Orang dewasa pasti mahukan anak-anak mereka pandai dan serba tahu. Pandai sahaja tidak mencukupi. Tahu sahaja tidak menjamin apa-apa. Kedua-duanya perlu digarap untuk menjadikan bakal warganegara yang serba boleh. Serba berketrampilan. Serba menjadi cakap dan tindakannya. Mengotakan segala janji yang pernah diungkap. Dinyatakan. Disebut. Diulang. Digahkan. Dijadikan simbol mendabik dada. Anak-anak ingin dijadikan serba produktif untuk menjadikan alam sekelilingnya sentiasa berdaya saing. Berdaya maju. Mana mungkin anak-anak yang sangat disayangi ini dibiarkan menjadi tidak tahu. Menjadi tidak pandai. Serba tidak menjadi. Ketinggalan dalam serba serbi. Amat malang jika sesudah memandaikan anak-anak, sesudah menjadikan anak-anak serba tahu ibu bapa pula mengatakan anak-anaknya derhaka. Anak-anaknya tidak mengenang jasa. Anak-anaknya lupakan diri. Anak-anaknya tidak menghargai perjuangan ibu bapa. Anak-anak lupa penderitaan orang tua-tua dahulu. Hanya kerana berlainan bicara. Berlainan cerita. Berlainan cita-cita.
Ibu dan ayah, anak-anakmu bukan set warganegara yang dulu. Mereka benar sudah pandai. Memang benar mereka sudah tahu. Mereka telah diperlihatkan kepada kebenaran. Ketulusan. Ketelusan. Kejujuran. Zamannya adalah zaman langit terbuka. Jangkauan fikirannya tidak berufuk. Jauh merentas alam. Bukan sekadar dunia yang fana ini. Anak-anakmu ini ingin melihat kota apa yang kau kata. Bukankah perjuanganmu untuk membela mereka. Anak-anakmu sendiri. Anak-anak yang nanti menggantikanmu. Yang nanti melestarikan bangsamu. Yang nanti mengambilalih negara ini dari tanganmu. Mereka perlukan asuhan. Perlukan bimbinganmu. Sangat tidak betul jika kau nanti pergi dengan mencuci tangan. Bahawa masa depan negara ini bukan agendamu lagi. Sebagai ibu bapa tanggungjawab kau berpanjangan walaupun kau sudah berada di alam barzah. You are still accountable even after you have gone. Saham kebaikan yang namanya amal jariah itu tidak akan kau kecapi. Semuanya akan menyeksakan. Azabnya terlalu pedih. Selama-lamanya. Tiada cuti dan tiada time- off. Tiada pelepasan dan tiada pengurangan azab itu.
Bagi anak orang Amerika tiga perkara menjadi fokus mereka. Thinking, research and reasoning. Intelek mestilah dimanifestasikan melalui pemikiran yang kritis. Thinking mestilah menjurus untuk masa hadapan. Bukan sekadar Wawasan 2020 bahkan melebihi daripadanya. Masa hadapan yang gemilang yang menjadi cita-cita abadi. Research menjadi wadah untuk mencari kebenaran. Mengumpul maklumat. Bukan sahaja kuantitinya tetapi juga fakta-fakta yang sahih. Ada dasar dan strategi. Ada prosedur dan segala macam peraturan. Lazimnya undang-undang tubuh dirujuk. Perlembagaan diteliti. Ya! Anak-anakmu yang sudah terdedah dan terdidik tidak menerima bulat-bulat apa sahaja yang mereka dengar, yang mereka lihat. Semua arahan dan tegahan mesti melewati beberapa garis panduan mengenai peraturan yang digarispandukan. Itulah janji termaktub. Janji yang diperuntukkan. Janji yang telah dijanjikan.
