Thursday, April 15, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Empat: Sambungan

Pada tahun 1955 umur saya 9 tahun. Tetapi agak bebas bergerak ke sana ke mari. Kenderaan tiada. Hanya berjalan kaki. Memanglah. Seperti selalu berkaki ayam. Susahnya mendapatkan kasut sudah saya ceritakan. Tapak kaki terasa tebal. Kaca dan duri patah bila dipijak.

Sebelum pilihanraya, orang-orang kampung seperti baru bangun dari tidur dan bangunnya kesiangan pula. Ributnya tidak menentu. Semangatnya membara dan menjulang. Riuhnya cerita tidak lagi bertempat dan tidak lagi menentu masa. Antara sokong dengan bantah. Yang satu kata kita akan merdeka. Yang sebelah sana mengatakan tidak mungkin. Jarum sebatangpun orang Melayu belum pandai membuatnya. Macam mana hendak merdeka dalam keadaan begitu.

Pejuang-pejuang ketika itu bangga dengan baju dan seluar sedondon putih. Yang wanita berbaju putih, berkain merah dan bertudung merah. Kempen di merata-rata tempat. Dalam umur 9 tahu saya turut sama menyibuk. Satu budaya baru bagi orang kampung. Ada kempen pilihanraya. Tetapi istilah-istilah yang diguna tidak secanggih sekarang. Laungan merdeka di mana-mana. Gamat satu negara.

Kempen di kampung cukup sederhana. Yang datang Jabatan Penerangan. Jalanraya belum ada. Maka kesemuanya diangkut dengan motorbot. Penjana kuasa, layar tayang, projektor dan sebagainya. Hanya perlukan pentas kecil. Jabatan Penerangan memainkan rakaman-rakaman yang bermacam-macam sebagai kempen untuk menunjukkan aktiviti positif pemerintah. Lazimnya ada tayangan filem-filem lama. Yang paling kerap ialah cerita koboi atau cerita komidi. Bila cerita sampai ke kemuncaknya, tayangan dihentikan. Sesi kempen bermula. Jadi anti-climax betul.

Orang parti mulalah berucap. Calon pun berucap. Kira-kira sejam kempen tamat. Tayangan disambung semula. Oleh kerana suspennya ditangguhkan, orang ramai setia menunggu tamat cerita. Orang yang kempen entah di mana, yang menonton wayang leka malam semakin tua. Seingat saya ada tiga tempat saya terlibat mengikuti kempen. Pertama di Sekolah Kebangsaan Sungai Nipah. Kedua di Sekolah Kebangsaan Seri Maimun. Ketiga di Sekolah Kebangsaan Parit Jawa. Ruang kempen yang ada, hanya padang sekolah. Kesemua pemimpin menjelajah ke semua pelosok tempat. Yang Melayu ke kampung-kampung. Yang Cina ke bandar-bandar. Yang India ke estet-estet. Perikatan yang menggabungkan UMNO, MCA dan MIC menang 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.

Di tiga sekolah yang saya sebut tadi, saya melihat dari dekat Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama berkempen. Rasanya itulah kali pertama saya mendengar orang Kedah bercakap. Bapa mertua saya, hingga sekarang masih bangga mengunung kerana Tungku menyeberang sungai dengan perahunya. Keterlibatannya dalam UMNO cukup kuat ketika mudanya dahulu.

30 Ogos 1957, berbas-bas orang kampung berhimpun di Bandar Hilir, Melaka. Saya yang masih kecil hanya merasakan bahangnya, tidak melihat debarannya. Tidak menyaksikan syahdunya. Hanya ceritanya yang dikutip dari mulut ke mulut betapa saat perisytiharan kemerdekaan itu dilaungkan dilaungkan dilaungkan sebanyak 11 kali. Laungan yang disambut ramainya orang yang gembira dan bangga merdeka bergema di Bandar Hilir itu. Tanah pesaka yang mula dijajah pada tahun 1511 itu akhirnya bebas juga dari cengkaman penjajah selama 446 tahun. Hampir setengah alaf lamanya.

