Sunday, June 13, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Tujuh

Tahun 1969 serasa masih baru bagi saya. Masih jelas bayangan sewaktu di Terengganu dahulu. Seorang jejaka kampung yang merentas beberapa negeri untuk berkhidmat kepada negara. Itulah yang saya tandatangani dalam surat perjanjian saya dengan Kementerian Pelajaran. Saya membuat perakuan bahawa saya bersedia bertugas di mana-mana sahaja mengikut arahan, Saya adalah "yang menurut perintah". Saya tidak pula rasa terbuang. Tidak pula seperti dibuang. Semangat saya berkobar-kobar menerima watikah, menerima tugasan, menerima tanggungjawab sebagai guru terlatih. Nun jauh dari kampung saya rentas sungai dan bukit untuk berbakti kepada tanah air tercinta.



Waktu-waktu awal menjadi guru, semuanya serba kekurangan. Saya tidak ingat berapa helai baju kemeja saya, berapa pasang seluar saya. Entah talileher apa yang saya pakai. Tahun 1969 adalah transisi antara memakai seluar playboy atau seluar bell-bottom. Seluar playboy agak sempit, hujung kakinya kecil dan panjangnya di atas buku lali. Kegemaran ketika itu ialah memakai setokin berwarna putih. Kasut kegilaan ialah yang berjenama Clark suede (kulit terbalik) paras buku lali. Bila berdiri dan berjalan ternampak sedikit putih setokin. Seorang guru Peace Corp dari USA, Mr Duncan mengajar saya bahasa Inggeris Tingkata Empat - 1964. First contact saya dengan the real orang Putih - Mat Salleh. Seluar yang dipakainya playboy. memangpun trend itu datangnya dari USA. Second contact 1967 di Labis dan Segamat. Third contact 1984-86 di USA. Fourth contact 1990 di Canada. Fifth contact 1991 di Politeknik Batu Pahat (sebelum jadi PLSP, ITTHO, KUiTTHO dan UTHM). Sixth contact tahun 1992-93 sebelum PLSP dirasmikan. Seventh contact sewaktu MUCIA mengendalikan kursus PLSP sehinga tahun 1998/99. Nantilah dalam entry yang berkenaan akan ada ceritanya. InsyaAllah.



Seluar bell-bottom lain pula keaadannya. Panjangnya melepasi buku lali. Bahagian hujungnya pula agak besar. Ramai juga yang memanjangkan seluar sehingga kasutpun tidak kelihatan. Sebenarnya seluar bell-bottom sama dengan seluar yang dipakai tentera laut (navy). Pada tahun 1971 seluar playboy masih menjadi style dan trend ketika itu. Gambar-gambar saya selepas berkahwin bukti nyata kepada realiti itu. Saya pula jarang menjadi trend setter. Saya lihat dulu keadaan. Bila hati saya sudah tetap baru saya ikut trend yang ada.



Pada awal tahun 70an tidak ada kedai besar ketika itu. Mana ada supermarket. Hypermarket jauh sekali. Globe Silk Store di jalan Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur cukup gah. Jika berjalan menjinjing beg Globe bangganya satu macam. Tidak ada saingan. Baju kemeja kebanyakannya ditempah di kedai. Jenama-jenama seperti sekarang belum ada. Seingat saya jenama yang agak digilai orang muda ialah Arrow. Sehelai kemeja Arrow berharga RM27. Hampir 1/10 dari gaji saya. Saya setakat mampu dengar namanya dan envy orang yang memakainya.



Hiburan sangat terhad. Pawagam paling kerap dituju. Tiket kira-kira RM1 sahaja. Tahun 1969 saya menyewa rumah di Kampung Surau, Jalan Tanjung. Pemiliknya Haji Wan Musa. Abang kepada Datuk Wan Mokhtar, mantan menteri besar Terengganu. Banyak cerita lucu bersama Wan Musa sewaktu mula sampai di Terengganu dahulu. Banyak pula masalah semantik. Perkataan sama tetapi maknanya jauh meyimpang. saya terkesima bila berbicara tentang perkataan batu, cemar, selalu, tubik, gocoh dan sebagainya. Gelak sendiri bila ingat. Bila dia sebut sesuatu, saya fahamkan lain, dia maksudkan lain. Lama juga hendak memahaminya. Terutana istiah-istilah khusus orang lelaki. Wan Musa banyak lawaknya. Al-fatihah untuknya.