Tidak benar bahawa anak-anakmu menentangmu. Yang mereka mahukan ialah hanya sesuatu yang hak. Yang menjadi hak mereka. Bukan keistimewaan yang melebihi had. Bukan meminta yang bukan-bukan. Lihat kembali anakmu sewaktu mereka kecil dahulu. Banyak mintanya. Banyak mahunya. Banyak ragamnya. Banyak tangisnya. Banyak hentak kuat kakinya. Banyak amuknya. Banyak rajuknya. Tidak mungkin mereka kau katakan bahawa mereka adalah nakal. Jauh sekali jahat. Jauh sekali mereka dikatakan menjadi pengkhianat keluarga. Pengkhianat kepada ibu dan bapanya sendiri. Tidak pernah kau katakan mereka adalah tidak mengenang budi. Tidak tahu di untung. Mereka hanya sebagai anak-anak. Meminta adalah fitrah mereka. Meminta yang sesedap di mata dan di hati. Tahunya hanya main dan mainan. Tetapi kau menerima keadaan itu kerana itu adalah proses membesar. Proses menjadi berakal. Proses mencari jati diri. Proses mencari warisan manusia dan kemanusiaannya. Hak asasinya. Sebagai ibu bapa kau akur mengenainya. Cuba memenuhinya kerana kau sayangkan mereka. Tidak pernah pilih kasih walaupun anakmu 13 orang. Kesemuanya dilayan sama. Tidak kira siapa mereka. Tidak kira di mana mereka. Tidak kira waktunya.
Bila mereka dewasa sifat meminta adalah fitrah manusia. Semuanya begitu. Sifat itu ada pada diri mereka. Tetapi mereka meminta yang hak. Yang telus. Yang tulus. Mereka mahukan ibu bapa mereka mengerti bahawa yang mereka minta adalah hak mereka. Yang dibenarkan. Yang sudah diperuntukkan. Yang sudah diperlembagakan. Yang sudah termaktub. Yang sudah dimanifestokan. Yang sudah benar-benar selalu dilaung disebut diwar-war dipanjang-panjang dan dijadikan senjata meraih kekuatan dan sokongan. Mereka meminta bukan yang berlebihan. Bukan yang bukan-bukan. Yang mereka minta itulah yang akhirnya nampak menyusahkan ibu bapa. Mereka tidak minta mainan. Mereka bukan lapar makanan. Jiwa mereka berontak kerana keperluan asasi orang dewasa tidak dipenuhi. Mainan mereka bukan anak patung. Bukan kereta mainan. Tetapi mereka meminta mainan orang dewasa. Satu ruang menggunakan hak mereka. Anak-anakmu sudah pandai berfikir. Sudah pandai mencanai minda. Inteleknya sudah terbangun. Jangan menolak tanpa sebab. Mereka perlukan jawapan yang hak. Yang rasional. Yang waras. Mereka tidak mahukan marah. Bukan tempelak. Bukan ugutan. Bukan diperlekeh. Bukan diperkecilkan. Bukan diperbudakkan. Bukan diperkotakkatikkan. Jangan dinafikan minta mereka tanpa memberi alasan yang menasabah. Alasan yang hak. Alasan yang boleh diterima akal. Yang sepadan dengan garis-garis yang benar. Yang ada dalam perlembagaan. Jika boleh seperti yang digariskan dalam al-Quran dan al-Hadith alangkah baiknya. Alangkah luhurnya. Alangkah tersangat sesuainya.
Anak-anakmu bukan boleh diperkuda. Bukan boleh diperlekeh. Bukan semuanya menurut tanpa protes. Yang tidak benar tetap tidak benar. Yang salah tetap salah. Yang tidak diterima tetap tidak diterima. Mereka mahukan kewarasan. Mereka mahukan kebenaran itu diberi dilihat didengar demi kebenaran. Jangan tari bersilang tingkah. Jangan lantai tidak diratakan. Jangan irama disumbang-sumbangkan. Jangan dipincangkan rima yang sudah cantik langkah-langkahnya. Anak-anakmu minta irama cantik ditarikan dengan iringan kemesraan senyum tawa ibu bapanya. Mereka anak-anakmu. Mereka generasimu. Mereka susur galurmu. Mereka nanti yang akan menjadi pewarismu. Masa hadapan yang mesti dipelihara. Yang mesti diperpanjangkan. Andainya boleh dipanjangkan kata-kata Hang Tuah, ‘Takkan Melayu hilang di dunia.’ Jangan tidak dimengerti harapan dan hasratnya itu. Malang sungguh Melayu yang telah lama ditinggalkan Hang Tuah ini.
