Thursday, April 24, 2014
Bingkisan Dari Kaherah: Bahasa Arab Bahasa Ke Akhirat
Agama Islam milik kira-kira 20% penduduk dunia. Tidak semua Muslim bercakap dan menulis dalam Bahasa Arab (BA). Cuma diperakui bahawa kesemua Muslim menggunakan BA untuk membaca al-Quran, membaca hadith, solat, syahadah dan berdoa. Mungkin ramai yang terkejut jika dikatakan bahawa seluruh penduduk dunia menggunakan BA sama ada banyak atau sedikit. Kita biasa dengan nombor ini 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 0. Cuba cari kamus Bahasa Inggeris. Tidak kira kamus British atau American atau Australian atau Canadian. Di dalam kamus-kamus itu nombor-nombor tersebut diistilahkan sebagai nombor Arab. Yes, Arabic Numbers. Tidak ada sesiapa pun yang boleh menafikannya. Semua sarjana walau dalam bidang apa sekalipun akan memperakui bahawa nombor itu adalah nombor Arab. Wahai manusia kesemua kamu telah menggunakan sebahagian dari BA. Wahai orang-orang yang beriman pula kamu menggunakan lebih banyak BA dalam kehidupan kamu sehari-hari. Sesungguhnya BA menyatukan kesemua Muslim tanpa mengira mazhab yang mereka anuti. Solat berjemaah boleh bersama-sama walau di mana mereka berada. Mereka membaca al-Quran yang sama. Qiraat sahaja yang mungkin berbeza. Maknanya BA bukan sahaja menyatukan kesemua Muslim bahkan ianya juga menyatukan kesemua manusia di atas muka bumi ini.
Agama Islam lahir bermula dengan BA. Allah telah menyediakan BA sejak dari Syam bin Nuh alaihi salam. Jazirah Arab tempat asalnya. Cabang qabilah Arab yang istimewa BAnya ketika kemuncak keindahannya ialah Quraisy. Rasulallah S.A.W. lahir dalam keindahan BA Quraisy. Wahyu diturunkan dalam BA Quraisy. Allah menjamin bahawa al-Quran akan berkekalan. Allah yang menurunkannya dan Allah jua yang menjaganya. Selagi al-Quran terjaga bermakna BA juga terjaga dengan rapi. Apabila agama berkembang dengan baik maka BA turut sama berkembangnya. Setelah hampir 15 abad ada tanda-tanda bahawa BA tidak mendapat tempat yang sewajarnya. Ramai Muslim yang tidak tahu berBA walaupun mereka solat dengan BA. Membaca al-Quran dangan BA. BA hanya keperluan untuk menunaikan ibadah yang khusus tetapi tidak dijadikan sebagai bahasa yang menjunjung ilmu. Memperkukuh kesarjanaan Islam. Banyak telah diceritakan bahawa kita boleh menterjemah berbagai bahasa ke dalam bahasa-bahasa lain. Namun begitu setiap terjemahan tidak pernah 100% sempurna menepati maksud yang hendak disampaikan. Tidak ada bahasa yang benar-benar dapat diterjemahkan dengan setepat-tepatnya. Kerana itu untuk sempurna mempelajari agama Islam, kita wajib kembali mempelajari BA. Menggunakannya. Mengamalkannya. Memperkembangkannya. Di dalam bahasa terdapat adat dan peradabahan yang khusus kepada pengguna bahasa itu sahaja. Bahasa diperlajari bersama budayanya. Tidak pernah terpisah.
Kita telah terlalu lama dijajah. Minda dan semangat kita hilang bersama penjajahan. Di negara Arab BA bukan lagi satu-satunya bahasa yang mereka gunakan. Banyak yang menggunakan Bahasa Inggeris selain dari Bahasa Perancis. Bukan tidak ramai yang mempelajari BA tetapi bukan lagi sebagai bahasa yang diberi keutamaan di dunia. Kepada orang kita BA bukan bahasa komersil. Perut tidak kenyang dengan BA. Begitulah karenah manusia memperlecehkan BA. Percayalah di alam barzah dan di akhirat nanti kita akan hanya berBA. Hilang semua kebanggaan berbahasa ibunda di dunia. Sebab itu ulamak menggesa untuk kita yang Muslim mempelajari dan menggunakan BA. InsyaAllah mendapat pahala kerana mempelajarinya. Mendapat pahala kerana menggunakannya. Sertakan dengan niat yang murni bahawa kesemua usaha itu kerana Allah. Cuma kadang-kadang pengajaran dan pembelajaran (P&P) BA di negara kita dilihat payah. Dirassa payah. Barangkali pedagoginya perlukan pendekatan baru. Kepada orang dewasa umpamanya, BA hendaklah dengan memperbanyakkan latihan. Latihan menulis digandingkan dengan latihan menuturkannya. Dengan lahjah dan intonasi BA yang wajar betul. Seperti ketika membaca al-Quran apa-apa teks dalam BA hendaklah dibaca dengan bunyi dan lahjah yang sama. Cuma BA tidaklah bertajwid seperti membaca al-Quran. Ganjil pula nanti jadinya.
