40 minit lagi. Ya Allah sudah 75%
pendakian. Hanya tinggal 25% sahaja lagi. Dari peringkat pertengahan tadi sudah
lebih dua puluh kali kami berhenti rehat. Pada suatu ketika isteri penulis hampir
menyerah kalah. Seperti sudah tiada lagi tenaga. Doa diperbanyakkan sambil
menangis. Alhamdulillah dia berupaya
melangkah lagi. Ketika itu perasaannya ditanggung sendiri. Langkahnya
diteruskan. Penulis tidak diberitahu untuk tidak melemahkan semangat. Apabila
kudrat tenaga menipis kami berhenti. Duduk atau berdiri. Isteri penulis banyak
duduk. Katanya dirinya kehabisan tenaga. Ketika itulah dipulihkan sedikit
tenaganya. Ya Allah izinkan aku sampai di puncak Tursina. Itulah doanya
sebanyak langkahnya.
Barangkali pembaca tidak dapat
menggambarkan laluan yang kami lalui. Hanya
mereka yang pernah mengalaminya sahaja yang pasti mengetahuinya. Jika di
Malaysia laluan dakian mungkin banyak tanah tetapi di negara-negara Arab dan
padang pasir laluannya penuh dengan pasir dan batu kecil. Ketulan dan bungkah
batu besar. Setiap langkah memang perlu berhati-hati. Jika tersalah pijak kaki tergelongsor. Kita tidak
tahu pasir yang dipijak mungkin berada di atas hamparan batu. Apabila dipijak
kita menggelosor ke hadapan. Begitu juga batu-batu besar dan kecil. Dilihat
cantik tetapi apabila dipijak menggelongsor juga. Ramai yang terjelepok. Jika
tersandung batu besar berkemungkinan tersungkur. Risiko dalam pendakian seperti
itu. Sepanjang perjalanan itu lampu suluh amat perlu. Menyuluh laluan. Memilih
tapak untuk dipijak. Tanpa lampu risikonya lebih besar. (Sebenarnya penulis
tidak bersedia dengan lampu suluh. Di Fox Camp sebelum bertolak malam itu baru
penulis beli. Ahlamdulillah banyak sungguh manfaatnya.) Walaupun malam itu
bulan menyinar di langit, suluhan lampu tetap diperlukan. Dalam pada
berhati-hati, penulis sendiri tergelongsor juga. Terasa tergesel kulit kaki
pada batu. Alhamdulillah tidak apa-apa. Gerakkan kaki dan pusing-pusingkan.
Alhamdulillah, memang tidak apa-apa. Pendakian diteruskan.
Sebelum bertolak ramai peserta yang
membawa air dan makanan. Kami tekad tidak membawa makanan khuatir terasa berat
menggalas beg. Pengalaman kami di tanahair bila bekerja di sekeliling rumah
selalunya tanpa banyak makan dan minum. Berjam-jam asyik dengan kerja seperti
menanam bunga, mengemas dan sebagainya. Bagi yang muda makan dan minum dalam
perjalanan menjadi suatu keperluan. Makan semasa rehat. Agaknya untuk dimakan
sewaktu di puncak Tursina nanti. Penulis dan isteri membuat keputusan untuk
membawa paling minimum. Kami membawa sebotol besar air pili untuk persediaan
berwudu’ ketika hendak solat Subuh nanti. Mungkin untuk beristinjak apabila
diperlukan. Kami bawa juga sebotol kecil air mineral. Untuk membasahkan tekak
sahaja. Air itu kami minum berdua. Sehingga sampai kembali di Fox Camp air itu
masih lagi berbaki. Di pertengahan pendakian ada peserta perempuan yang memberi
cokelat kepada isteri penulis. Itu sahaja yang dimakannya. Apabila sesekali
terpandang beg peserta. penuh makanan di dalamnya. Termasuk juga minuman. Begitulah
anak muda. Laparnya selalu menggoda selera. Di sepanjang pendakian itu banyak
tong sampah disediakan. Penuh selalu.
Hanya 40 minit lagi. Kami bangun dari
rehat yang panjang. Kira-kira setengah jam. Terasa agak terlalu lama. Pertama
kerana mengejar waktu. Keduanya apabila lama berhenti otot kembali manja. Untuk
memulakan pendakian seterusnya terasa berat hendak menggagahkan kaki memulakan
langkah. Lorong berikutnya tetap curam. Kecil dan penuh dengan batu berbagai
saiz. Kemudiannya laluan menurun. Dalam hati penulis penurunan ini hanya untuk
melambungkan semula dakian yang lebih mencabar. Teringat dalam taranum
al-Quran. Untuk melambungkan suara selalunya qari akan menurunkan dahulu suara
mereka. Beberapa ketika kemudian suaranya ditinggikan setinggi yang mungkin.
