Friday, July 25, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Memperbanyakkan Tangan Yang Berada Di Atas



Islam adalah agama hadriyah. Menuntut umatnya untuk maju dalam serba serbi bidang. Mengungguli kebanyakan bidang kehidupan di dunia. Berusahalah seolah-olah kita hidup 1,000 tahun lagi. Beribadat pula seolah-olah kita akan mati esok. Pada zaman nabi dahulu Abdul Rahma bin Auf sangat terkenal sebagai jutawan. Mungkin dalam keadaan sekarang ia seorang biliawan (billionaire). Tetapi ia bersifat Islam. Dekat dengan akhirat. Dermawan. Peka dengan keperluan umat Islam. Menginfaqkan hartanya ke jalan Allah. Malah kebun tamarnya yang paling subur dan paling disayangi diserahkan untuk maslahah umat ketika itu. Ia adalah antara sahabat yang dijamin terus masuk ke syurga. Begitu juga sahabat yang lain. Kebanyakan mereka adalah peniaga dan usahawan yang berjaya. Itulah kekuatan umat ketika itu. Berusaha membina kekayaan untuk diinfaqkan kepada negara. Untuk maslahah agama. Untuk maslahah umat. Mereka meramaikan peranan yang tangannya berada di atas. Bukan di bawah. Memberi dan bukan menerima.

Realiti zaman berbeza mengikut fitrahnya. Mereka yang lemah jalan fikirnya menjadi daif. Lemah. Akhirnya dilihat miskin. Kenyataannya miskin. Keupayaannya terbatas. Sangat terbatas. Setelah berkurun lamanya, orang Islam tidak lagi melahirkan Abdul Rahman bin Auf. Yang kaya dan mengkayakan. Yang banyak menyumbang terhadap keperluan umat dan negara Islam. Kemiskinan menjadi kehinaan kepada umat Islam. Iman kita diuji kerananya. Kita teralpa dalam kancah perebutan dominasi dunia. Tiada kuasa politik. Tiada kuasa maklumat. Tiada kuasa tawar-menawar. Tiada kuasa ketenteraan. Tiada kuasa teknologi. Tiada kuasa ekonomi. Walaupun ada sebahagian negara Islam yang dianugerahkan dengan kekayaan dari minyak tetapi tidak pula melimpah kepada umat Islam yang lain. Yang negaranya miskin. Yang memerlukan banyak bantuan asing.

Ilmu dikatakan menjadi kunci kepada kejayaan manusia dan bangsa. Bangsa yang maju dilihat sebagai bangsa yang menguasai ilmu. Mereka meneroka ilmu baru. Mengembangkannya. Mengkomersilkannya. Menginovasinya. Menjana kreativiti lain yang berkaitan. Malah aktiviti kreativiti dijalankan dengan sistem yang berjadual supaya idea dan ciptaan baru berterusan mengalir keluar ke pasaran dalam bentuk produk yang menambah nilai kehidupan manusia. Keunggulan sarjana Islam terputus kesinambungannya. Andalusia pada era kegemilangannya melahirkan ramai ilmuan yang tidak terbilang. Dalam semua bidang dan bukan dalam bidang-bidang yang terpilih sahaja. Namun semuanya hanya nostalgia belaka. Kita kehilangan rentak. Hilang arah hingga tidak maju ke hadapan yang berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.

Umat Islam di negara Islam ramai yang miskin dan faqir. Kita di Malaysia tidak melihat realiti sebenar umat yang daif. Hanya apabila kita merantau jauh merentas benua dan lautan barulah kita memahami hakikat bahawa ramai saudara kita yang papa kedana. Benar-benar faqir dan miskin. Pengalaman penulis di USA bukan bermakna tiada mereka yang faqir di sana. Ramai bilangannya. Gelandangan tiada berumah. Walaupun ada pusat-pusat yang memberi sumbangan makanan namun mereka tiada tempat tinggal sendiri. Bila musim dingin ramai yang meninggal dunia kerana kesejukan. Di USApun ramai peminta sedekah. Ungkapan, “Dollar please!” biasa didengar di pasaraya atau di mall.  Di negara Islam pula keadaan faqir dan miskin ini sangat parah. Peratusan mereka berbanding dengan warga yang lain agak tinggi. Di tepi-tepi jalan mereka bergelandangan siang dan malam. Pintu pagar masjid dihadiri mereka yang menadah tangan. Ada yang mengetuk pintu rumah sambil menadah tangan. Di tepi-tepi jalan mereka memangku anak-anak sambil menadah tangan.

