Wednesday, June 22, 2016

Setinggi Mana Kita Melonjak



Banyak kerjaya yang diceburi oleh berbagai lapisan manusia. Lazimnya kita kaitkan sesuatu kerjaya dengan kelayakan akademik, pengalaman, peluang dan nasib. Ada masanya kita mendapat kerja kerana kita kenal majikan kita. Lazimnya juga mereka yang memiliki kelayakan yang tinggi menjawat jawatan eksekutif hingga ke CEO. Jawatan paling tingggi dalam mana-mana organisasi. Kita melihat mereka inilah yang naik menegak atau bergerak mendatar. Semakin banyak pengalaman maka peluang untuk naik pangkat semakin cerah. Pengalaman itu bukan hanya sekadar pengalaman. Ianya dikaitkan dengan kecekapan untuk menyelesaikan masalah dan untuk membuat keputusan yang bermanfaat kepada organisasi. Kita ketepikan soal politiking dalam oraganisasi. Itu mungkin aspek lain yang sukar dihuraikan. Kita hanya ingin melihat sesuatu yang biasa berkaitan dengan kelayakan akademik dan pengalaman.

Bolehkah seorang juruteknik umpamanya menjadi CEO? Jawapannya boleh dan tidak. Tentu boleh jika ia menceburkan dirinya dalam sesuatu organisasi. Menjadi usahawan umpamanya. Tetapi dalam oraganisasi yang diriya hanya seorang juruteknik kebarangkalian ia menjadi CEO mungkin 0.0001%. dalam banyak hal kelayakan akademik adalah sesuatu yang dipandang lebih utama. Keduanya pengalaman. Hanya pada keadaan tertentu sahaja pengalaman dipandang tinggi. Namun demikian ramai antara kita berebut-rebut untuk naik ke atas walaupun jalannya penuh dengan protokol, prosedur, sistem dan birokrasi. Yang kurang berkelayakan akan pasti tertinggal dalam perkiraan. Yang kurang berpengalaman juga akan tertinggal. Maksudnya jika hendak naik ke atas maka hendaklah melengkapkan diri dangan aras akademik yang lebih tinggi. Jika tidak lebih baik belegar di peringkat bawah sahaja. Lebih selamat dalam jangka panjang.

Kadang-kadang kita tidak tahu tentang the intricacity sesebuah organasi. Banyak yang kita tidak dapat memahaminya. Ketelusan hanya kepada yang memandangnya dengan telus. Lazimnya terdapat tangan-tangan ghaib yang turut serta dalam proses yang dikatakan telus, lurus dan bersih. Namun begitu sistem, protokol dan sebagainya sukar ditembusi tanpa kelayakan minimum seperti kelayakan akademik dan pengalaman yang relevan. Di luar sana soalan yang standard selalu kita dengar ialah,”Apa kelulusan dia?”. Tanpanya maka integriti dan kredibiliti seseorang itu boleh runtuh dengan sekelip mata. Ramai orang yang tidak dapat memahami hal-hal yang besar dan sulit ini.  Di mana sebenarnya titik pertemuan antara akademik dan pengalaman. Yang pastinya kelayakan akademik menjadi pasport untuk menjawat jawatan yang lebih baik. Lebih banyak ganjarannya. Lebih tinggi status sosialnya. Ia bukan kerana kita Melayu atau Islam atau adat Malaysia. Sebenarnya di mana-mana sekalipun akademik adalah pasport untuk mendapat kerjaya yag lumayan pendapatannya.

Lazimnya mereka yang bertaraf lulusan IPT dipandang tinggi andainya memenuhi syarat-syarat tambahan. Akhlaknya sesuai. Pergaulannya santai. Ideanya banyak dan bernas.  Tindakannya profesional. Bijak menangani masalah. Membuat keputusan yang relevan. Tanpa syarat tambahan, seseorang graduan dipandang sama. Mampu terlihat dengan sebelah mata sahaja. Sorotan hidup di kampus akdemik memperlihatkan bahawa seseorang graduan itu telah melalui suatu proses yang panjang, sukar berliku, teruji minda dan emosinya, cergas dan sihat, hidupnya melampaui sempadan kampusnya. Aktiviti kemasyarakatan yang banyak dan bertalu-talu. Mereka melalui pula proses membuat kerja-kerja amali. Bengkel dan makmal seperti rumah kedua. Perpustakaan seperti rumah sendiri.

