Monday, December 2, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Karpet Karpet Merah Terbangnya Ke Mana?




Menurut riwayat, Rasulullah saw menyukai empat warna iaitu putih, hitam, hijau dan merah jambu. Itulah sunnah. Kerana itu apa-apa yang dikaitkan kepada Islam lazimnya dihubungkan dengan warna hijau. Ia sinonim dengan alam. Pepohon yang menghijau membekalkan sumber oksigen kepada semua kehidupan khususnya manusia. Manusia pula dicipta untuk memakmurkan dunia. Terikat dengan “Tidak Ku (Allah) jadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadat kepadaKu”. Kita dalam kerangka iman dan Islam. 24 jam diri kita dikawal oleh masa yang mesti diisi dengan aktiviti syarie. Aktiviti yang dalam redha Allah. Yang memberikan natijah positif dari segi agama. Dari segi ammar maaruf nahi mungkar.


Sejak kebelakangan ini orang kerap benar menyebut karpet merah. Berulang-ulang. Ulangannya seperti semakin kerap. Sama ada kita diseronokkan untuk mengejar karpet itu atau dunia sudah semakin pendek masanya. Sudah semakin mengejar akhirat. Manusianya sahaja mengejar dunia yang semakin jauh. Setiap media sosial tidak lekang dari membicarakan tentang dunia hiburan. Teringat nukilan allahyarhan Ahmad Ammar. Berhibur dengan al-Quran di kala gusar dan kerungsingan memanjat hati. Alangkah indahnya. (1) Kalam Allah yang diwahyukan kepada (2) penghulu segala Nabi melalui (3) penghulu segala malaikat. (4) Tertulis dalam mushaf. (5) Bermula dari al-Fatehah dan diakhiri dengan surah an-Nas. (6) Disampaikan kepada kita  secara mutawatirah dan (7) membacanya diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.


Kita selalu mencari alternatif selain dari yang diredhai oleh Islam. Kita mengejar sesuatu ilusi yang dimayakan. Digambarkan seperti realiti. Seperti benar dan hak. Kita tahu dunia hiburan dengan artistenya. Dengan selebritinya.  Dengan fesyen pakaiannya. Mereka yang terlibat adalah insan-insan seperti kita juga. Mencari alternatif yang dikira boleh. Yang dikira halal. Ada pertimbangan yang lebih wajar. Yang halal jelas halalnya. Yang haram jelas haramnya. Yang berada di tengah-tengah pastinya meragukan. Kepada mereka yang beriman, yang meragukan hendaklah ditinggalkan. Bukan dipertimbangkan lagi. Bukan dicari nas lain untuk menghalalkannya. Yang lebih baik tentunya yang jelas halalnya. Senang rasa di dada. Lapang minda. Boleh senyum ketika tidur. Bangkit waktu pagi segar fikiran. Tidak perlu serabut kerana dibuat-buat. Apabila kita sudah dihadiahkan dengan warna hijau oleh Rasulullah saw kenapa pilih yang merah? Yang putih jelas memang akan dipakai oleh semua orang. Tiada siapa yang boleh mengelak. Pakaian terakhir yang terbaik untuk manusia. Tiada jenama. Bukan dari gedung membeli belah yang tersohor. Hanya dari kedai biasa. Kain biasa. Harganya biasa. Apabila sampai masanya kita semua menjadi jenazah yang biasa-biasa sahaja. Hanya mereka yang sewaktu hidupnya membezakan diri, jenazahnya berlainan dari orang biasa. Banyak keistimewaannya berbanding dengan orang lain. Laluan mereka warna yang dipilih untuknya. Bukan merah.


Apabila bercerita mengenai karpet merah tergambar suasana yang rasanya kurang syarie. Mengerikan bila diingat-ingat. Cuba pejam mata seketika. Bayangkan sebuah dewan besar. Ramai orang di dalamnya. Bergemerlapan pakaian masing-masing. Hingar sedikit. Bercampur baur sesama mereka. Pegang, sentuh dan peluk antara bukan mahram seperti lumrah. Agama semuanya ditolak tepi. Sesuatu yang serong dari hak. Lelaki dan perempuan yang bukan mahram wajib diasingkan. Bukan harus. Wajib. Siapa yang boleh menguatkuasakannya? Yang hadir tidak mampu melakukannya. Hanya iman sahaja yang boleh mencerahkan keperluan sebegitu. Tanpa iman yang kukuh banyak yang pasti dilanggari dan dianggap biasa.


