Seorang pendidik wanita ingin tahu cara terbaik memotivasi pelajar-pelajar yang tidak berminat untuk memandaikan diri. Paling meyulitkan ialah pelajar lelaki. Sayang, saya terdelet luahan perasaan yang ditanggungnya.
Senerio: Sebuah institusi teknikal dan vokasional
Kursus: Teknikal dan vokasional
Situasi: Pelajar tidak berminat untuk menjadi lebih baik
Fokus: Pelajar lelaki
Pendidik wanita: Sangat berminat untuk berbakti kepada pelajarnya
Latarbelakang pelajar: Akademiknya ala kadar
Pengalaman menjadi pendidik mengajar saya beberapa perkara. Yang paling ketara ialah permasalahan pelajar datangnya dari rumah. Dari kedua ibu dan bapa. Beberapa situasi ini mungkin berlaku.
1 Ibu dan bapa tidak kisah tentang prestasi dan masa hadapan anaknya. Kepada mereka kilang banyak dan kerja banyak. Boleh hidup, boleh makan dan boleh seperti orang lain yang sekufu dengan mereka. Kaya, senang dan mewah tiada dalam kamus mereka.
2 Anak orang kaya yang terasa kemewahan yang mereka ada menjamin hidup mereka pada masa hadapan. Situasi ini berlaku apabila kemewahan melebihi keperluan untuk menjaga kemewahan itu.
3 Anak-anak yang tersalah arus laluan perjalanan hidup. Mereka berminat dengan kemewahan sementara, kegilaan sementara, keseronokan sementara. Kerana itu belajar dan menjadi pandai tidak terakam kuat dalam minda dan psikologi mereka.
Seorang guru yang berhadapan dengan situasai seperti itu selalu menemuai jalan buntu. Dalam zaman sekarang ini generation gap terlalu menghantui generasai terdahulu kerana teknologi melampaui kefahaman biasa. Percakapan dengan istilah yang asing. Cara dan sistem bekerja juga asing. Malah kehidupan yang tidak lagi mencerminkan tradisi dan keutuhan warisan bangsa. Kesemuanya menuntut suatu keterbukaan ibu bapa dan pendidik untuk melurut yang bengkok. Melembut yang keras. Menegakkan yang condong. Membangunkan yang rebah. Memotivasikan yang terhakis semangat juangnya. Kadang-kadang kita lihat bahawa kemajuan dan pembangunan fizikal meninggalkan bekas-bekas yang terlalu superficial. Hanya di luar dan di kulitnya sahaja. Yang maju ialah fizikal yang nyata sahaja. Rohani dan psikologi kekal terbiar tanpa perkembangan dan pembangunannya. Apatah lagi jika anak-anak tidak dekat dengan Allah yang menciptanya. Malang jika solatnya tidak dijaga. Begitu juga puasanya. Zakat dan haji jauh lagi barangkali. Syahadat juga perlu diulang-ulang dan difahami maknanya. Tuntutannya. Dalam banyak perkara agama memberikan panduan untuk hidup yang lebih bermakna dan lebih lurus jalan fikir dan hidupnya.
Maka anak-anak yang kehausan dari segi rohani dan psikologi perlukan suatu usaha yang lebih gigih dan terancang untuk membantu mereka. Motivasi perlu dari dalam. Dari minda. Dari hati. Dari perasaan. Dari minat. Dari keinginan. Darinya dibentuk azam. Cita-cita. Matlamat yang realistk untuk dicapai dari satu fasa ke fasa yang lebih tinggi. Saya ingin cadangkan proses berikut:
1 Saya percaya setiap pelajar ada yang dianggap ketua kepada mereka yang lain. Seseorang yang lebih dituruti tingkah lakunya. Diikut cakapnya. Diekori pergerakannya. Cuba perhati betul-betul. Pasti individu itu wujud.
2 Setelah dikenalpasti pelajarnya, cuba selidiki latarbelakang seluruh kehidupannya: Ibu dan bapanya, adik beradiknya, tempat tinggalnya, pekerjaan ahli keluarganya, rakan-rakannya, kesukaan dan kebenciannya, hobinya, kekuatan dan kelemahannya, dan banyak lagi yang mungkin ada.
3 Setelah bersedia dengan kesemua senjata itu cuba pilih yang paling mudah. Contohnya ajak dia minum di kantin. Atau bawa makanan dan minuman ke bengkel. Atau minta dia bantu buat sesuatu seperti mengambil, membawa, menghantar, mengemas, menyusun, membersihkan sesuatu, memasukkan, menyimpan dan sebagainya.
4 Banyakkan senyum kepadanya. Murah dengan pujian supaya dia terasa dihargai. Banyak juga bertanya khabar. Tanya apa yang dia tidak tahu. Perlahan-lahan masukkan jarum motivasi dari yang kecil hingga yang besar.
5 Motivasi awal mungkin dengan memuji hasil kerjanya. Katakan hasil kerjanya lebih baik dari dahulu. Ada harapan untuk menjadi lebih baik. Untuk berjaya. Jangan terlalu banyak. Nanti dia mabuk dengan pujian. Prestasinya akan statik atau mengundur semula.
