Saturday, April 30, 2011

Dar Al-Hikmah Menjana Generasi Ulul Al-Bab

Hari ini Sabtu 30 April 2011 tercatat lagi satu episod bersejarah dalam keluarga saya. Isteri saya yang tercinta naik lagi ke atas pentas ilmu. Dia naik ke pentas konvokesyen Kolej Dar Al-Hikmah yang diadakan di Institut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Bangi untuk menerima Diploma Pengajian Syariah yang diikuti pada tahun 2009. Nanti saya ceritakan lebih lengkap dalam entry yang berikut. Untuk kali ini saya hanya ingin menghuraikan apa yang saya lihat. Yang saya rasa. Yang saya tangkap. Yang saya ambil iktibar. Sesungguhnya sesuatu yang lain itu kelihatan lebih indah. Sesuatu yang dekat dengan agama itu lebih cantik. Lebih menarik. Lebih menusuk. Banyak kali air mata saya tergenang. Ada ketikanya air itu mengalir walaupun tidak deras. Saya banyak tersentuh. Kelainan  seperti itu menjadikan saya sejuk di hati. Sejuk perasaan. Tenang dan tenteram. Damai dan bahagia. Kadang-kadang kita berhibur bukan sahaja dengan lagu. Suasana juga boleh mendamaikan. Majlis yang selari dengan agama juga boleh membahagiakan.

Islam telah tertegak lebih 1400 tahun dahulu. Banyak susah payahnya yang ditempuh Rasulullah dan sahabat-sahabatnya. Para syuhada’. Para solihin. Para sidiqqin. Para mujahidin. Perjuangan menegakkan agama Allah. Agama samawi terakhir yang tiada tolok bandingnya. Rasul untuk seluruh manusia. Bukan untuk suatu kaum. Bukan untuk suatu bangsa. Bukan untuk suatu tempat. Bukan untuk suatu zon kehidupan. Agama yang syumul yang merentas zaman dan tempat. Agama yang menjanjikan syurga. Yang menjanjikan kenikmatan setinggi-tinggi puncak kenikmatan. Sesungguhnya Allah adalah tempat kembali yang abadi. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjinya. Janji Allah itu benar. Syurga itu benar. Nikmat syurga itu benar. Nikmat segala nikmat.

Har ini saya hadir dalam majlis konvokesyen Kolej Dar Al-Hikmah, Kajang.  Aturcaranya sangat Islamik. Dimulai dengan bacaan al-Quran al-Karim. Diselitkan dengan wajah qiraat Hamzah dan Warsy. Alhamdulillah saya sudah mempelajari kedua qiraat itu. Terkedu juga menghayatinya. Seperti biasa kalimah dan ayat-ayat suci itu menusuk hati. Menyerap ke qalbu. Mempelajarinya bukan sia-sia. Bukan sesuatu yang menghabis waktu. Majlis yang dimulai dengan bacaan al-Quran tentu sahaja disusun dengan rapi supaya mematuhi garis-garis tuntutan agama. Berjalan dengan lancar mendakwah hati dan perasaan. Mengungkapkan kata-kata indah yang merealisasikan amr ma’ruf.  Disisih kemungkaran. Dibuang yang fasad. Dipinggirkan yang merupakan kemaksiatan. Yang fasik dinyahkan jauh-jauh. Keberkatan jua yang dicari. Redha Allah yang sesungguhnya dalam doa dan penyerahan diri.

Banyak kali saya hadir dalam acara konvokesyen di IPTA dan IPTS. Selalunya yag lazim-lazim juga yang diaturcarakan. Yang dipersembahkan kepada umum. Tetapi kadang-kadang terlalu menyimpang dari tuntutan. Sehingga ada masanya saya rasa memualkan. Di sebuah IPTA yang gah hadirin dihidangkan dengan lagu-lagu rock yang membingitkan. Terjadilah paradox. Bertembung sifat agama yang ada pada IPT itu. Saya tidak tahu apa yang dirasakan oleh tetamu yang datang dari seluruh dunia. Ramai alim ulama’ yang hadir. Saya hanya geleng kepala. Itulah jika adat melebihi keperluan. Tuntutan yang hak diabaikan. Kebatilan yang menyerlahkan kedaifan berfikir. Tahap minda yang merudum. Hanya mengidamkan yang lumrah dan murah. Martabat yang mengangkasakan ilmu di buang seperti sampah yang menyampahkan. Ruginya ilmu yang didambakan tiada martabat yang patut diangkat supaya kuat terangkat tinggi.

