Kita biasa melihat anak-anak yang tingkahlakunya memualkan. Sakit mata memandang. Sakit hati mengenang. Apakan daya anak orang. Jika anak kita, tahulah apa yang perlu dibuat kerana karenah anak tentulah ada hadnya. Keletah mereka ada batasnya. Kenakalan mereka mesti ada sempadannya. Bukan lepas semacam sahaja. Anak itu menunjukkan bangsanya. Refleksinya kepada ibu bapa dan keluarga terdekat anak itu. Anak itu disandarkan kepda kedua ibu bapanya. Kepada datuk neneknya. Kepada keluarga besarnya. Melihat yang sebaliknya tentulah sejuk ibu mengandung. Kita ingin melihat anak yang petah tetapi menampakkan inteleknya. Kita ingin melihat karenahnya tetapi menuju kebaikan dan keunggulan. Kita ingin melihat kenakalannya tetapi pada masa yang sama ada empati. Ada simpati. Ada sensitiviti yang membina. Darjah kepekaan yang tidak perlu disentuh. Memang tinggi membanggakan. Anajk teladan. Anak contoh.
Kita banyak melihat semua ketidakbaikan itu setelah mereka semua membesar. Setelah mereka semua hampir menjadi buluh. Ketika mereka semua sudah mendarah daging apa-apa yang mereka yakini benar. Mereka sudah menjadi buluh. Keras. Boleh dilentur tetapi mengambil masa yang panjang untuk melayurnya. Terpaksa dipanggang panas. Kita turut kepanasan untuk melenturnya. Yang dilentur panas. Yang melenturnya juga panas. Barangkali yang melihatnya juga turut kepanasan. Itulah gambaran sukar untuk melentur anak-anak yang sudah terlanjur usia mereka. Umur sehingga tujuh tahun itu tidak kita pergunakan untuk menjinakkan mereka. Untuk memberi makna kepada mereka. Untuk menjadi makmum yang patuh. Menjadi imam yang berwibawa. Menjadi warga yang bergerak mengikut landasan wawasannya. Uisa hingga tujuh tahun itulah peluang terbaik yang datangnya dari perintah agama.
Melentur dari rebungnya. Semasa anak itu boleh diliang liuk untuk mengikut kehendak kita. Kebersihan adalah asas kepada kebaikan lain. Oleh itu didiklah anak-anak supaya menghormati kebersihan. Menghayatinya dan sesalu menjaganya. Penghargaan kepada kebersihan sangat tinggi. Untuk melahirkan anak-anak yang sangat peka perlukan didikan sejak dari awal. Sejak mereka mula bergerak. Sejak mereka kenal bersih dan kotor. Sejak mereka boleh memandang. Sejak mereka boleh mendengar. Sejak anggota tubuh badan mereka boleh bergerak. Boleh memegang. Boleh mencapai. Boleh mengenggam. Prosesnya panjang. Mulakan dari yang senang. Yang mereka boleh buat. Sesuatu itu hendaklah dimulakan. Bak kata pepatah, lulus jarum luluslah kelingking. Bila yang kecil boleh dilaksanakan maka yang besar akan menjadi mudah. Latihan lebih melicinkan lagi prosesnya.
Anak-anak hendaklah disediakan ruang khas untuk bermain. Ruang yang jika disepahkan boleh dikemas di kawasan itu sahaja. Tidak menular ke ruang-ruang lain yang berdekatan. Sebab itulah ibu dan bapa hendaklah bekerja keras supaya dapat memiliki rumah yang agak selesa. Membuat rumah yang cukup besarnya. Supaya ada ruang untuk anak-anak bermain. Terlindung dari ruang yang kerapiannya perlu dikekalkan selalu. Yang bila tetamu bertandang tidak perlu malu. Tidak perlu berlari untuk mengemaskannya. Tidak menyesakkan orang bila terpandang sepahnya. Tempat bermain itu mestilah ada lekapan dan perkakasan yang boleh menyimpan mainan atau apa-apa kesukaan anak-anak. Bermain ada jadualnya. Semasa bermain ibu bapa perlu hadir berhampiran. Takut-takut barang mainan mereka menjadi ancaman kepada mereka. Mencederakan mereka. Semasa bermain mesti ada peraturan supaya anak-anak tidak berkelahi. Nanti bisingnya membingitkan. Memainkan emosi dan psikologi ibu bapa yang letih, kepenatan dan kehabisan tenaga mengurus keluarga. Selepas bermain beri tanggungjawab kepada mereka supaya berkemas. Supaya mengembalikan mainan ke tempat asalnya. Latih dan latih hingga mereka terbiasa. Main dan kemas itu akhirnya menjadi mainan dalam diri mereka. Bukan lagi beban yang dipaksakan.