Budak-budak kecil tidak ke sekolah orang Putih tetapi mereka pandai bercakap seperti Mat Salleh. Cuba fahamkan. Saya bertanya di mana rumahnya. Jawabnya, "Abang gi straight, corner kiri, corner kanan, jumpa rumah yang skoyar, itulah dia." Straight dan corner saya faham, tetapi yang skoyar tu apa pula? Bila berjumpa dengan rumahnya barulah saya faham. Skoyar tu rupanya square. Segi empat. Tidak ke tergelak jadinya. Fasih betul budak ni berbahasa Inggeris!

Rumah yang saya sewa itu dekat dengan bandar. Kampung nelayan. Bila malam kerap berjalan kaki ke bandar. Di sepanjang jeti (sekarang waterfront) sentiasa ramai. Di sekeliling Pasar Kedai Payang tetap menjadi tumpuan siang dan malam. Hingga sekarang. Bila saya pindah ke Ladang, Jaraknya tidak juga begitu jauh. Kebiasaan lama masih boleh seperti biasa. Sekarang ini kedua-dua tempat itu sudah dibangunkan. Saya sudah tidak kenal lagi di mana sebenarnya rumah yang saya duduki. Tapaknya sudah tidak dijumpai. Arahnya entah di mana. Ladang sudah jadi ladang bangunan. Kedai merata-rata.



Guru baru di sekolah biasanya lambat menerima gaji. Prosesnya panjang dan lama. Bila melaporkan diri, nama dihantar ke pejabat pendidikan negeri. Negeri hantar pula ke Kementerian. Di Kementerian entah berapa kali pusing baru sampai ke Bahagian Gaji. Dari situ ke Bahagian Sekolah. Kemudian ke negeri semula. Akhirnya ke sekolah. Paling cepat mungkin enam bulan. Bulan-bulan bagaimana agaknya? Makan, sewa rumah, tambang bas/teksi, gunting rambut, berus dan ubat gigi, sabun mandi dan basuh, bedak, minyak rambut dan berbagai lagi. Saya dan yang lain-lain menerima pinjaman bulanan yang dipanggil advance (pendahuluan) kira -kira RM150 sebulan. Gaji termasuk elaun RM360. Tolak KWSP RM27. Tolak pendahuluan RM150. Bakinya yang tertunggak ialah RM183.

Enam bulan kemudian tunggakan saya ialah 5 X RM183 = RM915. Bersama dengan beberapa ringgit tambahan, baki yang tersimpan saya hantar kepada arwah ibu saya. Dengan wang itu saya mengubah rumah lama yang beratap rembia. Yang berdinding kulit kayu. Yang dindingnya banyak lubang dan berlubang. Ciri alamiah kulit kayu yang kering dan mengering. Kecut dan mengerut. Yang berlantai batang pinang. Yang dapurnya kayu. Yang pelantarnya tinggi di hujung dapur. Yang bila hujan ada air yang tiris dari atap rembia itu.

Tiang rumah lama masih diguna. Lantai rumah hadapan boleh guna. Gelegar, rasuk, tampuk, belebas, bendul dan ompak masih boleh dipakai. Ditambah mana yang kurang, reput atau rosak. Lantainya kayu kapur. Begitu juga penyekat bilik dan dindingnya. Atapnya zing. Tingkap pula kaca. Adalah seperti rumah. Lebih selesa. Lagipun saya bertiga bersama ibu dan adik perempuan saya. Pada perkiraan saya rumah itu sekadar RM 2,000 sahaja. Hanya 5% daripada Taj Mahal yang ada.

