Suatu ketika dahulu Sungai Thames di London tersangatlah kotornya. Berbagai langkah diambil. Dilaksana. Dijadikan amalan. Diajar penghuni London. Diterjemahkan istilah sayangkan sungai. Bukan cakap sahaja. Bukan retorik. Sewaktu zaman kotornya, sungai Thames menjadi sangat ditakuti. Seperti ada hantu di situ. Busuk. Buruk. Kotor. Cemar. Menjijikkan. Memualkan. Meloyakan. Menghantui sesiapa sahaja yang melihatnya. Kebetulan orang putih mengetahui perlunya bersih. Berbagailah usaha dijalankan. Penyelidikan dijalankan. Ujikaji dijalankan. Penghuni London dituntut menyumbang dengan tidak lagi mencemarkannya.
Suatu ketika dahulu tiada siapa berani masuk ke dalam sungai itu. Tiada siapa berani menyelam. Gila kata orang. Untuk berenangpun sangat menakutkan. Ekologinya yang sangat parah. Indeks pencemaran yang melampau. Tiada hidupan yang berani datang dan menghuni. Ikan jauh sekali. Setelah bertahun-tahun diusahakan keadaan sebaliknya berubah. Sungai itu kembali kepada fitrahnya. Mengalirkan segala yang cantik. Yang bersih. Yang indah. Jadilah permai yang menyemai rasa damai. Menyukakan bagi yang melihatnya. Menikmatinya. Manusia senang di tebingnya. Boleh mendayung di airnya. Barangkali ramai yang berenang dan berani menyelam. Sungai itu bukan lagi menghantui. Sebaliknya menjadi amat menarik. Mereka bersantai di sekitarnya. Ikan dan hidupan yang dahulunya pupus hidup kembali. Yang dahulunya berpindah randah sekarang berkampung semula. Sungai Thames yang mendamaikan.
Itu hanya suatu contoh kecil tetapi bukan terpencil. Di negara sedang membangun seperti Malaysia pemikiran kita tidak sampai ke situ. Kata-kata Muhammad Abduh telah sangat lama saya dengar. Aku pergi ke Barat dan aku melihat Islam tanpa ada orang Islam. Aku kembali ke Mesir aku tidak melihat Islam walaupun penduduknya orang Islam. Begitulah mafhum kata-katanya. Suatu kesimpulan sinis dan kecewa dari seorang pendokong Islam. Pengalaman saya di US membenarkan kata-kata Muhammad Abduh. Persinggahan saya di London juga membenarkannya. Saya ke Canada, saya melihat benarnya kata-kata Muhammad Abduh. Begitu juga di Jepun. Di negara yang lain saya tidak dapat mengesahkannya. Barangkali saya kiaskan begitu. Di negara maju ceritera penting yang mesti mendasari kemajuannya ialah kebersihannya. Konsep yang belum sampai ke minda orang kita. Dari atas hinggalah kepada rakyat jelata. Dari yang pandai hingga ke yang biasa-biasa sahaja. Penterjemahan konsep bersih tidak sampai kepada amali. Praktikal. Amalam. Bagi yang Islam bahawa kebersihan adalah sebahagian dari iman hanya tinggal hadith yang sesekali didengar. Tidak ada prosedur amali yang diambil dari hadith itu. Tidak dimanfaatkan dalam dunia nyata. Tidak berpaksaikan amali. Tidak dilaksanakan. Baik juga jika amalan kebersihan dimasaukkan dalam kurikulum semua peringkat pengajian dari Tadika hingga IPT. Tanpa kecuali.