Di IPT yang lain saya saksikan adat istiadat yang lain. Hadirin dihiburkan dengan lagu-lagu yang patriotik. Memang cantik cintakan negara. Sayangkan negara. Dekatkan tanah watan di hati. Namun kadang-kadang kita lupa bahawa cintakan negara tanpa berlandaskan agama ditakuti menyimpang. Sesungguhnya Allah telah menegaskan bahawa yang penting antara manusia ialah ketaqwaannya.  Bukan bangsanya. Bukan jantinanya. Bukan usianya. Bukan negaranya. Banyak bangsa yang terlalu taksub dengan kebangsaannya lebur begitu sahaja. Ingatlah kaum ‘Ad. Ingatlah kaum Nabi Salleh. Ingatlah kaum Nabi Luth. Ingatlah kaum Nabi Syuib. Ingat kaum Nabi Nuh. Kehancuran mereka kerana banyak menjurus kepada taksubnya kepada bangsa. Yang lain dianggap tidak setara. Tidak layak untuk besama. Begitulah kaum Quraisy di Makkah yang mementingkan darjat.  Akhirnya ramai orang ajam yang melebihi darjat orang Arab.

Islam juga bukan untuk sesuatu bangsa. Rasulullah adalah untuk kebaikan alam kerana pengutusannya لِّلْعَالَمِينَ رَحْمَةًإِلاَّأَرْسَلْنَاكَ وَمَا. Untuk seluruh alam. Seluruh manusia. Tiada yang terkecuali. Sama sahaja di sisi Allah. Pengutusan Baginda untuk seluruh manusia. Tiada yang terkecuali. Saya terpempan dengan ucapan Datuk Dr Sidiq Fadzil. Presiden Kolej Dar-Al-Hikmah yang saya rasa kuat rasa hatinya. Keterikatannya kepada kolej sangat dekat. Kebetulan rumahnya dekat juga. Bukan hatinya sahaja yang dekat. Persekitarannya juga dekat. Ucapan konvokesyennya agak panjang. Tetapi seperti biasa saya menanti bait-bait kata yang diungkapkannya. Satu-satu yang dilontarkan. Tiga bahasa bukan asing baginya. Melayu, Arab dan Inggeris. Silih berganti dari bibirnya. Al-Quran bukan lagi sesuatu yang asing. Meluncur dari ketika-ketika diperlukan.

Seorang yang kuat pengaruhnya. Ucapannya sentiasa berisi. Nasnya bertali-tali. Kagum kerana isinya tidak pernah kering dengan pengalaman, tindakan dan hasrat idaman yang selalu menjanjikan kejayaan  yang relevan. Relevan dengan masa, keadaan dan zaman. Minatnya kepada penglahiran umat ulul al-bab sangat mendalam. Ramai sungguh rakan taulan yang membantu menyumbang idea untuk ke arah itu. Sesungguhnya mereka yang alim senang berkongsi kealiman mereka. Sifat agama yang tinggi. Mencintai ilmu tanpa syarat. Tanpa batas. Tanpa had. Dicari walau di mana sekalipun.

Ucapannya adalah wacana ilmu yang tinggi nilainya. Mengawan tinggi. Bagi minda yang cintakan ilmu tiada payahnya memahami. Ada sinis di sana sini. Ada sergahan. Ada  kecindan yang melegakan. Pada akhirnya saya teruja dengan suasana yang bersalut nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi budi hati nuraninya.  Islam itu indah. Rugi jika tidak melihatnya dari perspektif  orang berilmu. Yang mengetahui sahaja yang  yang mengetahui apa yang harus dimengerti. Yang bertamadun sahaja yang mengetahui erti kesejagatan. Alam ini perlu makmur kerana itulah perancangan Allah sewaktu mencipta Adam. Untuk memakmurkan. Mudah-mudahan ilmu itu membawa kita menjadi positif. Baik. Mengetri. Memberi makna bahawa kehidupan ini baik walaupun penuh dengan cabaran demi cabaran.

Konvokesyen di Dar Al-Hikmah menyajikan hidangan telinga yang berbentuk nasyid. Hilanglah kebingaran muzik gila-gilaan yang entah apa-apa. Nasyid mengawal anak-anak muda. Ungkapan lagu adalah yang baik-baik belaka. Irama dan melodinya seperti menyejukkan jiwa. Merendahkan suhu pemikiran. Ada nasihat. Ada  kias. Ada  iktibar yang boleh dipanjang-panjangkan. Saya rindu suasana itu berulang di tempat lain. Jadi satu tamadun. Bukan budaya budayaan. Bukan ikutan tanpa panduan. Kembalilah kepada yang hak. Tinggalkan yang batil. InsyaAllah masa depan pasti menjanjikan keredhaan Allah.