Monday, May 30, 2011

Muda Belia Untuk Masa Hadapan Agama

Rakyat  Malaysia ramai yang muda. Kira-kira 20% berumur kurang daripada 18 tahun. Ramai bilangannya. Dari 28 juta tentu angkanya mencecah 6 juta orang. Jika konsep belia meliputi mereka yang berusia sehingga 35 tahun maka jumlahnya mungkin melebihi  12 juta orang. Mereka inilah yang diharapkan akan suatu hari nanti membela agama. Saya cuba tidak membicarakannya dari segi bangsa dan negara. Senang sahaja. Dalam agama antara yang dituntut ialah lima perkara yang tidak dapat dielakkan iaitu agama, nyawa, akal, harta dan keturunan. Agama menjadi keutamaan hidup bagi mereka yang beriman. Yang lain-lain menurut di belakang. Agama yang diredhai Allah ialah Islam. Penganut Islam pula tidak mengira dari negara mana. Tidak mengira bangsa apa. Tidak mengira keturunan apa. Allah tidak sekali-kali melihat kesemua itu. Yang penting bagi Allah ialah manusia Islam yang taraf dan tahap taqwanya tinggi. Yang lebih tinggi lebih baik bagi Allah. Sebab itu agama diutamakan. Walaupun yang lain juga penting sebagai pelengkap namun agama terletak di hadapan. Paling atas. Paling penting.

Setiap hari, saban waktu ramai orang yang asal keturunannya bukan Islam tertarik kepada Islam. Mereka kemudiannya menjadi Muslim yang tinggi tahap taqwanya. Jauh mengalahkan Muslim yang secara keturunannya memang Islam. Orang bukan Islam Allah beri hidayah untuk mencari kebenaran. Mereka tidak berhenti sehingga mereka menemui apa yang mereka rindukan. Apa yang mereka inginkan. Apa yang mereka dambakan. Apa yang mereka idam-idamkan. Bila mereka mendapatnya, mereka menemui kebenaran. Mereka menemui cahaya  terang yang memayungi diri mereka. Kerinduan yang terubat. Diterima dengan penuh kesyukuran. Nikmat yang selama ini elusif dari mereka.

Ramai saudara baru ini yang melihat sebaliknya terhadap orang yang sedari asalnya dari keturunan yang zaman-berzaman adalah Islam. Mendapat sesuatu yang mudah melekakan. Tidak memberi rasa syukur. Tidak memberi nikmat. Mewarisi sesuatu yang mudah tidak pernah surut ke belakang memandang jerih perihnya Rasulullah, para sahabat, tabi’in, tabi’-tabi’in, salafulsalih, para solihin, siddiqin, syuhada’, semua pejuang-pejuang Islam terdahulu yang memperjuangkan satu-satunya akidah yang diperakui Allah. Yang Allah perakui bahawa Islam telah sempurna diwahyukan kepada seluruh manusia melalui Rasulullah. Haji wida’ yang sangat signifikan dalam Islam. Khutbah haji yang terakam kekal hingga kini.

Mutakhir ini belia-belia kita diberi pilihan yang terlalu banyak. Kebanyakan pilihan bukan jalan ke arah redha Allah. Kadang-kadang terasa suatu kekesalan di hati saya. Bila saya mendengar radio, diputarkan lagu-lagu artis yang telah lama meninggal dunia. Dipertontonkan filem-filemnya di TV. Tentu sahaja banyak adegan-adegan yang berlaku persentuhan antara lekaki dan wanita. Berpeluk biasalah. Mungkin ada adegan ranjang yang berulang-ulang. Kita yang hidup meraikan pemergiannya. Tetapi caranya tidak pula  dengan mendoakannya. Bukan dengan menghadiahkan bacaan  al-Quran dan dihadiahkan pahalanya kepadanya. Bukan dihadiahkan dengan  tahlil dan tahmid.  Kita tidak pernah terasa peritnya diri di alam barzah. Dipertontonkan kepadanya hal-hal yang jika dia hidup kembali pasti menyesal dan pasti dielakkannya daripada melakukannya.  Keadaan itu berulang-ulang. Kekal selama-lamanya. Di sana, di alam sana, mereka tersiksa. Azab sepanjang masa.

