Saturday, February 16, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Air Mata Palestin Yang Jatuhnya di Mata Umat Islam

Bertahun-tahun warga Palestin merana dan berduka lara. Mereka melarat di tanahair mereka sendiri. Mereka lari bukan untuk berundur. Mereka berundur untuk mengumpulkan semangat dan kekuatan material. Bahawa suatu hari nanti bumi Palestin direbut kembali tanpa Yahudi. Bumi yang akan seluruhnya di bawah Islam. Islam yang selamat sejahtera. Yahudi yang disesatkan di bumi Palestin selama 40 tahun merasa tidak malu untuk merampas tanah Palestin yang ditolaknya dahulu. Di hadapan Nabi Musa mereka menolak mentah-mentah untuk masuk ke bumi Palestin. Sekarang mereka mendabik dada bahawa Palestin hendak mereka rampas. Tembok panjang dibina untuk memecahbelahkan bumi Palestin.
Setelah tamat Perang Dunia I, orang Yahudi mula datang ke Palestin. Sebuah bandar kecil di tepi laut Mediterranean (Laut Tengah) dihuni oleh beberapa keluarga. Datang dengan rendah diri. Menjadi penghuni yang tidak nampak signifikannya langsung. Tahun 1921 yang sayup-sayup diimbau sejarah. Tidak ramai dan tidak ada majlis-majlisan. Tiada sambutan. Tiada keramaian. Mereka datang dan dukuk diam pada zahirnya. Rupanya sejarah menyaksikan bahawa kedatangan mereka membuka jalan yang sangat luas. Bandar kecil itu akhirnya menjadi Tel Aviv. Mereka jadikan ibukota negara Israel. Tidak cukup dengan itu mereka ingin menjadikan Al-Kuds (Bait al-Muqaddis) sebagai ibu kota negara mereka. Maka perancangan mereka semakin bercempera. Peperangan demi peperangan mereka lakukan. Sekarang mereka menduduki sebahagian Lebenon, Syria dan Jordan. Hampir seluruh Palestin yang sepatutnya menjadi negara berdaulat dijajah Israel.  Cerita ini bukan lawak. Bukan sebagai penglipurlara. Ini adalah cerita dukalara umat Islam. Bukan cerita rakyat Palestin. Cerita umat Islam keseluruhannya. Cerita kita penganutnya. Cerita kita yang mendokong agamanya.
Sebelum tahun 1948 British sudah berada di Timur Tengah. Di Mesir dan di negara Syam. Negara Syam yang masyhur pada zaman dahulu dipecah perintah. Terjadilah negara berdaulat yang diperintah sendiri-sendiri. Wujudlah Syria, Jordan, Lebnon dan Palestin. Apabila negara Israel ditubuhkan dengan rasminya pada tahun 1948 dengan sendirinya suara bantahan umat Islam di Timur Tengah menjadi suara-suara kecil yang terpencil. Dalam Perang Dunia II apabila Hitler dikatakan memusuhi orang Yahudi, mereka lari ke Israel. Di belakang mereka ialah Amerika Syarikat, Britain dan negara Eropah seperti Perancis. Yahudi di Israel bukan datang untuk duduk diam dengan aman. Mereka datang untuk menyingkirkan orang Palestin sedikit demi sedikit. Malah kadang-kadang yang mereka singkirkan beribu-ribu pada sesuatu ketika. Pelarian Palestian berada di seluruh dunia khasnya di negara-negara di sekeliling Palestin.
Perang dengan Syria, Mesir dan Jordan tidak menyelesaikan apa-apa. Malah Israel berjaya menawan Tebing Barat. Hingga sekarang Jordan kehilangan banyak sumber airnya kepada Israel. Perang demi perang dilancarkan oleh Israel. Masyarakat barat menghalalkannya. Masyarakat Islam menganga dan tidur dengan nyenyak. Yang diserang bukan negara mereka. Negara-negara Islam sudah tunduk. Sudah condong. Sudah melutut. Tuan mereka ialah Amerika Syarikat dan negara Barat. Negara Islam yang dibina Rasulullah dahulu sudah hancur dipecah-pecahkan Barat. Kerajaan Andalusia gugur. Kerajaan Khalifah Uthmaniah tumbang di Turki. Istambul menjadi kubu terakhir umat Islam. Sejak itu kedaulatan Islam yang dipertahankan oleh Sultan Ahmad Pateh di Turki sekadar diratapi hingga sekarang. Dalam strategi perang musuh yang sedang lari tidak dibiarkan berhenti. Mereka diserang tanpa henti hingga tiada lagi dapat berlindung.
