Sunday, January 29, 2017

Enggang Dan Kenyalang




Burung Enggang/ Kenyalang yang sininonim paruhnya.


Pada akhir tahun-tahun 60an kampung penulis masih banyak kawasan hutannya. Masih kaya dengan flora dan faunanya. Antara yang masih banyak ialah burung enggang. Besar, paruhnya panjang dan bunyinya kuat. Sangat banyak membiak. Pada waktu siang banyak yang berterbangan di kawasan perumahan penduduk kampung. Enggang dianggap istimewa sehingga diperibahasakan enggang sama engang, pipit sama pipit. Enggang dikonotasikan sebagai burung elit. Tinggi darjatnya. Berbeza secara signifikan dengan pipit. Saiz, bulu, paruh dan bunyi enggang gah. Terbang dan hinggapnya juga dilihat gah. Jauh bezanya pipit di ladang. Tidak signifikan dari segi saiz dan bunyinya. Kehadiranya di sawah hanya memakan padi. Terbangnya bagai tidak menggoyang pokok padi. Terlalu kecil. Hanya satu indahnya pipit. Terbangnya berkawan. Banyak dan berombak beralun. Enggang pula lazimnya terbang dan hinggap berpasangan atau bersendirian. Barangkali lesung pipit yang kelihatan cantik. Tidak lesung enggang.

Hari ini, Sabtu 28 Januari 2017, buat pertama kalinya penulis menjejakkan kaki di bumi Sarawak. Bumi kenyalang. Bumi enggang. Kenyalang dan enggang adalah burung yang sama. Di Sarawak disebut kenyalang. Di semenanjung disebut enggang. Burung yang sama tetapi dua namanya. Di Sarawak burung enggang sangat terlalu istimewa statusnya. Negeri dan hutannya luas. Habitat enggang yang memudahkannya membiak.  Simbol kedaulatan, keperwiraan dan kegagahan. Sangat dekat di hati peribuminya. Bulunya sinonim dengan setengah etnik di Sarawak. Dijadikan sebahagian regalia kaum lelakinya. Jika dahulu regalia itu untuk berperang tetapi sekarang ianya untuk sambutan perayaan seperti hari Gawai. Dan enggang menjadi lambang rasmi negeri Sarawak.




Di kampung penulis, enggang dikira pupus. Habitatnya telah musnah.  Hutan telah habis diteroka, dipugar dan dijadikan kebun-kebun penduduk kampung. Subur dengan pokok-pokok getah, nanas, kelapa dan sekarang kelapa sawit. Habitat semulajadi enggang diganti dengan perkebunan penduduk dan kawasan tempat tinggal. Tempat mencari rezeki dan berbudi kepada tanah. Begitulah apabila yang datang memusnahkan maka yang dimusnahkan hilang dari menajdi warisan berzaman. Hanya tiggal sejarah dan kenangannya sahaja. Kita tidak peka dengan pentingnya alam dan kita lupa bahawa kita perlu menyatu dengan alam. Sewajarnya kita bukan mengganti tetapi berintegrasi. Melakukan kohabitasi. Sama-sama hidup. Sama-sama mencari makan. Sama-sama berkompromi dan hidup harmoni bersama alam persekitaran yang sama.

Sewaktu penulis mula tinggal di rumah sekarang ini, kelihatan beberapa burung enggang terbang hinggap di pokok besar berhampiran dengan rumah. Seperti sesuatu yang muncul kembali dari suatu kemusnahan. Mungkin datangnya dari bukit-bukau di sekeliling Bandar Penggaram. Namun begitu sejak 10 tahun kebelakangan ini tiada lagi enggang yang datang. Bukan itu sahaja: terdapat juga tekukur, merbuk, merbah, murai, raja udang, tiung dan pipit. Kesemuanya bagaikan hilang. Tiada lagi bunyi tekukur. Tiada lagi dekut merbuk. Tiada lagi bisingnya murai. Tiada lagi decit pipit. Burung raja udang berwarna biru hilang entah ke mana. Kemusnahan yang kita alami sebenarnya sangat meluas. Sangat serius.  Kemusnahan yang tidak akan dapat dipulihara. Tidak dapat dikembalikan lagi ke asalnya. Kemusnahan yang memang memusnahkan.

Menyeberangi Laut Cina Selatan mengingatkan penulis zaman silam yang telah datang tetapi menghilang. Kemajuan, perubahan lanskap alam, perubahan persekitaran merealisasikan impian dan wawasan hidup senang pasca kemerdekaan. Namun impian itu banyak memusnahkan banyak warisan alam. Warisan kita sendiri. Kemusnahan habitat semulajadi dan pencemaran memusnahkan apa yang ada. Undang-undang perlindungan tidak memberi erti. Pemuliharaan tidak juga dapat membetulkan keadaan. Menjaja kemajuan rupanya menidakkan kita dari perlunya mendakap warisan berzaman. Bak kata pepatah, yang dikejar memang dapat tetapi yang dikendung berciciran. Warisan yang hilang bukan murah harganya. Harga warisan yang tiada nilai taranya. Teralalu mahal. Masalahnya tiada siapa yang peduli. Keuntungan  yang sedikit menutup kewarasan dalam membina pembangunan. Kemusnahan bukan isu apabila keuntungan menjadi matlamat segala-galanya.

Apabila usia berlalu, banyak yang telah ditinggalkan. Anak-anak muda masih galak bermain mercun dan bunga api. Mereka tidak tahu bahawa warisan nenek moyang dan generasi mereka telah pupus. Benar kata orang, apa ada pada yang lama. Hanya sejarah yang bukan lagi realiti. Tetapi tanpa yang lama apa sebenarnya yang baru. Ciptalah sebanyak mana yang baru jika tanpa berlandaskan yang lama maka kamus bahasa akan semakin menipis. Banyak perkataan dan istilah yang hanya boleh dieja dan disebut. Pergi ke google dan wilkipedia tetapi hanya bayangan dan cerita yang ada. Suatu sejarah yang malas hendak dibaca. Apa lagi jika panjang berjela-jela. Pada hal lebih mudah memelihara warisan dari mencipta warisan baru yang  kebanyakannya hanya silih berganti. Tiada yang lestari.


Dalam apa-apa perjuangan kita jarang mendapat  kesemua yang kita perjuangkan. Apatah lagi jika hala tuju kita terlalu terfokus. Kita mencapai kemajuaan tetapi dengan harga yang sangat mahal. Kita memusnahkan warisan yang lebih mahal dari kemajuan. Kita selalu hanya mengambil jalan mudah. Jalan cepat. Jalan pintas. Jalan berhati-hati bukan lagi pilihan. Jalan menyelamat bukan juga pilihan. Enggang tetap enggang. Kenyalang tetap kenyalang. Apakah kita rela menjadikannya hanya warisan dalam kenangan? 

4 comments:

  1. Enggang dan kenyalang adalah burung yang sama. Ada yang menamakan enggang dan ada yang menamakan kenyalang. Bukan perbezaan yang dicari tetapi manfaatnya sepanjang zaman. Bagaimana kita mendapat iktibar atau pengajaran dari cerita mengenainya. Kita belajar dari sejarah.

    ReplyDelete
  2. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Burung_Enggang

    https://en.m.wikipedia.org/wiki/Rhinoceros_hornbill

    Mgkn byk specues yg hanpir sama

    ReplyDelete
  3. https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Burung_Enggang

    https://en.m.wikipedia.org/wiki/Rhinoceros_hornbill

    Mgkn byk specues yg hanpir sama

    ReplyDelete