Wednesday, January 23, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Al-Quran dan Bahasa Arab

Malam ini Selasa 22 Jan 2013 diadakan kelas mengaji al-Quran di rumah sewa saya. Pelajar Malaysia yang mengikuti program Bahasa Arab di Universiti Zarqa berhimpun bersama. Termasuk Anas dari Britain. Bapanya orang Algeria sementara ibunya berasal dari Perancis. Dua orang lagi adik beradik dari Singapura. India Muslim. Kakaknya bernama Tasnim dan adiknya Irshad.  Alhamdulillah kerana Ustaz Khalid (our man in Amman Jordan) memberi perhatian akan perlunya mengintegrasikan bahasa Arab dan al-Quran. Tidak semuanya yang dalam al-Quran dipraktikkan kalimah dan istilahnya tetapi Bahasa Arab tentu memerlukan pelajarnya mengenal makhrij huruf dan sifat huruf. Tanpa keduanya terasa janggal mempelajari bahasa Arab tanpa asas dan teknik yang betul. Bahasa al-Quran tersangat tinggi dan tersangat halus. Mempelajarinya tentulah memerlukan perhatian dan kemahiran yang tinggi.
Bahasa jiwa bangsa. Ungkapan kita kerana mengagungkan bahasa Melayu. Malangnya slogan kita tidak begitu dihormati. Memang bahasa jiwa bangsa. Dalam bahasa itu ada banyak nilai-nilai demografi. Ada agama, ada adat, ada budaya dan berbagai lagi yang unik untuk bangsa itu sahaja. Maka lain bangsa lain bahasanya. Lain nilai-nilainya. Walaupun terdapat nilai-nilai sejagat tetapi banyak nilai-nilai khusus bangsa itu sahaja. Begitulah bahasa Arab yang dikatakan sinonim dengan bahasa al-Quran. Apabila berlaku perbezaan dalam menterjemah dan mentafsir sesuatu istilah maka mereka kembali merujuk kepada al-Quran. Apa kata al-Quran. Apa kata wahyu Allah. Itulah pesan Rasulullah SAW. Apabila berlaku perselisihan kembalilah kepada al-Quran dan sunnahku. Ternyata pesanan itu hakiki.
Alhamdulillah guru al-Quran yang disediakan untuk kami adalah seorang imam kabir dari masjid besar Abu Nuseir. Kami jangkakan orangnya tua, berpengalaman dan mungkin rambutnya putih beruban. Kami terkejut kerana yang datang seorang muda yang sederhana besar tubuh badannya. Tidak banyak bezanya dengan saiz orang Malaysia. Usianya baru 27 tahun. Masih muda belia. Sudah berumahtangga. Lazimnya begitu. Semakin alim seseorang itu semakin cepat ia berumatangga. Hanya rumahtangga yang menutup tipu muslihat syaitan. Kagum kami melihatnya dalam banyak perkara.  Wajahnya sentiasa lembut, penuh dengan senyum. Walaupun antara kami ada yang sukar menyebut sesuatu huruf ia terus senyum membetulkannya. Kepada orang Melayu banyak huruf yang memberi masalah. Sukar membezakan antara  dan. Antara dan.  dan. dan  . dan. dan. Bahasa Arab perlu ketepatan makhraj. Itu belum lagi sifat-sifat yang mengiringinya.
