Orang Melayu ada di mana-mana. Seronok juga bersama mereka. Sekurang-kurangnya tidak lupa asal usul. Adat istiadat masih dibawa bersama. Kebiasaan yang tidak dilupakan. Jatidiri yang tetap menyalut budi. Wewenang yang membawa harga diri. Nilainya tinggi. Merentas benua dan negeri. Terbang ke manapun masih kekal Melayunya. Masih tetap dengan lemah lembutnya. Namun begitu dalam kelembutannya itu ingin pula selalu mengena. Minta maaflah banyak-banyak. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki saya. Setelah berzaman-zaman lamanya, sifat Melayu masih banyak yang belum terhakis. Yang positifnya sudah ada. Namun yang negatifnya masih tetap banyak. Masih merisaukan hati. Masih banyak yang mengeruhkan suasana.
Ini pengalaman saya di US dahulu. Ramai pelajar Malaysia membawa keluarga. Nantilah dalam entry yang terkemudian akan saya paparkan gambar-gambar yang yang menunjukkan ramainya anak-anak pelajar Malaysia di Pittsburgh sewaktu saya di sana dahulu. Pengamatan saya menunjukkan bahawa bila kita tidak ramai, hubungan antara sesama mereka sangat akrab. Tetapi bila bilangan mereka bertambah mulalah berpuak-puak. Mula mencari rakan yang serasa. Yang serupa matlamat. Yang datang dari tempat yang sama. Yang pangkatnya sama. Yang kelayakannya sama. Yang minatnya sama. Yang boleh mendengar celotehnya. Yang setuju dengan pendapatnya. Maka berlakulah sindir menyindir. Yang sendiri menyendiri. Yang mengasingkan diri. Yang memisahkan persahabatan. Yang dikeruhkan dengan cerita-cerita yang direka-reka.
Dalam keadaan seperti itu kerenganggan berlaku. Mulalah bermasam muka walaupun tanpa cukanya. Manis di bibir walaupun tebunya entah di mana. Manis tetapi tiada madunya. Sopan di hadapan tetapi mencerca di belakang. Mulut yang satu dibawa merata. Dijaja ke sana ke mari. Di letak di tempat yang rendah hina. Mulut yang dijadikan Allah untuk syahadah dicemari. Mulut yang dicipta untuk membaca al-Quran dikotori. Mulut yang dicipta untuk solat dipermain-mainkan. Mulut yang sepatutnya untuk memberi nasihat tetapi dijadikan alat untuk memperkatakan tentang hal-hal yang mencarut. Yang lucah. Yang menghina. Yang mencerca. Yang menista. Payah benar untuk lurus. Untuk ikhlas. Untuk istiqamah. Untuk membina ukhwah.
Apabila saya dan isteri mula mengumpul barang yang boleh dibawa balik ke Malaysia, ramai pula yang tahu. Tentulah pada mulanya hanya ada seorang dua yang tahu. Cerita itu merebak. Hingga seolah-olah kami tidak ada kerja lain. Kerjanya hanya mengumpul barang. Pada anggapan mereka barang yang kami kumpul tentulah berlonggok-longgok. Mulalah ada yang menakut-nakutkan. Nanti tambangnya mahal. Mana hendak dicari duit tambang. Malaysia jauh. Nanti rosak dalam perjalanan. Aduh pening kepada saya. Ramai orang tidak tahu bahawa apabila seseorang berbuat sesuatu tentu dia telah merancangkan sebab musababnya. Dia tahu tentang tindakannya. Tentang natijahnya. Tentang impaknya. Bagi pelajar sarjana atau PhD tentu tiada masalah kerana gaji yang ditinggal di Malaysia boleh digunakan bila perlu. Yang penting semuanya dirancang dengan rapi. Difikirkan baik dan buruknya. Dinilai rendah dan tingginya.
Saya ke US membawa lima orang anak. Yang sulung melepasi 12 tahun. Dalam perjanjian biasiswa tidak ada apa yang disebut sehingga menggusarkan. Maknanya jika semasa pergi kerajaan memberi tambang, tentulah kembalinya nanti akan ditanggung tambangnya. Ada sahaja yang menakjut-nakutkan. Kononnya nanti balik kena bayar tambang sendiri. Berdesing juga telinga. Kata-kata seperti tiada asasnya. Tiada dalilnya. Tiada nasnya. Tiada peraturannya. Kebetulan yang bercakap itu belum mempunyai anak. Sudah lama berkahwin namun Allah belum memberi rezeki kepadanya. Kerana itu kepekaannya masih rendah. Oleh kerana tiada siapa yang boleh saya rujuk, saya pasrah. Kalau kena tambang sekalipun saya bayarlah nanti. Apa yang hendak dibisingkan. Jika itu ketentuannya. Terima terima sahaja.
