Ingat semasa anda bernikah dahulu? Di mana letak duduknya isteri saudara? Di mana letak duduknya suami puan? Dekat-dekat. Benar. Di kanan atau di kiri. Tidak jauh pastinya. Mungkin berhadap-hadapan. Semua orang menjadi saksi. Anda berdua dilihat oleh banyak pasang mata. Saat yang berperistiwa besar. Sejarah memulakan kehidupan bersama. Berumahtangga. Hidup berdua bukan bermakna segalanya dibahagi dua. Tidak perlu masa dibahagi dua. Kasih sayang dibahagi dua. Kesemuanya hendak dibahagi dua. Itu pendapat yang tidak kena. Berumahtangga sama juga seperti mendirikan tangga. Tidak boleh tegak sendiri kerana tangga perlukan tempat bersandar. Kedudukannya wajib condong. Tempat sandarannya kukuh. Kuat dan menyakinkan. Tidak ada keraguan. Tangga itu wajib berfungsi sebagai tangga. Tidak yang lain. Maka yang namanya tangga dicondongkan kedudukannya. Mudah dipanjat. Tidak gayat. Tidak merbahaya. Condongnya pula melandai supaya semua orang yang berupaya menaiki tangga boleh menapak dari satu anak tangga ke anak tangga yang berikutnya. Naik atau turunnya lebih meyelesakan. Tangga adalah untuk turun naik bersama. Sokong menyokong. Kejayaan seorang suami disokong oleh isteri di sampingnya. Kejayaan seorang isteri kerana restu dan sokongan suami.
Dengan tangga itu setiap pasangan memijak dari anak tangga pertama hinggalah yang terakhir apabila hendak mencapai puncak tangga. Puncak tangga bukan matlamat terakhir. Puncak itu hanya menyampaikan kita ke aras yang kita ingini. Pada puncak itulah kita mencari kedamaian. Ketenteraman. Kebahagiaan. Kesejahteraan. Tempatnya bukan di puncak tangga. Terlalu luas ruang yang menjdi pilihan. Mungkin di ruang tamu jika untuk berehat. Di dapur apabila hendak mengenyangkan perut. Di bilik tidur apabila hendak tidur. Mencarilah ruang yang masing-masing hajatkan. Tetapi bukan di puncak tangga. Bagi kebanyakan orang puncak tangga itulah aras paling tinggi. Tiada yang lebih tinggi melebihi paras puncak tangga itu. Maka keseluruhan baki hidupnya berkisar di puncak tangga. Statik di situ. Peribahasa Arab menyebut bahawa belajar itu dari min al-mahdi ila al-lahdi. Dari buaian hinggalah ke liang lahad. Puncak tangga hanya suatu titik masa apabila kita tamat belajar secara kademik. Belajar secara rasmi. Percayalah, bahawa yang kita pelajari secara akademik adalah terlalu sedikit. Terlalu kecil berbanding dengan keperluan kita mengharungi kehidupan yang pasti dengan banyak ketidakpastiannya.
Kita masih terlalu banyak untuk belajar. Setiap saat kita belajar. Setiap waktu. Setiap hari, minggu, bulan dan tahun. Ada sahaja yang tidak kita ketahui. Kita perlukannya tetapi kita tidak memiliki maklumat, fakta atau kemahiran melakukan sesuatu. Ada hal-hal yang perlu diserahkan kepada pakarnya. Fardhu kifayah. Tetapi, tetapi ada hal-hal yang tidak boleh diserahkan kepada pakarnya. Tidak boleh dipindahkan kepada orang lain. Tidak boleh tumpang-tumpang. Fardhu ‘ain. Hal-hal yang wajib kepada kita. Diri kita sendiri. Hidup mati kita, kita kena buat sendiri. Mati, hidup dan mati sekalipun kita hendaklah membuatnya sendiri. Solat lima waktu adalah tiang agama. Paling besar dan paling utama. Kunci kepada iman dan Islam itu sendiri. Solat hendaklah dilakukan sendiri dalam keadaan berdiri atau duduk atau berbaring atau sekadar mengelipkan mata. Kadang-kadang yang punya diri mengetahui kewajipan itu. Anak yang menjaga ibu bapa yang uzur tidak tahu akan hal itu. Cucu juga tidak tahu. Jiran tetangga tidak tahu. Saudara mara tidak tahu. Berat. Berat. Sangat berat cerita sebegini.
Keseluruhan hidup kita terlalu tertumpu kepada matematik atau sains atau fizik. Atau lain-lain elemen duniawi semata-mata. Elemen agama yang sangat penting menjadi tempelan. Malah ada yang megatakan boleh ditangguhkan. Ada yang tunggu tua. Hubaya, hubaya. Ajal tidak menunggu tua. Sakit tidak menunggu tua. Ketidakupayaan tidak menunggu tua. Ramai kanak-kanak ajalnya menjengah awal. Ramai orang muda yang tidak sempat tua. Usia bukan penentu banyak hal. Allah mengingatkan di dalam al-Quran, “Janganlah kamu mati kecuali kamu mati dalam Islam.” Akhir hayat yang dalam penerimaan Allah. Namun hakikat kehidupan tidak seperti yang sewajarnya. Hidup dalam Islam dan mati dalam Islam. Pelaksanaan keislaman kita banyak yang tidak memenuhi syariat. Kerana itu kita perlu belajar lagi sebelum kita ditamatkan perlunya kita hidup di dunia. Dalam konteks inilah banyak permasalahan yang timbul. Selalunya orang lelaki tidka bersama. Suami tidak mengiringi isteri. Wanita yang ramai memenuhi ruang-ruang halaqah ilmu.
