Jam 9.00 malam. Kami tinggalkan WTC. Kami tinggalkan NY. Pittsburgh, kami kembali ke bumimu. Sejak pagi tadi dari Washington ke NY kami tiada perancangan untuk bermalam di mana-mana. Tengok keadaan. Jika ada keperluan. Kerana itu saya mencari jalan pulang dari NY melalui Harrisburgh untuk ke Pittsburgh. Kebetulan NY State besebelahan Pennsylvania State. Atau PA untuk Pennsylvania singkatannya. Harrisburgh adalah ibu negeri PA. Pittsburgh antara bandaraya yang terdapat di PA. Harrisburgh lebih gagah dan lebih sibuk dari Pittsburgh. Sepintas lalu pada malam itu saya rasa Harrisburgh lebih berkarenah berbanding Pittsburgh. Saya plot perjalanan pulang. Suatu simpang akan diambil di Harrisburgh untuk menuju Pittsburgh. Secara jujurnya kesemua tempat yang berada dalam penceritaan saya tidak pernah saya kunjungi sebelumnya. Saya berbekalan keberanian. Berpandukan peta yang selalu dijengah. Kebetulannya sewaktu di sekolah menengah dahulu saya gemarkan subjek Geografi. Peta tidak mengintimidasi saya. Asalkan butirannya betul insyaAllah tempat itu boleh dicari.Sampai di Harrisburgh sesuatu terjadi.
Memandu di manapun di US bukanlah masalah. Ikut sahaja peta, arahan dan undang-undangnya. Tahu sedikit budaya mereka. Disiplin mereka memandu. Malam itu Harrisburgh memang terang benderang. Tiada bandar di US yang gelap pada waktu malam. Sepatutnya saya mengambil selekoh di suatu persimpangan bertingkat di tengah-tengah bandaraya Harrisburgh. Saya tergamam kerana persimpangan bertingkat itu bukan berlapis tetapi berlapis-lapis. Saya sudah keliru dengan plot perjalanan yang sudah saya hafal. Tanpa disedari simpang yang dicari telah terlepas. Saya sudah mengambil simpang yang berlainan. Hendak balik akan terpaksa mencari U-Turn yang jauh. Itupun belum pasti akan ditemui simpang yang dicari. Saya memutuskan untuk meneruskan perjalanan dengan mengambil jalan yang lain. Saya cari tempat berhenti. Buka peta. Cari jalan ke Pittsburgh. Dalam peta ada beberapa alternatif ke sana. Saya pilih satu. Adoi! Jalan kampung. Walau bagaimanapun jalan kampung di US tidak seperti di sini. Kita di sini bila kampung banyak negatif jalanrayanya. Kecil, kasar, berlubang, senget, pecah di sana dan pecah di sini. Pendek kata menjadi jalanraya yang menyukarkan. Hilang keseronokan memandu. Hilang rayanya. Yang dialami hanya sukarnya.
Hari semakin malam. Penumpang kesemuanya keletihan. Saya yang memandu sejak dari pagi lagilah letihnya. Dalam pada letih itu ada juga penumpang yang resah. Terutama isteri saya. Yang lain tertidur juga. Jalan kampung yang saya lalui memang sunyi. Almaklumlah waktu semakin malam. Ke tengah malam. Hingga ke dinihari. Akhirnya pagi. Perjalanan yang sangat lama bagi saya. Alhamdulillah jalan kampung yang saya redah agak lebar. Empat lorong. Di kanan dan kiri jalan rasanya berbagai ladang. Buah, makanan dan sayur-sayuran. Entah berapa ladang jagung yang saya lalui. Entah berapa ladang buah yang saya rentasi. Jalan kampung itu pastinya indah pada waktu siang. Ladang yang selalu melaut. Orang US ladangnya beribu hektar. Kesemuanya menggunakan teknologi. Capital intensive. Menggembur tanah menggunakan jentera berat. Tanah yang digembur memang tunggang terbalik. Dalam dan terbalik-balik. Kesuburan yang sentiasa dilestarikan. Menabur benih menggunakan kapalterbang. Sewa khas. Membaja juga dengan kapalterbang. Begitu jug asewaktu menyembur racun serangga. Memang tidak hairanlah bahawa orang Amerika ramai yang boleh memandu kapalterbang. Bukan sahaja yang menjadi tentera udara, siapa-siapa sahaja boleh belajar untuk menjadi juruterbang. Di sana, ada duit semuanya jadi. Lapanterbang kecil ada di mana-mana.
Malam itu memang sunyi. Spring belum berakhir. Suhu masih rendah. Sekitar 15ÂșC. Orang lain semuanya sibuk nenyak tidur. Sesekali terserempak juga kereta lain. Tentunya mereka ada urusan. Kami pula mencari jalan pulang. Yang pastinya kereta diisi minyak secukupnya. Jauh perjalanan sudah dikira. Persediaan. Usaha. Doa. Akhirnya tawakal kepada Allah. Fitrah manusia ialah hidup di siang hari dan mati di malam hari. Maksud saya tubuh badan kita perlu rehat pada waktu malam. Perlu tidur. Saya berusaha bercekang mata. Walau bagaimanapun fitrah itu datang menyerang tubuh saya. Mata menyerah kalah juga akhirnya. Saya mencari tempat berhenti yang agak terang dan dikira selamat. Saya tidur menghilangkan rasa mengantuk yang sudah terlalu sangat. Malam itu entah berapa kali saya berhenti kerana mengantuk. Kadang-kadang baru beberapa puluh kilometer saya berhenti dan tidur lagi. Setelah beberapa kali tidur dan memandu berperingkat-peringkat sampai juga ke lebuhraya yang menuju ke Pittsburgh.
