Sejak saya kecil lagi saya sudah mendengar nama New York. Ada beberapa faktor yang menyumbang ke arah itu. Pertamanya New York adalah tempat tertegaknya bangunan Bangsa-Bangsa Bersatu. Keduanya, berita New York banyak saya baca dalam terbitan-terbitan USIS – United States Information Service. Pada tahun 1960an terbitan-terbitan sebegitu diberi percuma kepada kanak-kanak sekolah terutamanya yang di sekolah menengah. Waktu saya tingkatan empat (1964) guru bahasa Inggeris saya Mr. Duncan, seorang American Peace Corps. Itu belum lagi pengaruh filem. Cerita cowboy. Pengaruh Geografi. Pengaruh sejarah. Maka nama New York lama tersemat di hati. Tertancap di jiwa. Namun tidak pula berangan untuk ke sana. Tidak mungkin dalam kedaifan hidup di kampung ada angan-angan sebesar Rocky atau Appalachian Mountain. Baik di sekolah menengah atau pun semasa di UM saya belum lagi ada rasa untuk ke mana-mana. Naifnya tentang dunia. Tentang akademik. Tentang semangat yang mendunia. Tidak ada. Dunia saya terlalu kecil bagi saya. Berjaya ke UM sudah suatu kejayaan besar gilang gemilang. Menara gading yang hanya selalu dilihat dari jauh diselaputi awan. UM adalah segala-galanya ketika itu. Universiti tertua yang terulung yang selalu mengujakan. Waktu saya di sana Prof DiRaja Ungku Aziz atau Pak Ungku menerajunya. Sangat gah hingga ke seantero dunia.
Pagi Sabtu itu saya dan keluarga memulakan pengembaraan ke New York. Kami bertolak dari Washington pada kira-kira jam 9.00 pagi. Pagi yang sangat dingin mencengkam di musim spring yang masih berbaki. Sebenarnya matahari memancar terang dan cerah. Menyinari alam yang indah di musim bunga. Yang menyerlahkan segala bunga yang berbagai watnanya. Dedaun sudah mula menjengahkan dirinya. Rupanya. Bentuknya. Warna-warni dan kehijauan itu membentuk suatu keindahannya yang tersendiri. Di lebuhraya yang kualitinya selalu dijaga itu kami meluncur dalam kelajuan yang terkawal. Lebuhraya di Amerika hanya sekadar 55bsj - batu sejam atau kira-kira 90km sejam. Lebih lambat dari hadlaju yang diwartakan di Malaysia. Itupun orang Malaysia selalu bersungut. Lambat. Perlahan. 90kmj di US itupun dikawal dengan sangat ketat. Di udara ada satelit yang mengawal lalulintas. Semuanya dipantau. Sekarang lebihlah lagi canggihnya. Google sahaja sudah menguasai keadaan. Di lebuhraya itu ada sahaja peronda lebuhraya sama ada yang berkereta atau yang bermotorsikal. Kenderaan yang melintas melebihi 90kmj pasti dihambat. Siren dibunyikan. Diminta berhenti di tepi jalan. Prosedurnya mungkin nanti saya ceritakan dalam entry yang lain.
Saya tidak ingat berapa kali kami berhenti. Biasalah letih. Itu belum memenuhi keperluan fisiologi. Buanbg depan. Buang belakang. Makan lagi. Anak-anak lagi yang banyak keperluannya. Biasanya dalam perjalanan seperti itu kami makan ala kadar. Roti dengan sardin barangkali. Jika sempat, isteri saya memasak lauk. Mungkin ayam atau daging. Biasanya masak kering. Tidak berkuah. Takut tumpah dan mengotorkan kereta. Sayur tidak perlu. Kobis banyak. Beli sahaja di mana-mana. Itulah sayur. Itulah ulam. Rata-rata pelajar Malaysia berbuat begitu. Belajar hidup santai dan senang. Makan apa yang mudah. Di US R&Rnya sangat memenuhi keperluan. Selain dari yang biasa-biasa seperti kita di Malaysia, di sana ada supermarket di R&R. Entah kenapa di negara kita PLUS belum pernah merealisasikannya. Bayangkan perjalanan yang jauh dan berhari-hari. Kita pulang ke rumah dalam keadaan letih. Buka peti ais tiada apa di dalamnya. Tiada ikan. Tiada ayam. Tiada daging. Tiada lauk yang lain. Tiada juga sayur dan barang-barang dapur. Alangkah baiknya jika di R&R yang terakhir kita sempat singgah di sebuah pasaraya. Semua keperluan rumah dapat dibeli. Hidup menjadi suatu continuum. Kelangsungannya tidak pernah terganggu.