Kita yang masih hidup perlu ingat mengingat.  Kita ingin ke destinasi yang tidak ada pilihan. Hanya syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai yang menyegarkan nikmat yang tidak terhingga. Tiada pernah terfikir di dunia.  Hanya nikmat dan nikmat semata-mata. Namun jalan ke syurga itu banyak jurang dan simpang. Halangan-halangan itu pula disediakan oleh orang Islam sendiri. Sengaja diprogramkan supaya belia kita dicenderungkan ke jalan yang jalannya bukan ke syurga.

Orang-orang muda perlukan wadah indah menuju jalan lurus menuju kebenaran.  Pengisian untuk mereka bukan tempelan-tempelan yang memudaratkan. Yang mencandui mereka dengan hal-hal yang tidak membantu membangunkan mereka dari segi agama, ibadah dan akhlak. Zaman Rasulullah dahulu belia-belia berada di barisan hadapan berjuang menengakkan agama. Memeprtahankan agama. Syahid kerana agama. Segala jiwa dan roh mereka kerana agama. Hidup dan mati mereka kerana agama. Malah ada antara mereka yang menjadi panglima perang memimpin pasukan Islam memerangi yang memusuhi Islam. Tidak mengira mereka Majusi atau Kristian atau Yahudi atau Quraisy. Pengisian hidup mereka hanya untuk agama. Untuk Islam. Untuk Rasulullah. Untuk Allah. Tiada yang lain bagi mereka kecuali untuk kesemua itu. Allah menjanjikan syurga kepada mereka kerana seluruh nafas mereka untuk Allah. Ketika itu ramai ibu bapa yang merelakan anak-anak muda mereka berada di barisan hadapan pasukan Islam.  Mereka bersyukur mensyahidkan anak-anak mereka.  Bukan menghalang.  Bukan menidakkan penglibatan mereka dari kebenaran.

Gangguan kepada remaja dan belia datang bertali arus. Ramai antara mereka yang tewas. Yang hanyut. Yang terdampar entah di mana-mana. Tangan-tangan yang tidak diperlukan memancung mereka dari landasan hak. Mereka dibawa ke laluan batil. Persekitaran sudah tidak lagi kondusif untuk melahirkan belia-belia yang dekat hatinya kepada Allah. Yang hampir jasadnya kepada agama. Hiburan terlampau-lampau disediakan tanpa had.  Hedonism menunjangi kehidupan mereka. Mereka terpenjara di dalamnya. Mereka terkepung dalam lingkungannya. Mereka terperangkap. Jauh mereka dibawa menjauh dari segala fitrah rindukan Allah. Rindukan Rasulullah. Rindukan agama yang mulia.  

Bagaimana kita boleh memulihkan pemikiran untuk kembali ke jalan yang lurus. Yang hak. Yang dituntut. Yang telah digariskan sejak azali. Sejak Nabi Adam. Sejak Islam disempurnakan Allah kepada Rasulullah. Jalan-jalan yang telah digariskan memberi jaminan bahawa kesejahteraan di dunia dan akhirat bergantung kepada jalan lurus yang telah digariskan. Meyimpang dari garisan itu bererti menuju kemusnahan. Tidak ada yang lebih selamat selain dari mematuhi hak-hak yang telah ditentukan Allah. Memilih yang lain selain Allah merupakan kezaliman yang melampau.   Tidak pernah ada kebaikan jika memilih selain dari Allah. Umat terdahulu telah membuktikannya. Umat sekarang tetap merasakan begitu. Islam itu lestari sepanjang zaman. Jaminan Allah bahawa mereka yang beriman kepadaNya dijamin mendapat kesejahteraan anugerahNya.

