Thursday, November 29, 2012

Kari Kepala Ikan di Toronto


Sewaktu di USA dahulu jarang saya melihat kepala ikan. Bila kita beli ikan penjual akan bertanya heads on or off. Orang putih pasti jawab off. Ikan disiang bersih tanpa kepala dan tanpa tulang. Yang dibawa balik ialah daging putih ikan. Terus boleh dimasak apa sahaja. Disimpan senang. Tidak perlu kerja tambahan untuk menyiang dan memotongnya. Kerja jadi ringkas. Hidup menjadi senang. Beli dalam keadaan siap sempurna untuk dimasak sahaja. Orang Malaysia pula suka heads on. Beli, bawa balik, siang hanya buang sisi perutnya sahaja. Ada ketidaksesuaian sebenarnya. Di US kita tidak boleh membuang sampah kecuali pada hari yang ditetapkan sahaja. Hari itu pula ditetapkan sehari dalam seminggu. Jika jadualnya hanya pagi Isnin maka pagi Isnin itulah masanya membuang sampah. Namun begitu sampah boleh dibuang pada Ahad malam. Sebelum pagi Isnin. Bayangkan isi perut ikan selama seminggu. Mana boleh tahan hidung disumbat bau ikan busuk. Sebab itu orang putih mesti heads off.

Di Toronto memang ada penjual yang menjual kepala ikan sahaja. Bagaimana budaya itu terjadi saya kurang pasti. Cuma yang pastinya budaya kepala ikan selalunya orang India yang pakar. Di Canada memang ramai orang India yang berhijrah ke sana. Budaya kepala ikan dibawa bersama agaknya. Bila orang Melayu juga di Canada, budaya kepala ikan merebak tentunya. Di pasar, kepala ikan bukan satu atau dua. Berlonggok-longgok. Gerai yang satu itu hanya menjual kepala ikan sahaja. Rasanya saya beli dua kilo sahaja. Itupun dah banyak. Bia balik ke rumah memang masak kari. Kebetulan kari yang saya bawa masih banyak. Walauoun hanya saya sahaja yang membawa kari, saya bawa dalam kuantiti yang banyak. Al-maklumlah takut orang lain terlepas pandang. Memang betul jangkaan saya. Tidak seorangpun yang membawanya. Lama tak jumpa kari kepala ikan. Masing-masing berselera makan.

Budaya selalunya payah hendak dilupakan. Akan teringat selalu bila tidak menjengahnya. Lupa pula hendak cerita lebih lanjut kepala ikan yang saya beli. Sebenarnya di Canada tidak ada ikan merah. Jika adapun yang sejuk beku dari Thailand. Saiz kecil tetapi harganya berganda-ganda mahalnya. Kepala ikan yang ada di Toronto adalah ikan tasik besar. Namanya tidak tahu.  Ikan air tawar. Maka tidak ada isu hanyir seperti ikan sungai atau tasik kita. Bila dimasak sedap seperti ikan air masin juga. Mungkin kita tidak pasti. Ikan air masin tidak masin. Serupa seperti ikan air tawar yang memang tidak masin. Ikan menjadi masin sebab kita garamkan dia. Tanpa garam ia tetap tawar. Apa iktibarnya agaknya? Kita patut jadi ikan. Masin atau tawar adalah pengalaman sepanjang hidup. Walau apapun pengalaman itu kita jadi kita. Kekal abadi dengan iman dan taqwa. Abadi akidahnya. Menjaga akhlaknya. Jadi ikan yang tidak masin kecuali digaramkan. Diasinkan. Dijeruk. Dipekasam. Sifat aslinya mengikut fitrah yang tetap ikan. Dulu, kini dan selamanya.

Orang Malaysia suka makan kepala ikan. Walaupun ada orang kata banyak makan kepala ikan menjadikan kita pelupa kenyataannya ialah kari kepada ikan tetap popular. Kedai-kedai mamak menjadi tumpuan setiap tengahari. Ada kepala ikan  yang berpuluh-puluh ringgit  harganya. Makan mungkin berdua atau bertiga. Menyandar selepas makan. Terasa kari santak ke dada. Bila sendawa terasa benar karinya. Yang selalu dicari ialah kari kepala ikan merah. Jauh popularitinya mengatasi ikan-ikan lain. Apa rahsianya tiada siapa tahu. Kedai mamak penuh sesak berebut-rebut setiap waktu makan tengahari. Entahlah ketagihan yang kadang-kadang melampaui kefahaman orang biasa. Berbaris dan berebut setiap tengahari. Abang mamak yang dicari. Abang Kassim selalu dilupakan orang.

Selain dari kari, orang Malaysia di bahagian selatan semenanjung suka makan asam pedas. Ada kalanya daging lembu dan ayam juga dimasak asam pedas. Malah orang Cina sudah pandai memasaknya di kedai-kedai makan mereka. Kegilaan tentang asam pedas memeningkan kepala saya. Mercup bak cendawan kedai-kedai makan yang menawarkan masakan ikan asam pedas. Seperti kari, ikan merah yang paling popular. Istimewa benar ikan merah. Di Batu Pahat umpamanya ada kedai hanya popular dengan asam pedas ikan merah sahaja. Sarapan pagi juga nasi berlaukkan ikan merah. Ada pula yang makan roti canai berlaukkan asam pedas di kedai yang lain. Siang dan malam selama 24 jam pasti ada asam pedas. Jangan risau. Tidak perlu mengidam. Ikan merah asam pedas sentiasa tersedia.