Salalim tulu’ dan salalim nuzul. Itulah laluan yang kami lalui. Turun ini
pastinya untuk mencacakkan curam naiknya. Benar jangkaan penulis. Sebentar
kemudian curamnya bertambah. Melangkah dari batu ke batu yang di hadapan. Lebih
banyak memikirkan untuk memilih batu yang mana senang dipijak. Mengimbang
badan. Pada peringkat ini lebih banyak duduknya. Betul-betul mencabar. Pada
suatu ketika penulis meraba otot bawah lututnya. Terasa sakit dan tegangnya.
Tidak dapat hendak dibayangkan banyaknya doa yang keluar dari mulut dan dalam
hati. Mohon supaya Allah memberi kesihatan dan kekuatan. Pesan isteri penulis
supaya tidak putus berdoa.
Sesungguhnya kami hanya berharap kepada
Allah. Sewaktu rehat seterusnya penulis memegang lagi tempat yang sama.
Alhamdulillah sudah hilang sakitnya. Jika difikirkan banyak-banyak kita tidak
mempunyai jawapan. Tetapi kerana kita berserah kepada Allah maka Allahlah yang
memungkinkan segala-galanya. Alhamdulillah. Banyak batu yang menjadi saksi
bahawa kami duduk di atasnya. Teringat semasa taklimat di Fox Camp kami
diingatkan supaya tidak main-main. Jangan sekali-kali bergurau. Kami hanya
mendengar tanpa memikirkan apa-apa. Realitinya ialah tiada siapa yang sanggup
bergurau. Masing-masing memikirkan nasib diri. Sampai atau tidak. Larat atau
tidak. Selamat atau tidak. Cuma fokusnya ialah puncak Tursina. Ingin berada
bersama-sama dengan semangat Nabi Musa a.s. yang telah berada di situ ribuan
tahun yanhg lalu. Akhirnya sampai juga kami di checkpoint terakhir. Setelah bersusah
payah melangkah bongkah batu. Berpegang pada bongkah batu yang lain.
Kadang-kadang merangkak juga apabila keadaan memerlukan. Di kanan dan kiri
tangga itu ada gaung. Mengerikan juga apabila dipandang. Di checkpoint
terakhir ada pelajar yang memaklumkan
bahawa selepas hentian terakhir ini akan didaki kira-kira 50 anak tangga.
Kembang rasa hati. Rasanya tidak lama
lagi. Tidak ada debaran. Tidak juga seperti teruja. Hanya ingin segera berada
di puncak. Penulis pandang ke atas. Sayup menegak tangga-tangga yang bakal kami
lalui. Yakin bahawa ianya mampu didaki. Ini pendakian peringkat terakhir.
Maklum bahawa ianya akan lebih sukar. Tetapi tidak ada yang boleh memaklumkan
kesukaran yang dihadapi oleh seseorang individu. Setiap orang berbeza kekuatan
tenaganya. Berbeza staminanya. Setiap langkah perlukan sejumlah nafas yang
terkumpul penuh di dalam peparu. Tenaga yang diperlukan untuk mengangkat
sebelah kaki sahaja cukup menyeksakan. Sewaktu diangkat bisanya hingga ke otak.
Kadang-kadang hanya beberapa langkah sahaja kami sudah berhenti berehat. Pada
satu ketika penulis sudah seperti berputus asa. Hendak memijak anak tangga yang
berikutnya sudah seperti tidak terdaya. Rasanya seperti hanya setakat itu
sahaja. Sesungguhnya daya sudah habis. Jika sebelum ini isteri penulis yang
berasa begitu. Kali ini penulis sendiri yang mengalami hal yang sama. Lama juga
memikirkannya semula.
Pertamanya kerana sudah hampir ke
kemuncaknya. Puncak Tursina sudah hampir. Keduanya, untuk turun sudah terlalu
jauh. Ketiganya, tidak mungkin tersangkut di situ juga. Pada hari esoknya ketika
menuruni bukit, apabila penulis memandang tempat itu, aduhai, sudah terlalu
dekat dengan puncak idaman. Barangkali syaitan mengganggu dengan kuat ketika
itu. Dengan hati yang sangat merendah, penulis bermunajat kepada Allah. Ya
Allah Kau telah sampaikan Nabi Musa ke
puncak Tursina maka Kau izinkanlah aku tiba di puncak Tursina ini dengan
izinMu. Ketika penulis melayani perasaannya isteri penulis terus melangkah ke
hadapan. Setelah berdoa sebanyak-banyaknya, penulis gagahi lagi. Perlahan-lahan
melangkah dari satu batu ke batu yang di atasnya. Semakin curam dan semakin
curam. Ada yang menyuluh dari atas. Ada yang memaklumkan dah nampak. Nampak
apa? Nampak puncaknya. Ya Allah! Sudah dekat sangat rupanya. Apabila ternampak
bangunan di atas, penulis yakin itulah puncaknya. Biasanya orang membina
bangunan di puncak bukit.
