Saturday, May 26, 2012

Good Practising Malay Vs Good Practising Muslim


Mengikut Perlembagaan Malaysia, Melayu memiliki ciri-ciri yang unik. Mereka bercakap Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu dan mereka beragama Islam. Apabila ada antara ciri tersebut tersisih maka dengan sendirinya manusia Melayu itu hilang kemelayuannya. Hilang segala hak istimewanya sebagaai Melayu. Malah anak lelaki Melayu ada bin di tengah nama lelakinya. Ada binti di tengah nama wanitanya. Keistimewaan yang tidak diberi kepada etnik lain di Malaysia. Tanda-tanda Melayu itu menjadi signifikan dalam banyak hal. Ianya terserlah dalam pendidikan. Dalam ekonomi. Dalam agama. Dalam pentadbiran. Dalam pemilikan harta.

Kerana itu dikatakan bahawa Melayu itu sinonim dengan Islam. Melayu dan Islam dilihat daripada nama, pakaian, makanan, ibadat dan amalan harian. Nama Melayu diambil dari nama-nama Rasul dan Nabi. Nama para sahabat. Nama tabi’in dan nama tabi’ tabi’in. Begitu juga nama-nama besar sarjana Islam. Maka nama seperti Adam, Idris, Nuh, Isa, Musa, Muhammad dan yang lain-lain biasa kepada nama Melayu lelaki. Juga Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Yang wanitanya mengambil nama-nama besar  isteri-isteri Rasulullah dan nama-nama lain seperti yang banyak diriwayatkan. Tidak hairan terdapat nama Hajar, Siti Sarah, Mariam, Kahadijah, Aisyah, Hafsah, dan ramai lagi. Nama ibu susuan Rasulullahpun sangat popular iaitu Halimahtul Saadiah.

Pakaian secara umumnya lebih mirip kepada Barat. Itulah pakaian kerja lelaki Melayu. Tetapi sangat biasa kita melihat lelaki Melayu berjubah, kopiah dan serban. Yang wanita pula berjubah juga, berjilbab, purdah dan memakai fesyen Arab. Makanan Melayu adalah makanan halal. Disembelih kerana Allah. Dengan nama Allah. Dihidangkan dengan konsep halal, bersih, suci dan toyyibah. Mereka diwajibkan menghindar yang haram, yang syubhah dan yang makruh.  Ibadahnya menyangkut rukun iman dan rukun Islam. Pada diri orang Melayu terdapat unsur akidah Islam, Ibadah Islam dan akhlak Islam. Ada kesempurnaan yang syumul. Yang kamil. Indah zahir dan batinnya. Begitulah amalan hariannya yang bersandarkan syariah. Menyahut tuntutan syariah. Memenuhi tuntutan agama. Mematuhi segala yang diperintah dan menjauhi segala yang dilarang.

Evolusi berlaku dalam sistem kehidupan orang Melayu Islam. Di luar sana didatangkan segala macam pengaruh Barat yang didalangi Yahudi. Mereka diasak dengan gangguan akidah (Faith). Disajikan banyak makanan yang meragukan status halalnya (Food). Banyak hiburan yang berupa hedonism menggila (Festival/Fiesta). Pakaian mereka dari yang menutup aurat menjadi terdedah, sendat dan menampakkan segala yang terlarang (Fashion). Akhirnya terjadi sesuatu yang asing dalam budaya Melayu Islam. Anak-anak remaja dan muda menuntut kebebasan (Freedom). Ini adalah lanjutan dari falsafah ekstensialism dan individualism. Ditambah pula dengan emansipasi wanita Barat.  Orang Melayu ramai kalah dalam hal ini. Dalam ekonomi pula kita selalu terpengaruh dengan sistem konvensional yang selalu pula menjebak riba’ (Finance). Sekarang ini sudah banyak diusahakan supaya terhapus sistem riba’ yang sudah merobek sistem kesejahteran ekonomi di Barat. 

Islam adalah agama. Mereka yang Islam memenuhi rukun Islam yang lima. Syahadah, solat, puasa, zakat dan menunaikan haji . Islam menekankan lima prinsip utama yang merangkumi agama (akidah), nyawa yang sangat berharga, harta yang halal, keturunan yang sah taraf dan maruah. Melayu dan Islam adalah dua entiti yang berbeza. Tidak semua  Melayu adalah Islam. Islam tidak dianuti oleh semua yang berketurunan Melayu. Melayu bukan hanya yang ada di Malaysia. Lihat ke Indonesia, New Zealand, Afrika Selatan, Sri Lanka, Madagaskar dan Surinam (Belanda) di Amerika Selatan. Orang Melayu sejarahnya bermula dari Yunan. Dalam Islam orang Melayu dari susur galur Yapith bin Noh. Anak Nabi Noh. Kita dalam kelompok Monggoloid. Kita berupa kacukan antara sawo matang dan bermata sepet. Hidung tidak mancung dan bertubuh agak kecil.