Namun demikian umat Islam di negara-negara tersebut peka dengan kemiskinan yang melingkari sekeliling kehidupan mereka. Hanya segelintir kecil sahaja yang tidak peka dengan keadaan itu. Masih ramai yang peka dan memberikan keperihatinan yang tinggi. Mungkin kita boleh mencontohi mereka.

1                    Setiap masjid menyediakan dana yang berbagai keperluannya untuk faqir-miskin, pelajar (antarabangsa umpamanya), anak yatim, aktiviti Ramadhan dan sebagainya. Tiada bajet khusus untuk jamuan dan makan-makan sahaja. Hanya kerana hendak makan.
2                    Ramai  mereka yang berkemampuan menginfaqkan wang ringgitnya untuk memberi makan kepada mereka yang memerlukan. Kesemua masjid besar memasak makanan untuk diagih kepada mereka yang memerlukan. Mereka memenuhi tuntutan ganjaran kerana memberi makan kepada mereka yang berpuasa di bulan Ramadhan. Pelajar Malaysia adalah antara mereka yang menerima makanan tersebut. Bukan makanan mewah tetapi cukup mengenyangkan semasa berbuka puasa. Mungkin nasi dan ayam atau daging atau ikan. Sedikit jeruk sayur dan mungkin kentang goreng.
3                    Pelajar-pelajar antarabangsa sekalipun yang agak daif bekalan kewangannya boleh pergi ke mana-mana masjid untuk membuat koleksi. Mungkin jumlahnya tidak banyak untuk setiap seorang tetapi kerana banyak masjid maka cukuplah untuk menampung belanja makan dan minum. Tidak semua pelajar dalam keadaan berkecukupan di Mesir ini. Ramai yang hanya berserah kepada Allah. Nekad dalam memburu ilmu di dada.
4                    Ada dana untuk pelarian. Di negara Arab biasanya ramai pelarian Syria dan Palestin. Mereka perlukan bantuan kerana tidak ada penempatan yang dibiayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu seperti di Jordan.

Dalam negara yang miskin tanggungjawab memajukan negara dan umatnya dipikul kesemuanya oleh pemerintah semata-mata. Peluang untuk maju tiada langsung jika tidak ada perancangan jangka pendek dan  jangka panjang untuk memajukan umat. Pelaburan asing sangat sedikit kerana sumber manusianya sangat sedikit yang berkemampuan menguasai teknologi dalam bidang pembuatan dan perkilangan. Tanpa ilmu dan kemahiran peluang pekerjaan seperti ternafi dengan sendirinya. Pemerintah bukan sahaja memihak kepada sesuatu golongan sahaja bahkan kesemua warganya diberi ruang untuk boleh hidup sendiri. Berdikari. Mandiri. Untuk itu banyak yang perlu dilakukan.

1                    Umat Islam hendaklah menjadi umat yang terbuka mindanya untuk menerima realiti bahwa perubahan adalah sesuatu yang perlu. Ekonomi berubah. Teknologi berubah. Untuk menyaingi dan mungkin mengunggulinya hanyalah dengan ilmu baru dan kemahiran baru. Yang lama hanya asas sahaja. Tanpa yang baru diri tidak maju. Negara tidak maju. Umat tidak maju.
2                    Usaha hendaklah diperbanyakkan sama ada dari segi peranan pemerintah dan/atau penglibatan rakyat. Rakyat diperlukan lebih banyak berusaha dengan berganda-ganda kuantiti dan kualitinya. Pemerintah hanya membantu dan membetulkan keadaan. Mungkin membuka jalan. Membuka minda.
3                    Matlamat akhir bukan dunia tetapi akhirat. Maksudnya usaha untuk senang dengan niat untuk agama. Kerana Allah. Kembalikan kekayaan kepada Allah dalam bentuk zakat, derma, sedekah, infaq, bantuan, pertolongan dan bermacam-macam lagi untuk maslahah umat. Janji Allah pasti benar. Perniagaan dengan Allah tidak pernah, tidak pernah menanggung kerugian. Di dunia Allah tambahkan rezekinya. Diakhirat Allah tambahkan ganjarannya.