Ingat Portugis yang datangnya kerana Melayu sudah lupakan Hang Tuah. Yang lemah kerana dunia yang lebih diutamakan. Hanya kekayaan yang menjadi fokus. Yang melihat kemewahan sahaja. Bukan perpecahan yang yang menjadi isu. Ada antara orang Melaka yang melebihkan dunia dari akhirat. Diri dilebihkan berbanding maslahah umum. Tidak membuat pertimbangan agama. Nafsu mengatasi akal. 1511 titik hitam yang memanjang berzaman-zaman. Ingat datangnya Belanda kerana pertolongan Melayu. Tetapi Belanda ketepikan Melayu bila Portugis dikalahkan. 1640 juga titik hitam yang bertambah panjangnya. Ingat Inggeris yang licik menjajah minda orang Melayu. Longlai seluruh jiwa raga Melayu kerana lembutnya Inggeris. Kerana bijaknya psikologi mereka. Kerana mereka sudah masak sifat-sifat Melayu. Sultan Hussin Shah di Temasik terperosok lemah membaca warkah indah Raffles yang ditulis dalam Jawi. Orang Melayu sendiri lupakan Jawi. Buang Jawi. Tidak komersil katanya. Tidak sejajar dengan dinamika dunia. Warisan yang terbuang jauh menghampakan dinyahkan kerana ragaman kehendak yang tidak mengerti nikmat dan nilai.
1819 titik hitam pekat yang kekal dalam minda orang Melayu. Tidak banyak tinggalan Portugis yang kekal. Tidak banyak tinggalan Belanda yang abadi. Tetapi warisan Inggeris kekal berzaman-zaman. Bahasanya. Budayanya. Sosialnya. Dan banyaknya aspek lain yang mencengkam sehingga orang Melayu hilang identiti. Hilang jati diri. British berada di minda dan hati kita. Payah sungguh hendak hilang. Melekat hingga kita rasakan Inggeris itu kita dan kita ini Inggeris. Untuk keluar dari kepompong itu juga tersangatlah payahnya. Kita merdeka secara fizikal. Masih banyak penjajahan minda yang berkekalan dalam diri kita. Kita hampir sahaja gila kerana kuatnya Inggeris dalam minda dan dada kita. Semuanya mahu diatur seperti Inggeris. Hilang kita yang dulunya pernah gah dan hebat di nusantara. Mana perginya darah Sri Vijaya? Mana perginya nafas Melaka? Mana perginya segala saraf Islam yang dimulai oleh Parameswara?
Wahai ibu bapa yang budiman, anak-anakmu laparkan keindahan bersuara. Kebagusan menyatakan perasaan. Menyerlahkan jati diri. Mereka mengerti masalahmu. Tetapi mereka inginkan kau mengerti mereka. Mereka anak-anakmu. Mereka warismu. Mereka darah dagingmu. Usia mereka sekarang terlalu dewasa. Sudah menghampiri 55 tahun. Sudah warga emas. Ingat dulu sewaktu kecilnya kau bermain dengan mereka. Memanjakan mereka. Menyayangi mereka sekuat tenaga. Tubuh badanmu galang ganti jika ada sakitnya. Kanak-kanak yang kau didik untuk mematuhi perintah Allah. Mendidik mereka berakal. Berdisiplin. Berwawasan. Ada misi dan visi yang perlu dicapai. Remaja mereka kau jadikan teman dan rakan. Untuk bersama melestarikan warisan yang lama berterusan hingga ke akhir zaman. Dewasanya kau biarkan anak-anakmu menjadi individu yang punya arah tersendiri. Yang mindanya mahu bebas. Yang suaranya mahu didengar. Yang kebebasannya tidak mahu tersekat dikongkong dipenjara dikepung ketat.
Kenapa tidak kembali menjadi damai dalam keluarga yang besar? Bahawa dulunya kau dan anak-anakmu adalah sama. Dunianya sama. Alamnya sama. Mahunya sama. Dunia yang semakin fana memisahkan kau dan anak-anakmu. Mencari jalan sendiri-sendiri. Bukan mencari kesesatan tetapi mencari kebenaran. Pasti kau sebagai ibu dan bapanya mengerti yang terbaik untuk anak-anakmu. Cuma hatimu kering. Sanubarimu kontang. Benakmu kemarau. Seluruh jiwa ragamu sudah hangus semuanya. Darah merah yang mengalir sudah terlalu pekat hitam dengan dendam. Hanya kepada anak-anakmu sendiri. Warismu sendiri. Keturunanmu sendiri. Duniamu dan dunia anak-anakmu bukan lagi sama.