Pergilah ke mana-mana majlis ilmu. Barangkali 90% hadirin adalah perempuan. Kadang-kadang melewati angka 95%. Ke mana pergi suami-suami yang usainya bukan tembaga. Ramai yang suasa. Ramai yang emas. Ramai yang platinum. Ramai yang bukan kaca tetapi delima, zamrud, mutiara dan intan berlian. Ramai isteri-isteri yang bermaklumat. Lebih tahu. Lebih faham. Lebih cantik amalan ibadahnya. Balik ke rumah isteri-isteri menjadi lemas keran aorang yang disayangi tidak memperbaiki amalan agamanya. Suami yang menjadi harapannya tidak dapat membimbing dirinya. Ramai isteri kecewa kerana suami masih terus dengan amalan yang tidak membantu meningkatkan diri. Culas belajar. Malas meningkatkan diri. Orang-orang yang berkerjaya hanya menggunkan sebahagian kecil dari hidupnya untuk manfaat orang lain. Ilmu agama selalunya diabaikan. Diletak bukan di tempat pertama. Cuba fikirkan sejenak. Sejenak sahaja. Bukankah hidup dan mati kita bersandarkan agama. Bersendikan agama. Hendak solat tidak perlu tunggu orang lain menjadi imam. Hendak berwirid jangan serah kepada orang lain. Nah bila ada kematian, masing-masing menunggu imam dan bilal. Jika tidak ada dijemput dari kampung sebelah. Ada di setengah tempat urusan jenazah diswastakan. Mana fardhu kifayahnya. Mana fardhu ‘ainnya.
Sudah telalu lama kita bersandar kepada orang lain. Di mana sebenarnya orang lelaki. Di rumah tiada. Di surau atau masjid tidak ada. Di majlis ilmu tidak ada. Belajar tidak. Ikut sama tidak. Mendengar tidak. Membantu tidak. Na’udzubillah. Jangan jadi orang kelima. Orang-orang yang tidak berminat dengan hal agama atau ilmu. Ditambah pula benci dan mengganggu majlis-majlis agama yang diadakan. Pembesar suara terlalu kuat. Bising dan bingit. Mengganggu lalu lintas. Tidak boleh tidur. Bermacam-macam lagi sungutan kerana di persekitarannya hadir majlis agama. Isteri-isteri mungkin perlu kreatif membujuk suami. Dalam pencarian ilmu suami perlu di hadapan. Suami yang bertanggungjawab memandaikan isterinya ke arah agama. Jika dia tidak mampu, carilah halaqah yang dapat membantu dirinya dan isterinya belajar agama.
Belajar agama bukan sebarangan. Cari guru yang boleh menunjuk ajar. Bukan yang boleh bercakap. Cakap dan praktikal mesti beriringan. Serentak. Kita perlukan umat yang tahu ilmu dan pandai amal. Segala hal mengenai agama boleh diurus. Boleh ditangani. Boleh dirujuk. Ada sahaja keperluan boleh ke hadapan dan ke tepi. Semua lelaki Muslim wajib ke hadapan. Mendahului isteri masing-masing. Saya beri situasi paling senang. Isteri tidak boleh menjadi imam. Tidak solat fardhu. Tidak solat jenazah. Tidak solat apa sekalipun selagi orang lelaki ramai yang berada di sekeliling isteri itu. Bagaimana hendak memandikan jenazah lelaki. Hendak mengkafankannya. Hendak menyemadikannya. Jenazah lelaki diurus oleh orang lelaki. Jenazah wanita pun diuruskan oleh orang lelaki. Kecuali memandikannya sahaja diurus oleh orang perempuan. Dalam keadaan tertentu ayah, adik beradik lelaki, suami dan anak-anak lelaki boleh memandikan jenazah seorang wanita. Lelaki dan lekaki banyak peranannya. Bukan sebagai suami dan bapa sahaja. Banyak tanggungjawab agama yang wajib dilaksanakan.
Marilah ke hadapan. Pergilah ke saf pertama. Jangan tinggal lagi di saf belakang. Jangan berada di luar saf. Pimpin isteri untuk sama-sama memajukan diri dalam hal agama. Untuk lebih tahu tentang agama. Untuk dapat melakukan hal-hal keperluan yang bersendikan agama. Dunia semakin tua. Pengakhiran yang semakin dekat. Sama-samalah melengkapkan diri untuk bersedia akhir usia kita. Selagi nyawa masih di badan. Bagi yang masih berkerjaya, bukalah sedikit ruang untuk agama. Bagi yang sudah bersara apa lagi yang ditunggu di rumah. Rumah sudahpun menyuruh kita pergi. Masih ada ruang dan masa untuk menambah yang kurang. Silalah angkat kaki kanan. Mulakan langkah yang pertama menuju ke aras yang lebih baik. Yang lebih tinggi. Pasangan-pasangan yang membaca blog saya ini saya sarankan carilah ilmu berdua-duaan. Natijahnya boleh membimbing anak, menantu dan cucu-cucu yang semakin ramai. Semakin membesar. Mudah-mudahan kita semua hidup dan mati diredhai Allah jua. InsyaAllah.