Tindakan belia kita banyak yang dipengaruhi material. Falsafah materialism barat telah mengabui belia-belia kita. Mereka menyangka bahawa all the glitters are gold. Suatu sangkaan yang sangat meleset. Apabila Aristotle dianggap sebagai ahli falsafah  yang mempelopori penyelesaian secara saintifik, umat Islam terkeliru jika tidak dapat mengharmonikan yang mana benar dan yang mana batil. Islam mengimani banyak hal yang ghaib. Tidak semua boleh dibuktikan secara saintifik. Jika itu premisnya maka banyak pemikiran yang akhirnya menjadi Atheis. Mereka yakin bahawa yang tidak dapat dibuktikan secara saintifik dikira tidak wujud. Tidak konkrit. Tiada jisim. Tiada  fizikal. Hakikatnya logik akal tidak dapat mengatasi ilmu mantik Islam. Kita tidak boleh menggunakan akal semata-mata tanpa panduan. Akal manusia sangat terbatas. Mereka bertanya tentang roh kepada Rasulullah. Allah menempelak orang Quraisy bahawa mereka tidak mungkin mengetahui tentang roh kecuali amat sedikit sekali.

Alam ini terlalu luas. Luas sangat-sangat. Manusia tersangatlah kecil. Sangat kecil. Allah menganugerahkan akal. Manusia yang bersaiz kecil menjadi gagah kerana akalnya yang berimpak tingi. Daya fikirnya sangat besar. Sangat tinggi. Sangat hebat. Tetapi dengan syarat jalan fikir itu bersandarkan Allah. Berpaksikan agama. Menuruti jalan yang diajar Rasulullah. Jika selain daripada itu maka akal manusia menyimpang jauh dari keredhaan Allah.  Yang dituntut ialah kita mengarahkan akal kita kepada memperkukuhkan pengakuan kita terhadap Allah. Menambahkan iman. Mengukuhkan akidah. Memartabatkan ketauhidan kita kepada Yang Khaliq. Bukan menidakkannya. Percaya kepada logik akal barat menjerumuskan pemikiran kepada menafikan Allah. Alam ghaib bukan isu penting kepada orang barat sedangkan kepada Islam alam ghaib itu sebahagian penting dari pertimbangan kehidupan kita.

Akhlak manusia adalah suatu jaminan bahawa mereka akur dengan dasar, prinsip dan segala rukun yang ditentukan Allah. Akhlak manusia adalah menifestasi kepada ketundukan kita kepada keAgungan Allah. Maha Besarnya Allah. Maha Tingginya Allah. Tidak ada yang lain disembah melainkan Allah. Allah itu Sa. Tunggal. Tidak beranak dan tidak diperanakkan. KepadaNya bergantung segala sesuatu. Maka  bergantung kepada manusia semata-mata tidak mungkin menyelesaikan masalah manusia. Mengharap sesama manusia untuk memenuhi segala tuntutan keperluan hidup tentu sahaja tidak selari dengan kejadian munusia itu diciptakan.  Tidak ada yang mungkin boleh mencabar bahawa tidak dijadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadat kepadaNya. Kuasa Allah itu mutlak. Semuanya adalah hak milikNya.

Pendidikan telah merubah manusia Muslim sejak Iqra’ disebut di Gua Hira’. Dari Jibril kepada Rasulullah. Melalui Islam akal manusia dibentuk diruntun. Dibimbing. Diasuh. Disepuh di sana dan di sini. Akhirnya Rasulullah berjaya membawa umat Quraisy yang degil iu ke pangkuan Allah. Subhanallah. Besarnya  anugerah Allah. Manusia diberi kesempatan untuk kembali kepadaNya dalam Islam. Pendidikan memandu manusia mengukuhkan iman yang ada dalam dirinya. Memberikan ketenangan. Kebahagian. Kesejahteraan. Sesungguhnya kita akan dikembalikan kepadaNya. Pasti tanpa keraguan walau sedikit sekalipun.  Pendidikan seharusnya menjadikan manusia mengharmonikan akalnya kepada mengagungkan Allah. Akal adalah kurnia Allah paling hebat kepada manusia. Selayaknya anugerah itu dimanfaatkan untuk Allah. Ia datang dari Allah. Kembalikanlah kepada Allah.

