Ketika Ustaz Mohd Rahim membaca doa khatam al-Quran, saya tunduk menahan sebak. Tergenang airmata ditahan-tahan. Berharap supaya ianya tidak jatuh. Tidak meleleh. Tidak mengalir. Cukuplah rasa sebak itu di dalam. Gembira. Puas. Berbaur banyak rasa yang sukar digambarkan. Yang pastinya ia ada di dalam. Tidak berbentuk fizikal. Maujud tetapi abstrak. Hati dan perasaan menikmatinya. Perhatian halus yang dalamnya menusuk qalbu. Suatu kejayaan peribadi. Untuk dimanfaatkan. Untuk disampaikan. Untuk amalan.
Hari ini Sabtu 22 Januari 2011 saya dan isteri menamatkan talaqi kami dengan Ustaz Mohd Rahim bin Jusoh. Seorang guru al-Quran di UIAM, Gombak. Tempatnya di suatu kabin kecil di Gombak. Hampir jam 1.00 tengahari. Sejak dari pukul 11.00 pagi tadi kami berharap agar hari ini akan tamat talaqi kami. Khatam 30 juzuk al-Quran. Membacanya dengan qiraat Nafi’ al-Madani. Cara membaca orang Madinah. Bacaannya pula mengikut riwayat Qalun (ﻗﺎﻠﻭﻥ) dan Warsy (ﻭﺭﺵ). Bermacam-macam wajah bagi setiap satu daripadanya.
Qiraat adalah kaedah membaca al-Quran yang berbagai-bagai. Lain imam lain cara membacanya. Bukan semua kalimah berubah bacaannya. Ada tempat-tempat tertentu dan ada kalimah-kalimah tertentu. Tidak boleh dipelajari melalui buku sahaja atau CD atau kaset. Hendaklah bertalaqi supaya bacaan yang sahih sahaja yang diterimapakai. Tentulah ia memalan masa yang agak panjang. Saya mengambil masa melebihi empat tahun untuk khatam. Seminggu sekali. Kira-kira sejam setengah setiap minggu. Membaca antara 10 hingga 14 mukasurat.
Pada mulanya kami hanya membaca kira-kira dua muka surat sahaja dalam masa hampir dua jam. Lama-lama kelancaran membaca bertambah. Kemahiran mengenal kalimah-kalimah yang khilaf bertambah juga. Masalah naql, tashil, silah, iskan, khazaf, idkhal, ithbat, ibdal, qasar, tawasut dan isyba’ sudah lebih jelas dalam minda. Akhirnya khatam juga. Suatu kejayaan. Walaupun tidak ajaib, sukar untuk dikongsi perasaan gembira ini. Qiraat Nafi’ bukan mudah hendak dikuasai. Hingga sekarang matannya belum saya kuasai. Belum ada kekuatan untuk menghafalnya. InsyaAllah pada hari Ahad 30 Januari 2011 iaitu minggu hadapan akan diadakan majlis khatam secara kecil-kecil di sebuah bilik di UIAM Gombak. Untuk merasmikan khatam saya dan isteri. Jam 11.00 pagi itu nanti. InsyaAllah.
Mungkin ada orang tertanya-tanya qiraat itu apa. Perlukah al-Quran dibaca dengan bunyi yang berbagai-bagai. Lebih berat lagi soalan yang berbunyi, “Perlukan dipelajari?” Jawapannya mudah sahaja. Semua qiraat datangnya dari Allah. Melalui Rasulullah yang disampaikan oleh Jibril. Rasulullah mengajar sahabat-sahabatnya dengan wajah yang berlainan. Ramai yang menghafal al-Quran dengan wajah yang berlainan. Namun begitu Khalifah Sayidina Uthman telah diberi petunjuk oleh Allah supaya menulis al-Quran dalam bentuknya yang ada sekarang. Rasm Uthmani. Tentu menakjubkan. Al-Quran yang bertulisan dengan Rasm Uthmani itu mampu dibaca oleh semua qurra’qiraat dengan sedikit perubahan dari segi pelaksanaan bacaannya.