Makhraj dan sifat menyatu dalam sesuatu fasohah. Apabila sebutan tergelincir makhraj dan sifatnya maka maknanya berubah. Maksudnya berubah. Hasrat yang diperlukan berubah. Cakap lain dapat lain. Minta lain yang  tiba lain. Suruh lain buatnya lain. Begitulah juga antara panjang (mad) dan pendek.  ﺑﺎﺭﺩ Baarid. Panjang dua harakat pada ba. Pendek pada rid (satu harakat). Makannya sejuk. Dingin. ﺑﺮﻳﺪ Yang ini  bariid. Pendek pada ba (satu harakat) dan panjang pada riid (dua harakat).   Maknanya pula pejabat pos. Kerana itu mempelajari al-Quran bukan sebarangan. Memang kata orang baca sahaja. Allah mengetahuinya. Benar pada peringkat awal. Semasa kita bertatih-tatih. Berjinak-jinak. Wajib mempelajarinya dengan betul kerana perubahan panjang  dan pendek mengubah makna. Kita hendak ke pejabat pos tetapi kita kata sejuk. Kita bertanya arah tiada orang yang memberitahu. Kita kata sejuk orang menunjukkan arah ke pejabat pos. Bayangkan berapa banyak kalimah dalam al-Quran yang tersalah makna jika kita tidak mempelajarinya dengan betul. Sayugialah kita bertitik tolak dari saat ini untuk belajar al-Quran dari guru yang lebih alim. Lebih mu’tabar. Lebih syadid. Lebih mursyid. Kita banyak  belajar membetulkan diri kita. Terasa lebih hampir kepada Allah dan RasulNya.           
Kerana mempelajari al-Quran hampir dengan Bahasa Arab lebih mudah mempelajari kedua-duanya. Sekurang-kurangnya sebutan atau fasohah kita lebih mendekati yang benar dan hak. Kerana itu al-Quran dan bahasa Arab sejajar. Seiring. Bergandingan. Satu dalam satu. Bahasa al-Quran adalah bahasa Arab. Bahasa Rasulullah SAW. Bahasa syurga dan akhirat. Minggu lalu, Selasa malam Rabu adalah kali pertama kami berkumpul mentarbiah diri dengan al-Quran. Memang kadang-kadang orang Melayu sangat bertepatan fasohannya dengan orang Arab. Namun kadang-kadang ramai yang tergelincir lidahnya jika tidak biasa dan tidak dibiasakan.    Bahasa Arab bukan bahasa kita. Bukan budaya kita. Kena banyak bersabar. Membuka dada dan telinga. Ringan lidah berlatih menyebutnya. Banyak kebaikannya jika fasohah kita betul. Bagi sesiapa yang teringin mempelajari bahasa Arab maka tiada pilihan kecuali belajar dahulu al-Quran dengan sebaik-baiknya.          
Imam masjid Abu Nuseir yang didatangkan untuk kami seperti turun dari langit. Ingatan saya kembali ke zaman Nabi Yusuf.  Kenapa agaknya ya. Imam yang datang bukan sahaja muda bahkan sangat lawarnya. Bukan sahaja peserta yang muda-muda terpegun menatap wajah cantiknya bahkan peserta yang berumur takut bertentang mata dengannya. Terkedu kerana kecantikannya. Ingat cerita Nabi Yusuf. Betapa gundahnya perasaan Zulaikha siang dan malam. Apabila diperlihatkan kepada isteri pembesar-pembesar Mesir, mereka semua terhiris jari masing-masing. Mata sudah tidak terlepas memandang cantiknya Nabi Yusuf. Buah yang dikupas entah ke mana. Jari yang dikupas. Begitulah imam yang mengajar kami al-Quran. Tersangatlah cantik orangnya.
Cantik mungkin subjektif. Yang nyata pada raut wajahnya terpancar al-Quran. Sebutan kalimah yang keluar dari kedua bibirnya adalah al-Quran. Senyumnya al-Quran. Tegurannya selembut al-Quran. Perbualannya lambang al-Quran. Barangkali itulah sedikit gambaran tentang diri Rasulullah SAW seperti yang diterangkan oleh Aisyah. Bahawa sesungguhnya pada diri  Rasulullah SAW adalah al-Quran. Lega dan teruja berada bersama mereka yang arif dengan al-Quran. Andainya dapat bertalaqqi dan bermusyafahah dengan imam itu tentu terubat dengan rindu terhadap al-Quran. Wahyu agung untuk umat yang teragung. InsyaAllah Allah memberkati kami di bumi anbia ini.