Thursday, July 25, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Senibina Yang Membina Tamadun




Banyak berjalan pastinya banyak melihat. Ada sahaja yang dapat dipandang. Dari situ boleh buat berbagai-bagai tafsiran. Membuat analisis. Membuat rumusan. Suatu ketika dalam hidup. Suatu sudut usia. Melihat dan memerhati. Mengingat kembali yang lalu. Cuba memindahkannya kepada suatu fasa lain pada masa hadapan. Tentunya dalam hidup ini kita perlu banyak bersyukur. Banyak nikmat yang Allah anugerahkan. Tiada manusia yang dapat mengira. Kita hanya dapat bersyukur. Kelemahan yang ada pada kita tidak memungkinkan kita berbuat yang terbaik. Banyak komitmen hidup yang perlukan masa dan tenaga. Mudah-mudahan kesemuanya kerana Allah. Dalam apa keadaan sekalipun kita mesti mencari damai di hati supaya boleh beribadat dengan aman dan damai. Jika hati tidak tenang sukar khusyuk dalam ibadat.

Dalam berpindah randah saya dapat mempelajari banyak perkara. Antaranya barangkali senibina. Semua manusia perlukan rumah dalam bentuknya yang berbagai. Setiap tempat, daerah, negeri dan negara ada kelainannya. Kita tidak boleh hanya hairan dan banyak kenapanya. Setiap sesuatu berasaskan pengalaman berbeza. Pengaruh iklim, angin, suhu, cahaya matahari, adat, budaya dan kebiasaan mempengaruhi senibina. Pendidikan dan disiplin hidup menambahbaik senibina itu. Jika banyak bersyukur Allah sentiasa memberi banyak kelebihan. Rezeki Allah berbagai bentuknya. Kadang-kadang kita tidak perasan. Sewaktu saya hendak membina rumah dahulu saya fikirkan arah angin dan arah matahari naik dan turun. Angin selalunya ada kaitan dengan hujan. Andainya rumah mengadap angin maka selalulah tempias apabila hujan lebat.  Matahari pula mempengaruhi suhu di dalam rumah. Terutamanya bilik tidur. Ianya lebih baik mengadap matahari naik. Apabila malam bilik itu lebih dingin berbanding yang mengadap matahari jatuh.

Di Jordan, rumah saya di tingkat bawah. Atas tanah. Tetapi kerana orang Jordan membina rumah di lereng-lereng bukit maka tingkat bawah bermakna seperti di bawah tanah. Alhamdulillah rumah yang saya duduk tidak tertanam dalam tanah seperti kebiasaannya. Apabila membuka tingkap masih nampak dunia di sekeliling. Cuma selalu berjaga-jaga supaya mereka yang di atas bangunan bersebelahan tidak banyak nampak pergerakan kita. Kena selalu berjaga takut-takut kita tidak dalam keadaan sempurna. Rumah orang Jordan agak kemas buatannya. Secara perundangannya semua rumah diwajibkan menggunakan jubin batu tempatan. Sebelah rata dan sebelah lagi sengaja dikasarkan dengan cara dipahat atau diketuk. Tentu menggunakan mesin khas untuk melakukanya secara berskala besar. Cuma rumah orang Jordan tidak dicat. Warnanya sama sahaja. Tidak kira di mana. Itulah warnanya. Warna putih batu.

Di Kaherah ini rumah yang saya duduki adalah rumah lama. Saya perhatikan rumah orang Mesir agak kasar buatannya. Mungkin adatnya begitu. Tidak dirasakan mengapa. Keduanya mungkin untuk menjimatkan kos. Ketiganya mungkin kerana tiada perundangan yang mengawal tentang seni dalam senibina. Yang dipastikan dipatuhi hanya dari segi kejuruteraan tetapi tidak seninya. Nilai seni tidak banyak diambil kira kecuali bangunan peribadi. Milik individu yang kaya dan berada. Saya perhatikan spesifikasi ruang tidak standard. Lantai tinggi rendah. Tiada ukuran yang sama. Pintu dan tingkap asalkan boleh ditutup. Di Jordan dan di Kaherah saya lihat sambungan elektrik sangat tidak dijaga. Tidak kemas. Tidak dilindung. Tidak dianggap seperti bahaya. Wayar berselirat. Sambungan tidak rapi. Apabila hal sebegitu menjadi budaya maka nilai seni sesebuah rumah semakin berkurangan.


Saya rasa bersyukur kerana rumah saya di tingkat empat. Tidak mengarah matahari naik atau matahari turun. Walaupun sekarang musim panas, hanya pada waktu tengahari terasa panasnya. Pada sebelah petang hingga malam terasa dingin. Kipas angin perlahan sudah memadai. Terasa sejuk juga pada ketika-ketikanya. Alhamdulillah. Allah meletakkan saya di sini bersama isteri. Ada kedamaian di negara orang. Sedang menunggu bulan Ogos yang dikatakan lebih panas. InsyaAllah tiada apa yang menyulitkan. Memang panas kerana di sekeliling Kaherah adalah padang pasir terbesar di dunia. Sahara. Teringat saya, di Malaysia ramai orang perempuan yang bernama Sahara. Maknanya padang pasir. Gurun. Panas. Berpasir. Mudah-mudahan mereka tidak begitu. Biarlah nama sahaja Sahara tetapi orangnya seperti wadi yang sejuk, subur dan penuh dengan kehijauan. 


Punca elektrik seperti ini tidak mungkin berlaku di Malaysia

Berselirat wayar

Bilik ini seeprti dicat. Walau bagaimanapun lihatlah hasilnya.

Sambungan bergantungan

Rumah-rumah yang berbagai kemasan luarnya

Lubang kunci atau selak pada pintu

Lihatlah bata-bata itu disusun. Nampak dengan mata kasar tidak kemas.

Aduhai. Yang ini lagilah. Ada pula lubang.

Macam mana ni. Jika rumah saya memang saya tolak mentah-mentah.

Hendak menggantung kipas. Siling ini lantai untuk tingkat atas. Seperti hendak runtuh ditebuknya. Lepas itu dibiarkan begitu. Tidak dikemaskan semula. Tiada aesthetic value.

Ketidakkemasan pada rangka pintu.

Ini bukan baju. Tikar getah terpaksa dipotong kerana lantai bahagian yang itu lebih tinggi dari bahagian yang lain. Jika tidak dipotong tikar getah itu, pintu tidak boleh ditutup. Kan haru tu. Yang berwarna biru adalah jubin lantai.

Kasehan dinding tu. Kena tebuk.

\
Dah nak tanggal. 

Rekabentuk cat yang tidak menjadi.

Kemasan pada pintu.

Kabel alat pendingin udara dari rumah sebelah. Dinding pertama yang ditebuk. Besar lubangnya. Ternganga. 

Dinding kedua yang dilubangkan.

Tidak pasti sama ada wayar-wayar ini hidup atau sudah dimatikan.