Pada 17 September 2010 saya mendepani bakal suami anak perempuan kelima saya. Saya jabat tangannya, Aku nikahkan dan aku kahwinankan dikau dengan anakku ............ Bila saya goncang tangannya ia menjawab, Aku terima nikah ............ Amin sah nikahnya. Maka saya lepaskan tanggungjawab seorang bapa kepada suami anak saya. Segala keperluannya ditanggung oleh suaminya. Segala fizikal, mental dan rohaninya adalah tanggungjawab suaminya. Keselamatan dan kesejahteraannya, kebahagiaan dan keindahannya berumahtangga adalah tanggungan suaminya. Mawaddah yang dibina nanti terpulanglah kepada canai dan ulian, adunan dan rencah ratus yang mereka usahakan.
Ibu bapa hanya memanusiakan anak-anaknya. Hanya memberikan bekal-bekal kehidupan untuk masa hadapannya. Ilmu dan kemahiran yang seperlunya. Akal dan kepintaran untuk mengahdapi cabaran masa hadapan. Boleh berdikari meghadapi kehidupannya tanpa bimbingan berpanjangan. Boleh menyelesaikan masalaah. Boleh membuat keputusan yang rasional. Dengan kewarasan yang logik dan tinggi. Sewaktu melepaskannya saya berkeyakinan anak-anak saya mampu melayarai kehudupannya dengan kewajaran-kewajaran yang seperlunya’
Apabila saya peluk anak saya, saya katakan kepadanya bahawa saat itu adalah tanggungjawabnya untuk membantu suaminya untuk mencari kebahagiaan yang selalunaya elusif. Yang sukar dicari jika tidak tahu cara dan prosedurnya. Jika tidak difahami langkah-langkah dan liku-likunya. Hanya mereka yang berpengalaman boleh memberi nasihat satu dan dua. Hanya mereka yang lebih dewasa boleh memberi petua. Namun petua, teori dan pengalaman individu tidak pernah sama. Set dan variabelnya mungkin sama tetapi olahannya nanti mungkin berubah. Suasanya berubah. Niatnya berubah. Lalu natjahnya berbeza. Menerima dengan redha itu yang dicari. Menerima seadanya. Jika itu tidak dapat dielakkan. Jika itu yang terbaik. Jika tiada mudaratnya.
Apabila saya nikahkan mereka berdua, doa, harapan dan jangkauan masa hadapan yang indah untuk mereka. Sampailah masanya mereka menjadi pasangan yang menyahut sunnah RasulNya. Sunnatullah yang sudah ditentukan. Jodoh mereka berdua. Jodoh yang didoakan sepanjang hayat. Sepanjang kehidupan yang indah-indah belaka. Rumahtangga tidak berlandaskan rel yang lurus dan licin semata. Belayar di laut yang bukan tenang dan beralun kecil semata. Tidak berada di darat yang sentiasa sepoi-sepoi bahasa. Tanah tidak selalunya rata. Kenalah menari mengikut rentak yang sesuai dengan keadaan, masa dan tuntutan-tuntutan yang diperlukan.
Sepanjang perjalanan kehidupan berumahtangga ada sahaja cabaran, cubaan, ujian dan gangguan-gangguan lain yang datang dan pergi. Percayalah pada ikatan yang dimeteri. Yang dijanjikan. Yang dihasratkan. Yang disimpul mati untuk mengadapi masa hadapan yang penuh liku dan simpangnya. Peganglah ikatan itu. InsyaAllah simpang dan liku, ribut dan ombak, lambung dan ayun boleh disambut dengan senang hati. Jangkaan-jangkaan itu sudah diduga. Sudah dijangka kerana ikitibar dari pengalaman orang-orang terdahulu. Dari mereka yang sedia melangkah ke alam itu. Alam yang penuh keindahan, kebahagiaan dan kesejahteraan. Alam yang menjanjikan cahaya-cahaya bergemerlapan. Cahaya mereka yang redha dan diredhai.
Sejarah manusia dari Adam A.S. hingga sekarang sudah terlalu panjang. Hidup berpasangan sudah difitrahkan oleh Allah SWT. Tetapi perkahwinan bukan semudah yang dilihat. Bukan seindah yang dipandang. Bukan sebahagia yang diperhati. Bukan seaman yang disejarahkan. Bukan semanis yang dinukilkan. Bukan setenang yang diamati. Rasa sahaja tidak cukup. Bekal perasaan, mental dan psikologi diperlukan supaya masa hadapan itu dijangka sebenarnya. Jangkaan itu menyediakan hati untuk bersedia menerima datangnya berbagai kemungkinan. Supaya hati boleh dipujuk untuk menerima kenyataan yang manis atau pahit. Resah gelisah, gundah gelana, bimbang ragu antara pasangan adalah lumrah. Menerima keadaan seadanya itu sangat penting.
