Monday, October 15, 2018

Hati Orang Tua




Berkeluarga adalah suatu nikmat. Membesarkan anak-anak adalah sangat membahagiakan. Pendidikannya sampai ke aras tinggi. Cara berfikirnya ke tahap tertinggi. Sudut pandang hidupnya mahu menjejak langit. Setinggi mana yang boleh asal tetap berjejak di bumi. Ibu dan bapa akan kian tua. Berpisah dari zaman sibuk. Zaman kalut mengurus anak-anak. Zaman mencukupkan yang tidak ada. mengadakan yang tiada. Sesungguhnya tua hanya angka kerana orang tua berada pada beberapa kategori.

1                     Tua pada usia dan tua juga akhlaknya.
2                     Tua pada usia dan tua pada tingkah lakunya.
3                     Tua pada usia tetapi cerdas dan cergas seperti belum tua.
4                     Tua pada usia tetapi uzur berkala.
5                     Tua pada usia tetapi berdikari dari segi ekonomi, emosi, spiritual, politik serta sosio-budaya.
6                     Tua pada usia tetapi bergantung segala-galanya pada orang sekeliling.
7                     Tua pada usia sedangkan usaha dan produktivitinya masih pada aras biasa.
8                     Tua pada usia tetapi melakukan transformasi hingga jauh berbeza prestasinya berbanding semasa dalam usia produktif.
9                     Tua pada usia namun bergerak pantas melakukan yang terbaik untuk menuju ke garisan penamat usianya.
10                 Tua yang tidak tahu duduk diam.
11                  Senarai ini lebih panjang jika difikirkan lebih jauh lagi.

Kita di kategori mana. Hanya kita yang tahu menilainya sendiri. Pilihan dan qada’-qadarnya hanya kita yang tahu. Mungkin juga ada orang yang tahu. Ada orang yang melihat dan perasan mengenainya. Walau bagaimanapun kita masih boleh berusaha. Masih boleh mencari yang terbaik untuk diri kita dengan izin Allah. Bayangkan selalunya apabila tua kita menjadi:

1                     Jumud.
2                     Ditinggal zaman.
3                     Diabai orang.
4                     Dipinggirkan oleh orang keliling.
5                     Banyak ragam yang tidak sesuai atau selari dengan keadaan sekeliling.
6                     Banyak karenah sehingga keluarga, jiran dan sahabat handai menjadi tidak tentu rasa.
7                     Banyak menuntut itu dan ini.
8                     Suka membanding-banding kelebihan dirinya.
9                     Suka membanding-banding apa yang diperolehinya.
10                 Sukar dikawal perangainya. Kekal dengan pendapat sendiri tanpa menghormati pendapat orang lain.
11                 Banyak bercakap sedangkan kita sudah tidak boleh berbuat tindakan yang positif.
12                 Menyalahkan semua orang yang tidak sesuai dengan seleranya.
13                 Sinis seolah-oleh kita sahaja yang terbaik berbanding dengan orang lain.
14                 Banyak tidak berpuas hati dengan layanan orang lain.
15                 Cerewet yang menyakitkan.
16                  Mengomel tidak tentu waktu dan tempat.

Satu yang kita perlu pelajari ialah apabila tua :

1                     Jangan sombong dan menyombong. Siapa kita pada suatu ketika dahulu bukan sandaran. Siapa kita sekarang adalah lebih besar hakikatnya.
2                     Jangan anggap pengalaman lama adalah segala-galanya sehingga menutup usaha dan peluang untuk menjadi lebih bermanfaat.
3                     Membuat anjakan paradigma dari satu peringkat usia ke peringkat yang lebih tinggi.
4                     Mempamerkan akhlak yang berilmu dan berisi. Cakap kita dinilai orang. Pendapat kita dinilai orang. Hujjah kita dinilai orang. Reaksi kita dinilai orang. Tindakan kita dinilai orang.
5                     Banyak memberi dari menerima. Beri nasihat. Beri cadangan bernas. Infaqkan wang yang termampu. Infaqkan masa untuk berkhidmat dan beramal. Yang diberi jangan diukur dengan wang ringgit. Ukur diri kita di hadapan Allah. Apa yang kita sumbangkan untuk mendapat redhaNya.
6                     Banyak membantu orang di sekeliling dalam apa sahaja hal yang berkaitan dengan bidang kemahiran kita.
7                     Cebisan kecil sumbangan itulah yang menjadi besar di sisi Allah. Di sisi manusia sekalipun.

Berbahagia hidup kita yang banyak memberi. Yang banyak membuat kebajikan kepada khalayak di luar sana. Yang banyak menyumbang tenaga, buah fikiran dan wawasan untuk dikongsi bersama. Orang lebih ingat yang memberi dari yang menerima. Sebab itu Allah adalah segala-galanya kepada kita kerana Allah dengan kebesaran, kudrat dan kasih sayangnya memberi segala-galanya keperluan kita keseluruhnya.

Biarlah menjadi tua yang berdikari dari tua yang banyak bergantung harap. Bebas diri dari segi ekonomi. Bebas dari segi merancang hidup. Bebas dalam pergerakan yang bermanfaat. Bebas dari titik bengik yang selalu tidak mewajarkan kita bergerak bebas. Binalah sistem itu sedari muda. Dari masa anak-anak masih kecil. Jangan manja dengan keadaan sehingga terlalai untuk hidup sendiri yang lebih membahagiakan. Tidak membebankan orang lain.