BA yang penulis pelajari di Markaz Nil di Kaherah ini menyakinkan diri penulis sendiri. Boleh diikuti dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Jangkamasanya selama 15 bulan. Atau 15 mustawa. Tingkatan. Empat minggu setiap mustawa. Setiap dua minggu ada peperiksaan. Peperiksaan pertengahan mustawa dan peperiksaan akhir mustawa. Kelas harian hanya selama dua jam. Namun begitu pengisiannya sangat padat. Setiap hari banyak kerja rumah dalam bentuk latihan. Jika hendak rajin biasalah tidur hingga lewat malam. Kadang-kadang hingga pukul satu atau dua pagi. Andainya hendak santai terpulang kepada individu. Jika hendak bermalas-malasan juga terpulang kepada individu. Konsepnya belajar tetap belajar. Perlu ada sistem. Perlu ada disiplin. Rugilah jika kegagalan untuk hadir sehingga tidka boleh mengambil peperiksaan. Bermakna menulang mustawa. Atau jika gagal dalam peperiksaan juga perlu mengulang mustawa. Belajar perlu istiqamah. Ada objektif yang jelas.
1. Niat yang betul dan kerana Allah.
2. Yakin diri dan menolak semangat mudah putus asa.
3. Usaha yang tidak mengenal penat. Disertai dengan kesabaran yang sepenuhnya.
4. Meninggalkan maksiat. Apa sahaja yang dikategorikan sia-sia perlu ditinggalkan.
5. Banyak membuat latihan. Banyak membaca, banyak mengingat dan banyak menghafal.
6. Cari ilmu, amalkannya, berdakwah dengannya dan bersabar dengan kekangan, cabaran dan tentangannya.
Sepintas lalu memanglah BA sangat sukar dipelajari. Walau bagaimana sekalipun sekiranya dibina sistem yang baik ianya boleh mempermudahkan P&Pnya. Apabila sudah memulakannya terasa sangat keindahan BA. Benarlah al-Quran mu'jizat paling agung dalam sejarah manusia. BA di dalamnya sangat halus. Satu kalimah yang berbagai tafsirannya. Malah kadang-kadang huruf yang sama diberi tafsiran yang berbeza. Sebab itu membaca terjamahan dari BA tidak dapat memberi kepuasan yang mendalam seperti memahami BA itu sendiri.
Bingkisan Dari Kaherah: Suatu Analogi Serba Berkemungkinan
Kampung itu jauh di pedalaman. Aman dan damai. Warganya secukup hidup. Keperluan hidup mudah diperolehi. Walaupun di pedalaman, terdapat juga antara warganya yang dikategorikan kaya. Biasalah di negara kita mereka yang kaya diberi permit untuk memiliki senjatapi. Begitu juga Tok Ketua mungkin diberi izin untuk memiliki senjatapi. Menjaga keselamatan kampung. Bukan ancaman musuh tetapi mungkin ancaman haiwan liar yang banyak di sekelilimg kampung itu. Termasuk juga tupai dan monyet yang selalu memusnahkan buah-buahan. Tidak lupa kawanan babi yang datangnya bak gelombang pada waktu malam. Hiduplah warga kampung itu menjalani kehidupan biasa penduduk Malaysia yang tidak banyak ragamnya. Asalkan dapat makan dikira alhamdulillah. Tempat tinggal dan pakaian bukan perkara yang merumitkan. Semua penduduknya memiliki tempat tinggal. Ada yang besar dan ada yang kecil. Namun demikian mereka bahagia menjalani kehidupan biasa mereka.
