Cuba kita renung sebentar. Renung dalam-dalam. Pergilah menerawang ke mana yang kita suka. Cukup di sekeliling kita atau di mukim kita atau di daerah kita. Bagaimanakah bentuk sekolah kita? Prasarananya. Bangunan kelasnya. Pejabatnya. Kerusi dan mejanya. Saiz bilik darjahnya. Gelanggang permainannya. Padangnya. Kantinnya. Bilik airnya. Ruang-ruang kosong. Perpustakaan. Pagar. Apa yang kita lihat? Mungkin semua orang sinonim antara seorang dengan seorang yang lain. Itulah yang namanya sekolah. Standard. Tiada yang berbeza. Hanya sekolah-sekolah lama sahaja yang lain. Sekolah di bandar yang dibuat British kekal berbeza hingga sekarang. Sekolah itu bukan sahaja aspek fizikalnya yang mesti berbeza. Ada aspek psikologi yang difikirkan. Ada falsafah yang difikirkan. Ada nilai-nilai ekstrinsik dan intrinsik yang difikirkan. Melihat sekolah sebagai sekolah akan menjadikan kita kabur.
Sekolah bukan sekadar bangunan. Bukan sekadar konkrit. Bukan sekadar tempat yang “memenjarakan” anak-anak kita. Bukan tempat tahanan. Bukan tempat yang menjadikan anak-anak kita sebagai tebusan. Sekolah adalah lebih dari itu. Di situ anak-anak belajar meniru ahli masyarakatnya. Guru menjadi wakil ibu bapa mereka. Guru sebagai ahli masyrakat memanifestasikan apa yang dihasratkan masyarakat. Sebagai agen perubahan, gurulah yang mengolah caranya. Prosesnya. Strateginya. Tekniknya. Matlamatnya. Untuk itu guru perlukan ruang. Perlukan lapangan. Perlukan pentas. Menghasratkan pendidikan bertaraf dunia bukan pada lip service semata-mata. Ia bukan retorik. Orang kampung tidak mengerti banyak perkataan dan istilah yang diguna. Balik-balik orang kita juga yang kena. Mereka terlalu naïf.
Pendidikan adalah suatu pelaburan besar. Sepatutnya mengatasi agenda yang lain. Warganegara yang terdidik dan berkeupayaan memberi jaminan bahawa hal-hal lain yang dihasratkan akan dicapai negara. Di US pendidikan diberi keutamaan yang luar biasa. Semua orang mengambil tahu. Pada tahun 1986 Challenger yang selepas beberapa saat dilancatkan meletup di udara, berkecai bersamanya seorang guru wanita (McLaughlin jika tidak silap ingatan saya). Seluruh komuniti pendidikan hysteria. Anak-anak sekolah menjadi hilang akal. Psikologi mereka hancur. Sekolah bercuti kerana pelajar-pelajar dan guru-guru mereka sangat terkesan. Terlalu kuat keterikatan mereka dengan teknologi. Dengan program negara. Dengan hal masyarakat. Seluruh negara menangisi kegagalan itu. Program angkasa itu menjadi permata negara. Semua orang mengambi tahu.
Kerajaan Amerika terpanggil untuk memberi bantuan yang terbaik bagi sekolah mereka. Bagi guru mereka. Bagi anak-anak mereka. Ini hal negara. Pendidikan mereka tidak dibenarkan untuk terganggu. Proses pendidikan tidak boleh berhenti. Pendidikan dan mereka yang perlu dididik mesti dipelihara. Untuk itu seluruh orang yang namanya psikoanalisis dihantar ke sekolah. Yang namanya psikologis di hantar ke sekolah. Yang namanya psikiatris dihantar ke sekolah. Pakar motivasi dihantar ke sekolah. Sekolah menjadi agenda negara. Agenda pemimin. Agenda ibu bapa. Agenda semua orang di sana. Tiada yang terkecuali. Mereka sangat peka bahawa yang berhadapan dengan masalah ialah anak-anak mereka. Benar bukan anak mereka. Tetapi mereka anak-anak negara. Yang nanti melestarikan kesinambungan agenda negara. Bakal pemimpin. Bakal pengendali semua yang akan ditinggalkan kepada mereka. Yang akan diwariskan kepada mereka.
Kerana itu pendidikan menjadi agenda utama. You name it, mereka akan cuba memenuhinya. Sekolah menjadi keutamaan. Lihatlah bangunannya. Dari luar mungkin suram. Hitam. Kelam. Berbalam. Tidak dicat. Tidak berapa dipedulikan. Namun di dalamnya segala keperluan cuba dipenuhi. Diberi keutamaan. Bilik-bilik kelasnya besar-besar belaka. Tinggi di atasnya. Lantainya sentiasa dipolish. Kebanyakannya berlantai kayu. Untuk mengurangkan sejuk barangkali. Lagipun kayu mewah di sana. Murah lagi. Bahagian dalaman sekolah hanya bercat putih. Hanya putih. Bersih. Guru yang mencorakkan hati anak-anak yang didik bersih. Bilangan pelajar dalam kelas tidak ramai. Individualized learning dilaksanakan. Apa yang saya lihat ialah, bilik setiap kelas adalah besar, tinggi silingnya dan dilihat luas. Dirasa luas. Nikmat luasnya mengesankan.
