Monday, April 22, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Fitrah Agama Yang Datangnya Dinanti


Di Malaysia sekarang ini jarang sangat jemaah yang membaca al-Quran di masjid pada hari Jumaat. Yang dewasa bersandar atau meralipkan mata. Yang muda entah di mana. Di bawah pokok. Di tempat teduh. Merokok atau bersembang. Kanak-kanak pula memangnya ramai tetapi tiada pengawasan supaya mereka berbuat yang bermanfaat di masjid. Lalu kita melihat suasana yang kurang kondusif. Hari Jumaat  hanya dihadiri untuk solat semata-mata. Al-Quran banyak di masjid tetapi tidak ramai yang menyentuhnya. Mungkin ramai hanya melihatnya sebagai hiasan sahaja. Perkataan al-Quran yang maksudnya bacaan itu tidak sampai maklumannya kepada ummah yang ramai. Senarionya ialah tidak ramai yang mahir al-Quran. Tidak ramai yang belajar. Tentu sekali tidak ramai yang mengajar. Tidak ramai yang membaca. Tidak ramai yang memiliki rasa peduli yang tinggi tentang al-Quran. Sejak kedatangan Portugis kasih kita kepada al-Quran semakin terhakis. Apabila Inggeris dengan Britishnya menguasai ruang lingkup kehidupan kita , kecintaan kita kepada al-Quran semakin mengecil. Ianya menjadi sesuatu yang eksklusif. Dikatakan orang alim sahaja yang membaca al-Quran.
Rasanya masih ramai juga yang mempelajari al-Quran. Yang masih kurang ialah kegemaran membacanya setiap waktu dan setiap tempat yang sesuai.  Saya ingin paparkan gambaran di Amman, Jordan. Sementara menunggu azan Jumaat, jemaah terlalu ramai yang membaca al-Quran. Banyak atau sedikit bergantung kepada waktu yang ada. Kanak-kanak yang masih kecil sekitar tujuh hingga belasan tahun tidak ketinggalan membaca al-Quran. Mungkin di kanan atau di kiri bapa mereka. Mereka bukan membaca olok-olok.  Bukan main-main. Mereka benar-benar membaca al-Quran. Bapanya memberikan contoh yang baik. Anak-anak mengikut jejak bapa. Begitulah pentingnya anak solat bersama bapa. Bukan terpisah membawa hal anak itu sendiri bersama rakan-rakannya. Pendidikan al-Quran dan pendidikan agama di masjid terpisah dari realiti atau amalinya. Kita kotakkan agama untuk orang dewasa atau orang tua-tua sahaja. Anak-anak kehilangan tempat dan ruang untuk membesar mencintai agama. Itu belum lagi ruang solat yang dibataskan. Dihadkan. Di belakangkan. Kita yang dewasa menajdi tidak mesra jemaah.
Kita selalu solat berjemaah. Apabila imam tersalah baca atau terlupa, tidak ramai jemaah yang dapat membetulkan. Apatah lagi jika imam membaca cabutan dari surah yang besar dan panjang. Terpaksalah imam memerah otaknya untuk mengingat hafalannya selama ini. Tidak berlaku begitu di negara yang rakyatnya Arab atau mungkin Pakistan atau yang mungkin darjah hafalan al-Qurannya sangat tinggi. Bukan imam sahaja yang hebat al-Qurannya. Makmum di belakang sangat ramai yang hafal al-Quran. Setiap kesilapan mam dibetulkan oleh ramai makmum.  Menyedari hal tersebut saya sangatlah ingin menyarankan kepada pembaca supaya kita sama-sama kembali kepada al-Quran. Pelajari dan kaji semula untuk menemui semula fitrah diri kita. Saya ada beberapa cadangan.
1        Mari ramai-ramai kita belajar al-Quran. Belajar dari seorang guru kepada guru yang lebih tinggi martabatnya. Maknanya kita semakin mendalami. Semakin baik. Mendekati kesempurnaan bacaan.
2        Jika ada peluang ajar orang lain yang tidak begitu mengetahui al-Quran.
3        Cuba menghafal seberapa banyak surah yang mungkin. Dari surah-surah yang pendek dan senang hingga ke surah yang panjang.
4        Yang keempat sangat penting.
4.1  Cuba cekalkan hati menghantar anak-anak untuk menghafal al-Quran sejak dari sebelum ke sekolah rendah lagi. Semasa mereka di tadika. Ada seorang kanak-kanak di Mesir menghafal al-Quran sewaktu usianya empat tahun. Dia meninggal ketika usianya lapan tahun. Hingga sekarang arwah itu dianggap sebagai wali kanak-kanak. Kuburnya sentiasa diziarahi pelancong.
4.2  Jika masih ada anak-anak yang belum ke sekolah menengah pastikan mereka menghafal seberapa banyak surah yang boleh. Berserta dengan tajwidnya sekali.
4.3  Pilihlah sekolah menengah agama atau maahad atau pusat-pusat menghafaz al-Quran. Jika anak-anak menjadi hafiz sejuk perut ibu. Tempat tinggalnya dinaungi. Dia menjadi seperti al-Quran berjalan. Dirinya seolah-olah menjadi al-Quran.
4.4  Anak-anak yang menjadi hafiz senang belajarnya. Semua matapelajaran boleh dihafal seperti menghafal al-Quran.
4.5  Setelah menjadi hafiz, dia boleh memilih apa sahaja bidang yang diminatinya. InsyaAllah belajar bukan lagi masalah baginya.
Di masjid, rak-rak al-Quran seharusnya di sekeliling ruang solat. Maksudnya al-Quran boleh dicapai pada bila-bila masa. Dibaca sentiasa. Selain membaca surah Yaasin atau surah al-Kahfi, bacalah al-Quran keseluruhannya. Sedikit demi sedikit. Setiap sebelum solat. Setiap selepas solat. Ketika berada di masjid. Dalam teksi dan bas. Ketika memandu. Semasa santai. Para sahabat khatam al-Quran setiap malam. Imam Syafie khatam al-Quran berkali-kali setiap bulan. Maksudnya al-Quran kita jadikan agenda. Bukan memenuhi masa terluang. Bagi yang mampu tubuhkan pusat-pusat menghafal al-Quran. Jika wawasan kita ialah sesuatu yang besar. jauh langkah natijahnya.
Semua imam hafal al-Quran. Pahala solat berjemaah menjadi berganda-ganda.
Bapa dan ibu hafal al-Quran supaya pendidikan al-Quran bermula dari rumah.
Hidup berkeluarga dilingkungi al-Quran. Agama adalah pelindung yang terbaik. Perisai dari segala kefasadan.
Pemimpin hendaklah hafal al-Quran supaya semua tindakannya berlandaskan agama.
Pegawai-pegawai di semua peringkat adalah hafal al-Quran supaya mereka dipandu dengan selamat menurut al-Quran.
Semua guru yang Muslim hafal al-Quran supaya ilmu yang disampaikan bermotif agama. Menuju kepada Allah. Disampaikan dengan kesedaran bahawa segala-galanya adalah hak Allah.