Ada 10 qiraat yang diiktiraf ulamak. Setiap satunya diriwayatkan oleh dua orang. Riwayat itu sendiri bermaksud cara membacanya. Imam qiraat mengikut susunannya adalah seperti senarai di bawah:
1 Nafi’ al-Madani (perawinya Qalun dan Warsy)
2 Ibn Kathir a-lMakki (perawinya Al-Bazzi dan Qunbul)
3 Abu ‘Amru al-Basri (perawinya al-Duri dan al-Susi)
4 Ibn ‘Amir al-Damsyiqi (perawinya Hisyam dan Ibn Dzakuan)
5 ‘Ashim al-Kuffi (perawinya Hafs dan Syu’bah)
6 Hamzah al-Kuffi (perawingkhalaf dan khalad)
7 Al-Kisaie al-Kuffi (perawinya Abu al-Harith dan al-Duri
8 Abu Ja’far al-Madani (perawinya Abu al-Harith dan Ibn Jammaz)
9 Ya’cob al-Hadrami (perawinya Ruwais dan Ruuh)
10 Khalaf al-‘Asyir (perawinya Ishak dan Idris)
Qiraat dipelajari bukan skadar ilmu yang brmanfaat tetapi ada keperluan yang menuntut ianya dipelajari. Bagi mereka yang terlibat dengan ilmu tafsir dan mentafsir al-Quran, qiraat sangatlah penting. Semasa mereka mentafsir, kelainan dan khilaf dari segi bacaan itu diambilkira. Maksud dan maknanya diharmonikan di samping maklumat mengenai nuzul al-Quran itu sendiri. Begitu juga bagi orang-orang yang ingin mengistinbat hukum, kemahiran dalam qiraat dikira penting. Hukum hakam yang ingin dicari dan difatwakan hendaklah dilihat dari berbagai aspek qiraat supaya maksud yang sebenar diperakui oleh jumhur umalak. Qiraat adalah bacaan sahih dari Rasulullah. Boleh dibaca pada bila-bila masa. Sah dibaca dalam solat. Tetapi jangan sekali dibaca bercampur-campur. Yang itu terlarang dan ditegah. Baca satu qiraat sahaja pada satu-satu ketika. Contohnya satu qiraat untuk satu surah. Bila pindah kepada surah yang lain barulah boleh berpindah qiraat.
Setelah mempelajari qiraat untuk beberapa ketika barulah saya merasa nikmatnya al-Quran itu. Maksud saya nikmatnya meningkat berganda-ganda. Sedarlah saya bahawa hukum tajwid yang saya pelajari selama ini banyak jawapannya dalam qiraat. Sesungguhnya qiraat membuka banyak pintu mukjizat al-Quran yang lebih besar. Yang lebih banyak. Yang lebih mendalam. Qiraat membelai hati untuk membaca al-Quran dengan kaedah bacaan yang paling sesuai dan harmoni dengan lidah, hati dan perasaan. Rasa dibuai selalu bila membaca dengan qiraat yang berlainan. Ada hikmah dan nikmat yang silih berganti. Yang silih berganda.
Secara hakikinya saya baru terdedah dengan qiraat Hafs, Qalun dan Warsy. Ini bermakna ada 17 lagi kaedah bacaan yang perlu saya mahirkan sebelum saya boleh menguasai qiraat sepuluh. InsyaAllah selepas ini akan dimahirkan pula Qiraat Ibn Kathir. Perawinya al-Bazzi dan Qunbul. Perjalanan yang tidak mungkin tamat. Nantilah saya kongsikan pengalaman ini. Perjalanan yang mungkin panjang dan mungkin pendek. Ilmu itu dicari dari buaian hinggalah ke liang lahad. Kita harus menginsafi pentingnya mengetahui ilmu-ilmu Allah. Hidup kita menuju kepadaNya. Akan nanti kembali kepadaNya. Tentulah yang akan ditanya ialah ke mana usia kita telah dihabiskan. Saya ingin melaksanakan amanah itu. Mudah-mudahan Allah memberkati. Semoga malaikat menaungi. Semoga Rasulullah melebarkan syafaatnya di akhirat nanti. InsyaAllah.