Wanita adalah bintang hati lelaki. Teman terbaik. Kekasih abadi. Pasangan hidup dan mati. Membahagiakan di dunia dan di akhirat. Dari mereka lahir keturunan manusia. Begitulah anak-anak Adam Allah ciptakan dari rahim mereka. Membiaklah manusia untuk memakmurkan dunia ini. Melestarikan keturunan manusia. Kesinambungannya yang akan memanjang hingga hari terakhir alam. Hanya qiamat sahaja yang menghentikan sumber lahirnya anak-anak. Memutuskan aliran datangnya mansuia. Terhenti semuanya kerana masanya sudah sampai. Penamat segala yang wujud di dunia. Persediaan awal untuk menuju alam akhirat. Hanya Allah yang tahu. Wanita dalam usia apapun masih tetap wanita. Kedut kulit bukan isu. Rabun mata bukan isu. Tidak mendengar bukan isu. Gugur rambut bukan isu. Uban bukan isu. Botak bukan isu. Gendut dan boroi bukan isu. Wanita tetap wanita. Pasangan untuk lelaki.
Sejak dari Hawa di samping Adam, wanita berada di sisi lelaki yang bernama suami. Kebanyakan wanita difitrahkan subur. Dari mereka lahir anak-anak pengarang jantung. Jantung hati. Penyejuk mata. Intan payung yang menyegar dan menyerikan sebuah rumahtangga. Yang menghiburkan hati setiap pasangan. Melegakan kerisauan ibu dan ayah. Ada matlamat hidup ini. Banyak agenda untuk anak hingga mereka berdikari kerana usia dewasa dan berumahtangga. Berpuluh tahun wanita melalui evolusi diri mereka. Secara biologinya mereka melalui berbagai proses untuk menjadikan mereka wanita sebenarnya. Dari saat mereka baligh hinggalah suatu ketika mereka diisytiharkan menopause. Sehingga tarikh itu didatangkan di depan mata tiada wanita yang ambil kisah. Tiada antara mereka melintaskan dalam minda mereka implikasi menopause. Bagi mereka masanya lambat lagi. Jauh lagi. Belum nampak bayangnya lagi. Minda belum memberi tanda bahawa menopause itu perlu diambilkira. Tinggalkan dulu sehingga waktunya sampai. Pasti ia akan sampai.
Apa sebenarnya yang ada dalam minda wanita? Bagaimana rupanya mereka yang menopause? Ada apa-apakah implikasi negatif yang mengiringi menopause? Hanya yang sudah mengalaminya sahaja yang mengetahui. Pengalaman adalah guru dalam kebanyakan hal. Guru yang paling baik. Guru harapan untuk memandaikan diri menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang dihadapi. Di sinilah berbagai persepsi salah menghantaui wanita. Wanita Melayu yang paling parah apabila mencapai usia menopause. Ramai beranggapan bahawa menopause adalah pengakhir segala yang namanya nikmat. Yang namanya keindahan. Yang namanya kebahagiaan. Yang selalu diidamkan. Dirindu dan didendam. Akan berakhir suatu kedamaian. Betapa salahnya tanggapan serupa itu. Jauh sangat menyimpang dari norma wanita yang sihat. Yang biasa. Yang normal. Menopause bukan penamat segala-galanya. Masih banyak harapan indah yang sebelum ini tidak tertunai. Yang selalu dinafikan. Yang selalu ditakuti. Yang selalu menghantui.
Sesesungguhnya menopause itu tetap datang. Suatu fitrah usia untuk wanita. Fitrah biologi untuk mereka. Sebagai rakan kita ada pernanan membantu. Sebagai lelaki kitalah yang menjadi bahu tempat bersandar. Mungkin ramai antara kita yang perlu banyak mencari maklumat. Mencari bahan. Merujuk di mana ada. Banyak bertanya. Pastikan mendapat fakta yang sahih. Memahami fenomena sebenar yang namanya menopause. Yang hanya khusus untuk wanita. Tidak pernah untuk lelaki. Selalu dijenakakan, “Men no pause.” Maaf. Hanya untuk yang berkenaan sahaja. Bagi yang sudah melaluinya sangat memahami. Bagi yang hampir tiba di garisan itu, buatlah persediaan. Bagi yang muda bersedialah kerana ia pasti sampai. Biar tahu. Persediaan yang akan dibuat biarlah yang mantap. Mengukuhkan suatu penghadapan yang pasti. Tentu sekali bila waktunya sampai.