31 Ogos 1957 umur saya 10 tahun. Tetapi usia saya ketika itu mengerti ertinya merdeka. Kita akan bergerak menurut rasa gerak kita untuk memacu negara ke mercu kejayaan. Barangkali apa yang kita lihat sekarang ini adalah impian-impian samar yang saya dengar pada tahun 1955 dulu. Yang kempennya saya ikuti, melalui jalan-jalan gelap yang menyukarkan. Luapan semangat juang untuk berdiri sendiri. Membina jatidiri sendiri. Untuk jatuh dan bangun sendiri. Itulah terapan hasrat dan semangat orang-orang lama yang tidak pernah berbaur untuk mencipta nama atau untuk menghimpun harta benda. Dua orang Yang Berhormat di kampung saya, hidup biasa seperti biasa. Rumah kayunya masih kekal hingga sekarang. Tidak berganti dan tidak berperabot Itali. Tiada juga langsir dari Perancis. Tiada juga Mercedes dari Jerman. Anak cucunya hanya mewarisi namanya dan bekas jasanya.

Itulah semangat juang yang diterjemahkan. Yang direalisasikan. Waktu saya sekolah dahulu setiap menjelang detik 12.00 tengah malam 31 Ogos, saya pasti berdiri berhampiran dengan radio saya. Detik bunyi jam dari menara Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, dan bergemanya lagu Negaraku pasti menggetarkan seluruh tubuh kurus dan kering saya. Semangat lagu itu meresap hingga ke tulang sum-sum saya. Seluruh jiwa dan raga saya terbang bersama semangat yang sudah lama dibakar. Saya tertegak berdiri sambil mulut menyanyi lagu Negaraku yang seperti memukau mulut untuk menjerit sama. Jeritan batin jiwa yang telah terlalu lama dijajah. Yang telah terlalu lama dipijak dan diijnak. Yang sudah terlalu lama diperah hartanya. Yang telah lama mengkayakan tuan-tuan penjajah. Yang telah terlalu lama menidakkan hak-hak diri dan peribadi.

Berlalulah zaman-zaman penjajahan itu. Seorang demi seorang penjajah itu pulang meninggalkan tanah pusaka ini kepada yang berhak. Lalu perencanaan dilaksanakan untuk merubah lanskap dan senario negara dari mundur kepada membangun dan seterusnya menjadi maju menjelang 2020. Saya hanya seorang guru, seorang pendiddik. Saya bukan pejuang sebenarnya yang gelanggangnya besar dan global. Gelanggang saya sempit dan kecil. Perjuangan saya untuk mengangkat anak bangsa dari kemelaratan ke tahap ampuh membina keselesaan. Membina harga diri yang lebih baik, lebih perkasa kedudukannya.

Sudah hampir 54 tahun senario itu terpahat di sanubari saya. Masih segar dalam ingatan. Susahnya zaman-zaman sebelum merdeka. Tetapi susahnya hanyalah fizikal kerana makan minum tidak pernah menjadi masalah. Setelah 54 tahun merdeka kita masih menemui insan-insan yang lebih payah hidupnya dari saya yang serba payah dahulu. Rupanya sejarah manusia bukan sahaja berulang-ulang tetapi juga tidak pernah surut padam dari kesusahan dan kepayahan. Sekarang ini kepayahan kita ialah material. Hidup dalam dunia komersil. Tidak ada yang percuma. Hatta udara harus dibayar kerana terlalu pencemarannya.

Generasi saya sudah mula surut pupus. Hanya saki baki pesaka warisan yang tinggal. Generasi baru pelapisnya yang pasti mengganti. Ambillah iktibar dari kejayaan dan kegagalan masa lalu untuk diterjemahkan semula, diolah semula, dirawat semula, dirancang semula. Kemerdekaan itu hak tetapi bukan keistimewaan. Mendaptkannya tidak sesukar mana (bagi kes Malaysia) tetapi menjaga dan memperkembangkannya perlukan penelitian yang jauh melampaui zaman yang nun jauh di hadapan. Bila sampainya? Andalah yang merencanakannya. Saya lepaskan baton kepada anda semua.

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Empat

Pada tahun 1955, pilihanraya yang pertama telah diadakan di seluruh semenanjung yang ketika itu bernama Tanah Melayu. Kemenangan Perikatan, gabungan UMNO, MCA dan MIC hampir menyapu bersih kerusi yang dipertandingkan. Perikatan memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi. Satu sahaja kerusi dimenangi pembangkang iaitu calon Parti Negara yang dipimpin oleh Dato' Sir Onn bin Jaafar. Yang ironisnya ialah beliaulah Presiden pertama UMNO. PERKEMBAR semasa mula ditubuhkan. Parti Kebangsaan Melayu Bersatu.



