Monday, June 16, 2014

Siri Lapan: Kemiskinan Merentas Usia


Ini adalah antara mesin getah bunga. Mesin kedua selepas menggunakan mesin getah licin seperti mesin yang di sebelah belakang. Yang licin untuk menipiskan kepingan getah dan untuk mengeluarkan airnya sebanyak yang mungkin. Mesin bunga adalah proses akhir sebelum getah keping disidai untuk dikeringkan. 



Berpindah ke kampung lain tidak seindah dijangka. Berada di kampung orang banyak juga cabarannya. Mereka yang mendatang kadang-kadang sukar diterima sepenuhnya. Ada sahaja salah yang dilihat. Silap yang dipandang. Perbezaan yang tidak disenangi. Dalam bahasa psikologi ianya disebut sebagai pertembungan psikologi. Clash of psychology. Bukan kerana tidak baik. Bukan kerana menyusahkan orang lain. Haji Abas bukan orangnya. Namun begitu banyak pula kesabarannya teruji. Alhamdulillah jiwanya tenang menghadapi segala cabaran itu. Tidak menggelabah. Tidak patah hati. Tidak menunjuk marah. Tidak juga mendendam. Orang tidak suka tidak boleh dipujuk rayu. Dalam hati sahaja disimpan segala yang berlaku. Jerat tidak melupakan pelanduk. Pelanduk sahaja yang lupakan jerat. Jauh di sudut hati Haji Abas kesemua peristiwa yang dilaluinya disimpan kejap dalam lipatan kenangannya. Sekali sekala keluarlah cerita itu apabila ada yang menjentik perasaan dan ingatannya.

Kepingan getah dimasukkan antara dua penggelek di atas dan di bawah. Dipusingkan menggunakan pemusingnya seperti roda. Kepingan getah dimasukkan berulang kali sehingga benar-benar hilang airnya.


Dalam kemiskinan yang dilaluinya Haji Abas cukup kenal siapa ahli keluarga dan siapa rakan taulan yang boleh dijadikan tempat bersandar. Cumanya keperitan berhadapan dengan cabaran belum lagi putus-putus walaupun dia telah menyingkirkan diri ke tempat yang berbeza. Di sekeliling rumahnya ditanam berbagai pokok buah-buahan seperti jambu air, jambu batu, rambutan, manggis dan pokok pisang. Sepohon rambutan ditanam di hadapan rumah, sepohon di tepi rumah dan sepohon lagi di belakang rumah. Yang di hadapan rumah enak buahnya. Isinya garing dan manis. Menjadi kegemaran anak-anaknya. Tiba-tiba pokok itu layu mengering. Seorang kenalan bernama Andai yang berketurunan Banjar Alai dari kampung sebelah datang bertandang ke rumahnya. Dia terpandang pokok rambutan itu dari tengah halaman rumah. Dia berhenti memerhatikan pokok itu. 

Andai: Napang  rambutanmu ni ding? (Kenapa  rambutan kau ni dik?)

Haji Abas: Kadek tahuk! (Tidak tahu.)

Andai mengeluarkan pisau lipat dari dompetnya lalu menoreh batang  pokok rambutan tersebut. Dia menciumnya.

Andai: Rambutanmu diraaacun ding ai. (Pokok rambutanmu diracun dik.)

Terpegun Haji Abas menerima fakta itu. Apa salah pokok itu. Apa salah dirinya sehingga pokok rambutan yang tidak bersalah menjadi korban khianat. Kelu lidahnya hendak berkata. Siapa pula yang berbuat khianat. Cuma firasatnya dapat meneka siapa dalangnya. Apabila manusia dirasuk dengan perasaan yang tidak tenteram bermacam-macam motivasi syaitan yang dapat dilakukan. Khianat bukan untuk kesenangan diri. Bukan untuk membahagiakan diri. Khianat dan hasad dengki itu hanya memakan diri. Tidak aman di manapun berada.

Gambar ini menyerupai rambutan yang diracun pokoknya. Bukan rezeki Haji Abas dan keluarganya.


Getah keping yang sudah dimesin bunga. Dikeringkan sebelum dijual.


Haji Abas menumpang menggunakan mesin getah jirannya. Walau bagaimanapun izin yang diberikan pada awalnya itu rupanya tidak disenangi. Pada suatu ketika yang lain hati Haji Abas teruji lagi. Apabila hendak ke tempat memesin getah Haji Abas mendapati titi kayu dua batang yang merentangi parit kecil antara rumahnya dan bangsal memesin getah telah dubuang orang. Haji Abas masih belum perasan lagi musibah yang lebih besar. Apabila sampai di bangsal untuk memesin getah terdapat pula secarik kertas yang berbunyi, “Tidak dibenarkan menggunakan mesin getah ini lagi!” Noktah. Surat layang tanpa tandatangan. Tetapi sekilas ikan di air, Haji Abas tahu siapa orangnya. Tidak perlu dicari. Tidak perlu ditanya. Tidak perlu meminta penjelasan. Tidak juga untuk merayu. Pada hari itu getahnya hanya dibuat getah beku. Tidak dapat dimesin dan dijadikan getah keping seperti biasa.  

