Memanjat kerjaya bukanlah sesuatu yang lancar meluncur bak yang pipih datang melayang dan yang bulat datang menggolek. Hari-hari yang berlalu adalah pengalaman yang mesti dikutip, dianalisis, diolah, disisih, disusun, disimpan dan dikeluarkan semula bila berhadapan dengan masalah dan untuk membuat keputusan. Pendidikan dan pengalaman akan membezakan siapa yang tinggi dan siapa yang rendah. Siapa yang luas pengalaman dan siapa yang cetek pengalaman. Siapa yang tinggi akal dan siapa yang dangkal. Siapa yang nantinya berkeupayaan menduga lautan.
Begitulah Politeknik Ungku Omar (PUO) membentuk saya. 12 tahun yang panjang untuk mendewasakan pengalaman. Meningkatkan keupayaan sebagai pendidik yang berubah zaman, berubah persekitaran dari sekolah rendah hingglah ke universiti. Barangkali ada hal-hal yang perlu diingat. Ada iktibar yang perlu disemat. Saya titipkan di sini pengalaman peribadi sendiri. Ianya tiada kaitan dengan sesiapa yang masih hidup atau yang telah tiada.
1 Semasa mendaftar dan melaporkan diri, datanglah seberapa awal. Mereka yang lebih awal akan diletakkan di permulaan senarai. Yang datang lewat akan berada di hujung senarai. Apabila diperlukan tentu mereka yang dibaca dahulu mendapat lebih banyak perhatian. Banyak implikasi lain yang berkaitan dalam jangkamasa panjang.
2 Pakaian adalah penampilan fizikal luaran yang penting kerana selalu dilihat, dinilai dan dijadikan contoh teladan. Bersih, kemas dan segak tentulah memberikan impak yang kuat berbanding dengan mereka yang tidak mengambil berat. (Saya sedang merangka manuskrip ringkas mengenai panduan berpakaian ini).
3 Kehadiran di tempat kerja adalah sesuatu yang selalu diberi perhatian kritikal oleh ketua kita. Kedatangan mestilah menepati waktu (punctual). Semasa bekerja kehadiran juga diperhatikan. Datang awal jadikan suatu kebiasaan. Balik lewat jadikan suatu kebiasaan juga. Masa-masa yang tenang itu gunakan untuk membuat kerja-kerja yang tergendala kerana kesibukan melayan orang lain semasa waktu pejabat.
4 Keterlibatan semasa kerja juga diambilkira. Mereka yang selalu terlibat diberi pertimbangan yang lebih berbanding dengan yang kurang terlibat. Jangan menunggu arahan atau perlantikan. Jika ada kerja yang perlu dilaksanakan, ambil bahagian yang perlu.
5 Perhubungan sosial dengan rakan sejawat, dengan staf bukan akademik, dengan pekerja swasta dan kepada orang luar memainkan peranan penting sebagai penilaian terhadap adaptasi dan asimilasi seseorang guru terhadap dunia persekitarannya. Mereka yang selesa secara sosial akan mendapat laluan yang lebih selesa dalam jangkapanjang.
6 Dalam sebarang perbincangan atau mesyuarat jangan terlalu meminta dan mendesak supaya pendapat kita diterima. Jika cadangan kita tidak diterima, kemukakan pada waktu lain yang lebih sesuai. Mungkin diterima kamudiannya.
7 Jika diminta memberi cadangan, jangan segan atau kedekut memberi idea. Idea itu mestilah besar, logikal, ekonomik dan manfaatnya merata.
8 Kepada rakan sejawat jangan burukkan ketua. Kepada ketua jangan burukkan rakan sejawat. Menjaga keduanya merupakan keseimbangan yang dikira adil. Kita kena adil terhadap orang lain. Kelemahan orang lain bukan untuk kita injak-injak supaya kita boleh naik. Memburukkan ketua adalah tidak etikal kerana suatu hari nanti kita mungkin menjadi ketua. Saya takut mengulangi kesilapan ketua yang kita remehkan dahulu. Nanti orang pulangkan paku buah keras kepada kita. Memburukkan rakan sejawat pula akan menjadi baji yang akan merenggangkan persabahatan. Apa yang kita maklumkan kepad ketua lambat laun akan diketahui juga oleh rakan kita itu. Nantinya kita selalu diragui dan semua orang hilang kepercayaan kepada kita.
9 Sebagai pendidik kita hendaklah rapat dengan pelajar. Kita mudah didekati dan mudah menghulurkan bantuan. Tetapi awas! Apa-apa rahsia peribadi, rahsia akademik, rahsia pejabat, rahsia rakan sejawat dan rahsia ketua-ketua kita yang lain tidak boleh dikongsi dengan pelajar. Jika kita langgar etika ini, pelajar-pelajar nanti akan menggunakannya untuk meletakkan kita dalam situasi yang rumit. Rahsia yang kita kongsikan itu akhirnya akan diketahui oleh orang lain. Ingat OSA - Official Secret Act - Akta Rahsia Rasmi. Banyak lagi implikasi lain berkaitan dengan hal ini.
