Wednesday, July 2, 2014

Siri Tujuh Belas: Menunaikan Haji

Haji Abas di TV Alhijrah.  Menonton rancangan siaran langsung Wanita Solehah. Menjelang usia 100 tahun dapat juga Haji Abas menikmati kenangan manis menonton siaran langsung sebegitu. Semasa negara merdeka dahulu TV belum ada lagi.  Semasa mudanya tidak ada pula kesempatan mengunjungi mana-mana stesen TV.


Ada sesuatu yang dapat dipelajari dari pengalaman Haji Abas. Senerio yang dipaparkan setakat ini adalah kemiskinan dan kesusahannya. Bagaimana dia selalu bernafas dalam lumpur. Bernafaspun dalam kesukaran. Namun kegigihannya untuk terus menikmati kehidupan beragama tiada tandingannya. Bagi kebanyakan keluarga Melayu-Islam di kampung terdapat dua perkara besar yang harus ditangani dengan bijaksana. Pertamanya, anak-anak berkahwin dan dicarikan kebahagiaan bersama pasangan masing-masing. Keduanya menunaikan fardhu haji sesegera yang mungkin dengan mengumpul wang berdikit-dikit.  Warga di luar bandar bukan banyak pendapatannya. Tetapi dalam kesempitan hidup yang begitu rupa mereka berdisiplin menyimpan. Menabung. Mengisi dana peribadi dan keluarga. Di mana mereka menyimpan dan bagaimana mereka menyimpan adalah soalan yang terlalu teknikal. Kaedah mereka terlalu tradisional. Walaupun Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) telah ada, urusan berulang-alik ke pekan atau bandar bukan option yang terbaik. Memenat dan menyulitkan urusan. Itu belum lagi protokol, prosedur dan birokrasinya.

Simpanlah di mana-mana yang difikirkan selamat. Apabila cukup amaunnya Haji Abas mendaftarkan dirinya dan Hajjah Aminah untuk menunaikan fardhu haji pada tahun berikutnya. Pada zaman itu urusan pergi haji sangat memudahkan. Daftar dengan wang yang cukup maka giliran ditentukan dengan segera. Tidak ada masa menunggu hingga bertahun-tahun seperti sekarang.  Masa menunggunya hingga berpuluh tahun. Sebenarnya pergi haji atau tidak bukan lagi dalam kuasa mereka yang berhajat. Bukan juga kuasa pemerintah. Banyak faktor antarabangsa dan keselamatan yang perlu dipertimbangkan. Begitu juga ukhwah antara Muslim di berbagai negara dalam dunia ini. Hak bukan ditentukan siapa cepat dia dapat. Kuota memainkan peranan untuk menjaga kepentingan ummat Islam pada keseluruhannya. Semua warganegara dari berbagai negara berpeluang mengikut giliran masing-masing. Yang penting ialah jemputan dari Allah. Allah yang menjemput bakal haji. Allah yang mengkehendaki siapa yang awal dan siapa yang lewat. Berdoalah sebanyak-banyaknya supaya diperkenankan Allah dengan jemputannya.

Apabila telah mendaftar maknanya sudah ada niat. Halangan masa tidak menjejaskan niat tersebut. Andainya seseorang itu meninggal dunia sebelum dapat menunaikan haji, insyaAllah pahalanya sudah dicatatkan Allah sebagai pahala kebajikan. Begitulah orang kampung seperti Haji Abas tidak diketahui bila ia menyimpan. Di mana dia menyimpan. Dari mana wang yang disimpan itu. Sampai masanya ia dan isterinya pergi menunaikan haji. Lambaian Kaabah sangat kuat di hati setiap Muslim. Bagi mereka yang pernah menjejakkan kakinya di Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawarrah pasti selalu rindu. Banyak berdoa sebelum kembali ke tanah air untuk datang kembali secepat yang diizinkan oleh Allah. Berdoa juga untuk ziarah lagi ke tanah haram. Alangkah bahagianya mereka yang bersemadi d Makam Baqi’ di Madinah al-Munawarrah. Sentiasa bersama jasad Rasulallah sehingga hari Qiamat.

