Dalam cerita mengenai alam sekitar, kita selalu kaitkannya dengan pencemaran. Banyak punca pencemaran. Rasanya tidak ada yang tiada kaitannya dengan sifat buruk manusia. Ada sifat yang tidak disenghajakan tetapi natijahnya adalah pencemaran. Ada yang memang disengajakan kerana pendidikan tidak memberi kesan untuk menjadikan manusia perihatin tentang buruknya pencemaran. Pencemaran adalah istilah yang sangat besar. Sampah mungkin antara yang terkecil. Sifatnya secara terpencil adalah sangat kecil. Mungkin hanya puntung rokok. Mungkin juga secebis kertas. Atau secarik kain. Atau juga sekelopak bunga. Sehelai daun. Malah mungkin sehelai rambut. Juga mungkin debu yang sangat halus. Namun secara komulatif sampah yang kecil-kecil itu boleh menjadi masalah yang sangat besar. Pemandangan hilang cantiknya. Udara hilang segarnya. Suasana hilang serinya. Fitrah manusia bencikan semua yang kotor. Yang kotor dianggap hodoh. Kotor mengakibatkan penyakit. Kotor menakutkan orang-orang yang pembersih. Kotor menakutkan orang-orang yang cantik. Yang cintakan kecantikan. Yang cintakan kebersihan.
Kita selalu memandang mudah akan sampah di sekeliling kita. Tidak perihatin akan sampah yang kita lihat. Tidak menunjukkan sifat bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan. Keceriaan persekitaran. Peranan penting tentang sampah tentulah teletak di bahu orang dewasa. Bapa dan ibu orang pertama yang wajib bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka tentang pentingnya kebersihan. Memberi makna yang positif tentang kebersihan. Memberi nilai yang besar terhadap kebersihan. Bersih diberi nilai seni yang akhirnya membahagiakan. Kita perlu menterjemahkan kebersihan sebagai realiti. Bukan teori. Bukan retorik kata-kata yang tidak memberi erti. Kembara saya ke negara maju memberikan petunjuk nyata bahawa antara tanda sesebuah negara itu sudah maju ialah tentang sampahnya. Semakin maju sesebuah negara semakin sukar kita melihat sampah. Rasanya banyak kali saya minta maaf tentang hal ini. Di negara yang belum mencapai tahap negara maju sampah sangat ketara berserakan dan bertaburan. Tidak ramai yang tahu pentingnya melupuskan sampah. Pihak berwajib pula belum dapat menggariskan secara pasti bagaimana sampah perlu diurus. Berapa kali sampah perlu dipungut. Bila waktu paling sesuai untuk memungut sampah. Jadual memungut sampah yang efisien. Jadual yang efektif.
Saya telah ceritakan kisah sampah sewaktu di USA dahulu. Begitu juga di Jepun. Kali ini saya ingin berkongsi sedikit tentang sampah di Amman, Jordan. Dari bulan Januari 2013 hingga bulan Mei 2013 saya tinggal di kawasan perumahan Abu Nuseir di Utara Amman. Di kawasan perumahan tentulah hanya terdapat sampah rumahtangga. Sampah dipungut setiap hari. Itupun melimpah-limpah pada masa-masa tertentu. Walau bagaimanapun sampah dipungut setiap hari tanpa kecuali. Jordan bukanlah negara sekaya Malaysia. Masih mampu menyediakan perkhidmatan penting dan perlu untuk rakyatnya. Pada musim sejuk dan awal musim bunga sampah memang banyak. Apabila musim semakin panas, sampah lebih terurus. Jadual memungut sampah semakin kerap. Terutamanya pada tempat-tempat yang sampahnya lebih kerap banyaknya. Agak ganjil bunyinya. Tidak mengapa. Sebelum akhir entry ini akan ada jawapannya. Jadual memungut sampah sangat penting. Di Batu Pahat, Johor umpamanya jadual memungut sampah tidak dapat dipastikan. Kadang-kadang beberapa hari sampah tidak dipungut. Tentu ada sebab yang sahih mengapa keadaan itu terjadi. Kami yang memandang sampah menjadi jijik. Baunya sangat menyentap hidung. Pemandangannya mencemarkan mata.
Kenapa kita sibuk dengan sampah. Kenapa pula sibuk dengan pencemaran. Allah mencipta manusia untuk memakmurkan alam. Manusia diberi tanggungjawab untuk mendatangkan kebaikan kepada persekitaran mereka. Mempergunakan segala yang Allah sediakan dengan sistem yang tidak mengakibatkan sampah. Tiada pencemaran. Kebersihan memberi ruang menambahkan mudahnya mencipta kesihatan. Menambahkan kebahagiaan sebagai manusia yang hidup berkelompok. Kebersihan mewujudkan suasana cantik. Cantik menggembirakan hati, perasaan dan psikologi. Cantik memberikan nilai seni yang halus mulus. Mereka yang dikelilingi dengan suasana cantik lebih ceria. Lebih sihat. Lebih gembira. Lebih sihat. Kebersihan menjana motivasi untuk lebih baik. Mencapai tahap yang lebih tinggi. Sewaktu saya di Rapat Setia, Ipoh dahulu anak-anak penduduk di situ ramai yang berjaya ke IPT. Sama ada di dalam negara atau di luar negara. Rapat Setia pada tahun-tahun 80an dahulu sangat bersih dan damai. Anak-anak terbuka mindanya untuk menjadi lebih berjaya. Suasana damai tiada galang gantinya dalam proses pembelajaran anak-anak.