Entah kenapa ya? Inggeris telah lama kita halau dari tanah air tercinta ini. Namun semangatnya tetap kuat menjajah kita. Menjajah minda kita. Menjajah budaya kita. Menjajah seluruh kehidupan kita. Orang kitapun cukup kuat berkiblatkan London walaupun relevannya sudah tiada. Pada tahun 1986 saya transit di London dalam perjalanan pulang dari USA. Di Oxford Street saya window shopping. Nak membeli tidak terlarat wang dan beratnya. Barang yang dari USA sudah hampir satu kapal. Di sebuah kedai barangan kaca, saya jadi terpegun. Jelas dalam tulisan Jawi. Ya di Oxford Street London. London bang. Orang putih yang sudah berdekad-dekad kita halau dari tanah tercinta ini, masih menggamit orang Malaysia dengan tulisan Jawi.
Tentunya orang Melayu yang mereka maksudkan. Saya tunjukkan tulisan itu kepada isteri dan anak-anak saya. Orang Malayu yang mana ya membaca Jawi. Tentu sekali orang Melayu yang berpendidkan Melayu. Mereka mungkin kaya atau anak-anaknya berada di London. Yang mereka tahu ialah membaca Jawi. Begitulah darjah kepekaan orang putih. Pelanggannya diutamakan. Diraikan. Kembang hidung dan dada orang Melayu. Negaranya merdeka. Bahasa dan tulisan Jawinya diberikan kepada orang Inggeris.



Tulisan itu berbunyi: "Tolong jangan sentuh." Tahun 1986 tulisan Jawi sudah lama dipinggirkan di Malaysia. Orang Malaysia sudah lama membuang warisannya. Heritagenya. Tetapi orang putih masih lagi menjaga warisan kita. Ingatkah kita sewaktu Sir Stamford Raffles mula berkomunikasi dengan Sultan Husin Shah di Singapura? Raffles menulis dalam tulisan Jawi kepada Sultan Husin. Hingga tahun 1986 orang putih masih ada yang menggunakannya. Ke mana sebenarnya kita membawa jatidiri kita. Warisan sendiri yang zaman berzaman menjadi khazanah berharga, kita buang, kita abai, kita pinggir, kita campak begitu sahaja. Kadang-kadang kita megejar bayang, ilusi yang realitinya mungkin tidak ada.



Pada minggu lalu TV menyiarkan seorang Cina yang sudah berumur di Perlis yang hanya selesa membaca dalam Jawi. Dia hanya membaca akhbar Jawi. Utusan Zaman. Suatu ketika dahulu RTM menyiarkan rancangan menulis dan membaca Jawi. Nak tahu? Pengendali rancangan itu adalah seorang guru Cina. Selain dari Pak Matlob yang tidak pernah jemu dengan perjuangan Jawinya, tidak kedengaran lagi pejuang-pejuang sepertinya. Sisipan Utusan Zaman terpaksa ditaja untuk diterbitkan sekali setiap minggu. Itupun entah siapa yang membacanya. Bagaimana nanti kita ingin kembali menelusuri sejarah bangsa kita. Manuskripnya bertulisan Jawi bertabur di London, Leiden dan banyak lagi bandar-bandar besar di Eropah. Marilah kita renungkan bersama.



Mengapakah kita menjadi tidak sayang, tidak cinta dengan milikan kita sendiri, warisan kita sendiri, lambang sejarah kita sendiri? Bangsa lain yang maju tidak pernah mengabaikan bahasa dan tulisan mereka. Mereka tidak pernah tercicir berbanding dengan rujukan kita iaitu Inggeris. Di Barat kita senaraikan: Perancis, Sepanyol, Jerman, Itali, Greece, Rusia, Belanda, Belgium, Denmark dan negara-negara Scandinavia. Di Asia tidak kalah dengan Jepun, Korea dan Cina. Siapa yang kita hendak jadikan rujukan sebenarnya? Bila sebenarnya kita harus tegak berdiri membina jatidiri kita sendiri. Semangatnya telah diberi oleh Barnes dalam laporannya. Semangatnya telah diberi oleh Fenn-Wu yang menyokong Barnes. Kita undur ke belakang. Kita terlalu akomodasi. Lalu peluang yang di depan mata terabai. Akibatnya hingga sekarang kita belum berhenti bercerita tentang perpaduan kaum. Alangkah jika kita menurut jejak Indonesia. Tentu bahasa dapat menyatukan kita semua.


