Tuesday, October 7, 2014

Bingkisan Dai Kaherah: Berqurban Apa Sahaja


Di tepi-tepi jalan banyak dijual kambing bebiri atau lembu. Yang paling banyak bilangannya ialah kambing.


Darah haiwan ibadah qurban mengalir di jalanraya. Merah pekat menyala. Ini berlaku di Iskandariah. Di kawasan penempatan lama. Hampir dengan pantai Laut Mediterranean. Mereka menyembelih haiwan tersebut di dalam sebuah kedai.


Malaysia menyambut Eid al-Adha pada hari Ahad. Di Mesir dan di negara Arab yang lain hari raya tersebut disambut pada hari Sabtu. Inilah kali pertama melihat sendiri keghairahan Muslim di negara Arab mengagungkan Eid al-Adha berbanding Eid al-Fitr. Pada pandangan penulis perbezaan ini ialah dari segi persepsi agama dan komersilism. Pada Eid al-Adha kebanyakan urusan bercuti selama seminggu penuh. Sama ada universiti, sekolah, pejabat malah syarikat perniagaan sekalipun. Maknanya 10 Zulhijjah memang cuti. Ditambah pada hari Tasyrik 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Setiap hari selama empat hari ini mereka melaksanakan ibadah qurban. Betul-betul beribadat. Tiada adat dan tiada komersilism. Sedangkan pada Eid al-Fitr mereka hanya solat dan kemudiannya berehat. Suasananya sangat berbeza.

Kita baru hendak pick-up mengagungkan Eid al-Adha. Sudah mula ramai yang melebihkan perayaannya. Ibadah qurban di mana-mana dalam berbagai skala. Di Malaysia ibadah qurban dibuat dalam bentuk jamaah. Diuruskan oleh jamaah surau atau masjid. Jarang orang perseorangan yang melakukannya sesama sendiri. Maknanya apabila ada majlis ibadah qurban seluruh qariah mengetahuinya. Bukan sahaja dagingnya diagihkan bahkan maklumatnya juga tersebar meluas. Di Mesir umpamanya ibadah qurban menjadi urusan peribadi keluarga atau individu yang berqurban. Tidak dibuat di surau atau masjid. Yang dilihat ibadah itu dibuat di ruang rumah masing-masing atau di ruang kedai mereka. Umum tidak mengetahuinya. Jiran-jiran pun tidak tahu. Ada sistem mereka sendiri yang tidak dapat dilihat dengan pasti. Tidak ada riuh-rendah yang dianggap mengganggu jiran. Hanya di kawasan yang penduduknya mesra sahaja ibadah qurban menerima penyaksian dan kerjasama penduduk setempat. Mereka turut meramai dan memeriahkannya.

Kira-kira setengah bulan sebelum datangnya 10 Zulhijjah, suasana mula hangat dengan jualan kambing dna lembu. Di tepi-tepi jalan pemiliknya membawa dan mempamerkan kambing dan lembu mereka untuk dijadikan pilihan. Maka pada tanduk dan badan kambing-kambing itu akan ditanda dengan berbagai warna yang dikenal oleh pembeli dan bakal yang akan menjadikannya ibadah qurban. Ada hijau, biru dan berbagai warna lain. Kambing biasanya dikandang dan dijaga siang dan malam. Ada pengawal khas berhampiran kandangnya. Yang lain datang pagi dan balik sebelum malam. Mereka datang untuk menjual. Mana-mana yang belum terjual dibawa pulang. Esoknya digiring datang semula untuk pembeli yang lain. Suasananya menuju ibadat. Kambing dan lembu diperniagakan untuk tujuan ibadat. Kerana itu tidak kelihatan suasana komersil yang keterlaluan seperti kita menyambut Eid al-Fitr. Unta pula biasanya dibeli terus dari ladangnya. Dihantar ke lokasi yang membelinya. Ditambat untuk beberapa hari sebebelum sampai pada saat untuk ibadah itu dilaksanakan.