Tahun 1969 rumah itu tentulah sejarah bagi saya. Hasil pertama berkaki ayam dahulu. Yang selalu berbekalkan nasi sejuk, sambal tumis, ikan kering, goreng belacan. Bekal yang berbungkus upih atau daun pisang kering. Hasil titik peluh meredah negeri, sungai dan bukit. Hasil merantau nun jauh dari kampung. Hasil letih berbasikal setiap hari ke sekolah. Hasil letih di Institut Bahasa dahulu. Hasil ganjaran menjadi guru. Tinggallah kampung tinggallah sayang. Apakan daya ongkos tak daya. Belum masanya. Hanya rindu menggamit rasa. Warkah sayang diterbang pulang. Menitipkan rasa rindu yang mencengkam. Sabar, sabar sayang. Saya sudah bertunang. Itu yang selalu meraung dalam hati. Aduhai, rindunya. orang sekarang senanglah. Boleh sms atau e-mail. Dulu susah. Kenalah menulis bejam-jam, berhari-hari untuk satu surat. Susah hendak bermadah, sentimental, puitik. Rsa rindu yang berkecamuk, bergejolak dalam dada.

Pada tahun 1970 adik saya berkahwin. Di rumah baru. Saya walinya. Satu-satunya wali terdekat. Abang kandungnya. Meriah juga kenduri di kampung ketika itu. Yang semangat gotong royongnya masih menebal. Ayam dan sayur tidak membeli. Pisang dan kelapa tidak berbayar. Ayam hanya tunggu untuk disembelih. Ramai yang membawa datang. Masih berlebih selepas kenduri. Yang dibeli beras, gula, tepung, bawang, ikan masin, tepung untuk dibuat kuih termasuklah kicap dan garam. Menu masakannya amat simple. Bagi kami ketika itu sudah cukup menyelerakan. Istilah dulu-dulu nasi minyak - nasi samin kata orang kampung saya. Bukan banyak kali dalam setahun. Makan berdulang. Memang pulun sampai licin. Nasi boleh tambah, lauk memang terhad. Adatnya begitu.

Bila saya merantau ke Terengganu, Kuala Lumpur dan Perak persepsi adat banyak berubah. Lain padang lain belalang. Lain tempat lain adatnya. Di Terengganu nasi dan lauk tidak pernah terhad. Makanlah selagi larat. Mintalah seberapa kali hendak tambah. Tidak diminta lauk dan nasi ada yang menuang ke dalam pinggan. Saya pernah ke Lambor Kiri, Parit, Perak. Lauk yang dihidang, kur semangat banyaknya. Bayangkan di dalam dulang ada daging lembu/kerbau, ayam, ikan laut, ikan sungai, acar, sayu nangka campur ikan masin, sambal belacan, sambal tumis. Sedulang makan berempat. Gila saya kata. Siapa nak menghabiskannya. Siapa yang hendak memakannya. Itulah adat kebisaaan. Tuan rumah teringin benar hendak menjamu. Tetamu entahkan larat memakannya entahkan tidak.


Pada tahun 1970 saya sudah lima tahun bertunang. Lamanya. Bila adik sudah berumahtangga, sampailah giliran saya pula. 2 Ogos 1971 rasmilah saya bergelar suami. Umur 25 tahun 10 hari. Cantik. Agak matang juga. Isteri saya 21 tahun. Kami berdua tengah ranum. Kami setia selama enam tahun. Bisalah orang bercinta. Gelora emosi dan cinta itu berbaur. Bertingkah. Mencari helah. Kecundang bagi yang lemah. Kekuatan itu perlu ada. Bagi yang lebih matang tentulah lebih betah bertahan. Tidak mudah mengalah. Bukan tidak tergoda dengan mek Terengganu yang comel lote. Maaf. Saya sudah bertunang. Tidak terniat untuk mengkhianati cinta. Cobaan, cobaan.