Kebetulan pada bulan Jun 2013 ini kami ditempatkan di pangsapuri di jalan Utama Bandar Abu Nuseir. Di hadapan bangunan tempat tinggal kami terdapat beberapa tong sampah. Ini cerita benar. Realiti. Bahawa sampah hendaklah dipungut mengikut kekerapannya yang diperlukan. Tong sampah tidak melimpah-limpah. Masih ada ruang untuk membuang sampah berikutnya kerana sampah yang terdahulu sudah dipungut. Mulanya saya fikir sampah dipungut setiap hari. Maknanya sekali dalam sehari. Lama-lama kami perasaan bahawa sampah dipungut beberapa kali dalam sehari. Tengahari, petang dan malam. Selagi ada orang berniaga selagi itulah ada sampah. Maka selagi itulah sampah dipungut oleh pihak berkuasa. Rasanya bukan susah. Kosnya akan meningkat. Betul. Agih semula cukai pintu yang dikenakan. Membuang sampah dan membebaskan persekitaran dari sampah adalah asas kehidupan yang lebik bermakna. Jangan nafikan hal ini. Rakyat dan manusia perlukannya.
Pergilah ke Jepun. Debupun disapu. Setiap tempat dipastikan tiada sampah dalam bentuk apapun. Rakyat dari yang sekecil-kecilnya dididik untuk pandai mengurus sampah.
1 Sampah dibuang di bakul sampah atau tempat sampah.
2 Jangan buang sampah merata-rata. Jangan campak sesuka hati.
3 Bila nampak sampah (tidak kira di mana sekalipun), pungut dan buang ke dalam tomg sampah.
4 Kebersihan menjadi sebahagian dari kurikulum sekolah.
5 Pendidikan kebersihan diamalkan dan dimanfaatkan.
6 Tanam semangat cintakan kebersihan dan negara bersih.
7 Kaitkan kebersihan dengan pendidikan, pendidikan kesihatan, pelancongan, ekonomi dan imej negara. Imej penduduknya. Maruah bangsa. Nama baik manusianya.
Mari kita berfikir semula. Memberi penilaian semula. Memberi rasional yang wajar. Sampah mesti diurus secara profesional. Sampah tidak boleh diurus sambil lewa. Tidak boleh diurus secara biasa-biasa. Harus ada kebijaksanaan. Ada kemahuan tinggi untuk menghidupkan suasana tanpa sampah. Suasana bersih sebersih-bersihnya.
1 Tong sampah bertutup hendaklah disediakan di tempat-tempat yang strategik. Banyak dan sesuai.
2 Sampah yang dibuang dipastikan dibungkus sama ada dengan beg plastik, dengan kotak, dengan kain dan sebagainya.
3 Kajian hendaklah dibuat untuk mengenalpasti kuantiti sampah pada tempat-tempatnya yang tertentu.
4 Wujudkan pola pemungutan sampah supaya sampah dikutip dengan jadual yang bersesuaian. Maksudnya jangan benarkan sampah hingga berulat. Hingga berbau. Hingga dikerjakan anjing, kucing, kambing dan monyet.
5 Di kawasan peranginan seperti di tepi pantai sediakan tong sampah lebih banyak. Pemungutan sampah bukan pada hari kerja tetapi pada hujung minggu. Pengunjung membuang sampah pada hari Sabtu dan Ahad. Mereka tidak datang pada hari kerja. Kebijaksanaan diperlukan dalam hal ini.
6 Di kawasan yang kekerapan membuang sampah adalah lebih banyak, sampah hendaklah dipungut beberapa kali sehari. Umpamanya di kawasan gerai makanan sampah hendaklah dipungut sekurang-kurangnya empat kali sehari. Ya, empat kali sehari. Tengahari, petang, sebelum Isyak dan apabila mereka menutup perniagaan.
7 Begitu juga di kawasan pasar dan di pusat bandar. Kekerapan memungut sampah disesuaikan.
Sampah jangan dibiarkan menjadi sampah terus-terusan. Urus sampah itu supaya kita yang mengurusnya menjadi selesa. Menajdi lebih bahagia. Menjadi lebih sihat. Ingatlah kebersihan disukai orang. Bersih adalah lambang-lambang keindahan. Jangan pula lupa bahawa kebersihan adalah juga lambang iman pada diri Muslim. Sebenarnya bukan susah untuk bersih. Hanya perlu dididik supaya bertanggungjawab. Ibu dan bapa hendaklah memulakannya di rumah. Mereka berdua adalah guru pertama kepada anak-anak sehingga usia mereka tujuh tahun. Dismbung tugas itu oleh guru di sekolah. Dipantau oleh ahli masyarakat, pemimpin dan pihak berkuasa yang diberitanggungjawab mengurus sampah. Bukan sekadar secara perlu tetapi dengan lebih profesional. Indahnya dunia tanpa sampah.