Hayunan terakhir itu memang perlukan
semangat yang lebih kental. Puncak sudah dalam capaian. Kejayaan hanya beberapa
langkah lagi. Namun kudrat perlu digandakan. Dalam sakit dijana tenaga
tambahan. Tangga batu semakin payah dipijak. Melangkah semakin berat. Memang
banyak kali berhenti walaupun setelah hanya beberapa langkah. Isteri penulis
membuat strategi baru. Setiap tiga langkah ia berhenti. Alhamdulillah
strateginya berhasil. Setiap kali berhenti datang tenaga baru. Maknanya jika
benar ada 50 anak tangga, kami berhenti sebanyak kira-kira 10 kali. Kami hanya
berharap kepada Allah. Berpaut harap kepadaNya. Memohon pertolonganNya.
Akhirnya sebahagian puncak dijejak juga. Benar, bangunan yang dilihat di
pertengahan tangga tadi sebuah bangunan yang sederhana besarnya. Dari bawah
isteri penulis bertanya kepada peserta yang sudah berada di atas.
Dah sampai ke dik? Tanya isteri penulis
kepada peserta di hadapan. Tidak kami kenali siapa peserta itu. Malam dan tidak
nampak dengan jelas walaupan ada cahaya bulan.
Ya, dah sampailah ni makcik. Isteri
penulis menoleh ke belakang.
Dah sampailah bang! Jeritnya.
Layaknya seperti dialog dalam drama TV
pula. Ini benar. Bukan cubaan. Kata dialog dalam filem Pendekar Bunjang Lapuk.
Ini adalah hakikat sebenar yang kami lalui. Terus hilang rasa penat. Antara percaya dengan tidak. Semuanya kuasa
Allah yang membawa tubuh badan kami yang berusia lanjut ini ke kemuncak itu.
Laju langkah kami. Bangunan yang kami nampak semakin tersergam. Rupanya
bangunan sebuah gereja. Kami naik lagi beberapa anak tangga. Di aras yang lebih
tinggi. Benar-benar di puncaknya. Allahuakbar. Barulah kami lihat adanya sebuah
surau. Lebih kecil bangunannya. Allahuakbar. Sampai juga kami di sini. Kami mencari sebuah ruang di tepi surau yang
ada. Subhanallah. Kami wuduk, solat sunat terus sujud syukur. Ada juga orang
berniaga di puncak itu. Terutamanya menjual air dan selimut untuk disewa.
Allahuakbar. Ini puncakmu Tursina.
Dahulu hanya kisahmu yang aku baca. Nabi Musa yang bermunajat di sini. Di
puncakmu ini Taurah diturunkan. 40 hari kekasih Allah berada di sini bersamamu.
Aku hadir dengan izinMu ya Allah. Syukur alhamdulillah. Mengalir air mata.
Syahdu kerana berada menjejaki Rasul kekasih Allah. Merasakan pengalaman
mendaki bukit setinggi itu. Berada di puncak paling tinggi di situ. Pengalaman
manis berada di puncak sebuah bukit yang syahdu. Pengalaman indah yang tersirat
pahit manis mendaki sebuah bukit yang tinggi. Bukan kepalang syukur kami
sebagai warga emas. Bercerita berada di
puncak sangat mudah. Mendakinya sudah dilupakan apabila puncak sudah dijejak.
Gambaran di puncak bukit dalam musim sejuk. Suhu sangat rendah. Sangat sejuk di rasa. Seluruh tubuh ingin dilitupkan. Tiada tempat berlindung yang lebih sesuai.
Suhu terlalu rendah bagi orang Malaysia. Sejuknya teramat sangat.
Berselubung habis. Berusaha menahan sejuk dalam tiupan angin yang sangat kencang.
Sepet mata menahan derasnya angin. Jika dibuka lebar takut pula dimasuki pasir dan batu kecil yang berterbangan.
Seperti orang dalam ketakutan yang amat sangat. Lihat pasir dan batu kecil berterbangan dirakam kamera.
Aduhai, sejuknya.
Besar-besar pasirnya. Datang dari berbagai arah.