Suatu ketika kecohlah kampung tersebut. Senjatapi milik orang kaya dan Tok Ketua telah hilang dari simpanan mereka. Waktu itu pula bukan musim buah. Soalan besar yang berlegar ialah untuk apa senjatapi itu dicuri? Kecoh juga kampung-kampung di sekitarnya. Malah dalam dunia siber yang mengecilkan dunia ini sampai juga berita itu ke ruang yang lebih luas. Mungkin akhirnya satu dunia mengetahui akan kehilangan itu. Di negara lain kehilangan seperti itu bukan isu luarbiasa kerana senjatapi pada mereka biasa-biasa sahaja. Di benua India dan Pakistan senjatapi malah dibuat sendiri. Begitu juga di Afghanistan dan negara-negara lain yang berakhir dengan tan. Di banyak negara lain di dunia ini senjatapi sangat lumrah. Di Amerika Syarikat ramai rakyatnya yang memiliki senjatapi untuk tujuan berburu. Tetapi senjatapi tetap senjatapi. Boleh digunakan untuk mengancam nyawa. Atau untuk membunuh. Untuk melakukan berbagai jenayah yang membahayakan nyawa. Bukan lagi setakat mencederakan. Di negara kita kehilangan senjatapi merupakan suatu peristiwa besar. Ianya mengancam keselamatan negara. Sejak dari zaman British hingga sekarang larangan memiliki senjatapi terus berterusan. Hanya mereka yang terkecuali sahaja diizinkan memilikinya. Memenuhi syarat-syarat yang ditentukan.
Kisah kehilangan senjatapi itu belum reda walaupun sesudah berbulan-bulan lamanya. Banyak spekulasi mengenai kehilangannya. Banyak teori amatur yang diketengahkan. Kesemuanya tidak ada jawapan. Cebisan-cebisan maklumat tidak ada yang meyakinkan. Tiba-tiba tercetus suatu berita lain bahawa di kampung tersebut ada beberapa kumpulan samseng. Terpinga-pinga warga kampung. Mereka meneropong ke sana dan ke sini. Cuba mencongak-congak siapa agaknya antara mereka yang dilabel sebagai samseng. Kepada mereka tidak ada siapa yang meragukan. Mereka selalu bersama. Berjemaah bersama. Hidup rukun dan damai. Mungkin juga berlaku perselisihan pendapat tetapi tidaklah sehingga mengeruhkan suasana. Berita dari luar yang melampaui jangkaan itu sangat-sangat menggangu pemikiran Tok Ketua. Apa yang boleh dilakukannya. Bagaimana di kampungnya yang dikenalinya sejak ia dilahirkan terdapat kumpulan samseng. Tidak ada tanda-tanda yang boleh menjurus ke arah itu. Sebagai politikus kampung Tok Ketua tidak memikirkannya secara jauh dan mendalam. Mungkin orang hanya bercakap main-main sahaja.
Selang beberapa bulan kemudian berlaku hal-hal yan tidak terduga. Sebuah kampung berhampiran mengalami tragedi berdarah. Beberapa penduduknya tercedera dan mati ditembak. Pihak yang berwajib membuat siasatan rapi. Peluru yang digunakan dikesan menggunakan senjatapi yang telah dicuri di kampung lain sebelumnya. Rekod polis mengesahkan begitu. Semua mata tertumpu ke kampung yang kehilangan senjatapi. Bukankah sebelum ini telah ada cerita bahawa di kamung itu terdapat beberapa kumpulan samseng. Pastinya mereka yang melakukan jenayah pembunuhan tersebut. Mereka menyerang kampung lain. Kecoh satu dunia. Kampung itu dihuni oleh kumpulan samseng yang mengamcam dunia. Mengancam dunia orang lain. Teori awal mengenai kehadiran mereka seperti disahkan dengan serangan berdarah tersebut.
Pasukan perisik dihantar ke kampung itu. Kesemua warganya menjadi suspek. Tanpa mengira jantina. Tanpa mengira usia. Tetapi kerana teori yang diada-adakan samseng memang tidak ada. Mulalah proses penggeledahan dilakukan. Semua rumah diperiksa. Termasuk persekitarannya. Entah bagaimana selaras senjatapi yang hilang dahulu ditemui berhampiran dengan sebuah rumah penduduk. Warga yang berusia 45 tahun itu dituduh mencuri senjatapi dan dituduh juga menggunakannya untuk meyerang kampung lain. Warga kampung sepertinya tidak berdaya mempertahankan hujjah. Tidak pandai berhujjah. Dua cerita telah disahkan. Pertama, di kampung itu terdapat kumpulan samseng. Keduanya, mereka melakukan jenayah dengan menggunakan senjatapi yang mereka curi. Warga kampung yang naif percaya bulat-bulat kesemua cerita tersebut.