Washington ke New York bukan suatu perjalanan yang dekat. Banyak bandar dan desa yang direntasi. Pertama kali berkenderaan begitu cemas juga. Lebuhrayanya lebar. Lapan lorong kiri dan kanan. Simpang sangat banyak. Bandar besar banyak di pertengahan perjalanan. Hanya peta dan tanda arah yang menjadi panduan. Bila sampai di New Jersey keadaan agak mencemaskan juga. New jersey rasanya seperti bercantum dengan New York. Cuma New York lebih tertumpu di Manhattan Island. Sebuah pulau yang memanjang. Penuh sesak dengan bangunan yang tinggi-tinggi belaka. Tanah mahal maka bangunan terpaksa ke atas. Jila melebar di atas tanah maka rugilah nilai hartanah itu. Tidak dapat dimaksimumkan manfaatnya. Jadi bukan melebar di atas tanah. Dari New Jersey ke New York (Manhattan Island) ada empat cara barangkali. Udara, laut, keretapi dan jalanraya. Keretapi dan jalanraya bukan seperti yang kita bayangkan. Kedua-duanya melalui terowong bawah laut yang panjang dan lama jangkamasanya. Terowong paling panjang yang pernah saya lalaui seumur hidup saya. Terowong itu pula banyak. Saya memilih terowong yang terus sampai ke 45st. Holland Tunnel. Jalan lurus yang menyampaikan kami ke bangunan BBB.
Mak datuk! Terowong itu bukan calang-calang terowong. Ia bukan lurus. Berbelok-belok. Memandu tidak boleh bersenang-senang. Tangan sentiasa memaut stereng ke kanan dan ke kiri. Seperti diayun. Beroleng seperti di atas kapal. Mana-mana yang tidak tahan pasti mabuk. Pasti muntah. Paling kurang pasti pening. Mata jadi berpinar. Kepala naik pening. Jalannya sempit berlorong-lorong. Tidak pula bole memandu dengan perlahan ikut selera kita. Hadlajunya sudah ditetapkan. Hendak tidak hendak kenalah memandu agak laju juga. Itu yang membuat pemanduan memerlukan kecekapan. Memandu mestilah dengan kecekapan yang tinggi. Kemalangan boleh mengakibatkan kesesakan yang mungkin berhari-hari baru dapat diselesaikan. Dalam pada itu pasti ramai yang mati kerana sesak nafas. Udara tesekat. Oksigen menipis bila ramai. Itu belum karbon monoksaid lagi. Penumpang di dalam van yang saya pandu semuanya senyap. Isteri saya kelihatan cemas. Terlalu lama memandu. Bila agaknya akan keluar di hujung sana. Dalam pada itu terfikir juga nanti hendak balik kena lalu trowong seperti itu juga. Aduhai! Lorong yang lain juga serupa cirinya. Itu sahaja caranya. Kena hadapi dengan tabah. Saya sudah tidak boleh meminta bantuan sesiapa. Saya seorang sahaja yang mampu memandu. Hendk tak hendak kena teruskan memandu. Saya anggap suatu cabaran yang mesti dipenuhi. New York mesti diziarahi hari itu juga. Peluang yang datang sekali seumur hidup.