Apabila al-Quran dijadikan agenda dengan sendirinya agenda-agenda lain akan terkurang. Kita lebih dekat kepada agenda agama. Agenda yang lurus jalannya. Menuju ke arah yang lebih diredhai. InsyaAllah kekurangan-kekurangan kita selama ini akan Allah cukupkan. Allah tambahkan. Allah gandakan. Akan Allah tinggikan darjat kita. Umat Islam menajdi lebih mulia kerana akhlaknya mengambilkira al-Quran. Teringin benar rasanya melihat bahawa kita dikelilingi orang-orang yang pandai al-Quran dan pandai agama. Jadilah profesional yang di bibirnya al-Quran. Akauntan yang hafiz. Jurutera yang hafiz. Arkitek yang hafiz. Peguam yang hafiz. Doktor perubatan yang hafiz. Al-Quran akan mendinding mereka dari taksub dengan profesion mereka. Mereka sewajarnya amat dekat kepada Allah. Seluruh tenaganya untuk Allah. Khidmatnya untuk Allah. Saya ingin melihat mereka yang tersebut di atas menjadi pendakwah. Menjadi guru agama di masjid dan surau. Menjadi guru kepada keluarga, jiran dan saudara mara. Profesional bukan bererti tiada agama. Bukan yang tidak pandai agama. Sebaliknya sudah sampai masanya mereka menerajui masyarakat dengan kemahiran al-Quran dan agama mereka. Sudah ramai yang terkehadapan. Dr. Daniel umpamanya. Dr. Jamnus contoh yang lain. Kita ingin meramaikannya lagi.
Ayah dan ibu, serahkan anak-anakmu kepada agama.
Datuk, serahkan cucumu kepada agama.
Pemimpin, serahkan pimpinanmu kepada agama.

Pasti tidak ada yang rugi. Malah Islam pasti bertambah indahnya. InsyaAllah.