Ini guru saya mengaji al-Quran. Muda orangnya. Wanita teruja memandangnya. Senyumannya sangat manis. Lembut orangnya. Setelah masuk minggu ketiga tiada siapa yang bertanya siapa namanya. Kehadirannya dinanti. Tegurannya dimengerti. Bimbingannya diambil berat. Pada akhir kelas ia pasti memberi tafsir tentang ayat yang dibaca. Mengingatkan yang lupa. Menambah kekuatan jiwa.
Peserta antarabangsa. Di kanan sekali Syuib dari Albania. Di kanannya Anas dari Britain. Ketiga Irsyad dari Singapura. Keempat Munzir dari Malaysia. Di hujung Ibrahim dari Malaysia.
Peserta wanita kesemuanya dari Malaysia kecuali Tasnim dari Singapura.
Membaca al-Quran dalam bahasa Arab. Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Malah ulamak menghukumkan bahawa al-Quran haram ditulis dalam bahasa lain. Kadang-kadang jika diromanisekan seperti senang dibaca. Namun huruf Arab unik untuk bahasa Arab. Tidak ada huruf bahasa lain yang boleh menggantikannya. Hatta menyamainyapun tidak boleh. Apabila dialih eja dalam bahasa lain maka bunyi kearabannya hilang. Semangat al-Quran itu sendiri hilang. Bagi orang Malaysia bunyi kho dieja dengan kha. Bunyinya berubah. Kholid menjadi Khalid. Hilang arabnya. Yang punya nama marah kerana itu bukan sebutan namanya. Begitulah tanpa mendalami huruf Arab maka mengaji menjadi sukar. Mengkajinya lebihlah sukarnya. Banyak pula huruf-huruf Arab yang terlalu unik. Wajib dibunyikan seperti Arab sebenar. Lahjah Arab suatu keperluan yang diafdhalkan. Jika tidak maka al-Quran tidak dibaca mengikut kesempurnaan seperti yang dituntut.
Kerana keunikanannya setiap guru al-Quran memiliki kelainannya yang tersendiri. Maksud saya guru al-Quran yang diperakui berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Sumber mereka berlainan. Mereka datang dari arah yang berlainan. Guru yang mengaji di Mesir sedikit berbeza dengan guru yang mengaji di Arab Saudi. Lain juga yang dari Sudan atau Maghribi atau Libya atau Jordan atau Iraq. Kesemuanya negara Islam tetapi setiap budaya itu tentulah unik bagi setiap negara. Maka wajah Arab yang kita hadapi berbeza. Tahapnya sahaja yang berlainan. Banyak bezanya antara tafkhim (tebal) dan tarqiq (tipis). Huruf-huruf yang berwajah tafkhim itu sendiri menuntut berbagai kelainan. Huruf ﻃ umpamanya selalu dibaca dengan tafkhim. Mulut orang Malaysia kelihatan bundar. Bunyinya juga kuat. Guru dari Mesir memiliki ciri-ciri tersebut. Orang Jordan pula tidak seperti orang Mesir. Jika orang Mesir kelihatan agak memberatkan tafhim, orang Jordan memiliki kelembutan yang berbeza. Huruf tafhim itu dibunyikan dengan kelembutannya yang tersendiri. Mungkin benar bahawa orang Syam agak lembut berbanding dengan orang Arab lain. Jordan adalah sebahagian dari Syam mengikut sejarahnya.
Sebutan dan bacaan orang Jordan lebih santai. Lembut. Ringan. Tidak kelihatan sukar, berat atau meletihkan. Mengaji al-Quran menjadi lebih mudah jika dapat menguasai makhraj dan sifat huruf. Mengaji pula bukan seperti membaca buku atau akhbar atau majallah. Ada rukun-rukun bacaan yang wajib ditunaikan. Apabila ada dua huruf yang berangkai kaedah membacanya berubah. Sama ada bunyi asalnya kekal atau sedikit berbeza. umpamanya huruf qamari dan huruf samsyi berbeza olahannya. Apabila wujud alif lam di awal kalimah maka pada huruf qamari bunyi lam atau el berkekalan. Al-Kitab kekal bunyi alnya. Pada huruf al-toyyibah pula alnya hilang. Bunyinya bertukar menjadi attoyyibah. Bunyi lam atau el sudah dimasukkan ke dalam huruf ta hingga tidak berbunyi lagi elnya.
Antara yang dituntut semasa membaca al-Quran ialah membacanya dengan berlahjah Arab. Bila kita membaca al-Quran elakkan dari membaca seperti suara bercakap. Mungkin suara kita rendah. Mungkin lemah. Mungkin tidak berirama seperti yang dikehendaki. Sambil membaca kita menganalisis antara harakat (tanda baris atas, bawah atau hadapan) dan mad (berapa panjang wajib atau harus dibaca). Selain daripada itu kita wajib teliti dengan bunyi atau sebutan yang mendatang kerana percantuman dua huruf. Apabla dihubungkan dengan makhraj dan sifat huruf ia semakin menjadi lebih memerlukan kemahiran yang lebih tinggi setiap masa. Kelancaran membaca menyempurnakan semua elemen yang diperlukan atau diwajibkan ketika membaca al-Quran. Sebab itu tidak boleh membaca al-Quran seperti suara kita bercakap. Perlu ada kesungguhan membunyikan setiap huruf. Membaca dengan suara bertenaga. Vokal yang baik. Bukan menyanyi sahaja yang perlukan vokal yang baik, membaca al-Quran lebih-lebihlah lagi. Al-Quran jauh lebih tinggi dari muzik. Beratus kali ganda bezanya. Mungkin lebih. Al-Quran adalah kalam Allah.