Teori mesti dipindahkan dalam bentuk amali. Jadi budaya. Akhirnya jadi darah daging. Diterima sebagai norma. Sebagai sesuatu yang spontan. Dilakukan tanpa banyak fikir. Tanpa banyak dalih. Tanpa perlu dibincang dan dimesyuarat. Jadikan kebersihan sebagai nilai. Sebagai kepercayaan. Bukan hanya sebagai ajaran yang abstrak. Yang tidak berpijak di bumi nyata. Idealism yang kabur dari segi pelaksanaannya. Mulai sekarang kita mesti fikirkan kaedah untuk menukar mindset orang Islam Melayu yang telah lama gagal dalam hal kebersihan ini. Kita perlu kembali semula kepada fitrah. Alam ini asalnya bersih. Kita yang mengotorkannya. Saya ulang, kita yang mengotorkannya. Allah cintakan kebersihan dan kecantikan. Kesucian. Malaikat juga tidak pernah membuat kotor. Jin dan syaitan tidak nampak kotornya kerana alam mereka ghaib. Tidak ada makhluk lain. Kita yang mengotorkannya. Kita, bukan orang lain. Allah telah hadiahkan alam ini dengan fitrah aslinya. Fitrah bersihnya. Fitrahnya untuk dimanfaatkan manusia. Untuk dijaga. Untuk dinikmati. Untuk dimakmurkan tetapi bukan untuk dicemarkan. Bila memikirkan tentang kebersihan, kepala saya jadi berserabut. Yang mana satu hendak dibicarakan. Hendak didahulukan. Saya cuba. Walau bagaimanapun ini persepsi saya. Hanya saya. Tiada ada kena mengena dengan orang lain.
Lihat rumah kita dahulu. Setakat mana kita menjaga kebersihannya. Bukan sebahagiannya sahaja. Bukan halamannya. Bukan ruang tamunya. Bukan dapurnya. Bahkan semua ruang yang apa sahaja namanya berkaitan dengan rumah itu. Khususnya bilik air, jamban dan dapur. Kesemuanya hendaklah bersih. Bersih dari sampah sarap. Yang nampak dan yang tidak nampak. Debu selalu diabaikan. Sawang selalu tidak dilihat. Bersih bermakna segala-galanya. Dalam bentuk apa sekalipun bersih itu difahami sebagai bersih. Dilihat bersih. Dirsakan bersih. Diyakini bersih. Sentuh dengan jari. Lihat. Jika ada debu yang melekat, kotorlah namanya. Jangan pandang ringan. Penyakit datang. Semput mungkin kerana banyak debu. Asma begitu juga. Selsema pun sama. Yang kita sedut hari-hari dan setiap masa debu itulah yang tidak kita bersihkan. Jangan disapu. Terbang kesemuanya. Hinggap di seluluh rumah. Gunakan vakum. Atau lap mana yang perlu. Semua barang yang ada dalam rumah hendaklah dibersihkan. Pakaian, pinggan mangkuk dan apa sahaja yang terdapat dalam rumah. Jika tidak bahaya kepada kesihatan. Orang malas hendak bertandang. Berserabut sahaja pada pandangan mata. Hati nanti berkata-kata. Akhirnya cacat cela. Orang tidak suka. Bila diajak ke rumah mengelak sahaja.
Lokasi yang paling kotor di Malaysia ialah longkang. Longkang besar dan longkang kecil. Di kampung atau di Bandar. Yang paling teruk ialah di bandar. Hairan dan sangat menghairankan. Penduduk bandar selalunya bertempik gegak gempita. Kami orang bandar. Benarkah begitu. Kesian orang kampung. Hina duduk di kampung. Macamlah anak tiri. Tidak ramai orang peduli. Pernahkah kita fikirkan dalam-dalam. Minta maaf banyak-banyak. Ramai orang bandar datang dari kampung. Bila duduk di bandar mereka kehilangan kampung. Berusaha menghilangkan sifat kekampungannya. Namun yang terjadi lebih teruk lagi. Mereka jadikan bandar mereka seperti kampung. Mereka lupa penduduk bandar terlalu padat. Bukan seperti di kampung.
Sewaktu di kampung mereka boleh buang sampah merata-rata. Nisbah sampah dengan keluasan kampung menjadikan sampah sangat tidak signifikan. Tidak terlihat kekotoran. Masih nampak cantik. Mungkin setahun sekali berlaku banjir. Sampah saraf itu hilang dibawa air. Orang kampung melupuskan sendiri sampah yang mereka buat. Mereka tanam. Mereka bakar. Mereka jadikan baja kompos. Atau mungkin dibiarkan mereput dengan sendiri. Jadi baja kepada pokok-pokok yang ada di sekeliling. Tidak ada siapa yang menyatakan pencemaran berlaku kerana sampah. Kampung masih kekal dengan kekampungannya. Memang penghuninya orang kampung. Jati. Asli.