Suatu ketika seorang isteri terhendap-hendap tentang gerak geri kami suami isteri. Apabila pecah cerita itu, tindakannya adalah untuk menentusahkan sama ada pada pagi Sabtu itu kami keluar atau tidak. Ketika itu dia ke laundry sambil meninjau-ninjau jika kami melalui jalan di hadapan laundry itu. Kebetulan itulah jalan yang biasa kam lalui. Tindakannya ialah untuk mengesan sama ada kami berbohong atau tidak. Ingin tahu kenapa? Mereka tahu saya selalu ke jualan gudang. Orang lain pergi juga. Tetapi kami yang selalu jadi sasaran maklumat. Bila kami pergi tanpa memberitahu sesiapa, menjadi kesalahan besar kepada mereka. Kami tidak mahu berkongsi maklumat. Bila kami minta maklumat itu disebarkan mereka enggan pula. Kami berfikir mana mungkin kami menelefon semua orang Maleyu di Pittsburgh apabila ada jualan gudang. Parahlah bil telefon kami.
Selalu saya katakan bahawa maklumat jualan gudang disiarkan dalam Pittsburgh Chronicle. Akhbar paling popular di Pittsburgh. Saya katakan hanya USD1 sahaja. Yang perlu dibeli ialah akhbar hari Jumaat kerana jualan gudang diadakan pada hari Sabtu sahaja. Kadang-kadang tiap minggu. Kadang-kadang setiap bulan. Payah jadinya. Disuruh beli akhbar, kedekut duit. Disuruh panjang-panjangkan maklumat tidak dituruti. Mereka ingin memberatkan saya dan isteri juga untuk memulakan sebaran maklumat. Terasa berat juga kerana itu bukan tanggungjawab hakiki saya. Pergi ke jualan gudang bukan kerja hakiki. Suka-suka. Lagipun jualan itu kerap diadakan. Bila-bila boleh pergi. Tiada masalah langsung.
Begitulah adat manusia Melayu. Banyak benar yang tidak kena. Sesuatu yang biasa menjadi luarbiasa. Menjadi punca fitnah yang tidak bertepi. Tiada asas yang benar. Kebenarannya yang tersasar entah jauh ke mana. Ada beberapa perkara yang saya pelajari dari kehidupan. Yang saya dapat dari pengalaman. Yang saya kutip dalam perjalanan hidup. Yang saya kumpul dalam pengembaraan saya.
1 Bila tidak tahu, cari maklumat dari sumbernya. Terlalu banyak maklumat bertebaran tetapi tiada kepastian kebenarannya. Pergi kepada sumbernya untuk mendapat maklumat yang hakiki.
2 Bina inisiatif untuk melakukan sesuatu yang baik. Timbang banyak-banyak tentang kebaikannya. Jika sudah mustaid lakukan sebaiknya. Dengar kata orang tetapi tidak perlu bertindak berdasarkan kata orang itu. Senyum bila dengar komen orang. Kita pasti kita berada pada landasan yang betul.
3 Pengalaman sahaja tidak cukup sebagai landasan untuk membuat tindakan yang hasilnya terbaik. Masih banyak variable baru yang perlu diambil kira.
4 Kecerdasan minda perlu dibangunkan. Sikap rasionale perlu dipupuk. Kewarasan mengatasi kejahilan dan kejumudan.
5 Tanam emosi yang stabil. Jangan emosional dalam situasi-situasi yang tidak kondusif. Marah atau tenang berlaku selalu. Senang atau susah berlaku serentak dalam suatu garisan lurus yang bertentangan.
6 Tapis berita yang sampai kepada kita. Saring orang yang memberi berita itu. Terima berita yang ada fakta sahih. Tarikh, masa, hari, tempat, saksi atau gambar-gambar yang menjadi bukti. Allah memperingatkan kita supaya berhati-hati apabila orang fasik membawa berita. Semak. Tapis. Saring. Tidak boleh terima berita itu tanpa syarat. Takut-takut terjadi perbalahan. Pergeseran. Konflik yang tidak sepatutnya.
7 Akhir sekali buatlah apa yang hendak dibuat asalkan tidak menyusahkan orang lain secara fizikal. Secara mental itu di luar kuasa kita. Asalkan tidak menjerumuskan diri ke lembah kesusahan atau kehinaan. Asalkan tidak derhaka kepada Allah. Kepada Rasulullah,. Kepada ibu bapa. Kepada guru. Kepada orang lain di sekeliling kita.
Hanya makluman. Barang-barang yang saya dan isteri kumpul banyak juga akhirnya. Kos penghantarannya hampir USD500. Tidak mengapalah. Dapat dibayar tambangnya. Saya terima barang itu di Malaysia tanpa cacat cela. Intact. sama seperti pada mula dibungkus dahulu. Saya dan keluarga kembali ke Malaysia melalui London-Frankfurt-Dubai-Kuala Lumpur. Percuma. Kesemuanya percuma. Transit di London selama seminggu. Percuma juga. Alhamdulillah. Akhirnya saya berpegang "dengar cakap orang tetapi untuk ikut kena tapis dulu." Beringat-ingat selalu.
Berbaliklah kepada kebenaran. Tiada yang terang selain dari kebenaran. Pada akhirnya kebenaran itu juga yang menyerlah. Yang dipandang orang. Yang mendamaikan. Saya mencapai ketenangan dengan falsafah itu. Saya redha. Saya senang. Saya damai. Cubalah. Tidak rugi apa-apa. Nothing to lose. InsyaAllah.