Ibu membelikan saya basikal. Waktu itu saya di darjah enam. Tahun 1959. Memang sudah lama saya mengidamkan basikal itu. Di kampung basikallah mode pengangkutan paling versatile. Tidak ada tolok bandingnya nikmat berbasikal. Dengannya boleh jalan-jalan, tempat jauh boleh cepat sampai, ke kedai, ke majlis-majils, ke pekan dan tidak lupa untuk mengangkut barang. Orang tua-tua berbasikal besar yang dipanggil basikal cargo (kargo). Tinggi, rodanya besar dan ada tempat barang yang bersaiz besar di bahagian belakang. Biasalah orang mengangkat getah dan beku, kelapa dan nanas. Dua guni kopi atau pinang tidak menjadi masalah.
Abang sepupu saya berniaga membeli dan menjual getah. Saya selalu bermain di kawasan rumahnya. Tidak jauh dari rumah saya. Kira-kira 500 meter. Dia berbasikal besar. Bila basikal itu tidak digunakan, saya mencuri-curi belajar menggunakkannya. Waktu dulu, basikal besar bukan masalah. Kanak-kanak mengayuh basikal besar walaupun kaki mereka tidak menjejak pedal basikal secara hakiki. Hanya sebelah kaki yang menghenjut pedal. Yang sebelah terlepas tidak terjejak. Bergilir-gilir kaki kanan dan kaki kiri. Boleh laju. Giler habis kata budak sekarang.
Suatu hari malang menimpa saya. Dalam ghairah belajar saya hilang imbangan. Kebetulan jalan kampung di tepi parit besar. Paritnya dalam. Melebihi tiga meter. Apa lagi meluncurlan basikal besar itu ke dalam parit bersama saya sekali. Tentulah terteguk beberapa kali air parit yang kehitam-hitaman. Memang tidak mungkin saya boleh naik sendiri dan membawa basikal itu sekali. Badan saya lebih ringan dari basikal itu. Terpaksalah menjerit minta tolong. Kebetulannya pula air tidak pasang. Jika tidak lebih banyak air parit saya minum. Tidak serik. Basikal tetap dicuba hingga jaya.
Masa dulu-dulu itu, di kampung tidak ada motorsikal. Mungkin akan lalu sekali sekala motorsikal. Maaf bukan kapcai. Semuanya motorsikal besar. Jika sekarang geram dengan Harley Davidson, dulu orang berbangga dengan Thriumph, Ducati dan Norton. Semuanya motorsikal besar dan sangat berat. Jika hendak tumbang, pasti tidak boleh ditahan. Biarkan tumbang. Bila sudah tumbang, baru bangunkan hingga meneran-neran kerana beratnya. Bunyinya pum pum penuh membingit telinga. Kanak-kanak seperti saya hanya boleh berangan. Berlari berkeliling seolah-olah memandu motorsikal. Mulut berbunyi meniru bunyinya. Riuhlah halaman rumah. Riangnya tidak terkira.
Mungkin saya terlupa. Sewaktu di darjah tiga saya mula belajar di sekolah agama. Itu sistem di Negeri Johor ketika itu. Sekarang serentak. Darjah satu sekolah kebangsaan dan pada masa yang sama darjah satu juga di sekolah agama. Sekolah agama ini pula bermula pada pukul dua petang hingga 6.00 petang. Jadualnya bergilir-gilir. Darjah satu hingga tiga mungkin antara puku 2.00 hingga pukul 3.30 petang. Yang lain hingga ke petang.
Ini zaman payah saya dahulu. Sudahlah tidak membawa bekal, balik pukul 3.30 petang pula. Nak kata puasa tidak. Minum air sepuas-puasnya. Makan tidak juga. Nanti pada pukul 4.00 petang atau lewat lagi baru makan apabila sampai di rumah. Begitulah banyaknya tenaga kanak-kanak seperti saya. Dalam keadaan lapar masih boleh berjalan, bermain, membawa beg sekolah. Kesiankan? Apa nak buat. Nasibnya begitu. Imejnya yang masih ada. Penatnya juga masih terasa. Laparnya kekadang menjenguk rasa. Kehidupan yang banyak pasang dan surutnya.