Orang Melayu di Malaysia yang tidak mangamalkan Islam dalam konteks Perlembagaan Malaysia bukan lagi Melayu. Tanpa mengamalkan adat resam mereka juga bukan Melayu. Maka yang tinggal ialah orang-orang berketurunan Melayu. Atau berdarah Melayu. Tetapi sifat-sifat Melayunya sudah terlalu banyak terhakis. Asakan hidup maju dan mewah banyak mendesak berubahnya paradigma Melayu. Ramai yang hilang punca menyeimbangkan keutamaan beragama. Keduanya tidak diharmonikan. Agama yang sepatutnya supreme tidak lagi berada di tempatnya. Kita lebih sekular. Terasing agama dari arus kehidupan. Lari dari konsep ad-din. Agama itu hidup dan kehidupan. Dalam banyak hal kita buang agama. Anak muda terlonta-lonta tiada arah yang ditunjukkan kepada mereka. Kegilaan kita lari dari agama semakin parah.

Siapakah yang lebih utama antara Melayu dan Islam? Allah hanya melihat mereka yang lebih baik taqwanya. Tiada pertimbangan tentang bangsa. Tentang keturunan. Tentang selain daripada taqwa.  Iman diikuti dengan Islam. Mereka diwajibkan berakhlak Islam. Maksudnya menjadi Islam adalah lebih utama dari menjadi Melayu. Kita bukan membincangkan tentang kehidupan di dunia. Kita hanya transit di dunia. Destinasi kita akhirat. Di akhirat tiada pengasingan bangsa. Tiada pengasingan keturunan. Tiada pengasingan warna kulit. Tiada dan tiada pengasingan dalam apa bentuk apapun. Yang berbeza tetap kembali kepada taqwa. Kerana itu memang kita berbangsa Melayu barangkali tetapi kepada Allah istilah Melayu itu tiada memberi apa-apa makna kecuali taqwanya.

Mungkin kita banyak bersasakan kepada keturunan, etnik dan bangsa. Namun itu hanya sebagai asas bertindak. Bukan matlamat. Menjadi Melayu hanya wacana. Hanya wahana. Platform untuk bergerak. Dalam berjemaah Melayu bukan penentu. Saf-saf yang diluruskan juga bukan kerana Melayu. Tinggi, rendah, jatuh dan  bangun kita bukan berasaskan Melayu. Jika kita kaji Al-Quran, terlalu banyak bangsa yang Allah hapuskan. Kaum Nabi Noh ditenggelamkan oleh banjir besar. Kaum Nabi Hud iaitu kaum ‘Ad Allah hapuskan dengan angin kencang yang kering dan sejuk. Allah timbus mereka di bawah timbunan pasir yang dipanggil al-Ahqaf. Tinggalannya ditemui di Selatan Yamen. Kaum  Thamud (Nabi Salleh) Allah hapuskan dengan satu pekikan yang menggempitakan. Ingat Firaun yang tenggelam di Laut Merah. Kaum Nabi Lut yang ditunggang terbalikkan bumi kediaman mereka. Begitu juga hapusnya kekuatan kaum Tartar. Empayar Rom. Empayar Farsi. Hapusnya kehidupan di Pompei, Itali. Barangkali kita masih terlalu ingat dengan jelas tentang hapusnya Banda Aceh ditelan tsunami. Manusia mati. Bangsa hapus. Namun agama Islam tetap mengikut landasannya sebagimana ditentukan Allah.

Sejarah manusia sudah terlalu panjang. Terlalu banyak bangsa yang telah Allah hapuskan. Melaluinya Allah gantikan pula dengan bangsa lain yang lebih baik. Proses itu bersilih ganti dari satu zaman ke zaman yang lain. Orang Barat yang kita katakan hebat sekarang ini sedang tenat ekonomi mereka. Greece sudah muflis. Iceland juga sudah muflis. Portugis, Sepanyol sedang mengikutinya. Amerika Syarikat sedang sesak nafas dengan hutang negaranya. Eropah juga sedang tenat. Hampir kesemua negara yang megamalkan sistem konvensional mengalami kepincangan ekonomi. Nampaknya sejak akhir-akhir ini negara-negara yang ada di Asia dilihat memiliki daya ketahanan yang lebih tinggi dari negara Barat. Penyelamat ekonomi nampaknya bukan lain melainkan sistem Islam.   Semua sistem buatan manusia tidak mungkin lebih baik dari yang dicipta Allah.

Di mana kedudukan Melayu dalam semua perspektif yang kita lihat. Yang kita amati. Yang kita sedari.  Sejarah telah memberikan bukti bahawa ramai manusia yang hebat tidak dilihat oleh dirinya. Tidak pada zamannya. Socrettes diketauhi kerana diberitakan oleh muridnya iaitu Plato. Orang dahulu diceritakan oleh orang terkemudian. Begitulah prosesnya. Mungkin kita boleh mengambil iktibar. Pakar bahasa Arab bukan orang Arab. Imam Bukhari bukan orang Arab. Maka kembalilah kita kepada Islam. Hanya itu yang akan kekal hingga ke akhirat. Yang lain kesemuanya tinggal di dunia. Jadilah good practising Muslim. Jadilah good practising Malay yang tidak melanggar syariat. Syariat menjadi perisai untuk menangkis asakan dan desakan yang menghakis kesucian agama. Kita tolak pluralism. Kita tolak liberalism. Islam bersifat adil dan mengambilkira semua aspek dengan saksama. Tanpa syariat segala-galanya hanya kebobrokan sahaja. 

Pilihlah sendiri. Hendak jadi Melayu atau hendak jadi Muslim. Pilihannya ialah dunia atau akhirat. Atau pilihan yang lebih baik iaitu dunia dan akhirat. Tepuk dada tanya iman.