Kisah ini belum tamat. Mana ahli samseng yang lain? Dipendekkan cerita banyaklah nama yang disabitkan. Dalam jemaah yang tidak dijamaahkan banyak kelonggaran perhubungan. Akhirnya kampung itu dikepung. Nama-nama yang disebut secara rambang ditangkap. Kampung itu diserang dari segenap penjuru. Yang tinggal hanya mereka yang lemah, yang sakit, yang sudah hilang upaya, yang tua dan kanak-kanak. Telah berlaku matlamat menghalalkan cara. Sesuatu yang asalnya hanya ilusi dijustifikasikan sebagai realiti. Segala tindakan diarahkan untuk justifikasi tersebut. Dalam dunia serba mungkin segala-galanya boleh dicipta dalam minda manusia. Begitu kuatnya pengaruh media. Hanya cetusan yang tidak seberapa boleh merebak tanpa kawalan. Grapevine yang dicipta menyubur untuk memusnahkan. Bukan untuk memberi manfaat.
Tentu ramai yang bertanya akan sekuennya. Akan konsekuennya. Kita kembali kepada ilmu dan maklumat. Bagaimana kita menyaring yang hak dan yang batil. Bagaimana kita membezakan yang benar dan yang salah. Itulah malang warga sebuah kampung yang naif. Berpuas hati hanya dengan adanya makanan. Cukup dengan kenyang. Ancaman yang datang dalam berbagai bentuk tidak dapat dilihat. Tidak dapat diterjemah. Tidak dapat ditafsir implikasinya. Kesedaran selalunya datang apabila segala-galanya sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Kita terlena dengan janji yang muluk-muluk. Harapan yang rupanya hanya bersalut belon. Besar, cantik dan berwarna-warni tetapi kosong, ringan dan pecah akhirnya. Yang tinggal hanya pemegang belon yang terpana dengan bunyi tanpa isi.
Terlalu banyak yang telah kita dengar. Yang telah kita baca. Yang telah kita lihat. Yang telah kita alami. Apakah ilmu tidak dicari. Apakah kebijaksanaan bukan keperluan. Apakah pengajaran tidak diibatratkan. Kita tetap menunggu harapan yang dijanjikan. Malas membaca yang tersurat dan tersirat. Apakah cerita Pak Pandir mendahului zamannya? Menang sorak kampung tergadai? Allahua’lam.
Bingkisan Dari Kaherah: Nilai Sebuah Impian
Tidak semua orang memiliki impian. Malah ada orang telah lama malas untuk bermimpi. Kepada mereka mimpi sudah bukan realiti lagi. Suatu kepayahan yang tidak perlu difikirkan lagi. Cukuplah dengan apa yang ada. Datang yang diterima. Mengharap tidak mampu terlalu lagi. Cuba lihat diri kita. Berapa berat mata memandang tentu berat lagi bahu yang memikul. Kehidupan sebenarnya semakin menyempit. Pendapatan yang ada mungkin cukup untuk makan tetapi bukan untuk menikmati taraf hidup yang setara tinggi. Penulis masih berada dalam zaman kanak-kanak sewaktu perjuangan untuk menuntut kemerdekaan sampai di kemuncaknya. Pilihanraya pertama pada tahun 1955 cukup kuat dalam ingatan. Suatu janji telah diuwar-uwarkan.Tanahair tercinta ini milik kita. Kemerdekaan bererti kita yang perintah. Kita boleh buat apa yang kita suka. Ironisnya arwah datuk penulis sendiri menyanggah usaha hendak merdeka itu. Apalah merdeka jika sebatang jarum pun kita tidak mampu untuk membuatnya. Pada hakikatnya bukan seorang dua yang berkata begitu. Namun kemerdekaan menjadi hahikat.