Bagaimanakah kita yang sudah lenih 50 tahun merdeka tidak tahu erti kebersihan? Tidak tahu menterjemahkan ajaran supaya bersih? Tidak tahu bahawa amali kebersihan itu tuntutan agama? Bila orang bercakap tentang agama dipandang sinis? Sesetengahnya pula dicela. Jangan. Agama adalah segala-galanya. Kunci akhirat dan dunia ada pada agama. Melupakan kunci itu menyekat kita dari memasuki jalan lurus kedua-duanya. Agama lebih banyak mendidik. Memberikan tunjuk ajar. Pemimpin perlu pula menggubal peraturan dan undang-undang supaya konsep kebersihan itu dilaksanakan dalam bentuk amali. Dinyatakan prosedurnya. Ada kaedahnya yang praktikal. Ditunjuk caranya. Ada iklan. Ada promosi. Ada tunjukcara. Akhirnya mesti ada kekuatan agama. Ada kekuatan kepimpinan. Ada kekuatan politik (political will) untuk melakanakan erti kebersihan. Longkang bukan tong sampah. Parit bukan tong sampah. Sungai bukan tong sampah. Jika tidak dipatuhi larangan itu, tunggulah. Semua orang bandar akan tenggelam kerana sampah yang mereka lontar sesuka hati. Longkang tersumbat. Parit tersumbat. Sungai penuh dengan sampah saraf. Orang Kuala Lumpur memahami hal ini. Namun penghuninya tidak pernah mahu faham caranya.
Setakat ini aya hanya melihat papan tanda ini di Kuantan sahaja. Orang Kuantan masih belum memahaminya.
Longkang paling menjijikkan ialah longkang-longkang di sekeliling medan selera. Namanya menipu pengunjung. Cantik nama selera. Bila duduk yang dihidu ialah segala bau-bauan yang tidak menyenangkan hidung. Tidak menyenangkan hati. Mengganggu psikologi. Menutup selera. Terbantut selera. Hati menjadi geram. Rasa marah. Kenapa selera ini dipatahkan. Pemilik-pemilik premis perniagaan sudah tersumbat hidungnya. Sudah kabur matanya. Sudah kelam akalnya. Langsung hilang kepekaan terhadap sampah saraf. Sampah yang tidak dipungut syarikat pelulupsan sampah. Syarikat yang tidak memahami erti kebersihan. Keuntungan juga yang difikirkan.
Pihak yang berwajib tidak mengambil berat tentang sampah. Pegawai tingginya tidak turun ke padang. Tidak melihat kejijikan yang melampau. Di mana-mana medan selera saya cadangkan sampah dikutip setiap jam. Bukan setiap hari. Bukan setiap minggu. Jangan benarkan sampah mendap hingga mengeluarkan bau. Sehinggkan mencemarkan padangan. Peliharalah kesemuanya. Alam sekitarnya. Penghuninya. Peniaganya. Pengunjungnya.
Longkang-longkan di Bandar, di taman, di premis-premis perniagaan hendaklah tepat cerunnya. Alir bolah mengalir tanpa kecuali. Diperiksa dan dipantau secara berkala. Berjadual. Jangan tunggu bila ada masalah baru hendak diselesaikan. Hendaklah peka dan berwawasan ke hadapan. Maslahah umum. Untuk negara. Untuk agama. Untyk kesihatan. Untuk kesejahteraan dan kebahagiaan. Setiap pemilik premis perniagaan dipertanggungjawabkan untuk menjaga premis di hadapan dan di belakang. Setiap premis tanpa kecuali. Jika keengkaran berlaku, denda mereka. Paksa mereka membersihkannya atau minta mereka membayar upah untuk orang yang didatangkan untuk membersihkannya. Satu lagi sumber pekerjaan.
Begitu juga di kawasan perumahan. Semua pemilik rumah bertanggungjawab ke atas longkang dan kawasan di hadapan rumah mereka. Terutamanya yang di hadapan get rumah mereka. Apabila longkang kotor denda mereka. Apabila sampah bertabur-tabur, saman mereka. Apabila rumput memanjang tidak diurus, denda mereka. Sebaliknya. Sebaliknya apabila sampah tidak diangkut syarikat yang diberi kontrak saman pihak yang berwajib. Kena ada timbal balas. Keadailan mestilah telus. Tidak memihak. Tidak menekan. Tidak berat sebelah.