada apa.
Siapa sebenarnya yang menentukan nilai jika tidak ibu dan bapa. Lihat anak lelaki Melayu Islam yang hancur lumat. Mereka terjebak dalam semua aktiviti yang menjejas nilai bangsa. Nilai agama. Nilai Melayu. Nilai budi. Nilai sopan santun. Nilai kelembutan. Semuanya punah hingga tiada lagi yang dahulunya dibanggakan. Bangsa Timur yang tegak berdiri membesarkan Sri Vijaya. Yang menjaga martabat Melaka. Kelemahan yang telah lama rupanya. Kelemahan yang telah diperhati dan mudah dikalah patah. Yang telah dikesan Portugis. Yang dimamah Belanda. Yang manipulasi Inggeris. Yang cuba dilunakkan Jepun. Walaupun akhirnya dapat berdiri sendiri, orang kita tidak betah membina keagungan. Ramai yang tewas dengan gemerlapan kaca yang disangka intan. Bagaimana lagi kita harus membina bangsa. Membina kerangka hebat dan agung. Perlukah semuanya dikorbankan. Kemajuan at the expense of all heritage. Our root. Ke mana hendak ditoleh. Ke mana hendak diharap lagi. Hanya ibu bapa yang harus kembali. Mengembalikan semua yang hilang.
Anak lelaki bukan jaminan. Anak perempuan bukan lambang kelemahan. Kedua-duanya penyambung warisan keluarga. Warisan bangsa. Warisan agama. Warisan budaya. Warisan segala yang berbudaya. Di bahumu ibu dan ayah kelangsungan segala yang diharapkan. Nantikan siri terakhir.