Penulis ingin kembali ke zaman itu. Pilu juga mengingat sanggahan arwah datuk sebegitu. Cuba pembaca tanya diri masing-masing, ada atau tidak orang kita yang sudah pandai membuat jarum. Sudah mahir membuat jarum. Sebatang pun cukuplah, jika ada. Sedih barangkali. Sesudah lebih setengah abad kita merdeka kita memang masih sesungguhnya belum pandai membuat jarum! Bagaimana hal sebegini masih terabai. Apa yang kita lakukan sehingga kita mengabaikan sesuatu yang kecil dan murah. Barangkali juga mudah. Sepertinya tiada sesiapa yang memikirkannya. Baik pemimpin, baik rakyat. Apabila kita melihat sekeliling kita, yang terpapar ialah kepayahan yang masih banyak. Kepayahan baru yang bertambah. Di desa kekal dengan keberadatannya. Hidup tidak seberapa. Malangnya mereka yang tinggal di bandar juga terkapai-kapai berusaha mencukupkan apa yang ada. Di kampung masih ada yang dua kali kais untuk sekali makan. Bukan lagi kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Di bandar mungkin peribahasanya berubah. Kejar pagi makan petang. Kejar petang makan pagi. Pergerakan yang tidak menjanjikan apa-apa kemewahan.
Mungkin ramai jadi pesimis kerana kesinambungan kemerdekaan tidak merealisasikan janji awal bahawa negara ini kita yang perintah. Di atas kertas memang begitu. Legally yes. Malangnya kita lupa perut yang perlu diisi. Rumah untuk dihuni. Kenderaan untuk bergerak. Kesihatan untuk dijaga. Pendidikan untuk ditambah. Keperluan hidup yang semakin mendesak. Banyak yang di luar kemampuan orang biasa-biasa. Situasinya semakin membesar. Kerumitannya semakin banyak. Permasalahan asas dari dahulu masih banyak yang belum selesai. Paling parah ialah majoriti orang kita yang jauh tertinggal di belakang. Penulis teringat istilah ergonomic terlalu biasa di USA pada tahun 1985 tetapi di Malaysia hanya baru-baru ini disebut orang. Maknanya kita tertinggal selama kira-kira 30 tahun. Orang di kampung tertinggal lebih setengah abad. Tentulah menjadi kerisauan kerana yang tertinggal itu orang kita. Hanya sebahagian kecil sahaja orang kita yang melihat dunia. Yang keluar dari kepompong kemiskinan. Yang mindanya terbuka luas meneroka alam. yang lain kekal begitu. Peningkatan yang sangat sedikit secara relatif dengan orang lain yang bangunannya mencakar langit. Yang gedungnya melebihi beberapa padang bola. Orang kita masih terlalu ramai yang belum pandai dan tidak pandai. Mereka hanya pengguna teknologi yang patuh tanpa mengetahui. Patuh pada pemimpin hingga tidak upaya membuat perubahan diri dan keluarga.
Lyndon B. Johnson pernah datang ke Malaysia. Yang ditinggalkan hanyalah FELDA Lyndon B. Johnson. Lusa datang Barrack Hussein Obama. Kita tidak tahu apa yang akan ditinggalkannya. Kedatangan khas itu tentunya membawa "keistimewaan" yang tidak dapat dijangka oleh orang di desa dan di peringkat bawah. Tidak semua orang akan memahami apa yang tersirat. Apakah benar domino theory menjengah kembali. Malaysia antara yang rebah seperti rebahnya negara Islam dalam kelompok Arab Spring. Ekonomi kit asedang sakit. Maka USA membawa ubatnya. But there is always a catch. Tidak ada yang percuma. Mesti ada cagaran. A reciprocal gain kepada USA. Kit atelah banyak kehilangan segala-galanaya kerana compromise yang terlalu banayk. Kita akan banyak kehilangan yang lebih banyak lagi pada tahun-tahun yang akan datang. Untuk berfikir menjadikan penulis berasa takut. Jik akita banyak fikirkan ketakutan datang menghambat. Penulis terfikirkan anak dan cucu penulis sendiri. Apa lagi yang tinggal untuk mereka apabila sampai masanya penulis tiada nanti. Hutang memang banyak untuk ditangggung. Yang lebih menakutkan ialah mereka kehilangan tanahair tercinta. Penjajahan modern bukan lagi secara ketenteraan. Politik dan ekonomi. Dibantu dengan teknologi. Apa sahaja kemungkinan boleh berlaku. Seperti Dajjal sudah berkeliaran. Ikut aku, hidup. Tolak aku, mati.
Kita berhenti di sini untuk tidak bermimpi lagi. Hiduplah dalam jaga. Curiga pada yang ada. Semoga Allah melindungi kita semua. Selamat dari fitnah dunia. InsyaAllah.
Subscribe to:
Posts (Atom)