Apabila mendakap segulung ijazah, yang dilihat hanyalah kertas nipis. Ditimbang tiada harganya. Lori yang membeli surat kahbar lama rasanya tidak berminat.  Kecualilah banyak dan berat timbangannya. Tetapi mereka yang berpengalaman sahaja mengetahui bahawa di sebalik sehelai atau sekeping kertas ijazah itulah entah berapa banyak tetesan airmata. Banyak keringat yang mangalir. Berapa banyak keluhan dan dengusan. Berapa banyak emos terganggu. Tidak tenteram. Tidak aman. Bersarang kebimbangan tanpa henti. Antara A hingga ke E di hujung semester. Maknanya graduan yang beraspirasi menjadi seorang eksekutif dan akhirnya mungkin menjadi CEO memiliki ramuan yang diperlukan. Cukup atau tidak bergantung kepada graduan dan majikannya. Ditambah dan disempurnakan sepanjang kerjayanya. Tidak ada graduan yang santai hidupnya semasa di kampus. Mereka boleh santai tetapi akan keluar lebih cepat tanpa ijazah. Kampus adalah tempat latihan keras dan seru. Menuntut fokus tanpa syarat.

Maka dalam mana-mana organisai kelayakan akademik dan pengalaman tetap dipandang tinggi. Mereka yang tidak tinggi kelayakannya hanya mampu mendongak. Hanya berkisar di aras bawah. Mereka terhalang untuk menembusi tingat yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun mereka yang berada di bawah adalah istimewa kerana merekalah yang menggerakkan organisasi. Jika mereka yang di atas adalah pemimpin maka mereka yang di bawah adalah mereka yang dipimpin atau pembantu . Staff dalam bahasa Inggeris dan karyawan jika di Indonesia. Tidak ada perbincangan siapa yang lebih penting. Pemimpin diperlukan. Pembantu diperlukan. Akhirnya kita sedar bahawa antara pemimpin dan pembantu ada peranan masing-masing. Tanggungjawab bersama. Objektif yang sama. Yang dipimpin melaksanakan tugas-tugas dasar. Pemimpin merancang, mengkoordinasi, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan-keputusan yang diperlukan.

Oleh kerana mereka yang di bawah terhalang untuk naik ke atas maka tidaa semestinya mereka terhalang untuk melakukan yang terbaik. Cuba kita fikirkan bersama apa yang wajar dilakukan oleh seorang pembantu di peringkat bawah.
1                     Meningkatkan produktivivi
2                     Menyumbang idea walau kecil sekalipun
3                     Membantu mengurangkan pembaziran bahan, masa, waktu, kos dan lain-lain yang berkaitan
4                     Membina ukhwah sesama ahli organisasi
5                     Membina iklim organisasi yang kondusif


Bukan sebarang orang yang boleh berada di peringkat atas. Fizikal, mental, perasaan dan psikologi mereka telah dibina semasa di IPT dahulu. Tidak semua orang dapat berperanan seperti mereka. Kadang-kadang pengalaman sahaja tidak memadai. Andainya kesemua yang tersebut dapat diushakan, rasanya orangisasi menjadi lebih indah dan membahagiakan. Sumbangan dari pembantu di bawah lazimnya dilihat positif. Organisasi memberikan imbalan yang meningkatkan kebajikan dan kesejahteran kesemua ahlinya. Buangkan sifat berebut naik kerana jalannya sudah tersekat. Berlegarlah di bawah tetapi dengan misi besar untuk membantu organisasi. Ianya bukan sesuatu yang sukar. Lihat balik analisis kerja dan spesifikasi kerja masing-masing. Dari situ kita boleh bertitik-tolak untuk membina kehidupan berorganisai yang lebih baik.