Kita tidak tahu apa yang tersirat walaupun kita melihat yang tersurat. Kita tidak memahami apa yang terungkap walaupun memahami bait-bait ungkapan itu. Kita kenal gerak laku tetapi tidak dapat mentafsir kehendaknya. Begitulah apabila dua orang manusia yang berlainan jantina disatukan. Yang berlainan fizikalnya disatukan. Yang berlainan psikologinya disatukan. Yang berlainan hatinya. Yang berlainan kehendak dan keperluannya. Yang menyukai hal-hal yang berbeza. Yang mengelak untuk menyukai hal yang sama. Yang berbeza falsafah dan pembawaan diri. Yang mencari kelainan anara satu sama lain.
Apa yang dapat dilihat dengan mata tidak mencerminkan apa yang sebenarnya dapat dilihat. Melihat dengan mata hati mungkin lebih teliti. Melihat ke dalam dengan penuh kesedaran barangkali lebih diperlukan untuk membina kebahagiaan berumahtangga. Usia matang hanya sebahagian syarat penting. Tetapi bukan yang terpenting. Kematangan dalaman, perasaan, semangat, psikologi dan kesedaran tanggungjawab rumahtangga akan membawa erti yang lebih besar. Lebih jauh. Lebih berimpak tinggi dalam membina kehidupan yang entah apa sudahnya. Kita hanya boleh berusaha. Allah jua yang menentukan sudahnya.
Sebagai isyarat untuk menjawab tentang isu perkahwinan, sebenarnya ianya ikatan antara lelaki dan perempuan yang halal nikah. Keadaan mesti mengharuskan perkahwinan itu. Ada masanya ia sunat dan ada kemungkinannnya menjadi wajib. Dalam keadaan lain mungkin makruh atau haram. Semuanya bergantung kepada keadaan yang dihadapi.
Pertamanya lihatlah dulu usia. Bila baligh keharusan itu sudah wujud. Kesihatan pula syarat juga. Jika tidak sihat tentulah sukar membahagiakan pasangan. Bagaimana dengan harta dan kedudukan ekonomi. Mampu tak untuk membiayai rumahtangga. Rupa paras menyejukan hati dan perasaan. Bangsa dan keturunan (sah taraf atau tidak) perlu diselidik dan diselesaikan secara agama. Kekayaan dan milikan harta benda memungkinkan kurangnya gangguan rumahtangga. Semuanya berkecukupan. Agama, ya agama itu penentu akhir. Carinlah yang kuat agamanya. Ia membantu rumahtangga itu menuju kepada keredhaan Allah. Namun begitu, ikutlah peraturan dan undang-udangnya. Walaupu undang-undang Allah itu lebih tinggi, kita kena ingat juga maslahah umum. Kawalan dan pemantauan untuk kejsejahteraan bersama. Bukan menyusahkan antara satu sama lain.
Kematangan akal penting supaya ada sifat toleransi, akomodasi dan asimilasi. Tanggungjawab berumahtangga bukan hanya pada fizikal yang dapat dilihat sahaja. Ia melibatkan seluruh kehidupan pasangan itu. Dari saat aku terima nikah ...... maka tertanggunglah tanggungjawab yang besar kepada Allah, RasulNya, ibu bapa, masyarakat dan seluruh agama yang dianuti. Perkahwinan itu bukan untuk pasangan itu sahaja. Ia melibatkan semua manusia yang ada di sekelilingnya. Agamanya.
Seorang suami yang sudah bekerja dan memiliki pendapatan stabil adalah pasangan yang akan memudahkan. Jika sama-sama masih belajar fikir dua, tiga atau berkali-kali supaya perkahwinan itu sebenarnya berada pada landasan yang licin, belayar di laut yang penuh dengan air, yang ribut dan gelombangnya dapat dikendali. Ingatlah bahawa apabila, Aku terima nikahnya, kita bukan lagi seorang tetapi sudah berdua. Tanggungan perasaan dan diri berganda. Segala-galanya didasarkan kepada gandaan-gandaan belaka. Itu belum orang ketiga yang mungkin datang tanpa persdiaan mental. Itu belum lagi kuliah dan akademik yang mesti disempurnakan. Sebelum berkahwin semuanya seperti boleh belaka. Tiada masalah kerana masing-masing sudah berbincang dan bulat hati dan perasaan.