Seperti kita di Malaysia untuk masuk ke lebuhraya dan keluar darinya kita dikenakan tol. Kita di sini mengambil tiket. Atau menyentuh touch & go. Atau pandu lalu bagi yang ada smart card. Kita rasa negara kita canggih, maju dan terkehadapan. Belum lagi. Belum lagi dik. Belum lagi bang. Belum lagi tuan. Cerita saya ini 26 tahun dahulu. Mereka sudah lama di hadan. Di US sudah berpuluh tahun terlebih canggihnya. Teknologinya canggih. Sikap penggunanya canggih. Falsafahnya canggih. Disiplinnya cangih. Siviknya canggih. Tidak ada tol yang dijaga manusia. Yang menjaganya hanyalah akal dan perasaan penggunanya. Disiplin diri mereka. Very Islamic tanpa mereka menganut Islam. Saya amat yakin seperti yang dikatakan oleh Muhammad Abduh. Di Barat banyak yang Islamik tanpa ada orang Islam. Apabila sampai di pondok tol pengguna hanya sekadar mencampakkan duit siling. Ya duit siling. Bukan duit kertas yang nilainya besar. Duit kertas terlalu ringan. Tidak mampu menaikkan palang tol. Mungkin perlu berkeping-keping banyaknya baru palang itu boleh naik. Atau memang alatnya tidak diprogram untuk menerima wang kertas. Tentu supaya tidak menyusahkan pengguna. Sebaliknya untuk meringankan.
Prinsipnya ialah untuk memudahkan. Cepat. Cekap. Tidak membebankan pengguna. Rakyat. Hanya ada satu arahan sahaja. Please don’t throw a nickel. Jangan campakkan 5 sen. Boleh campakkan dime (10 sen), quarter (25 sen) atau half-dollar (50 sen). Berat ketiga-tiganya boleh menaikkan palang tol. Tidak adakah yang menipu? Mungkin ada. Tetapi tidak melebihi 10%. Mungkin 1% sahaja. Mungkin . 0.1% sahaja. Mereka tidak ada kecenderungan untuk menipu. Sistem pendidikan mereka membentuk rakyat yang menghargai negara. Seperti kata Kennedy, ask what you can do for your country, not ask what yor country can do for you. Tanya apa yang boleh anda sumbangkan kepada negara, jangan tanya apa yang negara boleh sumbangkan kepada anda. Semangat patriotik sangat menebal. Itulah jaminan tertegaknya bangsa yang dikawal oleh rakyatnya sendiri.
Selain dari akademik yang saya pelajari di kelas, pemerhatian dan pemahaman saya banyak menginsafkan saya. Orang Amerika dilihat jahat di mata dunia. Itu politiknya. Sistemnya. Tetapi secara individu orangnya baik. Budayanya baik kerana yang selalu difikirkan ialah maslahah umum. Kebajikan yang maksimum. Dalam isu tol umpamanya 10 sen atau 25 sen atau 50 sen sangat memudahkan. Sangat tidak membebankan. Sangat menyenangkan. Semua pengguna dapat menyumbang dengan senang hati. Konsep dan falsafahnya ialah rakyat membantu. Mereka telah membayar berbagai-bagai cukai. Cukai pendapatan. Cukai barang. Cukai harta dan berbagai cukai lain. Cukai jalan sudah dibayar. Insuran kenderaan sudah diayar. Lesen sudah dibayar. Cukai minyak sudah dibayar. Maka tolnya sekadar sumbangan. Membantu negara seperti yang disarankan oleh Kennedy. Kerana itu rakyat Amerika bersedia menyumbang. Sudah menjadi tanggungjawab. Hati mereka tidak pernah resah. Mereka gembira menjadi penyumbang.
Perjalanan malam itu memberi banyak pengajaran. Hingga sekarang saya belum lagi mengalami pemanduan yang sama. Atau serupa. Saya memandu selama 24 jam. 9.00 pagi hari Sabtu dari Washington. 9.00 malam di NY. 9.00 pagi hari Ahad esoknya saya sampai di Pittsburgh. Apabila saya turun dari kereta saya seperti mabuk laut. Lutut saya bergetar, bergoyang dan lemah. Setelah beberapa ketika baru datang kekuatan semula. Punggah turun barang dan saya bergegas memulangkan kereta yang disewa. Jam 10.00 pagi Ahad kereta mesti dikembalikan. Jika tidak bakal dikenakan penalty. Itulah kembara terakhir di Us. Bumi Amerika. Bumi Uncle Sam. Perjalanan 24 jam itu melalui bandaraya dan kampung. Di Amerika semuanya tiada masalah. Jalanrayanya memudahkan. Pemanduan menjadi mudah. Kepayahan hanya bagi mereka yang tidak memahami. Selagi kita boleh belajar selagi itulah kita mendapat bantuan akal. Bantuan Allah. InsyaAllah.