Lazimnya mereka yang bukan warga tempatan seperti Malaysia mengadakan ibadah qurban secara terbuka. Di hadapan rumah atau bangunan. Ramai pula yang terlibat. Umpamanya pada tahun ini Rumah Perak mengadakan ibadah Qurban berskala besar. Mereka menyembelih empat ekor unta, seekor lembu dan 45 ekor kambing. Bertan-tan daging yang perlu diagih. Penduduk sekitar Rumah Perak berduyun-duyun menyaksaikannya. Membantu menumbangkan unta dan lembu. Mereka juga mendapat bahagian mereka. Pelajar-pelajar Perak ramai yang mendapat peluang menyembelih kambing ibadah mereka sendiri. Jamuan majis ibadah itu juga meriah. Semua dijemput hadir. Seprti hari raya sebenar layaknya. Ada kari daging lembu. Kurma daging kambing. Rendang tuk daging unta. Memang meriah. Hampir semua rumah negeri-negeri yang lain juga mengadakan ibadah qurban. Skalanya sahaja lebih kecil dari yang dilaksanakan di Rumah Perak. Kemeriahannya tetap sama. Hari raya memang untuk dirayakan.

Suatu pengalaman barangkali membezakan antara kita dengan masyakarat setempat. Oleh kerana kebanyakan masyarakat di sini di bawah paras mampu maka ibadat qurban kadang-kadang menjadi eksklusif kepada yang mampu. Rakyat biasa tidak berpeluang walaupun untuk melihat bagaimana haiwan disembelih. Semuanya dilakukan secara tertutup di rumah atau di kedai. Jika ada rezeki dapatlah daging yang diagihkan. Amalan yang dilakukan oleh rakyat Malaysia mengundang keterujaan penduduk setempat untuk menyaksikan ibadah qurban secara terbuka. Semua orang boleh menyaksikannya. Mereka mendapat agihan dagingnya. Suatu pengalaman baru yang dikongsi bersama masyarakat tempatan. Amalan yang baik diulang dan diterjemahkan dalam bentuk ukhwah islamiyyah. Tahun-tahun mendatang suasananya tentu dinanti-nanti oleh masyarakat setempat. Kemeriahan yang didatangkan dari jauh untuk mereka.

Ada berbagai kaedah dan reaksi yang berbeza ibadah qurban di sini. Lazimnya kita biasa dengan suasana bagaimana lembu disembelih. Diikat kaki. Ditumbangkan beramai-ramai. Sudah digali lubang darah supaya boleh ditimbus dan tidak berbau darah selepas ibadah disempurnakan. Semenara itu ada pula kayu diletakkan antara kaki lembu tersebut. Beramai-ramai kita melakukannya untuk memudahkan proses sembelihannya. Di Mesir berbeza sedikit. Jika dilakukan di kawasan biasa, darah kambing atau lembu mengalir ke atas jalanraya. Dibersihkan mana yang patut. Di kawasan elit, darah itu tidak boleh kelihatan. Tidak boleh riuh-rendah. Menjadi larangan kerana mungkin melihat darah atau sebarang kotoran yang tertinggal selepas majlis ibadah qurban tu. Maknanya dalam suasana seperti itu kita perlulah menghormati mereka kerana kita berada di tempat mereka. Apa yang mereka tidak suka kita hindarkan. Carilah tempat yang sesuai. Sensitivi masyarakat setempat perlu diambil kira dalam semua hal. Kurangkan masalah. Bina ukhwah. Jangan terkejut ada orang menyembelih lembu dalam keadaan lembu itu berdiri. Bukan ditumbangkan. Lembu itu tumbang setelah disembelih. Kambing pula disembelih seperti kita menyembelih ayam. Seorang memegang dan seorang lagi menyembelih. Ada pula menyembelih seorang diri sahaja. Kecekapan dan kemahiran yang berbeza.

Ala kulihal, semoga Allah menerima ibadah qurban yang dilaksanakan. Insyaallah memberkati mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Kambing-kambing ini jinak-jinak belaka. Tidak sukar menggembalanya. Menurut kata. Sebahagiannya sudah dibeli berdasarkan warna pada badan mereka.

Warna dan lambang yang digunakan untuk menandakan bahawa kambing itu sudah dibeli. Beberi lebih digemari berbanding kambing biasa.

Yang ini ditanda pada bahagian mata.


Lembu sedang diperagakan untuk dijual.


Kebanyakan lembu bersaiz seperti di atas. Tiada sungutan apabila lembu sampai untuk disembelih. Memang baka besar dan padat berisi daging. Malah harga lembu di Kaherah lebih mahal dari unta. Mencecah hingga melebihi RM4000. Atau 8000 paun Mesir.


Unta-unta ini untuk dijual.


Bersiap sedia. Unta ini hampir akan disembelih. Begitulah kedudukan kaki hadapannya dan kedudukan lehernya. Bersedia menerima hirisan pisau yang tajam.