Umat Islam sudah tidak lagi dapat mempertahankan diri. Mungkin Iran sahaja yang mengeluarkan taringnya untuk menyeringai Barat. Yang lain tunduk takut dan banyak malunya. Israel yang penduduknya kira-kira lima juta orang menguasai Palestin. Hanya orang Palestin yang menangis. Mereka meratap sendiri. Mereka arak jenazah wira-wira mereka. Askar Yahudi hanya dapat dilempar dengan batu dan kayu. Batu-batu serpihan runtuhan rumah mereka sendiri. Dunia sepi. Apabila keadaan sudah terlalu genting seperti sekarang untuk masuk ke Gaza yang bukan di bawah awasan Yahudipun sukar dilakukan. Laut mereka kuasai. Kita hanya boleh melalui laut jika menghantar bantuan yang kuantitinya besar. Laluan melalui Mesir tidak banyak menjanjikan apa-apa. Penduduk Palestin melalui saat-saat getir setiap masa. Mereka menanti buah yang tidak gugur-gugur. Bantuan dari saudara seagama tidak juga muncul seperti diharapkan. Di belakang  Israel ada bayang Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya. Jika bayangan itu dapat dihapuskan barulah orang Islam dapat bangkit tanpa tangan terikat.
Orang Palestin pada hakikatnya menangis sendirian. Kepada mereka umat Islam di negara lain semuanya tidur. Tidur yang tersangat lama. Sejarah merakamkan bahawa Sallahuddin Al-Ayubi berjaya mengusir Richard The Lion Heart setelah orang Kristian menduduki Palestin selama lebih 200 tahun. Sejarah itu kembali menghantui umat Islam. Begitulah apabila kita alpa terhadap tanggungjawab kita terhadap Allah maka Allah memberikan berbagai ujian untuk memperkasakan semula umat Islam. Kita perlukan kepimpinan yang berwawasan tentang agama seperti Sallahuddin Al-Ayubi. Kita menanti dan terus menanti. Gerakan yang perlu kita laksanakan ialah membangun bersama Islam. Hidup kita dengan roh Islam. Pakaian kita Islam. Makan dan minum kita Islam. Jaga dan tidur kita Islam. Nafas kita Islam. Jika itu yang kita hidupkan maka tiada yang mustahil Islam itu kembali menyerlah. Kembali menyinari dunia keseluruhannya.
 Bagi orang Palestin yang berada di perantauan apa yang dilakukan oleh umat Islam tidak mencukupi. Negara-negara Islam yang kaya tidak menginfaqkan kekayaan mereka kepada usaha untuk menebus pencemaran Yahudi di al-Kuds. Sewenang-wenangnya mereka membuat pagar. Mereka membuat terowong di bawah Masjid al-Aqsa. Mereka membuat alasan untuk mencari tapak asal sejarah mereka. Untuk solat di Masjid itu terlalu banyak sekatannya. Penduduk Islam tempatan dibatasi gerakan mereka. Umat Islam dari negara lain ditapis dan disaring sebelum dapat menziarahi al-Kuds. Seolah-olah orang Yahudi menjadi tuan tanpa ditabalkan. Mereka ingin kembali seperti sejarah yang mereka dustai sendiri pada zaman Nabi Musa dahulu.
Allah Maha Besar. Palestin tidak dapat dikuasai sepenuhnya oleh Israel. Banyak hal yang orang Yahudi sendiri gagal memahaminya.
1        Palestin adalah hak umat Islam seluruhnya.
2        Masjid al-Aqsa adalah masjid ketiga terpenting kepada umat Islam.
3        Kadar kelahiran rakyat Palestin adalah antara yang tertinggi di dunia. Anak lelaki lebih ramai dilahirkan berbanding dengan anak perempuan.
4        Orang Israel tidak ramai anak. Seorang atau dua paling ramai. Mereka kahwin lewat atau tidak berkahwin. Dari segi angka orang Palestin menang. Dari segi material orang Palestin kalah.
5         Anak-anak Palestin yang berada di perantauan berkobar-kobar ingin berjuang merampas kembali Palestin dari cengkaman Yahudi. Walaupun mereka tidak pernah melihat Palestin jiwa mereka penuh dengan azam kuat menebus maruah yang tercemar.
Kita bagaimana. Ya, kita. Bumi Palestin mungkin yang terakhir perlu dipertahankan pada akhir zaman. Zaman yang Allah jadikan batu boleh berkata-kata. Pohon kayu boleh berkata-kata. Zaman apabila Yahudi dan Israel tidak lagi segagah sekarang. Pemuda Islam sewajarnya mendokong tanggungjawab ini. Tinggalkan hiburan yang tidak ada sudahnya. Berusahalah di dunia dengan harapan melihat jalan ke syurga. Jalan itu sebenarnya banyak di hadapan mata. Lihatlah dengan mata hati. InsyaAllah ia ada di hadapan mata.