Sebagai manusia beriman kita seharusnya memberi nilai yang betul tentang diri kita. Tentang hidup kita. Tentang segala yang melingkari kediupan kita. Hidup di dunia ini hanya fana. Sementara. Sekajap sangat nisbahnya berbanding alam-alam yang sangat panjang. Alam barzah sudah cukup panjangnya. Alam akhirat tentulah infiniti. Tiada siapa yang dapat membilang lamanya. Tidak ada siapapun yang kisah untuk menghitungnya. Yang dijanjikan Allah ialah nikmat yang tidak pernah terbayang dalam akal manusia. Tidak pernah dimimpikan. Tidak pernah Allah lintaskan keindahannya dalm pemikiran manusia. Hanya mereka yang hak sahaja Allah berikan makluman-makluman tertantu. Beritanya sahaja yang diberi secara kasar. Perincian yang sebenar tidak dapat digambarkan. Tiada kata-kata yang dapat menukilkannya. Suatu motivasi dan tarikan untuk manusia melihat buktinya. Syaratnya tentulah  kepatuhan kepada selulruh perintah Allah tanpa kecuali. Tanpa ragu. Tanpa banyak soal. Iman yang terlalu tinggi. Tanpa diracuni pemikitan Yahudi dan Nasrani.

Anak-anak muda kita banyak gangguannya. Hidup mereka perlukan bimbingan orang dewasa yang ada di sekeliling mereka. Akal mereka mesti dibangunkan supaya Allah menjadi pusat pemikiran mereka. Semuanya dikembalikan kepada Allah. Seluruh hidupnya untuk mendapat keredhaan Allah. Maka apabila mereka dibawa ke arah itu mereka diselamatkan dari gejala dan kehancuran diri. Mereka diselamatkan dari terjerumus ke jurang yang memusnahkan. Iman mereka dicacatkan. Ibadah mereka dikurang-kurangkan. Akhlak mereka bukan lagi akhlak Islamiyyah.

Guru-guru banyak tugasmu. Masih banyak yang perlu dilaksanakan. Dakwah mesti dijalankan. Ibu bapa, kembalilah kepada tugas dan tanggungjawabmu. Ulama’ kembalilah bersuara tegas menegakkkan yang hak. Pemimpin bawalah anak-anak bangsamu supaya mereka menuju jalan yang hak. Nikimat dunia terlalu sedikit berbanding nikmat akhirat yang Allah janjikan. Terlalulah sangat sedikitnya. Kita semua banyak tanggungjawab untuk memelihara agama, nyawa kita supaya matinya Islam, harta kita supaya dipertahankan kesuciannya, akal kita supaya kekal memperakuai kebesaran Allah dan menjaga susur galur keturunan supaya jelas sah tarafnya.

Wahai anak-anak bangsaku kembalilah ke jalan yang benar. Lampu-lampu neon mungkin bukan cahaya yang menerangi. Iman yang menerangi kamu ke jalan akhirat. Nikmat dunia terlalu sedikit. Menggunung nikmat akhirat yang Allah janjikan kepadamu. Ilmu itu penting. Ilmu memandu akalmu supaya memilih yang hak dan meninggalkan yang batil. Kembalilah. Surutlah ke belakang. Musabah diri. Jika terlanjur undurlah. Susun semula langkahmu supaya dapat membetulkan arah. Tujulah jalan lurus yang telah Allah sediakan. Yang telah Rasulullah tunjukkan. Jalan yang telah dilalui para anbia’, syuhada’ dan mereka yang pergi mengadap Allah dalam keampuan dan keredhaanNya. InsyaAllah.