Setiap kali terpandang sampah didik mereka supaya boleh mengutipmnya. Supaya mereka mengerti bahawa sampah tiada tempat dalam kamus hidup kita. Supaya sampah tidak dibenarkan wujud dalam rumah. Tiada di persekitaran rumah. Pengalaman itu kita perluaskan supaya mereka peka sewaktu di sekolah. Di tempat awam. Di padang permainan. Di bandar dan pekan. Nanti anak itu boleh memberi nilai kebaikan. Menjaga kebersihan. Menegur sesiapa yang tidak bersih. Di negara maju itulah yang berlaku. Kanak-kanak kecil sudah sangat peka dengan sampah. Di Singapura anak-anak sejak dari kecil sudah disogok untuk membenci sampah. Di Jepun abukpun disapu. Di US dan di Eropah sama sahaja cara berfikir mereka. Kebersihan adalah ajaran agama. Walaupun hanya Islam yang memberi nilai baik kepada kebersihan tetapi orang Islam tidak berjaya melaksanakannya secara meluas. Orang di negara maju yang bukan Islam berjaya pula ke arah itu. Suatu pengajaran yang mahal jika kita memahami.
Didik anak membuang sampah. Dari dapur. Dari laman rumah. Dari yang dikumpul di sekeliling rumah. Ajar mereka menyapu. Menggunakan vakum sampah. Biar mereka faham keluarga kita memang anti sampah. Anti sepah. Anti tunggang langgang. Anti rumah yang tidak diurus. Tanggungjwab itu diberikan kepada mereka dengan serius. Dengan komitmen yang tinggi. Dengan kesungguhan yang melampaui kesantaian. Tunjukkan kepada anak yang ibu dan bapa tidak boleh bertoleransi dengan sampah. Bila memberi arahan, ibu dan bapa hendaklah pandang sampah itu. Pastikan mereka mengutip atau membersihkannya. Pastikan mereka menggunakan alat yang betul. Pastikan mereka membuangnya ke tempat yang betul. Pastikan sampah itu dibuang ke dalam tong sampah di hadapan rumah. Pastikan sampah itu betul-betul masuk. Jangan benarkan mereka membuang sampah merata-rata. Nanti akan menajdi tingtkah laku yang membebankan keluarga. Membebankan masyarakat. Membebankan negara. Perkara yang remeh di rumah akan menjadi bala besar kepada negara. Menjadi bencana. Warga yang sukakan kotoran. Hanya akan membazirkan kewangan negara. Wang cukai yang kita bayar. Hanya kerana di rumah mereka tidak dididik untuk mengurus sampah yang sangat sedikit.
Anak-anak yang terdidik untuk sentiasa berkemas akan membentuk sikap positif terhadap banyak perkara. Mindanya tersusun dengan aktiviti yang bermanfaat. Ada ketegasan peribadi yang kuat. Sabar dan kental berhadapan dengan cabaran. Komitmen yang istiqamah dalam sesuatu hal. Semuanya bermula dari rebung. Dari rumah. Dari mereka kecil. Jangan remehkan latihan yang akhirnya akan menjadi perkara besar apabila mereka besar dan dewasa nanti. Selain daripada memenuhi tuntutan agama kebersihan adalah tuntutan alam. Tuntutan kesihatan. Tuntutan pemiliharaan alam sekitar. Tuntutan pemuliharaan. Tuntutan memelihara manusia itu sendiri. Oleh yang demikian mulakan semuanya dari rumah. Dari kawalan ibu dan bapa sendiri. Usah biarkan hal ini di tangan pembantu rumah. Standard kebersihan mereka tidak sama. Standard ibu dan bapa yang mesti selari dengan kemajuan negara. Dengan taraf hidup kita. Demi kesejahteraan kita. InsyaAllah. Ibu bapa yang mampu mengubahnya. Dari rumah.