Masjid dan surau dicadangkan membuat anjakan paradigma. Wang yang terkumpul setiap Jumaat, setiap bulan atau setiap mengadakan berbagai program hendaklah diagihkan untuk berbagai akftiviti produktif. Makan dan jamuan dikurang seminimum yang mungkin. Semua antara kita makan setiap hari. Makan sedap sangat kerap. Semasa cuti sekolah umpamanya semua kita makan sedap. ramai antara kita mengadakan berbagai majlis. Makan yang dikategorikan sebagai proses membunuh diri perlahan-lahan tetapi beramai-ramai. Kambing, minyak sapi, ayam dan lembu sentiasa dihidang. Kerana itu cuba beralih sedikit. Buat perubahan yang menguntungkan umat pada keseluruhannya.

1                    Beri bantuan kepada mereka yang melanjutkan pelajaran. Khususnya yang belajar agama. Yang ingin menjadi hafiz dan hafizah. Aktiviti seperti ini  meramaikan umat yang alim dalam bidang agama. Pahalanya berpanjangan.
2                    Membantu mereka yang uzur. Sekarang ini kos perubatan agak tinggi. Sumbangan boleh meringankan perasaan dan psikologi.
3                    Membantu mereka yang tua dan tiada tempat bergantung.
4                    Membantu ibu tunggal yang kehilangan tempat bergantung. Atau yang hilang punca pendapatan.
5                    Fikirkan supaya masjid dan surau menyediakan ruang perpustakaan untuk anak-anak jamaah mengulangkaji atau menghadiri kelas tuisyen. Sediakan ruang berasingan antara lelaki dan perempuan. Sediakan juga kompleks sukan supaya anak-anak muda dekat hatinya di masjid. Diawasi supaya mereka mematuhi waktu. Solat pada waktunya. Membaca al-Quran setiap masa. Belajar setiap masa.


Kita sudah kesuntukan masa. Terkejar-kejar untuk memenuhi berbagai tuntutan. Walau bagaimanapun tuntutan akhirat mengungguli tuntutan dunia. Buatlah apa sahaja kebaikan asalkan akhirnya membawa kita ke akhirat dengan redha Allah. Banyak berbuat kebajikan. Berbuat amal jariah. Berusaha membantu siapa sahaja yang memerlukan. Sama-sama kita bawa umat Islam ke atas. Ke mercu yang tinggi. Dilihat sebagai umat yang disegani dan digeruni. Lakukan kerana Allah. InsyaAllah Allah menjadikan kita dalam pertolonganNya.

Siri Dua Puluh Enam: Menyayangi Isteri

 
Hajjah Aminah hitam manis orangnya. Anggun juga semasa muda. Dalam tubunya ada darah keturunan orang Pulau Pinang. Ramai saudara maranya yang kekal menetap di Bagai Serai. Sebahagiannya tinggal di Sungai Burung. Anak-anak memanggil Hajjah Aminah dengan panggilan mamak. Tidak diketahui puncanya sebab selalunya mamak adalah untuk lelaki. Orang Pulau Pinang menggunakan istilah mami. Bapa saudara pula dipanggil mamu. Mungkin tempias kebiasaan mereka yang berketurunan Banjar menyebabkan emak bertukar menjadi mamak. Ada sesuatu yang lucu semasa gambar ini diambil. Anak sulung mereka yang berdiri di sebelah kanan menangis kerana takut bahawa dirinya akan hilang masuk ke dalam gambar. Minda kanak-kanak kerana pada zaman itu bergambar bukan sesuatu yang menjadi kebiasaan. Kehairanan kerana dirinya kekal wujud tetapi bagaimana dirinya yang satu lagi berada dalam gambar.