Dalam suasana seperti itu ramai yang memperagakan fesyen pakaian terbaru. Siapa penciptanya? Ramai yang bukan Islam. Yang memakainya Muslimah. Fesyen itu komersil. Maaf tentu sahaja menampakkan aurat yang sewajibnya ditutup dengan rapi. Untuk suami sahaja. Simpan untuk suami atau bakal suami. Orang lain tidak boleh melihatnya. Tidak ada mata lain yang berhak melihatnya. Berbagailah fesyen yang peragakan. Maaf sekali lagi. Cirri-cirinya tentu banyak yang tidak Islamik. Ketat. Terbelah. Singkat. Mendedahkan. Ramai pula yang tidak memakai tudung. Aurat yang paling banyak didedahkan. Itu belum jarang. Ada pula yang terlalu plunging neckline. Konsepnya Hollywood is here. Atau Bollywood is here. Untuk menulis inipun boleh semput. Apatah lagi berada dalam suasana mereka. Kita tetap sayangkan orangnya. Cuma kita tidak setuju dengan suasana yang dibina untuk mereka. Mereka sedang meniti kaca yang tipis dan rapuh. Bukan konkrit. Bukan besi waja yang kukuh menegak dan menjulang. Mendatarnya boleh dipijak dan diinjak.


Muzik bukan tidak ada keharusannya. Cuma dalam suasa karpet merah muziknya bukan untuk menenangkan fikiran seperti tiupan seruling Jalaluddin al-Rumi. Bukan gendang dan rebana sambutan kaum Ansar ke atas kedatangan Nabi ke Madinah. Hijrah yang payah dan menyeksakan. Biasalah muzik yang didengarkan. Bising dan bingit. Kesemuanya kegilaan orang muda. Tidak ada usaha untuk membawa pesta seperti itu yang berpadanan dengan syarie. Orang tua boleh menontonnya tanpa rasa berdosa. Tidak ada yang memikirkan bahawa yang menonton di rumah bukan kesemuanya orang muda-muda. Seisi keluarga. Dari datuk hingga ke cucu. Mereka perlukan hidangan yang santai. Menghiburkan. Yang paling penting menenangkan fikiran. Menghilangkan kerungsingan. Memberikan idea dan harapan untuk berbuat yang lebih baik selepas ini.  


Dalam suasana seeprti itu senikata lagu banyak yang tersasar dari zikir. Dari mengingat Allah. Ingat akan mati. Senikata yang meginsafkan diri. Orang boleh lupa siapa dirinya. Siapa yang memiliki dirinya. Siapa yang memiliki hidup dan matinya. Siapa yang memiliki jasad dan rohnya. Kesemuanya pinjaman sementara. Sementara sahaja. Sementara dengan izinNya. Itu belum tarian yang sukar difahami rentak dan geraknya. Tiada pengajaran yang menginsafkan. Hanya ekspresi diri dan suasana yang sukar difahami. Ke kanan dan ke kiri. Melonjak dan berlari. Bukan pula seperti ballet yang ceritanya penuh dimengerti. Kenapa ya? Kenapa? Siapa yang boleh memberikan nafas baru yang menyegarkan. Mengolah hiburan yang layak untuk semua orang. Bukan kegilaan yang menolak ruang untuk orang lain yang juga ada haknya.


Waktu aturcaranya mungkin pukul 8.30 malam. Memang benar selepas waktu Isya’. Berapa ramai antara kita yang berani mengangkat tangan bahawa dia  mengaku terlepas solat Maghrib. Waktu Isya’ mungkin panjang masanya. Waktu Maghrib terlalu singkat. Yang bersolek tentu sahaja tidak mungkin mengambil wudu’ sebelum majlis bermula. Untuk memakai pakaian terbaru sahaja mungkin berjam-jam lamanya. Pakai. Lihat cermin. Tidak kena. Cermin lagi. Betulkan di sana. Betulkan di sini. Cermin lagi. Tidak sama tinggi. Terketat di bagaian tertentu. Cermin. Solek pula dibetulkan. Rambut diurus selalu. Solatnya bila. Tidak mungkin jamak taqdim. Tidak mungkin juga jamak takhir. Tiada keperluan syarie untuk berbuat begiru.



Rasanya kesemuanya hanya pembaziran yang disukai syaitan. Jutaan ringgit dibuang begitu sahaja. Selepas karpet merah akan banyak cerita negatifnya. Yang kalah tidak puas hati. Ada nada cemburu. Ada yang sinis. Banyak cacat celanya. Setiap tahun ada sahaja yang tidak kena. Maknanya pembaziran mengakibatkan pembaziran yang bersiri pula jadinya. Alangkah baiknya wang sebanyak itu disumbangkan untuk dana melanjutkan pelajaran. Membela orang yang miskin dan papa kedana. Memberi makan kepada yang memerlukan. Ramai yang bersyukur. Ramai pula yang mendapat nikmat berganda. Ke mana terbangnya karpet merah? Kita terlalu mudah berada dalam situasi yang bukan syarie. Esok lusa mungkin terlalu lama untuk menunggu ajal kita.