Biasalah di mana-mana terowong kanakn dan kirinya pasti batu-batu pejal yang disokong dengan keluli yang besar dan teguh. Batu-batu yang sudah menghitam kerana penuh dengan pencemaran asap kereta kelihatan mengerikan. Cuma sinar lampu yang memenuhi setiap ruang terowong itu melindungi kengerianya. Jika matilah lampu-lampu itu pastinya pemandu kehilangan arah. Lose their bearing. Ini jalanraya di bawah laut. Di atas sana adalah air. Sebahagian dari Lautan Atlantik. Maknanya terowong itu bukan cetek. Tentu sahaja antara setengah atau satu kilometer di bawah sana. Jangan bayangkan jika runtuh. Atau jika air meresap masuk. Kejayaan kejuruteraan bukan menghilangkan risikonya. Alat pengesan tentu dipasang untuk memberi amalan awal. Namum selalu terjadi human error kerana itu adalah human factor. Fitrah mansia membuat kesalahan. Bagi orang Islam banyakkan berdoa semoga sperjalanan itu selamat. Harapan yang mengunung tinggi ialah melihat cahaya di hujung terowong. Itulah peribahasa orang putih, light at the end of the tunnel. Kit atidak ada peribahasa sebegitu kerana kita tidak membina terowong. Yang saya ingat ialah pahlawan-pahlawan dahulukala naik bukit turun bukit. Masuk desa masuk hutan. Terowong tidak ada. Sebab itu bahasa ada nilai budaya. Ada nilai agama. Ada nilai pendidikan. Ada nilai kejuruteraan. Bahasa menjadi jiwa bangsa. Bahasa itulah lambang jatuh bangunnya sesuatu bangsa.
Sewaktu kami keluar dari terowong Holland jam sudah melewatu waktu Zohor. Sudah lebih jam 3.00 petang. 45st here we come, kata saya. Di kanan dan kiri saya bangunannya semua nya pencakar langit. Jika kali pertama di New York pasti seperti rusa masuk kampung. Kepala jadi panjang. Terjengah ke sana terjengah ke sini. Mendongak sahaja kerjanya. Saya teringat kartun Lat. Karektornya semua mendongak. Orang New York tiada masa memandang ke kanan atau ke kiri. Tidak juga mendongak. Semuanya memandang ke hadapan. Lurus. Pantas. The rat race. Semuanhya mengejar masa. Mengejar urusan hidup. Profesional atau peribadi. Semuanya sama sahaja. Takut tertinggal atau ditinggalkan masa. Dari hujunbg terowong Holland hinga ke hujung 45st agak lama juga. Walaupun jalanrayanya lebar dan berlorong-lorong kenderaan sangat banyak. Sesak selalu. Hujung minggu bukan faktor kurangnya kenderaan. Manusia sentiasa berpusu-pusu. Langkah mereka panjang-panjang. Berderap-derap. Kejap dan pantas. Masing-masing mengejar sesuatu. Mengejar hidup yang semakin menjauh. Kejarlah ia tetap jauh. Yang dikejar itu dunia. Tetapi jika yang dikejar itu akhirat kita akan merasa lebih dekat. Lebih santai. Kebahagiaan banyak bentuknya. Nilainya yang kita beri mementukan tindakan kita. Hati kita.
Di hujung 45st saya belok ke kiri. Pasti dengan arahan peta yang selalu dirujuk. Yang selalu sudah diingat dalam minda. Saya merasa pasti bangunan PBB ada di simpang berikutnya. Tetapi saya tidak menemuinya hingga ke beberapa simpang yang saya lalui. Wah kacau ni, kata hati saya. Kita sudah terlepas simpang yang kita cari, kata saya kepada yang lain. Saya cari U-Turn. Balik semula ke 45st. Saya ulang lagi menyusur jalan yang sama. Tidak jumpa juga. Mana perginya PBB. Tidak mungkin hilang ghaib begitu sahaja. Saya ulang lagi proses yang sama untuk kali ketiga. Hasilnya nihil. Dalam pada itu otak berputar mencari jawapan. Saya teringat pernah melihat gambar bangunan PBB. Letaknya di tepi laut. Lalu saya mencari tempat untuk berhenti. Saya pandang ke belakang arah pantai. Nah, itu pun dia bangunannya. Memang di tepi laut. Kenapa tidak ditemui simpangnya. Mistri juga. Itulah kehidupan. Bila sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan. Jangan lupa menoleh ke belakang untuk mencari arah ke hadapan. Ada tanda dan iktibar yang mesti dibawa bersama. Kita datang dari belakang untuk ke hadapan. Kembalilah saya ke 45st. Saya perhatikan betul-betul arah letak bangunan itu. Ini dia. Baru jumpa simpangnya. Memang bangunan itu tidak kelihatan terlindung dari bangunan-bangunan yang lain. Rupa-rupanya ada dataran yang membelok ke kanan. Di kiri bagi kita di Malaysia. Ingat, stereng kereta di sebelah kiri. Saya memandu di sebelah kanan. Samalah seperti jika kita hendak ke Bangunan Tabung Haji atau PNB atau hendak ke Ampang kita naik ke dataran di sebelah kiri. Ada terowong di persimpangan itu. Itu Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur. Pengalaman saya pula di New York.