Orang lelaki yang bernama suami tidak boleh bersendirian. Ia selalu diserang kerinduan yang mendesah-desah. Teringat kata almarhum Habib Ali. Isteri hendaklah berada di samping suami. Bawalah ia ke mana sahaja bertugas. Itulah sebabnya pada zaman dahulu apabila suami pergi berperang, anak dan isteri dibawa bersama. Jika menang, bertambahlah rampasan perang termasuk hamba. Yang dulunya musuh dan menjadi tawanan perang pula. Jika kalah anak isteri dan harta bendanya menjadi rampasan dan tawanan musuh. Oleh itu saya bawa isteri saya ke Terengganu. Bermulalah episod sebuah keluarga yang akhirnya terhasil sembilan orang anak. Tujuh puteri dan dua orang putera. Dua orang lahir di Terengganu. Yang sulung lahir pada 29 Mei 1972 sementara yang kedua lahir pada 23 Julai 1973. Beza keduanya hanya setahun dua bulan. Yang terakhir, kesembilan, lahir pada 31 Disember 1992.

Kami berempat bahagia di sebuah rumah kampung yang kecil comel di Jalan Panji Alam. Jiran saya Pak Engku Sulong, Pak Wan, Pak Ngah, Mak Engku Zarah dan yang lain-lain. Sudah lebih 35 tahun yang lalu. Ramai sudah tidak ada. Rumah yang saya duduki itupun hanya tinggal tapaknya yang dijaga rapi. Tak tau pula siapa pemiliknya dan kenapa pula tidak didirikan apa-apa bangunan. Isteri saya tidak bekerja. Banyak masa lapangnya mengasuh anak. Kebetulan dia ada pengalaman menjadi pengasuh anak seorang pegawai kerajaan. Agak tinggi kemahirannya mendidik dan mengasuh anak. Alhamdulillah. Keberuntungan saya yang Allah beri kepada saya. Satu keberuntungan dan kebetulan anak yang kelima akan pula kembali ke Terengganu. Bersemenda dengan orang Terengganu. Tidak ke mana juga sudahnya. Bayangannya seolah-olah sudah direncanakan Allah.

Enam tahun di Terengganu. Enam tahun yang banyak musim bunganya. Enam tahun yang berbunga hati, isteri dan anak-anak. Enam tahun yang damai. Ketenangan yang belum dibelah pembangunan pesat Kuala Terengganu. Bandar kecil yang comel dahulu sudah meledak besar. Berubah lanskapnya. Mercutandanya sudah berubah. Yang lama tenggelam. Jika warisan tidak dijaga, tidak dipulihara, tidak dihagai, tidak diletak di hati, sejarahnya tentu pudar dan akhirnya nanti padam. Gererasi baru hanya mengenal namanya, sebutannya tetapi tidak fizikalnya, tidak tapak lokasinya.

Sejarah itu lama. Sudah berlalu. Telah lama dalam lipatan ingatan. Jika tidak didokumenkan begini, ia hilang dari perhatian sejarah keluarga dan diri sendiri. Nanti kita jadi lupa dari mana kita datang. Ke mana hendak dituju. Laluan yang telah dijejaki. Payah dan senang yang telah menjadi asam garam hidup. Jauh perjalanan menambah rakaman ingatan. Jauh merantau menjadi sumber mengubah paradigma. Mengubah rona-rona bentuk kehidupan. Yang natijahnya harapan dan kegemilangan zaman.

Hanya yang mengembara seperti saya dapat membuka tempurung, membelah kepompong. Menjengah di luar lalu dibawa pulang value added yang memperkayakan diri, emosi, psikologi, falsafah, keyakinan, norma dan adat yang sesuai untuk zaman-berzaman lagi. Barangkali nanti cucu cicit keturunan saya akan menelusuri jejak datuknya ini. Mencari di mana tapak mulanya. Di mana batu lonjakan yang dapat menerjah dunia luas merentas negeri, negara, benua dan angkasa. Meihat dunia luas yang dulunya hanya didengar dan dilihat gambarnya. Sesunggunya apabila melihat kita mengingat. Bila mendengar kita lupa. Tetapi bila mengalami sendiri terpasak dalam ingatan. Lekat untuk diulang semula. Bilu rindu datang menggamit, masa lampau yang telah lama ditinggalkan terpancar di skrin tayang minda. Masih jelas dan ada masanya mengasyikkan. Kata Ustaz Hasrizal, terbius olehnya.