6 Catatkan setiap tindakan dari segi tarikh, tempat, tindakan, reaksi, tempat dan sebagainya. Untuk rujukan dan semakan bagi menyusun tindakan yang berikutnya. Suatu rekod sejarah yang boleh dikongsi dengan orang lain. Untuk mengatasi masalah pelajar yang lain pada waktu yang lain. Buku log penting dalam hal ini.
7 Boleh juga dipegang bahu pelajar itu sebab dia memakai baju atau overall. Maknanya bukan memegang tanpa lapik. Sentuhan yang lembut tetapi ada ketegasan boleh merubah reaksi dari liar kepada jinak.
8 Apabila ketua kepada pelajar-pelajar tersebut sudah mula dijinakkan, usahakan pula kepada yang dianggap timbalan ketua dan yang pada kedudukan tempat ketiga. Rasanya selepas tiga orang yang lain-lain akan tunduk menurut kata.
Ini hanya saranan yang berkemungkinan sahaja. Kejayaannya bersandar kepada izin Allah jua. Untuk itu pendidik juga harus melalui proses-prosesnya yang tersendiri. Saya ingin beralih kepada personaliti yang terlibat secara langsung kepada pelajar. Yang bersama pelajar pada kebanyakan masa. Personaliti itu ialah pendidik atau guru atau cikgu. Harus terbangun keserasian antara guru dan pelajar. Guru menjadi penggerak dan penjana kepada suatu fenomena kejayaan pelajar. Kerana itu:
1 Pendidik hendaklah menggunakan suaranya dengan betul.
2 Menggunakan bahasa tubuhnya dengan betul.
3 Mempelbagaikan mimik mukanya dengan secara yang pragmatik.
4 Menggunakan ungkapan , frasa dan kata-kata yang berpadanan dengan minat dan keupayaan pelajar.
5 Pamerkan keikhlasan setiap masa. Pada setiap tindakan dan layanan terhadap pelajar.
Suara adalah aset dan senjata dalam pengajaran dan pembelajaran. Besarkan suara. Jarakkan antara perkataan. Sebutan yang bertenaga. Jangan banyak bercakap kerana pelajar bosan. Pelajar yang tidak bermotivasi tidak suka mendengar apa-apa. Cukup setakat memberi arahan yang perlu. Tunjukkan cara yang betul semasa meronda mengawasi kerja mereka. Tunjukkan cara membuat latihan berperingkat-peringkat. Pecahkan sesuatu kemahiran kepada beberapa bahagian. Buat satu persatu. Pelajar akan merasakan bahawa tugas mereka sebenarnya senang. Minta maaf. Pendidik jangan banyak senyum dan ketawa. Mahalkan sedikit. Bercakap secara bersahaja. Seperti tiada reaksi. Jika perlu senyum cuba di tepi bibir mulut sahaja. Jangan dipanjang-panjangkan. Pandang pelajar dengan pandangan kosong tanpa apa-apa makna atau maksud. Sahaja pandang terus menembusi hati dan peraasaan mereka. InsyaAllah pelajar akan terasa sesuatu kelainannya. Untuk lebih berjaya untuk menjinakkan pelajar pendidik pula hendaklah menjinakkan diri kepada Allah. Sempurnakan semua perintah Allah dan tinggalkan laranganNya.
1 Banyakkan solat sunat seperti tahajud, hajat, taubat dan sebagainya.
2 Banyakkan berdoa untuk memudahkan tugas mendidik, memudahkan pelajar menerima diri pendidik, didikannya dan manfaat umumnya.
3 Solat hajat pada masa-masa yang terluang seperti antara kelas mohon supaya dipermudahkan tugas mendidik.
4 Selalu mengadu kepada Allah. Mohon petunjukNya. Mohon bantuannya.
5 Bertanya kepada pendidik lain yang lebih arif, berminat dan banyak usaha.
6 Rujuk bahan-bahan ilmiah seperti jurnal, buku atau kertaskerja dari dalam atau luar negara.
Tidak ada jaminan bahawa sesuatu usaha itu akan berjaya dengan segera. Mungkin tidak berjaya langsung. Dalam keadaan seperti itu yakinlah bahawa usaha harus diteruskan. Mesti digandakan. Buang rasa bosan. Semakin galak mencari jalan. Menggembling idea. Apa yang boleh saya kongsikan ialah setiap pelajar secara psikologinya adalah berbeza. Mereka perlukan layanan berbeza. Tindakan yang berbeza. usaha yang berbeza. Maka pendidik yang perihatin tidak boleh hanya dengan satu jalan yang diborong begitu sahaja. Strategi perlu disusun supaya setiap pelajar ada terapi yang berbeza. saya yakin jika usaha seperti itu dapat dilaksanakan maka natijah jangka pendek dan jangka panjangnya akan memeranjatkan diri pendidik itu sendiri. Sesungguhnya yang baik itu dari Allah. Ambillah yang baik itu. Mudah-mudahan ada ganjarannya apabila anak-anak yang miskin harapan itu akhirnya menjadi kaya dengan kejayaan mereka pada masa hadapan. Jika tidak dengan kejayaan akademik sekalipun mereka akan berjaya dalam usaha lain apabila dalaman mereka sudah terbangun. Jiwa mereka sudah besar. semangat mereka sudah tinggi. Bantu mereka untuk terbang tinggi dengan azam dan cita-cita yang besar. InsyaAllah.