Menopause hanyalah suatu episod dalam kehidupan wanita. Sampai masanya edaran dan proses biologi tubuh badannya menghentikan proses yang biasa. Saat itu tidak datang tiba-tiba. Ada isyarat. Ada tanda. Ada alamatnya. Evolusi wanita mengalami gangguan jadual. Haidnya tidak lagi menentu waktunya. Bukan lagi setiap bulan. Bukan lagi setiap 28 hari. Bukan lagi boleh ditunggu dengan setia. Mungkin sampai masanya haid hanya datang sekali dalam dua bulan atau tiga bulan. Bukan sahaja kekerapannya semakin menjarang, kuantitinya juga sangat berkurangan. Masanya semakin pendek. Jika dahulu tujuh hari adalah biasa, sekarang mungkin hanya tiga hari. Jika dahulu bebarapa kali menukar bersih sekarang hanya sekali sehari. Akhirnya aliran itu terhenti. Tiada lagi. Seperti sesuatu yang tidak dinanti. Tiba juga menjengah. Maka sahlah sesuatu yang pasti itu datang juga. Sampai juga. Tiba juga. Hadir juga. Satu dunia baru yang jika tidak difahami menjadi mistri tidak diketahui. Tetapi yang malang ialah ramai wanita menjadi menyendiri kerana salah tanggap bahawa segalanya sudah berakhir. Dirinya sudah tidak berguna lagi. Tiada siapa lagi yang sudi menyentuhnya. Sangat menakutkan jika suami beralih angin. Mencari lapangan baru yang menyegarkan. Nanti dulu! Banyak sangat yang tidak benar. Semuanya tidak benar. Jangan hanya berprsangka.
Menopause hanya mengakhiri proses hamil. Tiada lagi tanggungan untuk membesarkan janin. Tiada lagi menanti pecahnya tuban. Tiada lagi sakit yang menyeksakan. Tiada lagi saat antara mati dan hidup. Tiada lagi proses menyusukan bayi. Tiada lagi berjaga malam. Tiada lagi mengasuh anak-anak kecil. Kesemuanya sudah berakhir. Semuanya sudah berhenti. Tiada lagi. Semuanaya menjadi sejarah diri. Pengalaman sebagai seorang isteri. Menjadi wanita yang telah menyempurnakan suatu peranan yang difitrahkan. Bukan sudah tidak berguna. Bukan. Mereka menjadi wanita penuh pengalaman. Menopause menjadi medan yang penuh terbuka. Tiada lagi sekatan. Apa-apa sekatan sekalipun. Tiada lagi cuti solat. Tiada cuti puasa. Tiada lagi risau dan bimbang jika tawaf semasa umrah atau haji. Ibadat yang perlukan wuduk sudah tiada halangan lagi. Semuanya menjadi bebas.
Wanita selalu takut bahawa menopause akan menjauhkan suami. Sebelum itu berlaku, lebih baik mereka menjauhkan diri. Lebih akrab kepada anak dan cucu. Sebenarnya salah tanggap inilah yang menjadi self prophecy. Akhirnya yang ditakuti memang menjadi. Terjadi kerana sudah dijangka begitu. Minda sudah ke situ. Akibat salah tanggap ini ramai lelaki yang bernama suami kehausan kasih sayang isteri. Kehilangan sebahagian dari diri mereka. Terbang semua yang dulunya sangat dekat dengan diri mereka. Ramai suami yang ditinggalkan seorang diri di rumah kerana sang nenek lebih dekat dengan cucu. Tidak cukup dengan anak, mereka berada dengan cucu-cucu. Mendekatkan diri dengan cicit-cicit yang mula ada. Hanya simpati saya kepada datuk-datuk yang keseorangan. Sepi dan sunyi. Sendirian walaupun berteman. Seorang dalam berdua. Ketika inilah sesuatu yang di luar dugaan selalu terjadi. Pada suatu ekstrim ramai lelaki “tua” ini akan bernikah lagi. Pada ekstrim yang lain mereka bercerai berai. Benarlah kata John Gray, men are from Mars, women are from Venus. Banyak yang tidak difahami antara satu sama lain. Mereka kembali ke dunia mereka sendiri.
Hakikatnya menopause bukan begitu. Sewajarnya pasangan menjadi lebih intim. Tiada yang menghalang mereka supaya menjadi lebih dekat. Ikatan kasih sayang yang lebih menebal. Sayang yang semakin terangkat tinggi. Kehadiran yang rindu merindui. Selalu dekat di hati. Menopause tidak pernah menghentikan peranan wanita untuk suaminya. Ia masih perlu aktif untuk suaminya. Ia tetap mampu aktif untuk kekasih hidupnya itu. Tiada yang kurang. Tiada yang lebih. Tiada yang perlu terhakis. Ia tetap memainkan fitrah wanitanya. Percayalah, menopause bukan pengakhir seorang wanita. Lihatlah wanita Barat, usia tidak pernah menghentikan diri dari berperanan sebagai wanita. Masih berkahwin tanpa mengira usia. Tanpa menghadkan usia suaminya. Pada mereka hidup bersuami isteri perlu sihat. Singkaplah salah persepsi itu. Wanita tetap bertambah manfaat dirinya. Menopause hanya titik masa. Bukan berakhirnya segala yang indah sebagai pasangan yang berumahtangga.