Sunday, March 23, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Kembara Tursina



Alhamdulillah penulis dan isteri dapat menyertai rombongan pelajar-pelajar Negeri Johor ke Sinai. Terima kasih Tuan Haji Maulan yang mengizinkan penulis dan isteri untuk turut bersama. Terima kasih juga kepada Tuan Syed Ahmad yang banyak membantu dari segi persiapan mental. Rombongan dua buah bas itu membawa 92 orang peserta. Mengikut itenarinya perjalanan yang bermula pada pukul 12.00 tengah malam hari Rabu itu dijangka sampai di Fox Camp pada pukul 3.00 petang hari Khamis. Banyak tempat berhenti sama ada untuk berehat, makan atau solat. Kami bertolak pada hari Rabu malam Khamis. Pada pagi hari Khamis kami sudah berada di Sinai. Setelah melawat permakaman Nabi Salleh, Nabi Harun dan kesan pengkhianatan Samiriy kami sampai di Fox Camp kira-kira pada pukul 5.00 petang. Anak-anak di tanahair berpesan supaya penulis dan isteri tidak lasak sepanjang hari kerana pada malamnya kami dijangka akan mendaki Bukit Tursina. Ramai juga peserta yang ingat mengingat sesama mereka supaya menyimpan tenaga untuk pendakian pada malam itu.

Cerita pendakian telah lama selesainya. Detik-detik akhir kami di Dahap masih terasa hangatnya. Makan bersama, cerita bersama. Kali pertama bersama anak-anak Johor terasa dekat. Kebetulan ada saudara mara dalam kalangan mereka. Penulis tidak merancang untuk begitu dekat dengan mereka. Tiada dalam agenda sama ada sebelum menjejak kaki di Mesir atau sesudah berada di Mesir. Di rasakan tiada penghubung untuk membawa diri mendekati mereka. Hajat hati hanya untuk cepat pandai berbahasa Arab. Belajar seberapa banyak yang dapat. Allah Maha Mengetahui. Segala-galanya dalam perancangan Allah. Penulis dipertemukan dengan Tuan Syed Ahmad. Menjadi jirannya. Hingga akhirnya penulis dipertemukan semula dengan Tuan Haji Maulan yang telah dikenali lebih 20 tahun yang lalu di Parit Raja.

Berkampung bersama anak-anak Johor selama empat hari lima malam menjadikan semangat penulis sendiri terbina semula. Mengamati mereka mengingatkan kembali zaman menjadi penuntut di Institut pendidikan Guru (dulu dipanggil maktab perguruan). Zaman menjadi mahasiswa di Universiti Malaya dahulu. Zaman indah melepaskan minda untuk dibuka dan diisi dengan ilmu dan maklumat. Ilmu untuk mendewasakan diri. Menjadi profesional secara minda dan psikologinya. Boleh menyelesaikan masalah. Boleh membuat keputusan yang teknikal dan yang profesional. Ilmu menjadikan kita menambah kemahiran berfikir. Jika dahulu fikiran kita hanya sehala, ilmu menjadikan fikiran kita bertimbal balas. Keluar dari kotak. Bukan selari. Bukan hanya vertical tetapi lateral. Berbagai. Mencapah dan bercabang. Bahawa kita dikelilingi dengan hal-hal yang berbagai. Setiap satunya menuntut perhatian. Kita bukan lagi diri kita yang satu. Tetapi sebagai satu unsur yang banyak menyatu.

Namun demikian Ilmu bukan segala-galanya. Manfaatnya berlaku apabila diamalkan. Apabila kita bersama dengan orang lain. Ada usahasama. Ada keperluan yang memerlukan. Ketika berhadapan dengan situasi-situasi tertentu kita terpanggil untuk membuat keputusan. Menyelesaikan masalah. Kadang-kadang situasi tertentu hanya menuntut kita sendiri seorang diri yang menyelesaikannya. Hanya kerana kita memiliki kelayakan akademik yang relevan. Jawatan kita yang relevan. Pengalaman kita yang relevan. Harapan orang di sekeliling kita yang relevan. Semakin banyak masalah yang kita hadapi dan selesaikan maka cepatah kita dewasa dari segi berfikir. Jalan fikir kita semakin menderas. Akhirnya kita bukan lagi menyelesaikan masalah tetapi mencegah masalah. Memikirkan supaya sesuatu yang akan menghalang dan menjadi kekangan terhindar dari sistem kita. Begitu kita memikirkan masa hadapan. Wawasan yang jauh mendahului zaman.

Kerana itu belajarlah. Timba ilmu sebanyak-banyaknya. Terima apa sahaja yang bakal membantu kehidupan kita pada masa hadapan.  Ia pasti bermanfaat. Cuma tidak ada kepastian bila ianya diperlukan. InsyaAllah samai masanya ia berguna. Tidak pernah ilmu itu dianggap sia-sia. Masa yang memerlukan kita berkeupayaan menggunakannya akan datang tiba-tiba tanpa kita rancang. Belajar di IPT banyak mengajar kita tentang mempergunakan sumber yang terhad. Paling besar ialah masa dan kewangan. Andainya kemahiran menggunakan masa dan pengurusan kewangan dapat dilanjutkan hingga sesudah berkerjaya tentulah banyak manfaatnya dalam membina kehidupan berkeluarga. Kehidupan profesional. Kehidupan beribadat.


Semasa muda kesemuanya perlu digarap supaya bekalan yang diperlukan sudah tersedia apabila diperlukan. Jangan lepaskan peluang untuk mengisi masa dengan bermanfaat. Mengisi minda dengan apa sahaja yang bernilai positif. Yang banyak manfaatnya pada masa hadapan. Buat muasabah diri pada hari ini. Jenguk-jenguk masa hadapan yang dijangka datang. Cuma tidak dapat dipastikan bentuk datangnya. Rencanakan masa hadapan sekira-kira termampu untuk melaksanakannya. Asah bakat terpendam yang tidak kita sedari. Buat apa sahaja yang berada di hadapan kita apabila keadaan menuntutnya. Latihan dari yang sekecil-kecilnya hingga yang mencabar besar membantu diri kita menjadi pelaku-pelaku yang hebat pada masa hadapan. Jangan tolak tugas. Jangan abaikan masa. Jangan sia-siakan bakat. Ambil peluang yang datang jika peluang itu menambahkan nilai positif diri. InsyaAllah banyak manfaatnya.