Rasanya rakyat Malaysia suka makan di luar. Pendidikan yang semakin tinggi menjadikan ramai wanita tidak betah ke dapur. Dapur hanya persinggahan sementara. Dikunungi sekali sekala. Bukan lagi hub aktiviti utama. Bukan lagi pusat operasi.  Sementelahan itu orang lelaki semakin tidak gemar berada di dapur. Semakin banyak masanya di luar rumah. Makan di kedai semakin digemari. Mengapa? Saya juga ingin tahu. Teori pertama mungkin didikan. Kedua kebiasaan. Ketiga adat. Keempat situasi. Kelima hidup mewah. Keenam lambang. Ketujuh jaminan keselamatan. Kelapan semuanya ada. Kesembilan alternatif yang serupa. Kesepuluh pilihan. Senarai ini panjang jika dicatatkan. Maksudnya berbagai alasan diberikan untuk menjustifikasi kegemaran makan di luar.

Didikan: Dari kecil ramai anak-anak kita dibelikan makanan. Makanan orang yang mereka kenal. Makanan masakan ibu jarang-iarang. Cinta masakan ibu menjadi asing. Jika ayah tidak pandai memasak semakin jauhlah ia dari mengasihi makanan di rumahnya sendiri. Yang dibawa balik masakan orang lain. Air tangan ibu sukar dijamah.

Kebiasaan: Dibiar anak-anak makan di luar. Ibu bapa sediakan wangnya sahaja. Makanan di luar menjadi kebiasaan kepada anak-anak. Apatah lagi berbagai jenama makanan segera di luar sana. Ada wang semuanya menajdi kebiasaan. Ibu bapa lebih suka pula keadaan itu berlaku. Tidak payah penatkan diri memasak. Maka kebiasaan menjadi kebiasaan. Menjadi budaya.

 

Adat: Ibu bapa mungkin membuat peraturan yang salah. Kedua-duanya berkerjaya. Makan tengahari tidak disiapkan. Makan malam juga tiada jadual yang pasti. Anak menganggap makan di luar sebagai adat kebiasaan. Tiada perbincangan dan perbahasan mengenai perkara itu.

Situasi: Kedua ibu bapa berkerjaya. Pembantu rumah ada atau tiada tidak banyak  bezanya. Pembantu tiada kuasa memaksa anak-anak majikannya makan di rumah atau tidak. Jika makan maka masakan itu adalah hasil air tangan pembantu rumah. Orang Indonesia pastinya. Gaya masaknya, cara hidangannya, rencah dan resepinya semuanya asing dari sentuhan ibu. Suami juga menjadi terbiasa dengan air tangan pembantu rumah. Sentuhan isteri hanya fizikal. Bukan rohaninya. Bukan sentuhan halus yang meresap dari dalam. Makanan kadang-kadang menjadi pengalir kepada kasih sayang seorang siteri kepada suaminya. Anak-anaknya.

Hidup mewah: Hidup mewah juga menjadi paradigma yang mengubah kebiasaan. Mengubah adat. Mengubah budaya. Makan di restoran lebih santai kepada mereka. Rumah adalah tempat bersemayam dan berhibur.

Lambang: Jangan lupa juga bahawa makan di luar mungkin lambang  kejayaan hidup kepada sesebuah keluarga. Menu yang dipesan. Cara makan. Pilihan tempat. Kesemuanya menunjukkan lambang itu.  

Jaminan keselamatan: Lebih berprestij tempat makan itu lebih tinggi jaminan keselamatan makanan yanag dihidangkan. Premis yang bertaraf A umpamanya ada jaminan kebersihan, keselamatan dan kebolehpercayaan dari segai banyak perkara yang positif bagi sesebuah premis makanan.

Semuanya ada: Makan di rumah terhad menunya. Resepinya diulang-ulang tanpa ada suntikan menu baru. Di luar sana boleh dipilih premis yang menawarkan berbagai menu.

Alternatif yang serupa: Banyak premis makanan yang menjadi alternatif. Walaupun menunya serupa, masih terdapat kelainan yang membezakan selera pelanggan. Ikutlah mana yang sesuai.

Pilihan: Makan di luar adalah pilihan. Bukan keistimewaan. Bukan pula hak. Ianya pilihan sama ada di rumah atau di luar. Jika ibu dan bapa boleh memasak sendiri alangkah baiknya. Jika anak-anak dilatih untuk pandai memasak sejak dari kecil lagi alangkah lebih baiknya. Dalam rumah terdapat ramai chef yang boleh mempelbagaikan menu untuk selera keluarga.

Jangan lupa makan di luar ada impak sampingannya.  The side effect.