Di Negara Cina ada rancangan Radio Melayu Beijing. Mereka fasih berbahasa Melayu. Kita telah pula mengadakan pidato Bahasa Melayu yang pesertanya orang bukan Melayu dari seluruh dunia. Ini bermakna Bahasa Melayu telah jauh merantau, telah lama bermastautin, telah lama bermukim, telah lama bertahta di hati dan nurani bangsa-bangsa lain di dunia ini. Kita pula meminggirkannya. Musibah jika tidak disedari, jika tidak diinsafi, jika tidak dibendung, jika tidak diatasi.



Tahun 1979 saya berlegar di Pudu Raya dalam perjalanan untuk ke Ipoh kerana saya bertugas di Politeknik Ungku Omar. Saya disapa oleh seorang pemuda Cina. Cikgu, cikgu kenal saya? Dalam loghat Indonesia pekat. Pelik saya. Macam mana seorang pemuda Cina Indonesia bertanya begitu kepada saya. Oleh kerana lama saya terdiam, dia menyambung. Cikgu dulu mengajar saya Bahasa Indonesia di Terengganu. Saya dari Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin. Barulah ingatan itu menerpa kembali. Memang saya dulunya guru Bahasa Malaysia. Opsyen saya semasa latihan perguruan dulu ialah Bahasa Malaysia dan Geografi.

Silabus tingkatan empat dan lima mengandungi topik Bahasa Indonesia. Kebetulan saya berjeturunan Jawa. Bahasa Indonesia bukan asing bagi saya. Lancar saya mengajarnya. Sewaktu saya kecil, keluarga berbahasa Melayu Indonesia di rumah. Bukan telinga tetapi kuping. Bukan hidung tetapi cungur. Bukan leher loghat Melayu Riau tetapi leher loghat Indonesia/Jawa. Lalu saya bertanya, kok bisa omong Indosenia? Saya tiga tahun di Jakarta cikgu. Nulungi paman saya niaga kedei foto. Hanya tiga tahun, seorang Cina dari Malaysia berada di Jakarta, kembali ke Malaysia sudah tidak ada loghat Terengganunya. Sayangnya keadaan seperti itu tidak berlaku di Malaysia. Sukar sangatkah untuk berbahasa Melayu sedangkan di sekeliling ini adalah tanah Melayu, budaya Melayu, makanan Melayu, persekitaran Melayu. Ke mana jari harus ditudingkan. Malas juga untuk menyatakan. Terlalu lama dipendam perasaan. Kita sudah hilang jatidiri.


Sekarang kita masih lagi berada di banyak persimpangan. Bahasa kita atau bahasa orang. Dengan Bahasa Melayu, kita telah merentas ke Cina. Kita bawa pulang Puteri Hang Li Po. Kita terima singgahnya Laksamana Cheng Ho. Ramainya pedagang Islam dari Gujerat dan Yaman. Datangnya penjajah dari Barat. Orang Arab, Cina, India, Siam, Portugis, Belanda dan Jepun tidak mengambil Bahasa Melayu dan diganti dengan bahasa mereka. Kita menolak, kita tepis, kita tangkis, kita buang, kita tolak ke tepi. Malang sungguh dalam silat yang rancak, dalam langkah yang kejap, dalam pukulan dan tangkas mengelak, badi Inggeris tidak dapat dipatahkan. Kita longlai dengan Inggeris. Kita lunak dengan Inggeris. Tidak satu bangsapun di Barat yang sukakan British. Lain pula dengan orang Melayu khususnya.


Suatu ketika di Niagara Falls, Canada saya cuba berbual dengan seorang ibu (kelihatan biasa seperti orang putih yang lain). Hi, where're you from? Jawapannya menyentap dada saya. I no speak English! Bukankah ia bercakap Inggeris? Tetapi kepadanya semangat anti Inggeris terlalu tinggi. Di Canada orang Perancis yang menguasai Quebec bertahan dengan Bahasa Perancis mereka. Sebab itu di Canada semua label barangan adalah dwi bahasa. Inggeris dan Perancis.


Bersambung nanti, cerita-cerita menjelang merdeka. InsyaAllah.