10 Belajarlah apa sahaja yang namanya pengalaman. Pengalaman ini akan sangat-sangat berguna apabila sampai masanya kita dinaikkan pangkat atau melaksanakan sesuatu fortfolio penting dalam organisasi.
11 Selalulah meletakkan orang lain di tempatnya yang tinggi supaya orang meletakkan kita di tempat yang tinggi juga. Hormatkan orang lain supaya orang lain menghormati kita.
12 Dalam masa bekerja jangan membuat kesilapan, jangan cuai, jangan lalai dan leka, jangan tidak peduli, jangan mengundur dan jangan menyongsong arus.
13 Bina peribadi ceria, sihat, lincah, pantas, berwibawa (authoritatif) dan bertanggungjawab. Pada masa yang sama tegas, boleh memotivasi, membimbing, boleh runding, bijaksana, ada budi bicara, adil dan saksama, perihatin, empati dan simpati, mengerti dan rendah diri.
Dalam pengurusan dan pentadbiran banyak perkara yang tidak dapat dipelajari secara tersurat. Banyak yang tersirat harus dapat diamati, dihayati, digarap lalu diamal bila keadaan memerlukan. Walaupun kaedah membuat keputusan diajar di IPT tetapi situasi yang sebenar tidak semsetinya mengikut teori sewaktu hendak diselesaikan. Pengalaman yang akan mengajar kita untuk bertindak dengan bijaksana. Lagipun realitinya ialah banyak perkara yang localised sifatnya bukan global semata-mata.
Pembacaan, pemerhatian dan banyak mendengar adalah antara cara pendidik mengembangkan diri. Perbincangan dengan semua orang hatta pelajar juga boleh menambahkan kewibawaan kita. Minat hendaklah terhadap semua perkara kerana pendidik tidak terhad kepada opsyen atau profesion khususunya sahaja. Bila kita pakar matematik tidak semestinya kita tidak arif tentang subjek-subjek yang lain. Kita juga arif tentng politik, ekonomi, agama, sosial, kewangan, sukan, seni dan sebagainya. Pendidik seharusnya all rounded person. Personaliti, penampilannya, buah fikirannya, pergaulannya, keterlibatannya dalam hal-hal kemasyarakatan, emosinya dan pengalamannya hendaklah seimbang.
Pendidik selalu dilihat sebagai orang yang boleh dirujuk. Boleh memberi analisis. Boleh memberi nasihat. Boleh memberi bimbingan. Boleh membantu. Boleh mengkaunsel. Boleh membuat keputusan dan boleh menyelesaikan masalah. Jika kita masih terasa kekurangan dalam banyak hal tanggungjawab kita adalah untuk melengkapkan diri kita sendiri. Kita sendiri yang perlu sedar kekurangan kita. Kita sendiri yang perlu tahu apa yang kita hendak dan inginkan. Belajarlah menganalisis teori SWOT ke atas diri kita sendiri. Lihat strength (kekuatan) dan opportunity (peluang) yang luas terbentang. Atasi weaknesses (kelemahan) dan hindarkan threat (ancaman-ancaman yang mungkin menggugat diri kita pada masa hadapan). Bina kebijaksanaan untuk mengubah kelemahan diri menjadi peluang untuk mengatasi segala cabaran. Begitu juga mengubah ancaman menjadi tangga kejayaan.
Kita harus putuskan sama ada hendak menjadi guru biasa yang tidak diketahui wujud atau tidaknya di mata rakan sejawat, di mata pelajar, di mata ketua-ketua kita, di mata ibu bapa dan di mata masyarakat. Atau kita hendak menjadi guru yang dibesarkan kewujudannya, tinggi lagi ditinggikan kedudukannya, dinanti kehadirannya, ditunggu buah fikirannya, dilihat kehebatannya, dikongsi pengalamannya.
Sebagai pendidik kita harus bina semua ini dari bawah. Dari tiada kepada ada. Dari payah kepada senang. Dari bayang kepada terang. Dari suram kepada benderang. Dari kelam kepada gemerlapan. Firman Allah yang mafhumnya: Tidak berubah sesuatu kaum itu kecuali kaum itu yang berusaha mengubah dirinya.
Setelah kita laksanakan semua itu barulah kita boleh duduk bersandar membilang hari-hari yang dilalui. Kita bukan berihat tetapi menunggu masa untuk menyerlahkan diri. Melaksanakan apa sahaja tugas dan tanggungjawab yang diserahkan kepada kita. Pendidik seperti kita, apatah zaman mutakhir ini, bukan mengajar semata-mata. Kita menjadi segala-galanya yang bernama guru. Segala-galanya terletak di bahu guru. Kita disandarkan untuk membina bangsa. Harapan itu tidak pernah padam. Semakin menggunung dari masa ke masa selagi guru membimbing zaman.