Pada tahun 1959, harga getah agak mahal. Ibu dapat membelikan saya basikal dengan membayarnya beransur-ansur. Abang sepupu saya yang berniaga getah yang mendahulukan wangnya. Lama basikal itu saya gunakan dari tahun 1959 hingga selepas saya tamat sekolah menengah pada tahun 1965. Sesudah saya bekerja, basikal itu setia menanti saya di rumah yang sekarang tinggal bekasnya sahaja. Titi kecil itulah tempat saya menyeberang. Sayapun lupa apa sudahnya basikal itu. Siapa yang menghadap matinya. Iktibar kepada manusia. Kita selalu lupa dan alpa kepada mereka yang banyak jasanya kepada kita. Tidaklah sampai habis madu sepah dibuang. Cuma apabila berhadapan dengan keadaan semasa, kita lupa menoleh ke belakang untuk mencari yang lebih baik bagi meneruskan langkah ke hadapan yang lebih pasti.
Basikal itu saya gunakan ke sekolah. Itupun jika bukan musim tengkujuh. Bila tanah becak, licin dan berlumpur, basikal akan ditinggalkan di rumah. Pada masa musim panas barulah selesa berbasikal. Dengan basikal itulah saya ke kedai, ke rumah kakak sepupu saya di hujung kampung dan ke rumah nenek saya yang merentas enam buah kampung. Jauhnya kira-kira 10 kilometer.
Apabila kita tidak ada apa-apa, maka kita gunakan apa sahaja yang ada. Kita lebih berpada-pada dan kuranglah mengada-ngada. Kita tidak merasa kekurangan. Hidup masih terlalu simple. Naive. Tidak kompleks seperti sekarang. Masa dulu-dulu teknologi sangat terbatas. Tetapi sekarang, dalam kepungan teknologi yang menggila, kita lemas dengan perubahan dan pertukaran yang tidak terhambat. Banyak kejahilan menggarap ilmu. Banyak perubahan yang tidak mudah ditangani.
Tanpa persediaan minda untuk hidup dalam zaman senang begini, ramai yang hanyut mengikut arus yang entah ke mana. Jadinya ramai orang yang menyimpang dan tidak menuruti jalan lurus yang diredhai. Ramai pula yang lemas kerana badi pembangunan dan kemajuan. Sebab itulah akal budi kita harus dihidup, dijana, diperkasa. Wahana dan wacananya mestilah teratur bersusun, langkah dan prosedurnya disulam dengan wawasan, misi dan visi. Matlamatnya jelas. Derapan langkah-langkah usaha diberi pemeringkatan. Di depan sana bayang dan imejnya biarlah nyata. Apa yang digapai mestilah realiti. Fantasi hendaklah direalisasikan.
Hidup di alam fana ini sebentar sahaja. Musafir lalu. Ada masa mengena. Ada masa kita hanya menganga. Majulah dan terus maju. Langkah kita harus ke hadapan. Jika undur bukan untuk kalah tetapi untuk melonjak lebih jauh. Lebih tinggi.
Basikal hanya tunggangan. Hanya mode pengangkutan. Walaupun basikal itu penting tetapi destinasi itu lebih penting. Jika dulu, dari celah-celah dedaun yang rimbun saya membelah awan dan merentas benua, basikal saya telah membawa saya ke sini. Waktu ini. Ia telah menemukan kita. Lalu Mencipta kebersamaan kita. Barangkali inilah perkongsian pengalaman sukar senang. Natijahnya ialah pengalaman-pengalaman biasa yang tidak pernah diduga sampai di destinasi ini. Alhamdulillah. Syukur padaMu ya Allah. Berkatilah hidupku, isteri dan anak cucuku. Berekatilah hidup ahli keluargaku, sahabat-sahabatku, dan seluruh mereka yang beriman sama ada mereka masih hidup atau sudah tidak bersama lagi. Ampunkan dosa-dosa ibu dan bapaku. Kasihanilah mereka sepertimana mereka telah menagasihiku sewaktu kecilku dahulu. Amin.