Dari sekolah anak-anak dididik untuk berada di tempat yang luas. Suasana diperluaskan. Yang besar itu lebih baik. Yang luas itu merangsang pemikiran. Menerawang. Proses muasabah diri menjadi mudah. There is always a place for reflective thinking. Menjana pemikiran yang besar. Di sana umpamanya tiada rumah murah. Semua rumah bersesuaian dengan saiz keluarga. Jika anak mereka tiga maka ada empat bilik. Tiga untuk anak. Satu untuk ibu bapa. Rumah di sana memang murah. Pada tahun 1986 dulu harga sebuah banglo kira-kira USD40,000. Bersamaan RM120,000 sahaja. Oleh itu rumah yang bukan taraf banglo tentulah memang dalam jangkauan sesiapa sahaja. Kecuali mereka memilih untuk tidak memiliki rumah. Memiliki rumah dipermudahkan. Birokrasinya dikurangkan. Cukai-cukai yang menasabah sahaja. Masih untung. Untung itu dikongsi dengan klien. Yang penting di sana ialah yang tidak berada cukup dengan keberadaannya. Masih selesa jika diukur dengan standard kita. Yang berada memertabatkan taraf hidup mereka. Lebih selesa. It bezanya.
Maka di sana sekolah itu besar. Biliknya besar. Ruang-ruang legarnya besar kerana pada musim winter mereka berlegar di dalam sekolah. Tertutup. Lagipun konsep ruang itu serba guna. Bila ada majlis cukup ruang legar itu menjadi tempatnya. Hanya perlu susun meja dan kerusi. Tidak perlu balai. Tidak perlu khemah. Semuanya built-in. Di dalam sekolah lengkap dengan gymnasium. Lengkap dengan gelanggang bola keranjang. Mungkin ada kolam renang. Gelanggang ais hoki. Dewan makan yang besar. Mereka makan tengahari serentak. Mula sekolah pada pukul 9.00 pagi dan sekolah tamat pada pukul 3.00 petang. Makan tengahari disediakan. Mereka yang kaya membayarnya. Yang miskin percuma. Subsidi dari kerajaan. Dari pembayar cukai. Menu makanan sama untuk semua orang. Yang kaya dan yang miskin makan benda yang sama. Tiada diskriminasi. Kita di sini bagaimana? Seawal darjah satu kita sudah mengajar mereka diskriminasi. Anak orang miskin makan percuma. Anak orang kaya tidak ada peluang makan. Malangnya ibu bapa mereka yang membayar makanan anak orang miskin. Mereka sendiri anak orang kaya tidak menikmati apa yang dibayar oleh ibu bapa mereka. Itu barangkali bukan signifikan. Yang malang ialah mengapa pada usia sekecil itu mereka sudah didiskriminasikan. Dibeza-bezakan.
Guru-guru di US dapat melaksanakan individualized learning. Pelajar dikelompokkan kepada beberapa kategori. Mereka belajar mengikut keutamaan kumpulan. Bagi yang lebih cerdas kemajuan mereka dibantu. Tiada sekatan. Sistem membenarkan supaya mereka diberi laluan jelas dan lurus. Mereka boleh mengapai setinggi mana sekalipun. Sejauh mana sekalipun. Sebanyak mana sekalipun.
Suatu hari saya ke sekolah anak saya yang di sekolah menengah. Frick Middle School. Anak saya sedang belajar bahasa Inggeris. Di satu sudut seorang pelajar sedang melukis. Tenang mengadap easel di hadapannya. Di sudut yang lain seorang pelajar sedang menari. Hanya dilihat pergerakan tubuh badannya. Muziknya tidak didengar. Dia memakai headfon. Itu kenyataan. Sistem membenarkan. Itulah saya kata belajar di sana santai, menghibur dan menyeronokkan. Kelas cukup besar untuk aktiviti yang berbagai.
Jika idea itu dibawa ke sini saya pasti ramai yang akan membantah. Malang. Mereka tidak diberi faham perlunya ruang dalam pembinaan anak-anak yang bakal menjadi dewasa cukup denga ruang. Berfikiran terbuka. Boleh menerima keadaan. Hidup mereka yakin dalam jaminan. Ada ruang untuk wriggle through. Mereka buang intimidation. Contraption. Mereka takut terpenjara dalam minda mereka sendiri. Trap in their own mind. Oleh itu sekolah adalah tempat menyemai benih-benih yang bernilai tinggi. Yang hasilnya dijamin kualiti dan kuantitinya. Standardnya sentiasa dijaga. Dikawal rapi.
Mudah-mudahan kita boleh mambuat renungan. Sesuatu perlu diubah. Jika tidak kita mewariskan kepada anak-anak kita warisan British yang kecil, sempit dan menyempitkan. Orang Amerika sudah ratusan tahun membuang warisan British. Mereka cipta suatu kepercayaan baru bahawa mereka lebih baik dari British. Rumah murah di Malaysia masih mewarisi budaya British. Sebuah rumah dengan tiga bilik kecil. Yang menghuni pula kadang-kadang hingga berbelas orang. Ketiadaan ruang itu menghalau pergi anak-anak ke pusat membeli belah. Ada ruang. Ada pendingin hawa. Ada prasarana mencukupi. Banyak gejala sosial barangkali akibat ketidakpekaan kita terhadap ruang. Cuba fikirkan.