Tidak ada sesiapa yang tidak menyanyangi pasangannya. Suami menyayangi isterinya. Isteri menyayangi suaminya. Bagi yang bercinta sebelum berkahwin tentulah sewajarnya lebih berkasih sayang. Pasangan itu telah dipilih dengan rela hati. Ditentang tidak berbekas. Dihalang tidak betah. Dicincang tidak putus. Mereka rela dibakar hangus. Direndam tak basah. Dijemur tak kering. Dihujan tak lekang. Hujan ribut dapat ditangkal. Hati rindu hanya menikah sahaja ubatnya. Tetapi orang dahulu mana banyak cintanya. Sukar merealisasikan cinta antara dara dan teruna. Atau antara duda dan janda. Atau antara duda dan dara. Atau antara janda dan teruna. Zaman itu pertemuan sukar diatur. Pergaulan terbatas. Dara dan janda terus-terusan dipingit. Maruah keluarga dirapi. Maruah agama dipelihara. Marauh masyarkat dijaga dengan ketat dan terkawal. Haji Abas dan Hajjah Aminah tidak pernah bercinta. Mereka dipertemukan Allah untuk berumahtangga. Untuk berkeluarga. Untuk bercinta setelah berumahtangga.

Pengalaman berumahtangga sebelumnya dengan dua orang wanita memberikan kemahiran kepada Haji Abas untuk mengendalikan rumahtangga dengan kewajaran seorang suami. Tambahan pula Hajjah Aminah anak yatim piatu ketika bernikah dengan Haji Abas. Dia perlukan seorang suami yang penuh bertanggungjawab. Yang membawanya ke samudra bahagia hingga ke anak-cucu-cicit. Hingga tua bersama. Senang dan susah bersama. Mengharungi banyak detik-detik manis dan pahit bersama. Orang sekarang canggih dalam bercinta. Mempamerkan rasa sayang dan kasih yang diperlihatkan. Yang dinyatakan. Yang direalisasikan. Yang rindunya dengan teknologi. Bersama gelombang udara yang melantun suara dan bicara. Tidak bagi orang dahulu seperti Haji Abas dan Hajjah Aminah. Cinta dan sayang di dalam hati. Tidak dipamer dengan kata-kata. Tiada ayat bersulam kata. Tiada anyaman indah bait-bait madah berseloka. Sayang diperlihat dengan perlakuan yang tidak seberapa. Ditanggap dalam hati. Diperindah dalam perasaan.

Rasa kasih Haji Abas kepada Hajjah Aminah bukan dalam kata-kata. Begitu juga rasa kasih Hajjah Aminah bukan dalam madah-madah indah. Orang dahulu ada bahasanya sendiri. Kepada orang Arab suami atau ayah dinisbahkan kepada anak sulung mereka. Lebih-lebih lagi jika anak sulung itu lelaki. Begitu juga dengan isteri atau ibu. Anak sulung mereka berdua bernama Rugayah. Dalam keluarga digelar Kayah. Maka Haji Abas dipanggil oleh Hajjah Aminah sebagai ayahnya Kayah. Haji Abas memanggil Hajjah Aminah sebagai emaknya Kayah. Budaya sebegitu transenden kepada mereka yang dari rumpun Melayu seperti orang Jawa, Bugis, Banjar dan sebagainya. Kepada orang biasa tidak ada istilah abang atau bang, sayang atau yang. Tentu juga bukan darling atau ling. Di hadapan orang lain tidak bersentuhan. Tidak berpegangan tangan. Tidak berpimpin. Tetapi antara mereka mengerti dan memahami bahasa tubuh masing-masing. Memahami gerak dan lerek mata. Memahami intonasi suara. Hanya golongan ningrat Jawa barangkali yang berbahasa Mas (bermakna abang atau kakang). Dalam golongan bangsawan Melayu berbahasa kekanda dan adinda.

Haji Abas sangat mengasihi Hajjah Aminah. Ibu kepada anak-anaknya. Nenek kepada cucu-cucunya. Hingga ke tua mereka tidak banyak berjauhan. Jika terpisah di rumah anak-anak masing-masing mencari antara satu sama lain. Jika Hajjah Aminah berpergian ke rumah anak maka Haji Abas akan selalu bertanya bila pulangnya. Apabila sudah sama-sama lanjut usia kebersamaan selalu dihargai. Masa muda yang telah dilalui bersama cukup mengajar erti bersama. Kasih sayang yang bukan lagi diterjemahkan dalam bahasa. Bukan lagi bicara. Tetapi kebersamaan. Berpisah tiada. Ada kerinduan untuk menatap antara satu sama lain. Menghabiskan waktu-waktu yang masih berbaki. Pendek kata mereka tidak boleh berpisah lama. Mereka perlu memerlukan antara satu sama lain. Sekadar untuk bersama. Wujud di hadapan mata. Kelibatnya dilihat. Suaranya didengar. Desirnya berlalu. Mungkin sesekali mengingat zaman muda belia bersama. Jatuh dan bangun dalam kemiskinan dan kedaifan hidup.