Nanti dulu. Duania suram rumahtangga yang berkabus dan kadang-kadang menyilaukan mata mungkin hanya imej-imej yang belum dimengerti. Banyak di sebalik kekaburan itu yang sukar diterjemah. Yang sukar ditafsir. Yang sukar ditaksir. Lambaian-lambaian dari sebalik tabir pemisah antara ‘Aku terima nikah.... dan sebelumnya mungkin tidak difahami. Lihatlah dulu. Tunggulah dulu untuk memahami isyarat dan tandanya. Jangan terburu untuk terjun ke dalam dunia yang tidak difahami. Yang tidak dapat dijangkau dalamnya. Yang tidak diketahui luasnya. Menduga lautan bukan semudah menghulur joran.
Perkahwinan melibatkan dua hati dan dua manusia yang berlainan sifat, ciri dan banyak aspek yang lain. Langsung tidak ada persamaan. Subhanallah, Allah menjadikan kita begitu supaya kita belajar memahami antara satu sama lain. Cubalah tetapi kita tidak mungkin dapat memahami sepenuhnya pasangan kita. Fitrahnya begitu. Perbezaan itu hak individu. Cuma kita disatukan dalam perkahwinan. Satu ikatan untuk sama-sama berusaha bersatu. Segerak dan sehati. Sokong menyokong. Bantu membantu. Dua bahagian pasangan yang disatukan untuk menegakkan syahdunya alam berumahtangga. Rumahtangga yang memenuhi kekudusan hidup beragama. Kelestarian sejarah manusia dan kemanusiaannya.
Ciri-ciri itu mesti ada pada pasangan masing-masing. Satu ruang yang membenarkan pasangan masing-msing bergerak dan mencipta ruang-ruang lain untuk membina kebahagiaan berumahtangga. Sebab itu boleh atau tidaknya bergantung kepada banyak perkara. Tetapi kesediaan itu penting. Kematangan itu penting. Jangkaan-jangkaan masa hadapan yang belum pernah dialami adalah penting. Banyak membaca. Banyak memerhati. Banyak bertanya. Banyak mengambil iktibar.
Perkahwinan banyak naik turunnya. Banyak cabarannya. Banyak gangguannya. Banyak karenahnya. Maka psikologi diri kenalah mantap. Penikahan memisahkan antara kanak-kanak dengan kematangan. Antara remaja dengan kedewasaan. Antara dewasa dengan pengalaman-pengalaman besar manusia. Rumahtangga hanya milik orang-orang yang serius untuk berada di dalamnya. Ia bukan eksperimen. Bukan penyelidikan. Bukan cubaan-cubaan. Ia adalah suatu komitmen. Satu dedikasi tinggi antara dua orang manusia. Yang mencari taqwa dan redha Allah.
Masuklah ke alam perkahwinan itu jika bersedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinannya. Yang penuh dengan hal-hal yang perlu dijangka dan ditangani. Yang sentiasa ada pilihan dan alternatif. Yang menyediakan suasana untuk orang-orang yang sudah bersedia. Nasihat saya, tanya diri sendiri. Sudah sedia? Mungkin jawabnya sudah bersedia. Tunggu. Beri dulu masa untuk bertenang. Tempoh bertenang. Pilihan kita mungkin belum muktamad. Beri masa. Kadang-kadang masa menentukan pilihan yang muktamad. Semakin menunggu kita semakin dewasa. Semakin matang. Semakin bersedia untuk mengubah diri dari seorang menjadi berdua. Dari seorang kepada berpasangan. Dari bebas menjadi terikat.
Saya sentiasa memberi masa yang panjang untuk anak-anak saya membuat keputusan muktamad. Saya uji kesetiaan dan keterikatan mereka untuk bersama. Cinta sahaja tidak mencukupi untuk membahagiakan pasangan. Lihat dulu keliling. Mungkin ada yang lebih baik. Ada yang lebih sesuai. Jangan terburu-buru. Cinta tidak boleh membutakan mata. Membutakan hati. Membutakan perasaan. Seharusnya ia jalan memuju ke syurga. Jannatul naim.
Betul sudah bersedia? Kahwinlah. Doa saya bersamamu.