Makhraj huruf adalah tempat keluar huruf. Kita tidak tahu di mana keluarnya sesuatu huruf tanpa guru yang membantu kita mengesannya. Jika ditanya pada pelajar al-Quran jawapan tentang makhraj bukan fakta. Yang disebut ialah apa yang terlintas pada perasaannya. Tidak dijangka bahawa sesuatu huruf ada rumah masing-masing. Semasa membaca sesuatu huruf bunyinya wajib dikeluarkan dari makhrajnya. Bila wakaf pada sesuatu huruf, memberhentikan bunyi atau bacaan kembali kepada makhraj huruf yang terakhir. Ada masanya mulut pembaca menipis. Ada masanya membundar. Ada masanhya biasa sahaja. Semuanya bergantung kepada huruf yang terakhir sebelum wakaf. Pada dasarnya makhrai huruf datang dari lima anggota tubuh badan. Mulut (dua bibir), lidah, halki (halkum), hidung dan rongga mulut. Dari lima anggota tubuh badan ini terdapat 17 makhraj huruf. Sifat huruf pula agak sulit. Setiap huruf ada sifat-sifatnya yang tersendiri. Sifat-sifat yang wajib ialah jahr, hams, syidah, mutawasit, rohawah, isti’la’, istifal, itbaq, infitah, idzlaq, ismat, sofir, qalqalah, inhiraof, lin, istitolah, takrir dan tafasyi. Ada 18 sifat huruf yang berbeza. Setiap huruf sekurang-kurangnya memiliki lima sifat. Paling banyak ialah huruf ra yang memiliki tujuh sifat. Silalah cari buku-buku atau kitab tajwid untuk mendalami sifat-sifat yang disebut itu.
Sebenarnya teori membaca al-Quran tidaklah banyak. Yang banyak ialah amalinya. Cara hendak melaksanakan sesuatu bunyi. Cara hendak menyempurnakan sesuatu makhrai atau sifat huruf ketika membaca al-Quran. Membaca mungkin sekadar membuka dan mangatup mulut. Benar tetapi bunyi yang keluar dari mulut wajib sama seperti yang tertulis. Pada peringkat tinggi kita diperkenalkan kepada bunyi yang berlainan dengan yang tertulis. Pada bacaan Imam ‘Asim tidak banyak khilaf. Yang ada hanya contoh isymam, raum, tashil, imalah dan naqal. Ketika membacanya wajib berguru supaya dijamin sempurna dan menepati seperti yang dituntut. Membaca al-Quran menjadi berat apabila kita tidak mahir dengan hukum, peraturan, prosedur dan lain-lain kesempurnaan yang dituntut dari bacaan itu. Ianya menjadi ringan apabila teori dikuasai terlebih dahulu.
Latihan adalah wajib. Tanpa latihan banyak huruf yang tersalah bunyi. Tersalah makhraj. Tersalah sifat. Tersalah baca bila berlaku percantuman huruf. Maksudnya tanpa latihan yang berterusan bacaan mungkin masih jauh dari kesempurnaannya. Tanpa guru semasa latihan juga menyukarkan untuk mengukur ketepatan sesuatu bacaan. Guru yang berwibawa dapat membantu untuk menuju ke arah itu. Ada beberapa perkara yang perlu dipatuhi semasa belajar membaca al-Quran. Guru kita adalah orang yang lebih arif dari kita tentang al-Quran. Membaca al-Quran pula seperti mendaki bukit. Mula-mula kita belajar, guru tidak terlalu ketat. Tegurannya sepintas lalu sahaja. Semakin lama kita rasa kita semakin pandai dan semakin lancar. Ketika itu guru semakin galak membuat teguran. Memberi bimbingan. Bercakap itu dan ini. Hatta mereka yang kita anggap dalam membaca al-Quran masih selalu ditegur bacaannya. Bulan Ramadhan yang akan datang nanti silalah menonton siri tadarus di mana-mana rangkaian TV. Mereka yang menjadi peserta hebat-hebat orangnya. Namun teguran selalu kita dengar.
Kita mengaji adalah secara bertalaqqi dan bermusyafahah. Maknanya kita belajar bertentang wajah dengan guru. Semasa membaca guru akan memandang mulut kita. Bukan muka kita. Apabila guru menegur, kita hendaklah berhenti membaca. Dengar tegurannya. Perhatikan mulutnya ketika membuat pembetulan. Saya ulang, pandang mukanya, pandang mulutnya. Cuba sekali dua. Bila guru angguk kepala barulah teruskan membaca. Ulang pada kalimah dan ayat yang salah tadi. Teguran dan pembetulan adalah suatu proses menyempurnakan bacaan. Guru yang mahir dapat mengesan kesilapan-kesilapan kecil yang tidak dapat dikesan oleh mereka yang tidak begitu mahir. Jika kita perhatikan yang ditegur itu mesti berkaitan dengan mad, makhraj, sifat, tebal, tipis dan ghunnah. Walau apapun, mengaji al-Quran perlukan kecintaan terhadapnya yang tinggi. Pencinta al-Quran ingin mendapatkan kesempurnaan membacanya. Makhrajnya tepat. Sifatnya sempurna. Ghunnahnya mengenyangkan perasaan. Bila kita mendengar bacaan yang sempurna kita kenyang tanpa makan. Seronok yang sukar dibayangkan. Mudah-mudahan pencinta-pencinta al-Quran semakin ramai. Semarak memancarkan cahaya wahyu untuk menerangkan segala ruang yang gelap. Islam kembali menyinar. Keluar dari kegelapan yang terselubung selama ini. Hanya sedikit masa dalam sehari, carilah guru untuk mendlami al-Quran. Ia panduan jalan ke syurga. InsyaAllah.