Sewaktu muda dahulu tinggal di kampung banyak yang perlu dilakukan. Sewaktu Hajjah Aminah berada dalam pantang banyak yang perlu dilakukan oleh Haji Abas. Tempayan air perlu dipenuhkan. Air dari parit diangkut dengan baldi sejauh kira-kira 100 meter. Hajjah Aminah dimanjakan dengan dimandikan sendiri oleh Haji Abas. Suami memandikan isteri. Saat romantik antara mereka. Tangan Haji Abas yang menggosok daki. Yang menyapu sabun. Yang menjirus air ke seluruh badan Hajjah Aminah. Ia bukan senerio dalam sebuah filem atau drama. Ia adalah realiti kasih sayang antara Haji Abas terhadap Hajjah Aminah. Segala keperluan Hajjah Aminah disediakan. Dipenuhi mengikut kadar kemampuannya ketika itu. Kasih sayang tidak diungkapkan dengan lisan. Tetapi diterjemahkan dengan tindakan. Dengan apa yang boleh dilakukan untuk memudahkan. Untuk menyenangkan. Untuk meringankan. Yang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing.

Sekarang ini pun Haji Abas masih banyak seperti dahulu. Setiap kali ke pasar hari Sabtu ada sahaja yang dibelinya untuk Hajjah Aminah. Mungkin sayur kesukaan. Mungkin kuih tradisi. Apabila bersarapan di kedai Haji Abas tidak lupa membelikan Hajjah Aminah sekeping atau dua keping roti canai. Dibawa pulang bersama dengan kuah kari. Lazimnya orang lain suka makan roti canai bersama kacang dal tetapi Haji Abas memakannya bersama dengan kari. Apabila Hajjah Aminah tidak sedap badan, Haji Abas melayan seperti jururawat. Menghidang makanan dan minuman supaya Hajjah Aminah menambah tenaga dan kekuatan. Di rumah anak-anak biasa dilihat Haji Abas mengupas buah untuk dihidangkan kepada Hajjah Aminah. Dia maklum isterinya tidak mudah bergeraknya. Selalu Haji Abas bertanya kepada anak-anak sama ada Hajjah Aminah sudah makan atau belum. Sudah solat atau belum. Keperihatinan Haji Abas terhadap Hajjah Aminah tidak berubah dari muda hingga lanjut usia. Alangkah indahnya, cinta bersemi yang abadi merentas usia yang tidak pernah dibilang dengan angka. Usia menjadi tidak signifikan kepada Haji Abas.

Alhamdulillah Haji Abas masih lagi berselera untuk makan dan minum. Baik di rumah mahupun di kedai. Mungkin kerana Hajjah Aminah banyak di rumah maka seleranya tidak seberapa. Makannya sangat sedikit. Minumnya sahaja yang agak banyak. Itupun disekat-sekat kerana terlalu banyak minum banyak pula mengulang ke bilik air. Keuzurannya membataskan pergerakan. Apabila di rumah anak-anak lain pula tingkahnya. Makannya lebih enak dan berselera. Mungkin dia perlukan perubahan suasana. Perubahan persekitaran. Sesekali berada dalam lingkungan yang berbeza menimbulkan selera baru. Membangkitkan keinginan untuk makan dan minum. Begitu juga apabila makan di kedai atau di restoran. Hajjah Aminah berupaya makan dengan lebih banyak melebihi kadar biasa. Hanya apabila di rumah sahaja seleranya terbatas. Keletihan dalam keuzurannya mungkin menjadi penyebab. Lagipun ubat yang dimakan mungkin sudah mengenyangkan kerana terlalu banyak jenisnya. Setiap orang ada rezekinya masing-masing. Yang sihat berbahagia dalam sihatnya. Yang diberi penyakit masih juga berbahagia kerana masih menikmati banyak anugerah Allah di sekeliling kehidupan. Walau apapun Haji Abas dan Hajjah Aminah meneruskan kehidupan usia lanjut mereka dengan redha. Menghadapi hari esok dengan penuh keberadaan bersama. Mudah-mudahan Allah memberikan yang tebaik untuk mereka berdua. InsyaAllah.