Ligat fikiran Haji Abas memikirkan alternatif yang perlu dilakukan. Mesin getah perlu diperolehi segera. Hari esok getah akan ditoreh lagi. Dia perlu mengetahui sumber untuk dicari. Panjang doa Haji Abas pada hari itu. Dia memohon kepada Allah supaya memberinya jalan untuk mengatasi masalah. Doanya dimakbulkan Allah. Dia teringat ada ibu saudara Hajjah Aminah di Parit Laman yang memiliki beberapa pasang mesin getah. Jauhnya kira-kira tiga kilometer. Selang beberapa kampung dari Parit Mohamad. Beberapa hari kemudian mesin itu sampai dibawa ke rumah. Pengalaman menjadikan Haji Abas tangkas berfikir. Tangkas pula bertindak. Tidak mati akal begitu sahaja. Banyak berserah kepada Allah.

Yang ini getah sekrap (scrap). Susu getah yang beku di dalam cawannya. Dipungut dan terus dijual begitu sahaja. Getah jenis ini sangat kuat baunya. Hangit yang melampau.


Kehadiran mesin getah itu menenangkan keadaan. Kebergantungan kepada orang lain dikurangkan seminimumnya. Mencukupkan keperluan sendiri lebih menguntungkan dalam jangka panjang. Tentu sahaja mesin itu dibayar kemudian. Berhutang dahulu. Alhamdulillah saudara yang seorang ini pemurah orangnya. Memahami kesulitan yang dihadapi oleh Haji Abas dan keluarga. Tanpa mesin getah, lumpuh aktiviti menoreh yang dijalankan oleh keluarganya. Satu lagi episod payah yang melingkari diri Haji Abas. 

Cerita khianat yang diterima Haji Abas berulang pada waktu yang lain. Sebaris pokok pisang yang ditanam dengan subur ditebang orang tanpa sebab. Kebetulan pula kebun getah Haji Abas sedang melalui proses tanam semula. Tanah lapang dan sedang seronok untuk dicucuk tanam. Bak kata orang berjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak. Sementara menunggu tiga tahun sebelum anak getah boleh ditoreh. Termenung panjang Haji Abas memikirkan angkara. Setelah diselidik diketahui juga siapa yang melakukannya. Yang empunya badan mengaku yang ia disuruh orang lain untuk melakukan khianat itu. 

Ayam juga banyak masalah jika tidak terkawal. Orang kampung biasanya memelihara ayam. Banyak kegunaannya. Selain untuk dimakan bila perlu ianya seperti hadiah besar untuk keluarga terutamanya pada hari raya atau semasa mengadakan kenduri-kendara. Termasuk juga jika datang saudara yang tinggal jauh atau saudara tua seperti bapa saudara atau abang saudara. Biasanya  ayam kampung dibebaskan walaupun diberi makan mengikut jadual. Rupanya kebebasan ayam itu menjadi masalah kepada jirannya. Mungkin menumpang makan ketika ayam mereka diberi makan. Mungkin membuang najis di tempat-tempat tertentu. Riuh jirannya berkeriau menghalau ayam sambil mengomel panjang. Haji Abas maklum akan masalahnya. Dibelinya pula dawai mata punai lalu dipagar rumahnya supaya ayam-ayamnya tidak ke rumah sebelah.

Hidup berjiran perlu banyak sabarnya. Sebab itu sebelum berpindah rumah, kaji dahulu jiran tetangga yang ada. Andainya mereka jenis yang perihatin dan baik budi, seronok kehidupan kita. Begitu juga rumah yang berhampiran dengan masjid  dan surau mudahkan pula untuk berjemaah. Kadang-kadang apa yang diharap tidak kesemuanya membahagiakan. Dari luar orang hanya dapat melihat apa yang bersalut. Dari jauh orang hanya melihat secara tidak pasti. Mengetahui secara dekat orang akan terpegun mengetahui apa yang dilalui oleh Haji Abas. Liku-liku hidupnya penuh onak. Penuh duri yang mencarik di sana dan mencarik di sini. Tempat berpijak selalunya goyah. Tempat berlindung hanya kepada Allah. Hampir tiada siapa tempat mengadu kecuali kepada Allah. 

Mesin getah. Gambar di sebelah kanan mesin yang licin dan yang di sebelah kiri mesin yang berbunga. Tanpa kedua-dua mesin ini getah keping memang tidak boleh dihasilkan. 



Biji getah. Kanak-kanak menggunakannya untuk bermain seremban. Sewaktu Perang Dunia II dahulu ada orang yang menggunakannya untuk membuat tempe. Dikatakan sedap kerana sudah tiada makanan lain.