Suatu prinsip yang perlu dipelajari dari Haji Abas ialah tabiat atau azam menyimpan. Kita selalu berfikir bahawa menyimpan jika ada lebihan dari keperluan yang terlalu banyak. Pendapatan yang ada selalu dikira tidak mencukupi. Pada Haji Abas kemiskinan tidak menghalangnya dari menyimpan. Untuk meyimpan sebanyak kira-kira RM17,000 untuk dua orang tentulah memerlukan masa yang agak lama. Tidak mungkin dalam setahun atau dua. Maknanya menyimpan bagi Haji Abas merupakan disiplin yang diwajibkan ke atas dirinya. Dia tidak bergantung kepada lebihan. Tidak bergantung kepada pendapatan yang banyak. Ianya bukan tanpa perancangan. Kekuatan azam dan cekal diri memerlukan disiplin yang kuat. Dalam kesempitan yang bagaimana sekalipun simpanan tetap ditambah. Tidak diambil sesuka hati walaupun kerana keperluan yang sangat mendesak.

Menunaikan haji adalah suatu keindahannya yang tersendiri. Setiap Muslim seperti mengidam untuk melakukannya pada kali pertama. Pada kali yang berikutnya perasaan yang bersarang di hati tidak sama. Darjahnya menurun. Hukumnya bagi kali kedua dan berikutnya juga berkurangan. Jika yang pertama kali adalah wajib tetapi yang berikutnya hanya sunat sahaja. Yang punya diri dapat merasakan perbezaan keterujaan pada kali pertama dan pada kali yang berikutnya. Begitulah terujanya Haji Abas dan Hajjah Aminah menunaikan haji. Dengan wang simpanannya sendiri. Yang dititip ke dalam tabungnya sedikit demi sedikit. Kita yang berpendapatan melebihi dari cukup selalu tidak memiliki tabungan yang menasabah. Nafsu selalu mengatasi akal.

Lazimnya apabila menunaikan haji terdapat mereka yang tinggal berhampiran. Mungkin dari kampung yang sama atau kampung yang berlainan. Ada antaranya saudara-mara sendiri atau sahabat handai. Apabila sampai di Makkah bertemulah dengan mereka yang mungkin sudah terlalu lama tidak berjumpa. Bertautlah semula persahabatan. Sama-sama ke masjid. Sama-sama makan. Sama-sama membeli-belah. Sama-sama berziarah. Begitu juga Haji Abas dan Hajjah Aminah. Bertemu dengan saudara sendiri dari mukim yang sama. Berlainan kampung. Adalah teman berbicara. Sama-sama bantu-membantu. Memerhatikan keselamatan antara satu sama lain. Merawat semasa sakit dan pening. Mereka yang berpengalaman pasti dapat mengimbau semula keberadaan di Makkah dan Madinah. Enaknya air zamzam. Umrah berulang kali dari Tana’im atau Ja’ranah. Qiamil lail di masjid. Tawaf berulang kali. Mendapat peluang mengucup Hajr al-Aswad. Mungkin menyentuh Kaabah. Atau Kiswah yang tergantung. Solat di Hijr Ismail.

Sayunya di Arafah. Saujana mata memandang. Tempat pertemuan Adam dan Hawa di Jabal Rahmah. Alangkah nikmatnya jika mendapat haji akbar. Pada hari Jumaat yang mulia. Penghulu segala hari. Khutbahnya menyentuh hati. Ke Muzdalifah dan ke Mina. Melontar jamrah pada hari Tasyriq. Kembali ke Makkah. Tawaf ifadah. Tahlul al-thani. Mudah-mudahan mendapat haji yang mabrur. Al-haj maqbulah. Besarnya hati Haji Abas dan Hajjah Aminah berada di sana. Kembali dengan rasa puas yang teramat sangat. Sempurna rukun Islam yang lima.