Bila saya naik sahaja ke dataran itu, nah tersergam bangunan PBB. Lega rasanya. Semua menarik nafas panjang. Yang dicari sudah ditemui. Itu baru satu kekangan. Mana nak parkir kereta pula. Terpaksalah cari tempat parkir yang banyak di sekeliling tempat itu. Saya masu7k ke ruangan parkir tetapi bukan parkir sendiri. Bayar tiket. Serah kunci. Kereta ityu mungkin diparkir di basement yang ketujuh. Jauh di bawah tanah. Satu jam USD7. Entah berapa jam nanti. Budak hitam yang menjaganya sahaja yang tahu di mana seharusnya kereta itu diparkir. Jika saya masuk tentu saya sesat nanti. Cuma nasihat yang pernah saya terima, jangan terdedah apa sahaja yang ada nilai. Tinggi atau rendah bukan isu. Se bungkus cokelat sudah cukup menjadi sebab untuk cermin kereta dipecahkan. Hanya sebungkus cokelat. Jika yang lebih berharga tentulah lebih besar risikonya. Kebarangkaliannya cermin kereta dipecahkan lebih tinggi lagi. Di Malaysiapun keadaannya sudah mula gawat seperti di kota-kota besar lain. Pantang ada barang dalam kereta. Ada sahaja yang berminat. Terpaksalah selalu beringat. Tidak boleh lalai langsung. Sebab itulah hukum had (hudud) itu Allah wajibkan. Allah yang menentukan hukumnya. Tiada kompromi. Hakim hanya mencari kesahihan berlakunya jenayah itu. Tanpanya hati kita selalu tidak tenteram. Selalu bimbang. Tidak tenang. Potong tangan bukan sahaja hukuman yang adil setelah dibuktikan tanpa sebarang keraguan. Ianya menjadi deterent. Pencegahan lebih baik dari merawat. Jika sudah kudung tangan sudah tidak ada jalan untuk menyelamatkan tangan itu. Lebih baik menyayanginya dari menzalimi diri sendiri.Yang lain akan menimbang berkali-kali sebelum melakukan hal yang sama. Sayang tangan atau gila hendak mangambil harta orang tanpa hak.
Sampai juga ke bangunan PBB. Memang besar dan menjadi lambang kedamaian dunia. Semua negara yang merdeka menjadi anggotanya. Seia sekata mencari dan mengekalkan perdamaian. Malangnya waktu sudah jam 4.35 petang. Bangunan itu ditutup untuk pengunjung-pengunjung pada jam 5.00 petang. Kempunan kami dari memasukinya. Gambar di bawah ini pengubat kekecewaan itu. Anak-anak saya yang lima orang bergambar di hadapan bangunan yang besar impaknya kepada seluruh dunia. Aspirasi keamanan. Impian yang selalu tercemar. Hasrat yang selalu diveto. Banyak kekecewaan dari meraikan keriaan. Terlalu banyak percaturan politik kuasa besar yang menyulitkan negara kecil. Apatah lagi yang lemah. Cerita lama bahawa yang kuat menguasai yang lemah masih terus berlaku. Survival of the fittest.
Bila saya pandang gambar ini saya jadi cukup nostalgik. Gambar tahun 1986 yang saya rakam semula. Yang sulung sudah 40 tahun. Yang kedua 39. Yang ketiga 32. Yang keempat 31 dan yang kelima sudah 29 tahun. Sudah berkerjaya. Sudah berumahtangga. Kelima-lima mereka sudah menghadiahkan saya 13 orang cucu. Yang kelima waktu itu baru berusia belum sampai tiga tahun.
Hanya di luar ini sahaja rakaman PBB untuk kami bawa pulang. Pernah sampai. Pernah berada di situ. Pernah memandangnya. Pernah menghirup semangatnya. Pernah berdiri selari dengan bangunannya. New York. New York. Harapan masih adakah di situ?